Dah setahun bercerai, aku dah nak kahwin dengan lelaki lain tiba-tiba dapat surat mahkmah. Bekas suami kata kami dah rujuk. Menggigil tangan aku

Bila bekas suami tahu yang aku nak kahwin, dia mula kacau aku. Dia ajak kahwin dengan dia, janji macam – macam. Dia bagi hadiah, dia gunakan anak. Satu malam aku dapat mesej, “kalau aku tak dapat kau, orang lain pun takkan dapat!” Kemudian, aku dapat surat dari Mahkamah Syariah. 

#Foto sekadar hiasan. Masa mula – mula aku baca WhatsApp tu, aku ingat dia cuma nak ugut aku sebab tak puas hati. Aku tak sangka beberapa hari lepas tu, aku terima pula surat dari Mahkamah Syariah. Bila buka dan baca isi surat tu, tangan aku terus menggigil.

Bekas suami aku failkan kes pengesahan rujuk. Yang buat aku lagi terkejut, dia kata kami dah rujuk semasa aku masih dalam tempoh iddah. Masalahnya, aku langsung tak pernah rujuk dengan dia. Aku dah bercerai dengan dia lebih kurang setahun sebelum kejadian ni.

Tempoh iddah pun dah lama habis. Aku dah cuba bina hidup baru dan masa tu aku memang tengah buat persiapan untuk berkahwin dengan seorang lelaki yang aku rasa jauh lebih baik daripada bekas suami aku. Sebab tu agaknya dia mula tak senang duduk. Bila dia tahu aku bakal berkahwin dengan lelaki lain, dia tiba – tiba berubah. Dia mula mesej aku macam – macam, katanya dia dah berubah dan menyesal.

“Abang dah berubah.”

“Abang menyesal.”

“Bagi abang peluang sekali lagi.”

Aku tak balas satu pun. Sebab aku dah kenal perangai dia. Masa kami masih suami isteri dulu, dia yang curang dan banyak kali aku cuba bertahan, tapi akhirnya aku sendiri yang penat. Bila WhatsApp tak dilayan, dia mula datang tempat kerja aku.

Kadang – kadang dia hantar bunga, kadang – kadang coklat dan ada masa dia tinggalkan hadiah dekat kaunter. Aku ambil pun bukan untuk aku, aku bagi dekat staff lain. Aku tak nak bagi dia harapan yang aku masih ada perasaan. Aku dah buat keputusan untuk teruskan hidup aku.

Aku ingatkan bila dia nampak aku tak layan, lama – lama dia akan berhenti. Tapi aku silap. Lepas tu dia mula gunakan anak – anak pula. Anak – anak kami tinggal dengan nenek di kampung dan selama ni pun aku yang banyak tanggung keperluan mereka.

Setiap bulan aku akan hantar duit untuk makan minum, sekolah dan macam – macam keperluan. Bekas suami aku sebelum ni jarang sangat ambil tahu. Tapi tiba – tiba bila aku nak berkahwin, dia bawa anak – anak datang ke rumah aku. Katanya nak pujuk aku.

Aku masa tu dah mula rasa tak sedap hati. Aku cakap dekat dia, “Kita dah berakhir. Aku dah tak nak ulang balik hidup yang dulu. Tolong hormat keputusan aku.” Tapi dia tetap tak puas hati. Sampailah satu malam, masuk satu WhatsApp daripada dia.

“KALAU AKU TAK DAPAT KAU, ORANG LAIN PUN TAKKAN DAPAT.” Aku baca banyak kali. Terus rasa seram dan gelisah. Aku screensh0t mesej tu dan simpan sebab dalam hati aku rasa macam dia mungkin akan buat sesuatu. Tapi aku langsung tak sangka langkah seterusnya dia lagi jauh.

Beberapa hari kemudian, aku terima surat dari Mahkamah Syariah. Aku ingatkan mungkin ada masalah berkaitan anak – anak. Rupanya bukan. Dia dakwa kami dah rujuk semula semasa aku masih dalam iddah. Aku tergamam dan dalam kepala aku cuma terfikir, bila masa pula aku rujuk dengan dia?

Dalam saman dan pernyataan tuntutan tu, dia siap letakkan bukti. Ada resit check-in hotel, ada tangkap layar WhatsApp yang kononnya menunjukkan aku dah terima lafaz rujuk. Siap ada surat akuan sumpah yang mendakwa kami dah rujuk pada tarikh tertentu dengan rela hati.

Aku tengok semua tu memang rasa macam tak percaya. Aku terus cari dia dan tanya, “Apa benda semua ni? Bila masa kita rujuk? Kau jangan tipu Mahkamah.” Aku cuba pujuk dia supaya tarik balik tuntutan tu sebab tarikh perkahwinan aku dengan bakal suami baru dah makin dekat.

Tapi dia tetap dengan pendirian dia. Dia kata dia cuma nak aku kembali. Masa tu aku betul – betul takut sebab aku tak tahu apa yang akan jadi pada rancangan perkahwinan aku. Aku pula memang tak tahu sangat pasal prosedur Mahkamah Syariah.

Aku ingatkan pergi Mahkamah nanti, aku cerita apa yang sebenarnya berlaku, habis cerita. Jadi bila tiba hari sebutan, aku datang seorang diri. Bekas suami aku pula datang dengan penuh yakin. Siap bawa saksi. Aku masa tu dalam hati tertanya – tanya, saksi apa? Dari mana dia dapat saksi yang kononnya tahu kami dah rujuk?

Tapi aku tak tahu nak buat apa. Aku tak bawa peguam dan aku tak tahu macam mana nak jawab dakwaan dia dengan betul. Aku cuma mampu nafikan apa yang aku tahu tak pernah berlaku. Akhirnya, berdasarkan keterangan dan sumpah syarie yang diberikan, Mahkamah mensabitkan bahawa kami masih suami isteri dan rujuk itu sah. Aku keluar dari Mahkamah dengan kepala yang serabut dan fikiran yang bercelaru.

Belum sempat aku jauh, bekas suami aku datang dekat aku. Dia senyum dan tepuk tangan sambil cakap perlahan, “Aku sanggup buat apa saja, termasuklah bersumpah dalam Mahkamah demi dapatkan kau balik. Puas hati aku.” Masa tu baru aku sedar.

Aku bukan sekadar berdepan dengan orang yang tak boleh terima perpisahan. Aku berdepan dengan seseorang yang sanggup pergi sejauh itu sebab dia tak nak tengok aku hidup dengan orang lain. Dan yang paling aku kesalkan sampai sekarang, aku datang ke Mahkamah seorang diri.

Aku tak cari peguam syarie dan aku tak betul – betul faham hak aku serta prosedur yang sepatutnya. Aku ingatkan dengan bercakap benar saja semuanya akan selesai. Sekarang aku cuma mampu fikir, kalaulah masa tu aku dapatkan bantuan orang yang betul dan faham tentang prosedur Mahkamah, mungkin banyak perkara boleh jadi berbeza.

Aku cuma nak tanya, kalau korang berada di tempat aku, apa korang akan buat? Dan kepada sesiapa yang pernah berbohong dalam Mahkamah demi kepentingan diri sendiri, bertaubatlah. Mahkamah bukan tempat untuk kita reka cerita sesuka hati. Apa pun alasan kita, kalau kita sengaja bercakap tak benar demi mendapatkan apa yang kita nak, itu tetap satu perkara yang serius dan salah di sisi syarak.

Hantar kisah anda di sini -> https://hai.mehbaca.com/submit/

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :