Arwah ayah tinggal harta 30 ekar tanah, 5 buah rumah sewa dan banyak aset lain. Semua mak aku ambil dan letak nama dia. Anak-anak tak dapat 1 sen

Mak kata semua kena letak nama dia sebab arwah ayah pesan supaya harta tu letak nama dia. Sebelum perbicaraan, mak aku dah buat drama air mata dengan anak – anak. Siap ungkit susah dia besarkan kami semua. Kami anak – anak setiap bulan kena paksa bagi duit RM300 setiap bulan..

#Foto sekadar hiasan. Ayah aku meninggal dunia pada tahun 2023, mak aku masih sihat alhamdulillah. Minggu lepas baru selesai perbicaraan untuk pembahagian harta arwah ayah. Sampai sekarang aku masih terfikir tentang apa yang berlaku sebab benda ni bukan sekadar pasal harta, tapi melibatkan hati anak – anak dan hubungan kami adik beradik dengan mak sendiri.

Kami ada 5 beradik, 3 lelaki dan 2 perempuan. Ayah aku ada lebih 30 ekar tanah, rumah sewa ada 5 buah dan banyak lagi aset lain. Tapi mak aku ambil semua harta ayah dan letak nama dia. Dekat yang bongsu je mak bagi kereta arwah ayah, sebuah rumah sewa dan 2 bidang tanah.

Kami 4 beradik yang lain, 1 sen pun tak dapat. Tak apa lah mak, kami redha kalau dah harta jadi ukuran. Mak kata semua kena letak nama dia sebab arwah ayah pernah pesan supaya harta tu letak nama dia. Kami 4 beradik ni mungkin tak layak kut nak terima harta arwah.

Itu pun pesan mulut je lah. Kami tak pernah nampak apa – apa wasiat daripada arwah ayah. Tak ada dokumen yang kami tahu pun. Tapi sebab mak kata arwah pernah pesan macam tu, kami tak nak bergaduh dan pertikaikan benda tu panjang – panjang.

Sebelum perbicaraan tu, mak aku dah buat drama air mata dengan anak – anak. Siap ungkit susah dia besarkan kami semua. Dia cerita macam – macam pengorbanan dia dari kami kecil sampai dah besar, seolah – olah kalau kami ambil sedikit daripada harta arwah ayah, kami ni macam anak yang tak kenang jasa.

Lepas tu dia kata dia ni susah. Kalau anak anak ambil harta arwah ayah, macam mana mak nak survive. Sedangkan mak aku ada pencen setiap bulan. Kami semua tahu mak bukan hidup tanpa duit langsung, tapi bila dia cakap macam tu, kami jadi serba salah juga.

Last – last kami adik beradik merajuk sikit lah. Bukan sebab kami nak sangat harta tu, tapi sebab cara benda ni berlaku buat kami terasa. Abang sulung akhirnya cakap, “Ok lah mak, mak ambil semua.” Lepas tu kami semua diam. Kami tak nak disebabkan harta, kita semua bergaduh dan bermasam muka.

Harta dunia ni kami cari sendiri lah. Tak perlu berebut harta orang tua. Kalau kami dapat, alhamdulillah. Kalau tak dapat pun, kami masih boleh bekerja dan cari rezeki sendiri. Cuma yang buat aku terkilan, mak aku macam lebih memikirkan si bongsu.

Mak bagi dia kereta arwah ayah, rumah sewa dan 2 bidang tanah. Kami yang lain tak dapat apa – apa, tapi kami tetap kena fikirkan mak setiap bulan. Mak aku ada pencen, tapi duit dia banyak habis dekat si bongsu. Umur dah 25 tahun tapi masih tak kerja. Harapkan duit orang bagi je.

Hidup si bongsu ni aku tengok memang mewah betul, sedangkan kami yang lain masing – masing ada keluarga dan komitmen sendiri. Kami pulak tiap bulan kena paksa bagi duit RM300 seorang dekat mak. Sebab mak kata arwah ayah dah tak ada.

Jadi anak – anak kena tanggung dia. Kalau tak bagi duit, dia kata derhaka. Hmmm, kadang – kadang kami jadi tak tahu nak jawab apa. Bukan kami tak nak bagi mak duit. Selagi kami mampu, kami bagi. Tapi bila dalam masa yang sama mak ambil semua harta arwah ayah dan sebahagian besar harta tu pula diberi kepada adik bongsu, kami yang lain tetap diminta keluarkan duit setiap bulan, memang ada rasa terkilan.

Kadang – kadang aku terfikir juga, kenapa kami yang lain macam kena pikul tanggungjawab yang sama, sedangkan si bongsu yang paling banyak menerima harta masih belum bekerja. Kalau mak perlukan duit untuk makan, bil atau keperluan harian, kami tak pernah berkira sangat.

Tapi bila duit yang kami bagi tu macam digunakan untuk menampung hidup anak yang dah dewasa dan masih tak mahu bekerja, hati ni memang sakit juga. Kami bukan nak ungkit apa yang kami bagi. Cuma penat bila benda yang sama berlaku setiap bulan.

Ada satu lagi perkara yang sampai sekarang aku masih teringat. Masa arwah ayah meninggal, mayat belum dikebumikan lagi. Mak aku dah sibuk kira duit sedekah yang orang bagi. Aku masa tu masih dalam keadaan terkejut dan sedih, tapi mak boleh duduk kira duit satu persatu.

Yang buat aku lagi terkilan, mak langsung nampak macam tak sedih. Siap boleh gelak – gelak lagi dengan orang yang datang. Sampai ada saudara yang tegur, “Mak kau ni lain macam happy, macam kenduri kahwin.” Aku masa tu diam je. Aku tak tahu nak jawab apa.

Dalam hati memang terasa pelik sebab suami baru meninggal, tapi keadaan sekeliling macam tak menunjukkan suasana orang baru kehilangan pasangan hidup. Mungkin setiap orang cara dia menghadapi kematian berbeza. Aku cuba fikir macam tu supaya aku tak terlalu buruk sangka dekat mak sendiri.

Tapi sebagai anak, benda yang kita nampak depan mata memang susah nak buang daripada fikiran. Mak aku ni memang jenis berkira sebenarnya. Dari dulu lagi kalau bab duit, dia akan ingat siapa bagi berapa, siapa tak bagi dan siapa yang selalu datang bantu dia.

Sebab tu bila sekarang dia minta kami semua bagi RM300 setiap bulan, kami cuba ikut walaupun kadang – kadang keadaan masing – masing pun bukan senang. Pernah satu masa, salah seorang daripada kami lambat bagi duit sebab ada komitmen sendiri.

Terus mak persoalkan kenapa duit tak masuk macam biasa. Masa tu memang terasa juga sebab kami ni bukan tak nak bagi, cuma ada masa tertentu kami sendiri tengah banyak benda nak kena bayar. Aku dan adik beradik lain pernah bincang sesama sendiri.

Kami tak nak mak tahu sangat sebab takut nanti dia kata kami mengumpat atau menghasut sesama sendiri. Kami cuma cuba faham keadaan masing – masing dan cari jalan supaya hubungan adik beradik tak rosak sebab isu harta. Abang sulung pun dah pesan, jangan ada siapa yang bergaduh dengan mak sebab tanah dan rumah.

Kalau mak nak semua, biarlah. Kami masih ada tangan untuk bekerja, masih ada keluarga dan masih ada rezeki masing – masing. Betul juga cakap abang. Harta yang kita berebut hari ni, satu hari nanti tetap tinggal. Rumah, tanah, kereta, duit dan semua aset tu takkan ikut kita masuk kubur. Yang kita bawa cuma amal dan apa yang kita buat sepanjang hidup.

Cuma sebagai anak, aku tetap kecewa. Bukan sebab tak dapat harta. Aku kecewa sebab rasa macam kasih sayang dan layanan dalam keluarga ni dah mula diukur berdasarkan siapa yang dapat lebih dan siapa yang dapat kurang. Aku tak nak sampai satu hari nanti kami adik beradik terus tak bercakap sebab isu ni. Kami dah besar. Masing – masing dah ada kehidupan sendiri.

Aku tak sanggup kalau anak – anak kami nanti membesar dalam keadaan pakcik makcik mereka bermasam muka hanya sebab harta peninggalan datuk mereka. Aku pun tak nak anak – anak aku belajar daripada kami bahawa bila orang tua meninggal, perkara pertama yang difikirkan ialah siapa dapat rumah, siapa dapat tanah dan siapa dapat duit.

Bagi aku, yang paling penting masa tu sepatutnya keluarga berkumpul dan saling menguatkan. Takpe lah kan. Harta dunia tak boleh bawa masuk kubur. Cuma kecewa sikit lah dengan perangai tu. Nak buat macam mana, mak tu satu je.

Walaupun banyak benda yang buat hati aku sakit, aku tetap tak sanggup buang mak daripada hidup aku. Aku cuma berharap satu hari nanti mak boleh nampak apa yang berlaku dari sudut kami sebagai anak. Kami bukan nak lawan dia.

Kami bukan nak rampas harta dia. Kami cuma nak layanan yang adil dan nak hubungan adik beradik kekal baik. Aku pun cuba pujuk diri sendiri supaya jangan terlalu fikir. Kalau memang rezeki kami bukan melalui harta arwah ayah, mungkin Allah nak bagi melalui jalan lain. Aku percaya rezeki setiap orang dah ada bahagian masing masing.

Redha tu bukan bermaksud aku tak sedih. Aku tetap manusia biasa, ada hati dan ada perasaan. Cuma aku tak nak simpan dendam dekat mak sampai tua. Aku lebih rela lepaskan harta daripada kehilangan hubungan keluarga. Aku hanya mampu berdoa semoga Allah buka hati mak aku.

Semoga mak diberikan kesihatan yang baik, dipanjangkan umur dalam keadaan tenang dan satu hari nanti kami semua boleh duduk bersama tanpa ada rasa kecil hati. Aku pun doa semoga adik bongsu aku sedar bahawa hidup ni tak selamanya boleh bergantung dekat orang. Dia dah 25 tahun. Aku harap satu hari nanti dia ada usaha untuk berdikari dan tak terlalu bergantung dekat mak.

Maaf kalau cerita aku ni buat ada yang tak selesa. Aku cuma nak luah apa yang terbuku dalam hati. Aku tak nak nama siapa siapa disebut dan aku tak nak sesiapa bergaduh atau menghukum mak aku. Aku cuma minta doa daripada sahabat sahabat geng suri rumah semua, doakan supaya dipermudahkan segala urusan kami adik beradik. Doakan hati kami semua lembut, tak simpan dendam dan tak putuskan silaturahim hanya kerana harta dunia.

Aku cuma nak satu benda. Bila sampai masa nanti, biarlah kami semua masih boleh panggil satu sama lain sebagai adik beradik. Harta boleh hilang, tanah boleh berpindah tangan dan duit boleh habis. Tapi kalau keluarga dah berpecah, bukan senang nak kumpulkan balik.

Komen netizen :

Fatihah Jasni Abd : Puan, saya belum lagi experience bagi duit pada parents sebab saya baru habis belajar dan parents masih bekerja. Tapi saya ada experience dari parents saya layan arwah nenek. Nenek saya ni berduit, bulanan dapat 3k – 5k.

Jadinya anak – anak memang tak bagi duit belanja sebab bukan tanggungjawab anak bagi duit pada ibu bapa yang bukan fakir miskin. Tapi, tanggungjawab bawa dia checkup ke, happykan bawa jalan – jalan, ziarah, belanja makan/pakaian tu anak – anak akan buat. Jadinya, tak perlu bebankan diri dengan bagi duit sedangkan ibu awak berduit. Berbakti cara lain. Banyak dah ustaz pesan.

Wan Maznah Wan Ali : Bagus luahan anda, kita yang hidup jadi pedoman.. harta dunia, kalau itu hak kita, memang hak kita. Campur tangan seorang mak memang tak betul, itu harta pusaka dari ayah untuk anak – anak. Isteri hanya dapat 1/8 dari harta tu.

Kalau mak buat drama airmata untuk bolot semua harta, itu haram. Berdosa ambil, walaupun kamu ibu. Gertak derhaka, airmata itu tidak anak -anak beri. Tambah berdosa seorang ibu. Di hujung usia, seorang ibu jangan lah menambah – nambah lagi dosa, jangan tamak dengan merebut yang tak sepatut hak. Hidup la tenang – tenang, dekat diri dengan Allah, bahagiakan diri melihat anak – anak cucu – cucu bahagia, berjaya di dunia sebelum kita di jemput Ilahi.

Jenengku Fauziah Apandi : Alhamdulillah, korang 4 beradik memang insan yang Allah pilih untuk diuji. Reaction korang memang priceless. Percayalah, Allah dah atur harta yang lebih baik untuk korang. InsyaAllah dapat zuriat yang hebat masa depannya. Rezeki yang tidak disangka – sangka. Sabar korang Allah pandang. Tu yang penting.

Hantar kisah anda di sini -> https://hai.mehbaca.com/submit/

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :