Abang dah kahwin ada anak bini duduk dengan mak. Tapi dapat kakak ipar pemalas, pinggan sendiri tak reti basuh siap curi sabun basuh baju..

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

kakak-ipar-pemalas

Abang sulung aku ni jenis malas kerja, duduk menumpang rumah mak siap bawa kakak ipar pemalas yang pinggan sendiri pun tak reti basuh. Mak selalu mengadu kena tengking dengan abang, padahal mak jugalah yang mandikan, bagi makan dan tidurkan anak diorang..

#Foto sekadar hiasan / AI. Salam admin. Tolong hide profile aku. Aku nak ceritakan situasi dan keadaan yang aku hadapi sekarang. Aku belum berkahwin, tujuan aku nak ceritakan kepada korang semua bukan untuk membuka aib keluarga aku tapi untuk memberi pengajaran dan iktibar kepada korang semua. Tak kira masih bujang ataupun dah berkahwin.

“KENAPA KENA ADA RUMAH SENDIRI BILA SUDAH BERKAHWIN”

Kita mulakan dengan pengenalan mak aku. Mak aku ni ada penyakit depression dan anxiety, tambah – tambah dengan umur dalam lingkungan dah 60 tahun. Masa ni lah kami berusaha jaga mak sebaik mungkin. Cuma mak tak terlalu ambil dengan nasihat kami.

Mungkin kalau dengan abang sulung dia akan dengar tapi abang sulung ni pun tak boleh pakai, lagi dia sakitkan hati mak adalah. Mak aku ni obses dengan anak sulung lelaki. Orang kata anak bongsu ni selalu dimanjakan tapi aku tak setuju dengan tanggapan tu sebab dalam family aku, abang sulung aku adalah paling dimanjakan antara semua adik beradik.

Ceritanya macam ni, permulaan banyak masalah timbul dalam rumah sejak abang sulung aku dah berkahwin dan masih sebumbung dengan parents sendiri. Abang aku ni jenis terlalu bergantung dengan mak aku. Dulu dia bekerja dengan tauke Cina, gaji dia RM2k lebih lah dan mempunyai rumah sendiri.

Tapi dah berhenti kerja disebabkan dia terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Dia berhenti kerja tanpa notis dan bekas bos dia sehingga sekarang tak tahu dia ada terlibat dengan kes penyalahgunaan dadah dulu. Dia juga pernah ditangkap oleh Agensi Antidadah.

Sekarang dia jadi mekanik kereta persendirian dan mengharap upah orang daripada kerja membaiki kereta rosak. Abang sulung aku ni jenis malas cari kerja lain. Abang aku ni terlalu bergantung dengan mak walaupun sudah ada anak bini.

Kehidupan abang aku ni senang je sebab mak masih terlalu menjaga dia. Makanan pun mak tolong masakkan untuk diorang sekeluarga. Yang kami ni tak kisah sangat dan tak ambil hati sangat hal tu sebab kami sedia maklum mak memang terlalu sayang kat dia.

Tapi aku pelik, adakah abang aku ni tak bersyukur yang mak masih prihatin dengan dia? Mak selalu mengadu dengan kami pasal kena tengking dan kena marah dengan abang aku. FYI mak aku ni jenis cepat panik, cepat tersinggung.

Apa yang abang aku dah buat kat dia, sampai bila – bila dia akan ingat. Sekalipun ada tak puas hati dengan mak, cubalah bawa bincang elok – elok, jangan tengking, jangan marah. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu walaupun dah berkahwin.

Anak dia baru seorang, tu pun dah nak masuk tadika tahun depan. Anak seorang pun tak mampu nak urus, ditengking – tengking anak sendiri. Okay tu hal diorang nak tengking. Yang aku kisah pasal mak aku. Mak aku dah lah tak sihat dan diorang masih terlalu mengharap mak jaga anak diorang yang baru seorang tu.

Sekurang – kurangnya bagi lah mak rehat, nama pun tak sihat. Mak lah mandikan, bagi makan, bagi tidur anak diorang. Mak lah yang layan kerenah dan permintaan anak diorang. Aku rasa diorang dah melampau, tak bertolak ansur dengan mak.

Lepas tu bini dia, fulamak macam masih hidup di zaman bujang. Sejak abang aku berhenti kerja, dia lah yang pergi kerja. Pergi kerja awal pagi, balik lewat malam. Tapi bini abang aku ni jenis pemalas, malas kemas rumah, malas urus laki dan anaknya.

Sekurang – kurangnya sebelum dan selepas pergi kerja, uruslah dulu laki dan anaknya. Ini tak, semua mak aku yang urus. Apa? Tiada masa? Tu semua alasan. Mak aku dapat je buat semua semasa kami masih kecil. Aku rasa mak aku lah paling kuat.

Mak yang cari duit, mak lah yang urus hal di rumah, mak lah yang urus persekolahan kami. Bagi aku, mak pikul tanggungjawab seorang ibu dan mak jugalah pikul tanggungjawab sebagai seorang ayah. Dua dalam satu.

Perempuan tu alasan kerja konon sampai tiada masa mengurus hal keluarga sendiri. Baru anak seorang kot. Bagi aku dia terlalu lembik sebagai seorang isteri. Masa dia off day pun sama, tiada masa untuk mengurus hal keluarga sendiri.

Apa punya jenis manusia. Dah lah pemalas, pengotor lagi. Makan dalam bilik tapi tak pandai basuh pinggan mangkuk. Sanggup biarkan pinggan mangkuk bertimbun dalam singki, mengharap orang lain dalam rumah basuh pinggan mangkuk tu.

Aku kesian dekat mak aku je. Sebelum ni aku tinggal di hostel pekerja tempat aku bekerja dan jarang balik rumah. Ada satu masa tu, aku terserempak mak basuh pinggan mangkuk awal pagi bertimbun, dah lah air paip masih sejuk.

Mak aku jenis tak boleh kesejukan, nanti cepat masuk angin. Yang kakak ipar aku ni, sampai jam 10 pagi masih tidur lena dibuai mimpi indah. Kalau ya pun penat, apa salahnya siapkan kerja di rumah dulu. Lepas tu nak buat taik mata pun ikut suka hati.

Tapi bahagian paling aku tak suka pasal kakak ipar aku ni, benda apa yang orang lain beli kat rumah, contoh sabun pencuci kain, dia akan ambil, masukkan dalam balang pastu simpan dalam bilik diorang. Lepas tu bila orang di rumah nak basuh kain, tiada sabun sebab dah habis diambil oleh dia.

Kami hanya boleh bersabar. Perempuan tu perangainya, pantang nampak apa yang orang lain ada, dia pun nak juga. Jenis cepat jeles. Kalau lah aku ada rumah sendiri, dah lama aku bawa mak dan ayah aku tinggal bersama aku.

Aku tak tahan melihat mak aku diperlakukan seperti itu oleh abang aku sendiri. Tapi duit adalah masalah utama. Korang yang dah berkahwin ataupun masih bujang dan ada niat nak kahwin, digalakkan ada rumah sendiri. Lagi selesa, tiada perbalahan, tiada pertikaian.

Bila dah berumah tangga, cubalah belajar berdiri di kaki sendiri. Jangan terlalu mengharap simpati dan pertolongan daripada sesiapa. Terima kasih admin sebab sudi approve post aku dan terima kasih kepada sesiapa yang sudi membaca.

Komen netizen :

Insyirah Husna : Daripada awak cari salah kakak ipar tu, lebih baik awak suruh abang awak tu cari rumah sewa, pindah. Kalau kakak ipar awak tu pemalas, dia tak kerja dari pagi sampai lewat malam lah. Abang awak tu yang salah. Dah lah tak kerja, lepas tu tak reti nak tolong buat kerja rumah.

Song Onim Circle : Korang ni point utama dia abang dengan kakak ipar susahkan mak dia, korang tak nampak. Yang korang nampak part TT kritik si kakak ipar je. Terus korang marah dekat dia. Korang ni dungu ke apa? Korang kerja tak?

Ada tak sampai tahap korang nak basuh pinggan sebiji dekat dapur pun korang rasa boleh bawa maut? Kalau tak, dah dah lah tu pertahan geng pemalas ni. Laki bini sama naik je aku baca. Si abang tu sah sah tak berguna dan bini tu pun tak ada baik pun. Sama je menyusahkan macam laki tak guna dia tu.

Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5163 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.