Lepas ayah meninggal, perangai mak berubah. Mak jadi boros guna semua duit peninggalan arwah. Ibu nak beli kereta mewah, semua nak mewah

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

Ayah meninggalkan simpanan yang banyak. Bukan hanya simpanan yang arwah sediakan, insurans kematian juga banyak. Pencen ayah setiap bulan pun ibu aku dapat. Ibu tak nak faraidkan semua harta arwah sebab nanti bahagian isteri dapat sikit..

#Foto sekadar hiasan / AI. Salam semua, terima kasih pada admin kalau siarkan cerita aku ni. Dan aku memang berharap cerita aku ni disiarkan kerana ingin baca pendapat korang semua. Sebab aku sangat buntu dan serba salah. Ceritanya bermula begini, aku anak kelima daripada lima adik beradik dan aku mempunyai abang lelaki, tetapi umurnya tak panjang.

Jadi tinggallah kami empat beradik perempuan. Setelah empat tahun arwah abang aku pergi menghadap Ilahi disebabkan oleh kanser, aku dikejutkan sekali lagi dengan berita kehilangan ayah aku pada tahun lepas. Kami empat beradik yang sememangnya rapat dan manja dengan arwah ayah sangat terasa dengan kehilangan tu.

Kesannya sangat dalam sampai aku demam berlarutan, tapi aku redha. Cuma mungkin pada mulanya kehilangan seorang abang dan seterusnya ayah dalam hidup aku membuatkan aku lebih rapuh dan lemah. Umur aku yang baru 22 tahun ketika tu terasa hilang tempat rujukan dan kekuatan, tapi aku perlu kuat demi ibu.

Mungkin ibu rasa lebih kehilangan, jadi aku perlu kuat. Aku membuat keputusan untuk berhenti kerja demi ibu sebab aku tak nak dia rasa kehilangan. Disebabkan aku anak bongsu dan aku yang belum berkahwin ketika tu, aku nekad. Oh ya, kami berempat memang bekerja di luar kampung ibu.

Bahkan ketika arwah ayah aku ada, arwah ayah aku ulang-alik dari Kuala Lumpur ke kampung ibu dua minggu sekali. Kenapa ibu aku tak ikut arwah ayah ke Kuala Lumpur? Tu perkara yang paling aku kesal, tapi demi menjaga hati ibu, aku diamkan.

Walaupun arwah ayah terlalu inginkan isterinya sentiasa di sisi, dia selalu cakap dengan anak – anak, tapi demi menjaga hati isteri, arwah ayah izinkan dia tinggal di kampung atas alasan tak tahan duduk di Kuala Lumpur dengan kakak aku. Ayah aku tinggal di rumah kakak aku.

Kakak aku dengan ibu memang sering berselisih faham dan perang mulut. Pada aku dua – dua silap. Kakak aku silap kerana tu ibu, kita sebagai seorang anak kena sentiasa berlembut. Ibu aku pula tak pernah mendengar luahan anak atau ingin menerima pendapat.

Sebab tu bila kehilangan ayah, kami sangat terasa. Walaupun mungkin pendapat kami salah, tapi sekurang – kurangnya ayah mendengar. Atau mungkin ibu aku sentiasa mengeluarkan ayat anak derh4ka, tu yang membuatkan kami jauh dengan dia.

Kalau dulu aku sering bercanggah pendapat bila sering memujuk ibu aku temankan ayah aku di sana, aku diberikan gelaran anak derh4ka dan menyibuk hal orang tua – tua. Untuk pengetahuan korang, ibu aku seorang yang menjaga agama dan solat tak pernah tinggal. Tapi mungkin ibu lupa, tempatnya ketika tu di sisi suami.

Mungkin ayah benarkan, tapi dalam hati? Mungkin dia sedih. Kami anak – anak turut sedih melihat ayah sentiasa bersendirian dan sunyi. Ibu hanya akan ikut arwah ayah kalau arwah ayah keluar dari rumah tu. Kesian ayah, dia tak nak keluar sebab nak bermain dengan cucunya.

Aku yakin atas satu perkara, dia risau anak perempuannya susah hidup di Kuala Lumpur. Jadi bila dia duduk dekat rumah kakak aku, dia boleh tolong. Begitulah hati seorang ayah. Kenapa ibu tak mengerti? Sampailah hari kejadian apabila ayah pergi menghadap Allah SWT secara mengejut.

Ibu aku seorang isteri yang bertuah kerana ayah meninggalkan simpanan yang agak banyak. Ibu aku bertuah kerana dia tahu nombor pin untuk setiap bank yang ayah aku ada. Ketika tu kami empat beradik yang sedang sedih memang tak mengharapkan wang ringgit dan ikhlas menyerahkan kesemua wang simpanan ayah kepada ibu.

Ibu menerangkan ketika tu ibu takkan guna duit untuk duniawi sebab arwah ayah dah sediakan tempat tinggal dan kereta untuk ibu. Duit ni akan menolong kami empat beradik jika kami susah nanti. Demi Allah, kami ikhlaskan. Bukan hanya simpanan yang arwah ayah aku sediakan, bahkan insurans kematian juga banyak.

Pencen ayah setiap bulan pun ibu aku dapat. Disebabkan dulu arwah ayah berkhidmat dengan pangkat yang agak tinggi, maka duit pencen pun agak tinggi dan boleh menampung hidup ibu. Masa berganti masa, ibu sering membelanjakan wang dan harta pada arah yang agak membazir.

Disebabkan aku menetap dengan ibu, aku tahu perbelanjaannya. Oh ya, lupa nak beritahu, arwah ayah anak tunggal dan hanya mempunyai ibunya sahaja. Aku pernah menegur ibu, jika benda tu tak perlu atau tak penting, tak perlulah membelinya.

Ibu sangat menyayangi adik beradiknya, jadi dia banyak belikan barang atau belanja adik beradiknya. Katanya jangan kedekut dengan adik beradik, kita memberi, insya-Allah akan dapat balik. Tiba – tiba aku diberitahu oleh kakak aku, makcik aku mengatakan apa niat sebenar aku berhenti kerja.

Katanya jangan marah ibu aku membeli kerana tu adalah terapi. Makcik aku kata ustaz yang beritahu kalau ibu aku nak membeli atau apa – apa, jangan halang. Apa ustaz tu ajar membazir ke? Kenapa niat aku berhenti kerja dipertikaikan? Kononnya sebab kini aku telah berkahwin dan ada balik rumah keluarga lelaki. Apa aku salah jika balik rumah keluarga suami?

Disebabkan tu aku suarakan kepada ibu, kenapa boleh terkeluar isu tu dari mulut makcik aku? Tapi hasilnya, aku dimarahi dan kakak aku sekali lagi dapat gelaran derh4ka serta ingin memecahbelahkan keluarga kerana kakak aku beritahu aku. Aku tanya pada korang yang membaca, siapa yang ingin memecahbelahkan sebenarnya?

Tapi ibu aku takkan pernah mendengar isi hati anak – anak. Yang dia tahu, apa yang diajar agama, ibu takkan mendengar anak, malah anak akan mendengar ibu. Tu sahaja. Berkaitan isu faraid, ada sebilangan harta arwah ayah yang kami serahkan pada faraid. Atau erti kata lain, memang tak boleh dikeluarkan dan telah dibekukan. Ibu memohon kami semua nanti di mahkamah untuk menyerahkan kesemua harta arwah kepadanya.

Apabila dah serahkan kepada ibu, nanti ibu sendiri yang akan agih – agihkan kepada kami semua. Kerana katanya kalau tak, nanti ibu yang akan dapat lebih sebab ibu isteri. Tapi setahu aku, isteri akan dapat paling sedikit. Dalam isu aku ni, yang akan dapat bahagian banyak adalah nenek aku, betulkan kalau aku tersilap.

Bukan masalah harta yang kami inginkan sekarang, tapi apa yang terbaik buat kami sebenarnya? Sesungguhnya kami buntu dengan perangai ibu yang kini lain daripada ibu yang dulu. Ibu nak tukar kereta yang lebih mewah dan semuanya nak bermewah.

Apabila aku cakap jangan beli sebab membazir, dia akan rujuk adik beradiknya. Adik beradiknya hanya akan suruh beli dan sejurus tu ibu ajak aku membeli kerana nasihat adik beradiknya. Contohnya kereta yang baru, walaupun kereta arwah ayah dah banyak dan tak terpakai.

Apa yang jadi? Kereta – kereta arwah ayah dijual kepada anak – anak. Dijual ya, bukan diberikan. Kami faham tu demi membayar kereta baru. Sejujurnya kami kenal ibu macam mana. Tapi makin lama, ibu makin lain dengan anak – anak. Ada seorang ustaz ni tanya pada aku, isu faraid dah selesai ke belum?

Aku mengatakan masih belum selesai kerana tunggu untuk naik ke mahkamah. Tiba – iba ustaz tu tanya, apa semua okey? Ustaz tu kata dia rasa ibu aku ni ada orang sering menghasut atau memanipulasi fikirannya untuk jauh dengan anak – anak.

Walaupun tanpa aku cerita, wallahualam, aku tak mempercayainya. Tapi memang sebelum ustaz tu beritahu pun kami terasa jauh dengan ibu. Apa yang patut aku buat sebagai seorang anak? Kata ustaz tu, kalau kami tak menerima cadangan ibu, tak jatuh anak derh4ka pun. Tapi bila ibu yang mengatakannya, aku tak tahu apa yang aku patut buat. Aku tak nak ibu sering merasakan kami anak derh4ka. – Anne

Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5124 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.