Mak Buang Masa Umur 6 Tahun, Bila Mak Sakit Aku Dituduh Anak Derhaka

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

anak derhaka

Adik-adik semua mak bawa tinggal sekali dengan suami baru, tapi aku sorang anak sulung yang ditinggalkan dekat rumah nenek sejak umur 6 tahun. Sekarang mak sakit dan adik-adik paksa aku jaga mak di rumah, bila aku tak nak, diorang cop aku anak derhaka..

#Foto sekadar hiasan / AI. Aku sekarang umur 36 tahun, dah kahwin anak 2. Masa aku kecil dulu mak aku kahwin lain lepas bercerai dengan ayah. Aku ni anak sulung, adik adik semua mak bawak tinggal sekali dengan laki baru dia.

Aku sorang je mak hantar duduk rumah nenek kat kampung. Mak cakap kejap je, nanti dah senang dia ambil aku balik. Aku tunggu la. Tiap kali raya aku tunggu mak datang bawak baju baru, tapi kadang – kadang sampai habis raya muka mak pun tak nampak.

Pernah masa umur 9 tahun aku telefon mak guna telefon rumah jiran, aku cakap nak duduk dengan mak. Dia jawab “kakak duduk la dengan nenek dulu, mak susah nak jaga ramai ramai.” Aku nangis sampai nenek pujuk. Masa sekolah kalau ada hari sukan, mak tak pernah datang.

Masa aku demam panas masuk wad pun nenek yang jaga. Mak ada datang sekali sekala, tu pun kejap. Aku tengok gambar adik adik aku sambut birthday, pergi bercuti dengan mak, aku cuma mampu tengok je. Aku tak benci adik adik aku, tapi aku selalu tertanya kenapa mak boleh sayang diorang, tapi aku sorang dia tak nak.

Bila dah besar aku kerja, kahwin, ada family sendiri. Aku masih hulur duit kat mak bila mampu. Bukan sebab aku dah lupa apa yang jadi, tapi aku tak nak jadi orang yang berdendam sampai mati. Cuma aku tak rapat dengan dia. Aku tak pandai nak peluk mak macam adik – adik aku.

Sekarang mak dah kena strok, susah nak jalan. Adik aku telefon cakap kami kena bergilir jaga mak. Aku cakap aku boleh bantu duit ubat, beli pampers, bayar penjaga sikit sikit. Tapi aku tak sanggup jaga mak duduk serumah. Terus adik aku marah. Dia cakap “kakak ni anak sulung, takkan takde perasaan kat mak sendiri.”

Aku jawab dulu masa aku kecil, siapa yang jaga aku? Dia terus cakap jangan ungkit benda lama. Aku terasa sangat. Senang la diorang cakap jangan ungkit, sebab diorang tak pernah rasa tidur rumah nenek sambil tunggu mak yang tak balik balik.

Adik lelaki aku siap cakap kalau aku tak jaga mak, jangan harap dapat bahagian harta nanti. Aku gelak je. Aku tak pernah kejar harta mak pun. Aku cuma nak dia faham kenapa aku jadi macam ni. Minggu lepas aku pergi tengok mak kat rumah adik. Mak dah susah nak bercakap.

Bila dia nampak aku, dia angkat tangan nak pegang tangan aku. Aku duduk tepi katil. Mak cakap perlahan – lahan “kakak marah mak lagi ke?” Aku terus diam. Aku nak cakap aku tak marah, tapi mulut aku tak boleh. Sebab sebenarnya sampai sekarang aku masih sedih.

Mak nangis pastu dia cakap “mak ingat kakak kuat, sebab tu mak tinggal kakak dengan nenek.” Ya Allah ayat tu yang aku paling tak boleh terima. Aku baru 6 tahun masa tu. Aku bukan kuat mak, aku cuma takde pilihan. Aku pun nak tidur peluk mak, nak mak sikat rambut aku sebelum sekolah, nak mak datang ambil report card. Tapi semua tu aku tak pernah dapat.

Aku balik hari tu tanpa janji nak jaga dia. Dalam kereta aku nangis sorang sorang sampai laki aku kena berhenti tepi jalan. Semalam anak perempuan aku umur 7 tahun tanya kenapa mama tak duduk dengan nenek yang sakit.

Aku cakap mama masih sayang nenek, cuma mama ada benda yang mama belum boleh lupa. Anak aku terus peluk aku cakap “kalau mama sakit nanti, kakak jaga mama tau.” Aku terus nangis. Budak umur 7 tahun pun tahu nak peluk mak dia. Aku dulu umur 7 tahun cuma tahu tunggu mak balik.

Aku bukan tak kesian tengok mak sakit. Aku tetap nak tolong setakat yang aku mampu. Tapi aku belum kuat nak jadi penjaga sepenuh masa untuk orang yang dulu tak mampu jaga aku masa aku paling perlukan dia. Sekarang semua orang suruh aku ingat jasa mak sebab dia yang lahirkan aku.

Aku tak pernah lupa benda tu. Cuma sampai hari ni, dalam hati aku masih ada budak kecil umur 6 tahun yang duduk depan pintu rumah nenek, tunggu mak datang ambil dia balik. Budak tu dah besar, tapi mak tak pernah datang pun.

Komen netizen :

Shafura Sha : Kisah kita hampir sama, aku pun anak mangsa penceraian. Kami ada 3 beradik, semua ayah jaga. Ayah dan mak bercerai masa kami kecil kecil juga. Semua ayah jaga. Lepas tu ayah kahwin lain, ayah hantar duduk dengan nenek sampai habis sekolah.

Namun kami tak pernah berdendam dengan kedua ibu bapa kami. Sedih memang sedih, marah dan terkilan semua ada. Tapi mungkin ada sebab nak jadi macam tu. Tak tahulah nak persalahkan sesiapa. Namun hati tetap sayang kepada insan yang melahirkan. Dunia dan akhirat mereka lah orang yang wajib kita sayangi dan hormati.

Salmiah Sal Sal : Sebab tu aku bila bercerai sanggup pertahankan semua anak. Biar tak dapat harta sepencarian, tak ada nafkah anak. Aku tak peduli. Asalkan aku sentiasa bersama anak – anak. Bila anak dah besar terpulang dengan siapa diorang nak tinggal. Yang penting masa kecil aku jaga dengan kasih sayang. Biar hidup susah asalkan anak depan mata.

Siti Haida : Buat peringatan dan kesedaran pada emak emak zaman sekarang. Jangan ingat kahwin baru nak seronok je. Konon dapat anak dengan suami baru. Ingat kamu akan tua nanti dan sakit. Fikirkanlah ya. Buat adik dalam ni, sejahat jahat ibu, dia tetap ibu kamu. Hargailah dia dan berbaktilah. Kejarlah pahala adik. Adik – adik yang lain tu, pedulikan.

Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5162 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.