Mak jatuh pengsan, ayah minta tolong nenek jagakan kami. Sepanjang 3 hari, nenek langsung tak datang. Aku dengan adik makan bubur basi

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

Ayah minta olong nenek jaga kami sebab hospital jauh, daerah lain. Sepanjang 3 hari, nenek tak datang. Aku dan adik makan bubur basi, masakan terakhir mak sebelum pengsan. Satu hari, tuan rumah dengar bunyi adik aku yang bayi menangis. Dia terkejut..

#Foto sekadar hiasan / AI. Assalamualaikum. Aku tertarik untuk kongsikan satu kisah cinta. Bukan kisah cinta aku, tapi kisah cinta mak dan ayah aku. Kisah ni aku baru tahu dua hari lepas, masa duduk bercerita pasal nenek aku. Kemudian terbukalah cerita pasal arwah mak, ayah dan nenek aku. Nenek tersebut ialah mak kepada ayah aku.

Ayah aku dah nak masuk umur 60 tahun, tapi sejak mak meninggal dunia 20 tahun lepas, dia langsung tak nak cari pengganti. Ada juga kami adik beradik suruh ayah kahwin lain selepas lama menduda dan nenek aku pun pernah bagi calon, tapi ayah tak nak. Sampailah aku sebagai anak sulung meningkat dewasa, barulah ayah bagitahu sebab dia tak nak kahwin lain.

Kisahnya, mak bukanlah calon menantu pilihan nenek aku. Jadi, nenek aku tak sukakan mak. Disebabkan tu, mak sentiasa diherdik, dimarah dan juga pernah dipukul oleh nenek kalau ayah takde dekat rumah. Alasan nenek tak sukakan mak aku adalah disebabkan mak bukan daripada keturunan suku kaum yang sama dengan nenek.

Bangsa mak biasanya terkenal sebagai bangsa yang ramai bukan Islam. Ayah kepada mak ialah mualaf dan peluk Islam selepas berkahwin dengan ibu mak. Sebab utama nenek aku tak suka mak adalah kerana nenek dah ada calon lain untuk ayah.

Ayah aku seorang yang sangat baik, anak yang baik dan lembut bila bercakap. Cuma bab kahwin, dia tak ikut pilihan mak dia. Selepas tahu mak diperlakukan seumpama hamba oleh nenek, akhirnya ayah bawa mak dan kami adik beradik keluar dari rumah nenek.

Ketika tu, umur kami 7 tahun, 5 tahun dan adik aku masih bayi serta menyusu badan. Kami duduk menyewa di sebuah bilik kecil di kawasan ladang. Hanya tu yang ayah mampu sebab ayah bekerja sebagai buruh kasar. Daripada cerita ayah, mak merupakan seorang hamba Allah, isteri dan ibu yang sangat baik serta cantik. Ibadahnya terjaga.

Keperluan makan minum dan pakaian ayah serta kami adik beradik dijaga sebaiknya. Mak juga tak pernah mengeluh walaupun hidup kami tak semewah orang lain. Tu juga antara sebab ayah tak tahu tentang perlakuan nenek terhadap mak sebab mak tak pernah bagitahu.

Mak terlalu sayangkan anak, mak akan mandikan dan pakaikan baju untuk kami. Kami tak dibenarkan mandi sendiri. Makan pun akan disuapkan oleh mak. Kalau pagi tu ayah tak sempat nak bersarapan, mak sanggup berlapar sehinggalah ayah balik rumah pada waktu tengah hari dan makan bersama.

Mak rasa terlalu bersalah sebab kadang – kadang terlambat siapkan sarapan. Walaupun sebenarnya ayah tak kisah dan dah pesan supaya mak makan terlebih dahulu. Selain tu, rutin harian mak adalah menanti kepulangan ayah balik kerja. Mak akan sentiasa perhatikan masa.

Kalau dah menghampiri waktu ayah balik dari kerja, walaupun masih ada kerja rumah yang belum siap, mak sanggup tinggalkan terlebih dahulu dan mula bersiap – siap. Mak akan menunggu kepulangan ayah di depan pintu. Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Itulah yang berlaku apabila pada suatu hari, mak jatuh pengsan. Mak dikejarkan ke hospital. Doktor bagitahu mak terlebih makan ubat sebab ketika tu keadaan mak sangat teruk dan mulutnya berbuih – buih. Mak memang kerap makan ubat sebab selalu mengalami sakit kepala.

Selepas sedarkan diri, mak seperti hilang ingatan. Mak tak mengenali sesiapa termasuklah kami adik beradik, kecuali ayah. Bila diberitahu tentang kami, mak akan bertanya kepada ayah sama ada mereka mempunyai anak. Semuanya berubah seratus peratus.

Mak mula menjadi seorang yang panas baran. Pantang kami buat silap sikit, pasti kami akan dilibas. Mak juga banyak bersendirian, termenung dan kadang – kadang akan ketawa seorang diri. Selain tu, mak juga enggan menyusukan adik aku yang masih menyusu badan ketika tu. Mak beri alasan yang adik aku bukan anaknya.

Sedih hati kami yang sebelum ni tak pernah dijentik, makan disuap dan dimanjakan, tiba – tiba dilayan seperti orang asing. Semuanya berlaku secara tiba – tiba. Paling menyedihkan, ketika situasi macam tu, takde seorang pun saudara mara ayah yang nak datang menjenguk mak yang kurang sihat, termasuklah nenek.

Sekali lagi, pada suatu hari ketika aku cuti sekolah, mak jatuh sakit. Kali ni, mak dihantar ke hospital yang agak jauh sikit sebab hospital berdekatan mengalami kekangan dari segi kemudahan. Ayah tak sempat menghantar kami bertiga kepada saudara mara sebab mengejar masa dan hanya meninggalkan pesanan kepada nenek.

Bermulalah kisah menyedihkan buat kami adik beradik. Kami yang tak biasa keluar rumah hanya duduk menunggu saudara datang ambil. Tiga hari kami menunggu, tapi batang hidung seorang pun tak kelihatan. Adik yang kecil asyik menangis nakkan susu, manakala adik lelaki aku pula kelaparan.

Aku sebagai kakak sulung yang ketika tu berumur 9 tahun hanya mampu menyuruh adik makan apa je yang ada. Bila diperiksa di dapur, yang ada cuma bubur yang dah basi dan dimasak oleh mak sebelum dihantar ke hospital. Itulah makanan kami sepanjang tiga hari tersebut.

Nak masak, aku tak pandai. Namun dengan izin Allah, walaupun makan bubur basi, kami langsung tak sakit perut. Walaupun mak tak mengenali dan mengingati kami sebagai anak – anaknya, mak tetap masak dan menjaga makan minum kami.

Apabila hujan turun, kami adik beradik akan kebasahan disebabkan atap yang bocor. Kami menggigil menahan sejuk. Kami takde tempat lain untuk pergi kerana keadaan bilik yang kecil. Saudara mara dan nenek pula langsung tak datang. Takde seorang pun yang datang ambil dan menjaga kami, apatah lagi nak menjenguk.

Jiran – jiran pula langsung tak tahu kami bertiga berada di rumah tersebut kerana mereka menyangka dah ada saudara yang mengambil kami. Mujur pada suatu hari, tuan rumah datang menjenguk. Salah seorang jiran bagitahu yang mereka terdengar tangisan adik aku dari rumah tersebut.

Apabila ditinjau oleh tuan rumah, dia sangat terkejut sehingga menangis teresak – esak melihat keadaan kami. Tuan rumah itulah yang mengambil dan membawa kami pulang ke rumahnya. Dia juga menjaga kami adik beradik. Berulang kali tuan rumah meluahkan rasa kecewa dengan sikap keluarga ayah yang langsung tak nak ambil peduli.

Allah lebih sayangkan mak apabila akhirnya mak meninggalkan dunia ni. Ketika tu juga, cinta ayah terhadap mak dikuburkan bersama dan dibiarkan mekar di dalam hati. Bermula jugalah kisah pahit kami sebagai anak – anak yatim ketika mula tinggal bersama nenek.

Insya Allah, di lain masa aku akan kongsikan kisahnya. Dah 20 tahun berlalu, tapi ayah masih setia dengan cintanya kepada mak. Kalau disuruh cari pengganti, pasti ayah akan ceritakan tentang arwah isterinya yang takde pengganti. Itulah cinta sejati dua insan yang terpisah di alam yang berbeza, tapi masih bertaut kerana Allah.

Zaman sekarang agak susah nak jumpa lelaki yang setia macam ayah aku, tapi insya Allah masih wujud lagi. Mohon maaf kalau tulisan dan bahasa aku agak tunggang langgang. Moga ada pengajaran yang kita boleh jadikan iktibar. Terima kasih sebab sudi luangkan masa untuk membaca coretan aku. Sekian.

Hantar kisah anda di sini -> https://hai.mehbaca.com/submit/

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5124 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.