Ayah aku yang bagi modal bisnes, tapi mertua masuk campur hasut suami letak nama dia sorang! Bila aku ugut nak tutup syarikat, tahu pula merayu pegang kaki!

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

mertua masuk campur

Penat bila mertua masuk campur urusan bisnes sampai tergamak memfitnah aku nak bolot harta, sedangkan modal buka syarikat tu pun ayah kandung aku yang bagi! Bila aku nekad nak jual semua aset dan tutup terus perniagaan, tahu pula pak mertua terdiam dan merayu sampai pegang kaki aku..

#Foto sekadar hiasan / AI. Assalamualaikum admin. Tolong siarkan masalah aku ni. Aku nak minta pandangan pembaca dalam ni. Aku dah setahun berkahwin dengan suami. Sebelum ni kami sama – sama duda dan janda. Pertemuan singkat di alam maya menjodohkan kami.

Aku akui memang agak sukar nak membiasakan diri bila bersuami kembali, tambahan pula kami berdua sangat berbeza dari segi pandangan dan pemikiran. Tapi dah jodoh, aku terima. Pada awal perkahwinan, Alhamdulillah. Namun yang menjadi masalah adalah keluarga suami aku, bermula dari ayah dia, ayah mertua aku.

Sebelum ni kami menumpang rumah ayah mertua. Tepi rumah ayah mertua ada extension yang boleh dianggap rumah kecil tapi siap dengan dapur dan bilik air. Kami tinggal di situ lebih kurang 6 bulan. Masalah terjadi bila aku dan suami menubuhkan syarikat.

Dengan bantuan dan pinjaman ayah aku, kami membuka syarikat dan membina perniagaan. Aku tak sangka, selama ni aku hormat ayah mertua lebih dari ayah sendiri. Aku rasa syukur kononnya ayah mertua pun nak bantu kami. Tapi pada satu malam, sedang aku berbual sebelum lelapkan mata, ada satu topik tiba – tiba suami aku melenting.

Dia menuduh aku mementingkan anak – anak aku. Suami terkeluar cerita bahawa apa dakwaan ayah mertua aku tu betul. Aku tanya suami apa yang ayah dia kata tentang aku. Lalu suami aku pun beritahu yang ayah dia pernah tanya syarikat kami ni atas nama siapa.

Suami pun jawab atas nama dia. Lalu si ayah pun kata, “Baguslah atas nama kamu sebab bini kamu tu cerdik, kamu tu bodoh. Nanti bila senang habis bini kamu angkut harta untuk dia anak beranak.” Jujur aku kata aku sangat sangat terkejut.

Esok pagi aku terus bertanya ayah mertua adakah betul apa yang suami aku cerita. Ayah mertua terdiam tak kata apa – apa. Aku pun cakap depan – depan suami, ayah mertua dan mak mertua, “Saya nak buat biz bantu ampa sekeluarga. Takde niat saya nak bolot untuk keluarga saya. Walhal duit nak mula ni pun ayah saya yang bagi.”

“Tapi hangpa khianat saya. Tuduh saya nak bolot. Sekarang saya dah tak nak buat apa – apa pun biz. Jual semua ni. Saya nak duit ayah saya balik. Tutup syarikat. Hangpa nak buat, buka syarikat lain. Saya tak mau tahu.” Tapi ayah mertua ni merayu sampai pegang kaki aku. Ayah mertua janji konon nak bantu. Nak bagi geran tanah. Walhal apa pun takde.

Betul la kata orang, bila suami sakitkan hati isteri, rezeki dia dapat tak berkat. Apa pun dia buat, tak menjadi. Itu yang terjadi pada suami aku. Sejak dari tu, kami kerap bergaduh. Bila bergaduh suami selalu burukkan aku pada mak mertua. Satu hari aku perasan ayah mertua dah tak bercakap dengan aku.

Mereka makan pun masuk dalam rumah mereka. Aku pula masak sendiri dalam pondok kami dan makan dengan suami dan anak – anak. Ayah mertua pula tak habis di situ. Dia mula bercerita pada saudara mara dan kawan – kawan dia, memburukkan aku.

Ada sekali kawan dia jemput kenduri kawan anak. Aku dan suami tak pergi. Esoknya adik ipar suami cerita kat aku. Ayah mertua tegur dia depan – depan tuan rumah kenduri tu. Ayah mertua tegur adik ipar suami jangan masuk pondok kami. Dia tak suka. Aku ni sombong. Anak beranak aku pun sombong. Bila adik ipar cerita macam tu depan – depan suami aku, dia terdiam.

Macam – macam lagi tohmahan ayah mertua buat pada kami. Kemuncak tohmahan mengakibatkan suami aku lafaz cerai taklik pada aku. Bila bergaduh, mak mertua kononnya nak mendamaikan tapi ayat mak mertua selalu begini, “Mak tak tahu. Tak apa la, nanti mak pujuk dia lepaskan kamu. Dah tak ada jodoh. Kamu dok la baik – baik. Cari kerja elok – elok. Biar la dia dengan cara dia.”

Cantik tak ayat mak mertua? Dia bukan nak nasihatkan anak dia tapi macam suka pula kalau kami bercerai. Bila dah jadi begitu, aku beritahu ayah dan keluarga aku apa yang terjadi. Admin sendiri boleh bayangkan la macam mana marahnya ayah aku. Tapi keluarga aku masih bagi suami peluang.

Ayah aku suruh pindah dari rumah ayah mertua. Ayah aku yang bagi duit untuk deposit rumah dan sebagainya. Kalau ikutkan, ayah aku suruh kami pindah ke tempat keluarga aku di selatan. Memandangkan kami mula dapat job untuk biz, suami nak tinggal di utara.

Keluarga suami masih tak puas hati agaknya. Mereka gamaknya terkejut mana aku dapat duit untuk pindah dan bayar rumah sewa. Keluarga aku Alhamdulillah orang – orang senang tapi mereka ajar kami berdikari. Tapi keluarga suami orang orang susah tapi berlagak senang.

Selepas pindah, kami bergaduh paling besar. Kali ni aku dah betul – betul hilang sabar. Kejadian masa Raya Aidilfitri. Kebetulan kami belum dapat payment untuk projek dan sejujurnya memang tengah kering sampai takde modal sambut raya.

Takde persiapan raya langsung. Namun kami tak kisah. Kami bahagia. Yang boleh terjadi pergaduhan sekali lagi sebab keluarga suami. Sedang kami membasuh baju, ayah dia call suami ajak beraya ke kampung mereka di utara. Kemudian katanya nak balik ke tempat yang sangat dekat dengan kampung arwah mak aku. Bila suami kata macam tu, memang aku nak balik sangat – sangat.

Dah bertahun aku tak balik beraya di kampung arwah mak dan jenguk kubur arwah. Jadi kami pun bergerak ke utara. Adik ipar suami pun tumpang kami dengan anak kecil yang masih dalam pantang. Bila dah sampai, dah beraya, aku tengok mereka lepak saja. Aku panggil suami kat luar.

Aku tanya pukul berapa nak bergerak balik ke kampung aku. Muka suami berubah. Aku dah agak dia tipu aku dengan alasan konon nak balik kampung aku. Mak mertua masuk campur kata nak tunggu saudara mereka dari Pantai Timur sampai dulu. Walhal, orang tu tak bertolak lagi. Masih di rumah dia di Pantai Timur.

Kau rasa apa perasaan aku masa tu? Memang nak meletup! Kebetulan sepupu suami pun nak balik Kulim petang tu, jadi suami aku ni nak sedapkan hati aku, nak ikut belakang kereta sepupu dia. Kereta kami lampu masalah. Tak tahu short kat mana. Aku cakap pada suami, Kulim dah ke bawah dari kampung arwah mak aku.

Malam tu kami bermalam di Kulim. Esoknya aku beritahu suami aku dah takde mood nak balik kampung aku. Aku nak balik rumah. Dalam perjalanan kami tak banyak cakap. Suami hanya turunkan aku dan anak depan rumah dan dia terus ke rumah mak mertua. Dah malam baru dia balik. Esoknya bapa saudara suami mesej aku.

Rupanya ayah mertua call dia dan buruk – burukkan aku. Kata jangan dengar apa – apa cerita dari mulut aku sebab aku suka cerita buruk tentang keluarga. Masya Allah admin. Bagusnya ayah mertua cakap macam tu. Aku call ayah aku mengadu.

Kali ni ayah dan keluarga aku hilang sabar. Ayah aku suruh kami bercerai sebab suami terlalu banyak dengar cakap ayah mertua. Memang aku pun dah tawar hati dengan suami. Tapi suami tak nak lepaskan. Macam – macam projek kerja aku dapat tapi semua dia nak bagi ayah mertua buat. Bila ayah mertua buat, takde satu pun yang sempurna.

Alasan suami, nak bersihkan nama ayah dia dan bagi peluang pada ayah dia. Yang terbaru, dek kerana kesalahan ayah mertua buat kerja, aku terpaksa berdepan dengan pemilik projek selama 3 jam. Aku dan suami yang terpaksa menjawab dengan pemilik projek. Ayah mertua? Bagi alasan ada kerja nak buat.

Sehingga sekarang ayah mertua dan keluarga mereka semua buruk – burukkan aku. Sedangkan mereka hidup dengan projek yang aku dapat tapi takde satu pun kerja – kerja mereka yang sempurna. Sekarang nampaknya suami aku mula sedar macam mana ayah dia dan keluarga dia mempergunakan dia. Admin, jahat ke aku nak jauhkan suami dari keluarga dia?

Jahat ke aku nak letak had dalam urusan kewangan untuk keluarga suami? Dan jahat ke aku dah tak nak pijak kaki ke rumah keluarga mertua? Umpamanya aku dah buang mereka. Aku lagi takut pada diri aku. Andai aku hilang sabar, memang aku akan sound mereka cukup – cukup dan aku tak takut pada mereka.

Jujurnya aku memang dah hilang hormat pada mereka. Pernah berkali – kali aku kata pada suami, “Kalau kau rasa kau hebat, mak ayah kau hebat, adik beradik kau hebat, sila berambus dari hidup aku dan bagus juga kau tak kenal siapa aku, siapa keluarga aku, mana rumah dan kampung family aku. Supaya bila kau buang aku, kau tak akan dapat cari aku lagi.”

Tapi sampai sekarang suami tak nak lepaskan aku. Admin, kakak – kakak bawang, abang – abang rewang sekalian, hati aku penuh dengan kemarahan pada keluarga mertua dan sikit – sikit perasaan sayang pada suami hilang. Aku cuma rasakan yang suami aku tak nak lepaskan aku sebab duit.

Dia tahu aku tengah usahakan projek – projek besar. Aku nampak dia macam nak berubah tapi aku masih ragu – ragu. Aku tak letak kepercayaan pada suami lagi. Admin, kakak – kakak dan abang – abang sekalian, sila bagi pendapat. Minta maaf sebab panjang cerita sebab nak bagi korang faham situasi aku. Terima kasih.

Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5146 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.