Dulu masa aku kerja bank, mak kemain sayang aku. Bila aku tak kerja, tak berduit, aku makan kedai mak, mak suruh bayar, malukan aku depan pelanggan lain

Lepas aku berhenti kerja, layanan keluarga terus berubah. Bila jumpa je cakap aku selekeh, tak reti cara kerja. Satu hari aku makan nasi goreng dekat kedai mak. Aku tak bawa cash, suami pulak keluar. Depan pelanggan lain, mak perli aku makan percuma, suruh bayar..

#Foto sekadar hiasan. Perkenalkan, aku Lia, berumur awal 30 an dan mempunyai sepasang cahaya mata. Hidup aku biasa saja, tak seindah yang aku selalu impikan. Kerana apa? Kerana harapan yang terlalu tinggi buat diri aku. Kehidupan mewah, pangkat dan kewangan yang stabil, yang Allah tak takdirkan untuk aku buat masa sekarang.

Zaman kanak – kanak aku biasa saja. Tiada hubungan yang terlalu rapat dengan ibu bapa kerana mereka sibuk berniaga walaupun pendapatan tak seberapa. Tapi aku tahu, mereka lakukan semua tu demi aku dan adik beradik seramai empat orang.

Aku bukanlah terlalu pandai macam orang lain, tapi alhamdulillah Allah kurniakan aku sedikit kepandaian berbanding adik beradik yang lain. Tapi kepandaian tulah yang buat aku seolah – olah “hilang” diri sendiri. Bila habis degree, aku menganggur selama enam bulan dan memohon pelbagai pekerjaan.

Akhirnya aku dapat temuduga sebagai pensyarah kontrak di sebuah IPTS. Aku berjaya dalam temuduga tu. Ibu bapa dan adik beradik gembira sangat sampai tempah pulut kuning dan agihkan kepada jiran – jiran. Aku rasa hidup aku paling bahagia waktu tu. Rasa disayangi.

Bila dah bekerja beberapa bulan, aku dapat pula taw4ran kerja tetap di sebuah bank dekat kampung. Selepas buat pertimbangan, aku pilih berhenti mengajar dan bekerja di bank. Aku harap kerja ni dapat bantu keluarga ke arah kehidupan yang lebih senang. Lagipun dekat dengan ibu bapa. Mengajar pun sekadar kontrak.

Tapi nasib aku tak baik. Aku hadapi konflik di tempat kerja. Aku langsung tak menerima sebarang latihan, tapi terus diserap masuk bekerja. Penyelia aku cakap aku boleh bertanya kalau tak tahu. Malangnya, tu sekadar kata – kata. Aku dikehendaki belajar semuanya sendiri dan mengeluarkan wang tunai dalam jumlah yang besar walaupun perkara tu tak sepatutnya berlaku kerana aku masih dalam tempoh percubaan.

Bila aku tanya senior, mereka buat muka dan abaikan aku sebab katanya aku kan pandai. Bayangkan, aku kena belajar sendiri semua sistem dan prosedur tanpa sebarang panduan. Setiap hari aku keluarkan duit sebanyak RM50,000 hingga RM70,000.

Sedangkan kalau ikutkan, aku tak boleh keluarkan lebih daripada RM500 kerana masih dalam tempoh percubaan. Setiap kali nak pergi kerja, hati aku berdebar debar. Waktu rehat langsung tak ada selera makan. Setiap malam sebelum tidur aku menangis sebab fikir kena pergi kerja lagi esok.

Aku jadi murung, stres dan fobia. Aku pernah mengadu kepada penyelia yang aku diberi tugas yang tak sepatutnya aku buat. Jawapan dia, “Awak kan pandai. Lagipun staf tak cukup nak ajar.” Sungguh, kepandaian yang aku ada seolah – olah satu sumpahan.

Bila dah beberapa bulan bekerja, aku dah tak tahan. Aku tak dibantu langsung. Bila bertanya, aku pula dimarahi. Akhirnya aku berhenti kerja. Semenjak tulah layanan keluarga terhadap aku berubah. Dipendekkan cerita, dua tahun kemudian aku berkahwin.

Kehidupan aku bukanlah susah, cuma biasalah awal perkahwinan, banyak benda yang masih belum lengkap. Lepas kejadian di bank tu, aku cuba cari kerja lain. Tapi belum ada rezeki yang sesuai dengan kelayakan aku. Aku bukan tak nak mohon kerja biasa, tapi keluarga aku tak benarkan.

Suami aku pula tak pernah kisah aku bekerja ataupun tak. Katanya, mencari nafkah memang tanggungjawab dia. Keluarga aku pula banyak menyisihkan aku. Ke mana mana mereka pergi pun tak beritahu aku. Yelah, mungkin sebab aku tak berduit macam yang mereka harapkan.

Suami aku nampak macam mana layanan mereka terhadap aku. Tapi dia cuma suruh aku bersabar. Setiap kali berjumpa, mesti ada soalan, “Tak nak cari kerja ke? Nanti suami lari macam mana? Dah selekeh, mekaplah sikit.” Ya, aku sedar. Aku memang tak secantik dua orang adik perempuan aku. Rupa aku biasa – biasa saja.

Adik aku pula putih melepak, pandai bergaya dan pandai bersolek. Sedangkan aku lebih suka hidup sederhana. Aku selalu diperli. Aku memang cepat sensitif kalau berkaitan keluarga. Berkali – kali aku menangis sebab selalu dibanding bandingkan. Kenapa?

Sebab teman lelaki adik – adik aku, yang sekarang dah jadi suami mereka, selalu beri macam – macam kepada mereka. Sedangkan aku tak ada apa – apa. Ada satu peristiwa yang sampai hari ni aku tak boleh lupa. Aku kadang – kadang pergi ke kedai ibu bapa aku.

Suatu hari aku makan nasi goreng biasa, tapi belum sempat bayar sebab masa tu suami aku keluar jumpa kawannya. Aku pula tak ada duit tunai sebab terlupa bawa dompet. Tiba – tiba ibu bapa aku tegur depan orang ramai. Mereka cakap tak boleh macam ni. Berniaga tak kenal keluarga. Makan kena bayar. Lain kali datang bawa duit. Tak boleh makan percuma.

Masa tu juga air mata aku terus mengalir. Aku pandang sekeliling, ramai pelanggan sedang tengok. Aku memang dah tak mampu tahan. Selama ni aku hanya menangis depan suami saja. H1nakah kalau hidup aku biasa – biasa saja? Kalau aku dah berusaha sebaik mungkin tapi rezeki aku setakat tu saja, apa lagi yang mampu aku buat?

Betulkah aku dan suami tak kuat berusaha hanya kerana taraf hidup kami tak sekaya yang mereka mahukan? Aku terlalu banyak makan hati. Satu lagi peristiwa yang aku takkan lupa. Masa tu aku mengandung lima bulan. Aku terp4ksa keluar dan aku telefon adik supaya datang ambil aku.

Waktu tu aku dan suami tak ada kend3raan. Cuma keluarga aku ada sebuah kereta terpakai yang sebenarnya aku belikan untuk mereka sebelum aku berkahwin. Aku dan suami menunggu hampir dua jam, tapi adik aku langsung tak muncul.

Akhirnya kami berjalan hampir lima kilometer dalam keadaan aku sedang mengandung. Bila sampai di kedai, aku tanya kenapa tak datang ambil aku. Tapi langsung tak ada jawapan daripada mereka. Walau macam mana pun, mereka tetap ibu bapa aku. Aku tetap sayangkan mereka sampai bila – bila. Walaupun aku dah terlalu banyak terluka.

Adik – adik pula tak menjaga adab dan hormat aku sebagai kakak. Tapi tak mengapalah. Aku tak harap banyak. Aku cuma berdoa semoga Allah murahkan rezeki aku seperti yang mereka inginkan, supaya aku juga mampu memberi macam yang mereka harapkan.

S4kit sangat bila orang yang kita sayang tak menghargai apa yang kita beri hanya kerana kita tak memenuhi standard yang mereka tetapkan. Banyak kali aku tengok keluarga aku buang makanan yang aku masak untuk mereka. Sedangkan roti yang dibeli oleh adik – adik aku dipuji melambung.

Walaupun hubungan kami sekarang alhamdulillah semakin baik, luka yang aku tanggung ni sangat susah nak hilang. Semuanya kerana duit. Kalau ada kesempatan, aku akan menulis lagi. Terima kasih kepada semua yang sudi membaca. Mohon doakan aku dimurahkan rezeki supaya aku dapat lebih membahagiakan keluarga aku. Walaupun keadaan hidup aku sekarang semakin baik, tapi masih belum mencapai piawaian yang mereka inginkan. Doakan aku. Kerana syurga aku masih pada mereka, selain suami aku. Terima kasih semua.

Ulasan Pembaca :

Anida Ahmad : Jangan mengharap dunia, dik. Bertawakallah. Kejar akhirat, insyaAllah dunia akan ikut sekali. Cubalah, insyaAllah. Satu lagi, pasal “selekeh nanti suami lari”. Tak, jangan fikir macam tu. Awak bersiap dan bermekap bukan sebab takut suami lari. Lepas ni ubah cara pemikiran dan andaian tu. Kita hanya ada Allah. Apa yang terjadi dalam perjalanan hidup kita semuanya dah tertulis. Kuatkan semangat dan dekatkan diri dengan Allah.

Siti Khalidah : Salam sis. Aku pernah ada dalam situasi macam sis, cuma taklah seteruk ni. Tapi aku faham macam mana bezanya layanan orang bila kita ada duit dengan bila kita tak ada duit. Apa kata lepas ni sis tak payah terlalu fikir nak bahagiakan mereka dulu. Bahagiakan diri sendiri dulu. Daripada cerita sis pun dah nampak mereka lebih utamakan harta benda daripada nilai kasih sayang.

Dah baca, jangan lupa komen dan share ya. Terima kasih! Hantar kisah anda di sini -> https://hai.mehbaca.com/submit/

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :