Lepas suami ajak kahwin dekat Thailand, dia taknak daftarkan perkahwinan kami. Satu hari, jiran-jiran perumahan buat report, kami kena tangkap basah

Sebelum kahwin, suami cakap hubungan dia dengan isteri dah lama goyah, tak bahagia. Aku percaya. Malangnya lepas aku kahwin, suami dah isteri pertama tak bercerai pun. Aku kena turun naik mahkamah habis beribu nak sahkan perkahwinan..

#Foto sekadar hiasan. Salam admin, hide kan profile aku ya. Aku nak cerita sikit kisah aku sebagai seorang janda muda yang pernah percaya sangat dengan janji seorang lelaki. Aku tahu cerita aku ni mungkin akan ada yang kecam, ada yang kata aku salah sebab berkahwin dengan suami orang.

Aku terima kalau ada yang nak cakap macam tu, sebab aku pun tak pernah kata aku ni betul semuanya. Aku cuma nak kongsi apa yang aku lalui supaya mungkin ada yang boleh ambil pengajaran daripada kisah aku. Aku Rina (bukan nama sebenar), seorang janda muda sudah setahun menyulam cinta dengan Shah (bukan nama sebenar), suami orang anak tiga.

Masa mula kenal, aku tahu dia suami orang, tapi Shah banyak yakinkan aku yang rumah tangga dia memang dah tak macam dulu. Dia cerita macam – macam tentang keadaan rumah tangga dia sampai aku sendiri percaya yang hubungan dia dengan isteri pertama memang dah tak bahagia.

Aku berkali – kali pujuk Shah untuk hantar permohonan poligami di mahkamah dalam Malaysia tetapi alasan kekangan masa sering digunakan. Setiap kali aku tanya, mesti ada alasan. Sekejap sibuk kerja, sekejap tak sempat, sekejap katanya banyak urusan lain. Aku pun lama – lama penat nak tunggu.

Sehinggalah aku give up dan tinggalkan Shah. Aku cuba jauhkan diri dan anggap hubungan kami sampai sini sahaja. Tapi kehebatan Shah dengan pengalaman seiring dengan usianya yang berbeza 22 tahun daripada aku, akhirnya aku akur. Dia datang semula pujuk aku dan janji macam – macam.

Shah ajak aku kahwin di Songkhla, Thailand untuk menghalalkan hubungan kami. Masa tu aku fikir, kalau betul dia serius dan nak bertanggungjawab, mungkin ini jalan yang terbaik. Aku pun percaya yang selepas kami sah berkahwin, semuanya akan jadi lebih mudah dan dia akan tunaikan janji dia.

Isteri Shah? Terlalu sibuk untuk ambil tahu tentang suaminya memandangkan dia bekerja sebagai manager di sebuah syarikat construction di Klang. Walaupun tinggal serumah, tetapi tak sebilik. Benda tu buat aku lagi mudah percaya dengan cerita Shah tentang rumah tangga dia.

Akhirnya, aku dan Shah selamat diijabkabulkan. Halallah hubungan kami. Perkahwinan kami tak diketahui kedua – dua keluarga. Masa tu aku rasa lega sebab sekurang – kurangnya hubungan yang selama ni penuh dengan rasa bersalah dah jadi halal.

Tapi aku tak sangka, kehidupan sebagai isteri kedua bukan macam yang aku bayangkan. Suatu hari, aku dan Shah ditangkap basah atas laporan jiran – jiran dan masa itulah terbongkar yang kami sudah berkahwin. Semua jadi kecoh dan benda yang selama ni kami cuba simpan akhirnya diketahui orang.

Minggu yang sama juga, aku disahkan mengandung. Bermulalah realiti hidup aku sebagai isteri gelap. Masa dapat tahu aku mengandung, perasaan aku bercampur baur. Aku gembira sebab bakal ada anak, tapi dalam masa yang sama aku takut sebab status perkahwinan kami masih belum didaftarkan di Malaysia.

Beberapa kali naik turun mahkamah dengan kos cecah belasan ribu untuk mendaftarkan pernikahan di Malaysia. Sungguh tak berbaloi. Duit aku habis begitu sahaja, sedangkan masa tu aku perlukan duit untuk persediaan bersalin dan keperluan anak.

Shah? Lepas tangan kerana katanya tak perlu daftar. Kalau tak daftar, anak nak daftar macam mana kat Malaysia? Banyak yang aku fikirkan dan aku usahakan sehabis baik sehinggalah berjaya didaftarkan di Malaysia. Banyak benda aku kena urus sendiri sedangkan aku tengah mengandung.

Dalam keadaan itu juga, aku ditinggalkan bersendirian setiap malam kerana Shah sibuk memujuk isterinya yang memfailkan penceraian di mahkamah. Aku faham dia ada tanggungjawab terhadap isteri pertama, tapi dalam masa yang sama aku pun isteri dia. Aku pun perlukan suami, lagi – lagi masa tengah mengandung.

Aku hanya mampu mengalah. Sudah adat berkongsi, tak semuanya aku mampu tanggung sendiri. Kadang – kadang malam aku seorang diri, fikir macam – macam. Bila tengok orang lain suami ada teman masa mengandung, aku pun teringin benda yang sama.

Walaupun bekerja dengan gaji yang selesa, tetapi aku dambakan kasih sayang suami ketika mengandung. Beberapa kali aku terpaksa ke klinik bersendirian, dan kesakitan pada waktu malam kerana kandungan aku mengalami masalah placenta previa dan perlu melahirkan secara pembedahan. Dugaan, dan aku redha.

Sekali lagi aku diuji kerana kerap diabaikan sang suami yang masih memujuk hati isteri pertama. Isteri pertama menarik balik tuntutan cerai kerana tiada alasan munasabah. Masa tu aku mula tertanya – tanya, sampai bila aku nak hidup macam ni?

Aku akhirnya mengalah dan berpindah kerja ke sebuah negeri di Pulau Borneo, jauh dari semua orang bersama bayi berusia 3 bulan. Aku fikir mungkin bila aku jauh, aku boleh bina hidup sendiri dengan anak dan tak terlalu berharap pada Shah. Dan mulalah hidup aku sebagai seorang isteri gelap dan jauh.

Shah? Lepas tangan. Baginya, bank in nafkah setiap bulan sudah memadai. Setahun hanyalah 2 hingga 3 kali datang bertemu aku dan anak. Setiap kali dia datang pun masa kami bersama sangat terhad. Aku masih bertahan dan meluangkan masa untuk terbang ke semenanjung bertemu dengan Shah, walaupun sekadar isteri check in hotel.

Kadang – kadang aku terfikir, aku ni sebenarnya isteri atau sekadar orang yang dia datang bila dia ada masa? Tapi aku tetap bertahan sebab aku masih percaya pada janji dia. Keadaan berlarutan sehingga anak berusia 4 tahun, dan akhirnya aku give up.

Give up kerana sikap Shah yang acuh tak acuh. Entah hilang ke mana janji – janjinya yang akan berlaku adil. Akan lah sangat. Aku dah terlalu lama tunggu benda yang sama berubah, tapi akhirnya aku yang makin penat. Aku rujuk ke pejabat kaunseling, dan dirujuk ke psikiatri kerana mempunyai simptom – simptom depresi.

Sehinggalah aku disahkan depresi. Masa tu baru aku sedar yang selama ni aku terlalu paksa diri untuk bertahan dalam keadaan yang aku sendiri dah tak mampu. Aku tahu yang “that’s it!”. Aku tak nak terus hidup macam ni. Aku tak nak anak aku membesar dengan tengok aku sentiasa menunggu ayah dia datang.

Aku nak cari semula diri aku yang hilang sepanjang aku cuba pertahankan perkahwinan ni. Aku memfailkan fasakh di mahkamah, dan Shah membalas dendam dengan memfailkan hadhanah. Bermulalah episod naik turun mahkamah lagi. Lebih setahun, kes masih belum selesai kerana Shah kerap menangguhkan kes.

Aku pula? Hanya mampu tabah dan bersabar. Setiap kali kena turun mahkamah, aku cuba kuatkan diri. Bukan mudah nak urus kerja, anak, rumah dan dalam masa yang sama kena hadap kes mahkamah yang tak habis – habis. Pengajarannya, janganlah kahwin di Thailand kerana itu hanyalah penyelesaian masalah secara short term.

Long term sangat pedih dan sangat costly. Masa nak kahwin memang rasa macam semua benda boleh selesai, tapi bila dah ada anak dan bermacam urusan rasmi, baru kita tahu betapa banyak benda yang kena fikir. Kalau betul mampu nak jadi isteri kedua, ketiga, keempat sekalipun, pastikan kemampuan suami.

Pastikan suami dapat menjaga kemaslahatan rumah tangga dan isteri – isterinya. Jangan percaya pada cakap sahaja sebab janji masa bercinta memang mudah nak dibuat. Check slip gaji dia, dan simpanan dia. Demand everything important sebelum kahwin.

Bukan sebab materialistik, tapi sebab bila dah berkahwin nanti kita akan berdepan dengan komitmen sebenar. Jangan sampai semua benda akhirnya kita tanggung seorang diri. RED FLAG IS REAL! Kalau dah rasa tak sedap hati sebelum kahwin, istikharah lagi, solat lagi, minta lagi petunjuk. Jangan terlalu yakin yang selepas kahwin semuanya akan berubah.

Kadang – kadang apa yang kita nampak sebelum kahwin tu sebenarnya dah cukup untuk tunjuk macam mana kehidupan kita nanti. Kisah aku hanyalah sebahagian dari kisah poligami di Thailand. Banyak lagi kisah duka dari Songkhla berbanding kisah suka.

Aku cerita bukan sebab nak kata semua perkahwinan macam ni akan gagal, tapi aku harap perempuan yang tengah berada dalam situasi macam aku dulu fikir masak – masak sebelum buat keputusan. Akhir kata, ikut akal logik, bukan akal hati. Sebab masa hati tengah sayang, banyak benda kita sanggup pejam mata. Tapi bila hati dah penat dan realiti mula datang satu – satu, masa tu baru kita sedar yang bukan semua janji boleh dipercayai.

Hantar kisah anda di sini -> https://hai.mehbaca.com/submit/

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :