Dari kecil anak nampak aku dihina bekas suami, mereka jadi tak hormat aku. Tiada harga pengorbanan ibu masuk hutan cari sayur..

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

pengorbanan ibu

Anak-anak mengungkit zaman remaja dorang terabai. Pada mereka aku setakat pandai buat anak sahaja. Tiada harga pengorbanan ibu yang selama ini sanggup masuk hutan keseorangan mencari sayur paku rebung setakat menyambung nyawa untuk hidup melihat hari esok..

#Foto sekadar hiasan / AI. Aku seorang ibu yang gagal, kata anak aku. Aku berkahwin umur 19 tahun. Umur 20 dah ada anak pertama sehingga umur 27 aku ada anak 6 orang. Hidup aku masa tu hanya di rumah sebab susah nak keluar dengan anak yang berderet deret.

Dalam 10 tahun berkahwin, kami bercerai disebabkan suami aku malas bekerja. Kadang – kadang kerja 2 atau 3 bulan berhenti. Dalam setahun boleh dikatakan 4 atau 5 kali bertukar kerja. Pada dia tokey jahat dan tak bagus, kawan – kawan tak cun. Jadilah episod menganggur sebulan dua sementara mendapat kerja baru.

Sehingga kami nampak sangat merempat minta bantuan di sana sini, lebih – lebih lagi belah keluarga suami sampai mereka mengungkit kenapa tak minta bantuan daripada keluarga sebelah aku. Pada aku, suamilah yang patut berusaha menanggung keluarga sendiri.

Kadang – kadang keluar rumah seolah olah pergi kerja dan pulang petang, tapi rupa – rupanya bersembunyi di rumah kawannya sedang minum ketum. Kadang – kadang ada masa pulang ke rumah dalam keadaan khayal. Kadang – kadang bila aku suruh dia menjual sayur di sebelah kilang dan perumahan, tak pulang pulang dari pagi sampai petang.

Rupa rupanya sayur entah ke mana, harga sayur pun langsung tak nampak. Rupanya berkumpul minum dengan orang kilang. Setelah sekian lama hadap perangai suami yang malas dan pemabuk, akhirnya kami berpisah.

Hiduplah aku sebatang kara menyara anak – anak 5 orang seorang diri dengan bantuan duit dari gereja RM150 sebulan. RM35 untuk tambang van anak sulung dan RM15 untuk bayar makan tadika perpaduan anak yang ketiga. Anak kedua dah diambil bekas ipar masa tu.

Untuk menambah pendapatan, aku berkebun dan bertanam padi. Kadang – kadang aku bercari sayur paku waktu pagi. Waktu petang aku bercari tubu keladi untuk dijual di pasar Kuching. Kadang – kadang malam – malam aku berikat sayur sampai pukul 12 atau 1 pagi. Pukul 5 bangun bersiap – siap menunggu bas untuk turun ke Kuching.

Sehingga tahun 2010, aku bekerja cleaner di sekolah tempat anak aku bersekolah dengan gaji hanya RM300. Sambil sambil tu, aku berkumpul duit untuk ambil lesen motosikal. Setelah ada lesen motosikal, setiap hujung minggu, hari Sabtu, aku bekerja membersihkan rumah Cina dengan gaji RM30 sehari. Dapatlah juga belanja untuk bayar motosikal.

Setelah 5 tahun menjanda, aku berkahwin lagi. Ingatkan bahagia menjelma, rupanya keluar mulut harimau masuk mulut buaya. Laki aku yang kedua seolah – olah lepas tangan. Barang dapur, api air semua aku yang bayar.

Katanya sebab anak aku yang banyak makan, anak aku yang banyak pakai air dan elektrik. Tak sampai setahun kahwin kali kedua, aku dapat kerja kerajaan. Belum payslip keluar, laki aku dah suruh aku jadi penjamin kereta dia.

Jadi makin bertambah beban aku sebab menanggung minyak kereta, alasan dia ulang alik hantar anak aku ke sekolah. Jadi berapa saja baki gaji yang tinggal. Kadang – kadang masa terima gaji saja aku dapat bagi anak poket money.

Laki aku langsung tak pernah menghulur duit kepada anak – anak. Seumur hidup dengannya mungkin ada sekali dua saja bawa anak – anak keluar makan. Itupun aku yang keluarkan duit. Sekian lama begitulah kejadiannya. Duit aku tak pernah cukup sebab gaji untuk semua, sedangkan gaji laki hanya untuk dia seorang sebab anak aku bukan tanggungannya.

Sehinggalah bila anak aku dah besar, anak aku mencari haluan dan tempat berteduh yang selesa dengan tinggal bersama aunty mereka iaitu bini kepada bekas suami aku. Sehingga mereka berjaya dalam hidup. Hubungan aku dengan suami kedua semakin hari semakin keruh. Makin hari semakin suntuk.

Gaji aku habis untuk bayar loan buat rumah kampung, bayar kereta, api dan air serta tambang anak sekolah. Bila dah gaji, terus beli barang dapur. Gaji yang tinggal kadang tinggal RM100 dua saja, itu juga lah yang diminta suami sedangkan dia ada gaji sendiri.

Kadang – kadang dia pula tanya di mana gaji – gaji aku, sedangkan dia tahu aku perlu bayar loan rumah, kereta dan minyak kereta yang mencecah RM300 sebulan. Dia cuma bayar kereta. Aku sering disumpah laki aku tulah dan sial.

Bila bergaduh dengan aku, aku akan diludah tak kira di depan khalayak ramai atau adik beradiknya. Rutin mingguannya adalah pulang ke kampung minum sampai pagi. Bila pulang ke rumah dia akan menendang pintu, kadang – kadang cermin rumah sehingga pecah.

Bila datang rumah, dia akan minta dihidangkan makanan. Kalau lihat lauk tak sedap, pinggan mangkuk atas meja akan dibaling. Begitulah bertahun – tahun sehingga dia dihalau anak – anak aku dari rumah. Sehingga kini status aku masih tergantung sebab aku tiada keyakinan untuk berunding dengannya. Sebab suami jenis laki yang tak ada adab dan adat, bengis dan panas baran.

Kini, setelah 2 tahun berpisah tak sebumbung, anak – anak pula mengungkit bahawa mereka terabai. Tak segembira budak lain bebas berjalan ke sana sini semasa sekolah menengah. Tapi apalah daya aku, sedangkan untuk isi minyak kereta aku saja, aku terpaksa menjual sayur. Itupun duit sayur aku ditanya laki aku di mana.

Bukan sengaja tak dapat membiayai anak – anak sekolah tinggi, tapi aku sendiri pun terdesak. Tapi tak bermakna aku tak ambil peduli. Ada masa aku ada duit, aku akan membeli lauk – lauk yang sedap di rumah. Aku sering terfikir apakah salah dan dosa aku diperlakukan sedemikian, sedangkan masa aku berkahwin dengan bekas laki aku, bapa mereka dulu pun aku sering dihina dan diperlekehkan semata – mata tak bekerja.

Sekiranya berkumpul sekeluarga, kami suami isteri lah yang jadi bahan bualan dan umpatan di depan – depan seolah – olah aku seekor anjing. Dengan bekas laki aku sekali menyumbang umpatan, menghina aku, isterinya sendiri di depan – depan adik beradik dan ibu bapanya.

Dari situlah keluarganya seolah – olah tiada adab dengan aku. Bila makan, akulah yang terakhir, maklum tiada menyumbang apa – apa. Bila dah sentiasa dihina, dipersalahkan dan tiada persefahaman, perceraianlah jalan terakhirnya.

Tetapi bila dah bercerai masih juga aku yang dipersalahkan. Nama aku juga yang digendangkan di sana sini. Dihebohkan di sebelah kampung mertua laki dan kampung mertua perempuan. Ya, bekas laki aku sentiasa betul biarpun umpama tiang yang sedang menyembah bumi masih juga ditegakkan. Umpama benang yang basah.

Bila semua anak – anak dah besar dan tahu membezakan senang dan susah, mereka memilih senang dan mengikut bini kepada pakcik mereka di mana mereka dibiayai dari segi persekolahan. Bila dah besar, mereka berpendapat mereka harus membalas budi mereka.

Kalau tidak disebabkan makcik mereka belanja sekolah tinggi, mereka tidak akan mendapat pekerjaan yang bagus sekarang ini. Andai mereka duduk dengan aku mungkin hanya mampu kerja di kedai kopi. Apa lah kisah setakat aku mengandung mereka, sebab bukan mereka yang minta dilahirkan.

Jadi pada fikiran mereka, mereka tidak bersalah seandainya mereka tidak ambil peduli dengan aku lagi. Pada mereka aku setakat pandai buat anak sahaja. Rupa – rupanya tiada harga pengorbanan yang aku beri setakat sekolah rendah.

Tiada harga pengorbanan aku yang selama ini sanggup masuk hutan keseorangan mencari sayur paku rebung setakat menyambung nyawa untuk hidup melihat hari esok. Aku redha bila anak mengungkit tak perlu memberikan duit sebab bukan aku yang menyekolahkan mereka di peringkat tinggi.

Ya, di sinilah pengajaran kepada kita semua agar jangan berangan banyak anak tapi tak dapat bagi sekolah tinggi. Yang dipandang sekarang adalah duit. Ada duit, siapa dapat bagi sekolah tinggi dialah yang dikenang. Jangan satu hari nanti kita dimarah dan diherdik anak cuma dapat buat anak sahaja.

Sehingga kini bila ada perayaan, aku akan diam di rumah seorang diri. Anak – anak tiap tahun akan pulang kampung ke rumah uncle mereka berkumpul sekeluarga dengan bekas abang atau adik ipar serta bekas mertua. Aku hanya bersangka baik sebab mereka masih ada pertalian sedangkan aku hanya bekas ipar atau menantu.

Komen netizen :

Nur Cahaya : 10 kali aku taip padam. Zaman sekarang anak banyak sikit tak menjamin. Ya, anak rezeki Allah, tapi kalau sampai sakit demam sekolah anak terabai, keadaan keluarga yang tak terurus, bapak kandung kaki mabuk, bapak tiri kaki spin, keluarga tu tak bahagia.

Ya, ibu banting tulang cari makan tapi keselesaan anak terabai, kehidupan bertempiaran. Di situ sepatutnya satu kegagalan rumah tangga dengan anak yang ramai. Berhenti cari pengganti, usaha hidup tenang dengan anak anak.

Tapi apa daya dah dapat suami yang tak nak tanggungjawab. Anak anak semakin hari semakin dewasa hidup dalam keluarga yang berantakan. Buat pengajaran kepada ibu tunggal sebelum menikah, kaji habis habis betul ke bapak tiri rela tanggung anak tiri, lagi lagi ramai.

Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5160 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.