Aku buat pinjaman untuk bisnes suami, dia ambik semua gaji aku, hanya bagi aku RM5 sehari. Bila tahu suami ada skandal, aku pergi bank

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

Suami kawal duit gaji aku dan hanya bagi duit belanja sebanyak RM5 sehari, macam aku budak kecik. Aku juga dikawal sehinggakan kalau nak telefon mak sendiri pun, aku kena call di sebelah dia. Dia takut aku mengadu perkara yang bukan – bukan.

#Foto sekadar hiasan / AI. Assalamualaikum semua. Sebenarnya aku pernah siarkan kisah aku ni di dua blog, tapi tiba – tiba kisah ni tak dapat dijumpai. Aku percaya keluarga bekas suami aku punya angkara, mungkin mereka buat laporan sampai kisah tu disekat.

Aku bukan nak mencari publisiti atau meraih simpati daripada sesiapa. Aku cuma nak berkongsi apa yang berlaku dalam hidup aku dan berharap bekas suami aku bertanggungjawab dalam soal nafkah anak – anak kami. Aku melayari alam rumah tangga selama lapan tahun sebelum rumah tangga kami musnah disebabkan oleh masalah kewangan.

Aku bukannya mata duitan, tapi sepanjang menjadi isteri Zul, aku terlalu banyak berkorban wang ringgit untuk dia. Aku masih ingat ketika Zul mendapat kerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah hospital swasta. Kami sama – sama ketawa apabila akhirnya dia pulang ke rumah kerana tak sanggup bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Dia malu memakai uniform berwarna putih dan bertopi. Zul sering bertukar – tukar kerja. Selepas kelahiran anak kedua kami, dia terus berhenti kerja kerana bergaduh dengan bos. Selama enam bulan dia menganggur sebelum menyuarakan hasrat untuk membuka perniagaan sendiri.

Aku setuju kerana aku tahu sifatnya yang panas baran menyebabkan dia susah nak bekerja di bawah orang. Disebabkan tu, aku terpaksa membuat pinjaman untuk dijadikan modal permulaan perniagaannya. Alhamdulillah, kedai pertamanya mula bertapak di sebuah bangunan kerajaan di Meru, Ipoh.

Aku sangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kemewahan menyebabkan Zul lupa bahawa akulah isteri yang sanggup bersusah senang bersamanya. Dia mula alpa dan jatuh cinta dengan seorang pegawai diplomatik yang lebih tua daripadanya.

Aku jatuh terduduk ketika mendapat perkhabaran tu. Namun anehnya, aku masih merestui hubungan mereka kerana sanggup mempertahankan rumah tangga demi anak – anak. Tapi jodoh tu kuasa Allah dan perkahwinan kami tetap terlerai juga.

Zul melafazkan talak ketika aku tak nak lagi membuat pinjaman untuknya. Aku rasa cukuplah selama ni aku menyokong perniagaannya sehingga dia mampu berdiri gah dengan tiga buah pasar mini. Sebulan sebelum dia melafazkan talak, dia pernah naik angin apabila tak dapat mengeluarkan duit gaji aku.

Aku dah pergi ke bank lebih awal dan memberitahu pihak bank bahawa kad ATM aku hilang. Sebenarnya kad ATM tu dipegang oleh Zul. Dia mengawal duit gaji aku dan hanya memberikan duit belanja sebanyak RM5 sehari, seolah – olah aku ni anak kecil yang masih bersekolah.

Kehidupan aku juga dikawal sehinggakan kalau nak telefon mak sendiri pun, aku perlu melakukannya di sebelah dia. Dia takut aku mengadu perkara yang bukan – bukan tentang dirinya. Namun, ada juga baiknya Zul kerana dia sanggup memenuhi apa yang aku nak.

Aku tak ada masalah kalau tiba – tiba teringin nak tukar beg tangan atau membeli set Tupperware baru. Pendek kata, dia tak lokek dalam berbelanja. Tapi mak aku pernah cakap, memanglah Zul mampu membeli semua tu dan membawa aku makan di tempat – tempat yang hebat kerana duit gaji aku sendiri berada dalam tangannya.

Akhirnya Zul berkahwin lain, tetapi bukan dengan pegawai diplomatik tersebut. Menurut mama Zul, dia memang tak merestui hubungan Zul dengan pegawai tu. Selepas kami berpisah, Zul langsung tak memberikan nafkah. Selama tiga tahun dia menyepi tanpa berita, tetapi sepanjang tempoh tu aku masih membawa anak – anak berjumpa dengan keluarganya.

Sehinggalah suatu hari aku berjaya menghubungi Zul dan meminta dia bertanggungjawab kerana nafkah anak – anak wajib ke atas dirinya. Aku tak faham kenapa dia terlalu berdendam dengan aku sehingga tak nak memulangkan kereta Honda Accord yang aku beli menggunakan nama aku sendiri.

Alasan Zul, kereta tu untuk kegunaan anak – anak. Sedangkan kereta tu didaftarkan atas nama aku dan aku berhak menentukan apa yang aku nak buat dengannya. Dia sengaja membiarkan nama aku disenaraihitamkan. Zul juga pernah memperdayakan aku supaya mengeluarkan duit KWSP untuk membeli kereta Kelisa secara tunai menggunakan namanya.

Ketika tu aku menurut sahaja kerana terlalu sayangkan dia. Dia pula dengan bangganya bergaya menggunakan segala aset yang dibeli dengan hasil titik peluh aku. Aku pernah meminta pihak bank menarik semula kereta Honda tersebut.

Malangnya, pihak bank tak dapat menarik kereta tu kerana sebanyak 75 peratus pinjaman dah dibayar. Aku juga pernah membuat laporan polis, tetapi polis memberitahu bahawa perkara ni merupakan masalah keluarga. Kesudahannya, sampai sekarang aku tak tahu apa yang berlaku kepada kereta aku tu.

Apabila aku meminta Zul memulangkan kereta Kelisa, dia hanya berkata kereta tu atas namanya. Sedangkan dia dan aku sama – sama tahu kereta tu dibeli sepenuhnya menggunakan duit aku. Dua buah kereta milik aku masih berada dalam tangan Zul.

Aku tahu dia bahagia bersama isteri baru dan anak – anak mereka. Tapi dia sepatutnya sedar bahawa anak – anaknya bukan dua orang sahaja, sebaliknya empat orang termasuk anak – anak kami. Dia sepatutnya berlaku adil dalam soal nafkah semua anak – anaknya.

Namun, Zul pernah sengaja menghantar gambar kereta Volkswagen baharunya melalui WhatsApp sempena hari lahirnya pada 15 Januari, seolah – olah nak menyakitkan hati aku. Dia juga sengaja menghina aku dengan mengatakan aku tak mampu menyara anak – anak kami.

Semua tu hanya kerana aku sering mengingatkan dia supaya tak culas menjalankan tanggungjawab memberikan nafkah. Setiap kali diminta memberikan nafkah, Zul akan memberikan pelbagai alasan. Kadang-kadang dia cakap perniagaannya tak maju, kedai tutup kerana tukang masak pulang ke Thailand dan dia dimasukkan ke hospital. Ada sahaja alasan yang diciptanya.

Nafkah anak – anak merupakan tanggungjawab seorang bapa kandung. Kalau bapa kandung tak mampu, tanggungjawab tu boleh berpindah kepada datuk atau saudara lelaki di sebelah bapanya. Aku berharap seluruh keluarga Zul sedar bahawa masih ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan terhadap anak – anak kami.

Alhamdulillah, anak – anak kami sekarang masing – masing dah berusia 14 dan 12 tahun. Zul tak sepatutnya menuduh aku menghasut mereka. Anak – anak menjadi tawar hati kerana sikapnya sendiri. Dia tak pernah berusaha untuk menelefon anak – anak sedangkan dia tahu nombor telefon aku.

Dia juga tak pernah cuba melawat mereka walaupun tahu tempat tinggal mak aku. Sepatutnya dia mengetepikan ego demi kebahagiaan anak – anak. Dah tujuh tahun kami berpisah, tetapi perasaan marah Zul terhadap aku masih belum hilang sehingga anak – anak menjadi mangsa.

Aku pelik kenapa dia terlalu berdendam dengan aku sedangkan dialah yang menganiaya hidup aku dan anak – anak. Walaupun sampai sekarang aku masih membayar hutang perniagaannya sebanyak RM2,500 sebulan, alhamdulillah masih ada rezeki untuk aku membesarkan anak – anak.

Aku tak pernah menghalalkan hutang nafkah dan hutang perniagaannya. Aku tak pernah menetapkan berapa jumlah yang perlu dibayar oleh Zul setiap bulan kerana aku faham dia juga mempunyai komitmen lain. Tapi sayangnya, dia tetap culas dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa.

Umur kami semakin meningkat dan anak – anak pula semakin membesar. Aku rasa sangat menyedihkan kalau suatu hari nanti anak – anak aku yang perlu menguruskan harta Zul sekiranya ajal menjemputnya lebih awal. Anak – anak kami ialah anak lelaki dan mereka lebih tua daripada anak lelakinya bersama isteri baru.

Aku berharap isteri baharu Zul tak menerima nasib yang sama seperti aku. Aku ditinggalkan hanya kerana tak nak membuat pinjaman lagi untuk suami. Aku juga berharap isterinya tak terlalu mempercayai Zul seperti yang pernah aku lakukan dan mampu mengubah sikapnya.

Aku berharap isterinya dapat menasihati Zul supaya sedar bahawa nafkah anak – anak adalah wajib. Sebagai seorang kakak, aku juga nak menasihatinya supaya jangan sesekali terpedaya dengan janji manis suami sekiranya dia meminta barang kemas digadaikan atau memujuknya membuat pinjaman.

Buat semua pembaca, aku berharap kalian dapat mendoakan semoga aku terus diberikan kekuatan untuk membesarkan dan mendidik anak – anak. Doakanlah kebahagiaan kami sekeluarga dan semoga bekas suami aku sedar akan tanggungjawab yang masih perlu dilunaskan.

Hantar kisah anda di sini -> https://hai.mehbaca.com/submit/

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5124 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.