Mak curang dengan ayah, ada skandal dengan penagih. Aku siasat sampai jumpa gambar mesra mak dengan lelaki tu. Mak bagi alasan ayah selalu sibuk

Aku baca semua mesej mak dengan lelaki penagih tu. Mak angau, bagi duit, nak bagi kereta. Aku cuba rapat dengan mak untuk korek maklumat. Mak kongsi alamat lelaki tu. Aku intip dia. Aku ekori semua. Bila dia lepak dan hisap d4d4h dengan kawan – kawan dia. aku call polis dan AADK.

#Foto sekadar hiasan. Assalammualaikum admin. Terima kasih kalau cerita aku disiarkan. Ni bukan pasal rumah tangga aku, tapi pasal rumah tangga mak dengan ayah aku. Bukan nak buka aib keluarga aku, tapi nak minta pendapat sebab aku dah buntu nak selesaikan masalah ni.

Cerita dia macam ni. Mak dengan ayah aku bekerja sendiri. Masa aku umur 14 tahun, ayah aku ada affair dengan seorang perempuan bernama Ain. Ain ni pekerja dekat kedai yang mak dengan ayah aku usahakan. Disebabkan aku paling rapat dengan ayah, ayah ada cerita pasal hubungan diorang dekat aku.

Cuma masa tu aku kecil lagi. Aku tak tahu nak buat apa. Aku takut bila aku cerita dekat mak, takut mak tak percaya dekat aku sebab ayah dengan Ain pandai sangat berlakon macam takde apa – apa. Ayah beli macam – macam dekat Ain ni. Motor, telefon, tiap – tiap bulan ayah bayarkan duit sewa rumah dia.

Tak lama lepas tu, mak dapat tahu pasal hubungan ayah dengan Ain. Mengamuk mak, sampai hampir bercerai dengan ayah. Lepas tu pula mak dapat tahu aku pun bersekongkol dengan ayah. Setahun mak tak bercakap dengan aku. Masa tu macam – macam ayat maki adik beradik lain lemparkan dekat aku. Anak derhaka dah jadi nama panggilan untuk aku.

Tak lama lepas tu, keluarga kami bahagia macam sebelum ni. Mak dah boleh maafkan aku. Tapi, aku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Mak pula kantoi ada affair dengan lelaki lain bernama Badrul. Tapi aku sorang je yang tahu pasal hubungan mak dengan Badrul.

Sebab aku tidur dengan mak, selalu dengar mak bersembang dengan dia. Mak kenal Badrul ni dekat Facebook. Mak suka baca puisi yang Badrul reka dan post dekat Facebook dia. Mak selalu komen dekat post dia. Lama – lama diorang jadi kawan. Makin lama makin mesra.

Badrul ni penagih d4d4h dan suka minta duit dekat mak. Aku ni memang ada sifat ingin tahu yang kuat. Jadi aku stalk Facebook Badrul, baca mesej mesej mak dengan dia. Sampai satu masa aku terkedu sebab jumpa gambar mak berpelukan dengan Badrul. Ada gambar Badrul cium pipi mak. Sampai aku rasa hilang hormat dekat mak sendiri.

Puas aku sedapkan hati supaya jangan fikir bukan – bukan pasal mak. Jadi aku bersemuka dengan mak. Aku tanya mak, siapa Badrul dan kenapa mak buat macam ni dekat ayah. Apa kurangnya keluarga kami. Tapi mak cuma jawab, keluarga kami takde kurang apa – apa. Cuma ayah selalu sibuk dan selalu marah – marah mak.

Mak cakap lagi, dulu ayah boleh buat dekat mak, aku tak marah pun. Kenapa bila mak buat, aku marah dan nak mengadu dekat ayah. Kadang – kadang aku rasa mak macam kena guna – guna dengan Badrul. Sebab bila dia minta duit dekat mak, mak bagi je.

Hampir – hampir nak tukar geran kereta atas nama Badrul. Kadang – kadang aku rasa Badrul ni macam ada masalah mental juga. Sebab dia selalu tanya mak tidur satu katil dengan ayah ke tak. Bila keluarga kami pergi bercuti pun dia akan tanya macam – macam.

Badrul siap stalk Facebook aku dan abang aku semata – mata nak tengok gambar – gambar percutian kami. Lepas tu dia ugut nak tinggalkan mak, tapi mak tetap cari dia. Masa tu aku nak bagitahu dekat ayah semuanya, tapi aku takut. Takut bila mak dengan ayah berbaik semula, aku pula yang jadi mangsa keadaan.

Mungkin mak akan benci aku. Aku takut sangat. Cukuplah dulu aku pernah rasa macam orang luar dalam keluarga sendiri, dipinggirkan oleh mak sendiri. Jadi aku ambil keputusan untuk sambung belajar dan tinggalkan rumah. Aku taknak terlibat.

Aku ingat lagi masa aku balik cuti semester, Hari Raya tahun 2025. Semuanya kantoi. Ayah tahu mak ada hubungan dengan Badrul sebab dia datang rumah beraya. Ayah mengamuk. Ayah rampas kunci kereta mak dan rampas telefon mak. Ayah cuma bagi mak pakai telefon biasa yang takde tenet tu dan belikan nombor baru sebab ayah takut mak contact Badrul.

Aku ingat semua tu berakhir dekat situ. Tapi mak masih contact dengan Badrul. Masa tu aku tahu aku dah tak boleh ambil ringan masalah ni. Aku cuba rapat dengan mak. Keluar sama – sama dengan mak, bawa mak pergi jalan – jalan. Aku pura – pura sokong apa yang mak buat tentang Badrul.

Tujuan aku cuma satu, nak korek semua pasal Badrul. Mak mula berkongsi tentang dia dengan aku. Tempat tinggal Badrul, nombor telefon dia, semua mak cerita. Bila aku dah tahu semua pasal Badrul, aku cari dia. Aku intip dia. Aku ekori semua gerak geri dia sampai aku tahu semua jadual dia. Bila dia lepak dan hisap dadah dengan kawan – kawan dia.

Aku nekad nak jauhkan Badrul daripada mak. Masa dia tengah khayal, aku telefon AADK. Lama juga Badrul menghilangkan diri. Jenuh mak mengadu dekat aku. Mak cari dia tak jumpa. Aku pura – pura tak tahu sedangkan aku tahu Badrul dah kena tangkap.

Aku ingat masalah dah selesai. Tapi bila aku balik kolej, aku dapat tahu Badrul dah keluar dan dia cari mak semula. Sampai sekarang mak masih contact dengan dia. Dah banyak kali aku tegur, tapi mak tetap buat jugak. Harap para pembaca boleh bagi pendapat macam mana nak jauhkan Badrul daripada mak. Harap janganlah maki atau cakap tak elok pasal mak aku. Sebab aku sayang sangat dekat mak. Cuma aku dah buntu nak selesaikan masalah ni.

Komen Netizen :

Aeliyana Isman : Kena bagitahu ayah. Lepas tu cakap dekat mak, kisah dulu ayah yang dah lepas tu biarlah lepas. Ayah pun dah tak buat lagi. Mak nak jadi apa? Jangan kerana mak, awak tak cium bau syurga. Awak kena duduk sekali dengan mak dan ayah. Semoga awak terus kuat dan bertabah.

Putri Damia Sofea : Teruk betul angau mak kau ni. Macam ni dik, nasihatlah mak kau tu baik – baik dan lembut lembut. Cakap elok – elok dengan dia. Orang tengah angau ni sekali tegur memang susah nak terima. Cakap dekat dia, apa yang ayah kau buat dulu tu lupakanlah.

Dalam masa yang sama nasihat juga ayah kau supaya lebih banyak luangkan masa dengan mak. Bagi mak rasa dia masih dihargai. Mungkin bila ayah kau dah banyak luangkan masa dengan mak, dia boleh lupakan lelaki tu. Sambil – sambil tu teruskan nasihat mak. Cakap dekat mak, syurga seorang isteri ada pada suaminya. Jagalah rumah tangga tu sebaiknya.

Dah baca, jangan lupa komen dan share ya. Terima kasih! Hantar kisah anda di sini -> https://hai.mehbaca.com/submit/

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :