
Adik beradik suami yang lain, 9 orang semuanya, tiada yang membantu dari segi kewangan mahupun tenaga. Saya perlu uruskan 4 orang anak, kerja rumah, jaga mak mertua dan pada masa yang sama menjaga adik mak mertua yang kurang upaya.
#Foto sekadar hiasan / AI. Assalamualaikum. Saya nak minta pendapat, pandangan serta motivasi daripada rakan-rakan. Pertama sekali, mohon admin hidekan profile saya. Terima kasih admin. Saya seorang suri rumah tangga sepenuh masa dengan 4 orang anak yang saya uruskan, hantar, ambil dan jaga sendiri.
Suami saya bekerja swasta dengan pendapatan B40, cukup – cukup makan dan ada kalanya tidak mencukupi. Suami mempunyai 10 orang adik beradik. 3 orang tinggal di luar kawasan dan 7 orang lagi tinggal dalam kawasan yang berhampiran.
Hampir 3 tahun saya diminta untuk menjaga mak mertua apabila anak yang tinggal bersamanya pergi bekerja. Mak mertua tidak boleh duduk seorang diri kerana faktor kesihatan yang semakin uzur. Jadi memang saya yang perlu menjaga kerana saya menantu yang tidak bekerja.
Anak – anak mak mertua yang lain, lelaki mahupun perempuan, semuanya bekerja. Saya redha sebab pada masa itu saya rasa tiada pilihan lain. Baru – baru ini saya minta izin daripada suami untuk keluar bekerja kerana anak – anak semakin membesar dan semakin banyak perbelanjaan yang diperlukan.
Maaf, saya memang tidak mahir untuk berniaga sebab bukan bidang saya. Jadi janganlah suruh saya berniaga untuk bantu suami. Saya memilih untuk bekerja kerana saya mahu ada caruman KWSP dan PERKESO yang boleh membantu menjamin masa depan saya dan anak – anak.
Tetapi baru – baru ini, mak mertua pula minta saya untuk menjaga adik mertua yang kurang upaya kerana penjaga asal ada urusan yang tidak dapat dielakkan. Jadi saya pula perlu menjaga mak mertua dan adik mak mertua tersebut. Suami minta saya tolong dia sebab dia bekerja.
Akhirnya usaha saya untuk keluar bekerja tidak berhasil. Suami minta saya bersabar walaupun keadaan kewangan kami memang tidak mencukupi. Sekarang saya perlu uruskan 4 orang anak, kerja rumah, jaga mak mertua dan pada masa yang sama menjaga adik mak mertua yang kurang upaya.
Mak mertua dan adiknya berada di rumah saya pada waktu siang. Makanan saya yang masak dan hidangkan. Adik mak mertua yang OKU pula memerlukan perhatian ketika ke tandas. Saya perlu bantu bersihkan selepas buang air kecil atau besar kerana takut tidak bersih. Katil pula perlu dilapik plastik kerana takut terk3ncing atau terber4k.
Saya bukan tidak ikhlas membantu. Tetapi saya penat. Adik beradik suami yang lain, 9 orang semuanya, tiada yang membantu dari segi kewangan mahupun tenaga, kecuali kakak yang memang duduk bersama mak mertua. Saya rasa kecewa kerana beban menjaga seolah – olah jatuh atas saya seorang.
Apa yang lebih membuatkan saya sedih, suami sendiri tidak mahu berbincang dengan adik beradiknya yang lain mengenai perkara ini. Saya tidak tahu apa yang perlu saya buat lagi. Apa yang saya patut lakukan untuk menjaga mental dan fizikal saya sendiri?
Saya sedih dan kecewa, tetapi saya tidak mampu meluahkan semuanya kerana saya tahu akhirnya mungkin akan berlaku perg4duhan. Pada pendapat rakan – rakan semua, kalau anda berada dalam situasi saya, apa yang anda akan lakukan? Apa tindakan yang patut saya ambil?
Maafkan saya. Bukan saya berkira. Cuma kadang – kadang saya rasa terlalu penat sampai terfikir, “Berbaloi ke semua ini?” Pasti ada yang akan suruh saya bersabar. Kalau sabar boleh dibeli, saya nak beli 1,000 kali. Saya cuma manusia biasa. Saya ada batas tenaga dan emosi.
Saya mahu menjaga keluarga, anak – anak dan orang tua dengan baik, tetapi dalam masa yang sama saya juga perlukan ruang untuk menjaga diri sendiri. Saya tidak mahu menjadi menantu yang dianggap tidak mahu membantu. Saya cuma berharap tanggungjawab ini dapat dibahagikan dengan lebih adil kerana mak mertua bukan tanggungjawab seorang anak atau seorang menantu sahaja.
Kalau ada yang pernah melalui situasi yang sama, saya sangat hargai pandangan dan pengalaman anda. Kalau ada yang mahu menegur atau mengkritik, saya terima dengan hati terbuka. Saya sedar tidak semua orang melalui apa yang kita lalui, jadi mungkin tidak semua orang dapat memahami keadaan sebenar.
Saya cuma berharap ada kata-kata yang boleh membantu saya tenang dan kuat semula. Terima kasih kepada admin kerana sudi siarkan luahan saya. Semoga ada jalan keluar yang baik untuk saya, suami, anak-anak, mak mertua dan keluarga kami. Assalamualaikum.
Komen netizen :
Rina Sulaiman : Suruh suami cuti seminggu. Uruskan 2 w4rga emas tu termasuk 4 orang anak. Puan jangan duduk dalam rumah. PergiIah ke mana – mana atau cari kerja, balik rumah sama macam suami puan balik kerja. Jangan ambil tahu sedikit pun urusan rumah. Lepas seminggu ajak suami berbincang.
LaaZahra Kosmetik KB : Menantu tak wajib menjaga mertua, hanya wajib hormat. Ketika menantu ditugaskan menjaga mertua, suami atau adik beradik suami wajib membayar upah kepada menantu atas persetujuan menantu tu. Dan tiada paksaan untuk menantu tetap berkhidmat untuk mertuanya. By the way, menantu yang sanggup menjaga mertua tanpa upah dengan kerelaannya akan mendapat pahala yang besar di sisi Allah. Ni yang aku faham dari sudut agama tentang kes begini.
Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini
PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.