Suami mengeluh bila saya minta hantar pergi hospital sebab ramai orang. Bila saya minta bawa pergi klinik, dia mengeluh kena keluar duit

Banyak kali saya minta suami hantarkan saya ke hospital sebab saya selalu sakit perut. Doktor suspek cyst atau fibroid. Saya hanya dibiarkan tidur dalam bilik, tapi suami sibuk tolong kawan kereta rosak..

Assalamualaikum. Sila sembunyikan profil saya. Saya betul-betul sangat terkilan dengan sikap suami saya, jujur cakap. Dulu ketika saya mengandung saya jatuh dalam bilik air. Saya minta tolong suami balik untuk hantar saya, dia cakap susah nak balik sebab kena kerja. Langsung tak ada perasaan risau. Dia marah saya sebab menyusahkan dia, tak reti jaga diri elok-elok, minta saya telefon keluarga dia untuk minta tolong.

Saya telefon, sama juga layanan mereka pada saya, sibuk kerja, tak boleh balik. Mertua sampai cakap ada keluar darah ke. Saya cakap takde, tapi saya risau sebab jatuh kuat. Mertua pula cakap takde apa lah, kalau keluar darah tu bahaya. Saya betul-betul sedih masa tu. Suami saya balik betul-betul waktu dia habis kerja. Saya jatuh tengah hari, maghrib baru dia balik. Bukan dia tak boleh balik, dia nak jaga nama baik dia sebab dia ketua tempat kerja. Banyak yang saya sedar, di saat saya jatuh sakit suami langsung ambil ringan.

Dan kali ini saya diuji lagi dengan sakit dalam rahim. Doktor syak seperti cyst, tengok dari imbasan memang nampak tak besar. Saya mula kena bulan tujuh, perut saya kerap sakit, setiap kali sakit perut akan keluar darah. Ada masa dia akan hantar ke klinik atau hospital dan ada masa saya terpaksa menahan sebab dia kerja, kadangkala balik kerja penat nak rehat.
Sampai sekarang benda tu masih lagi sama. Dia bukan hanya sakit perut tetapi sakit yang terlalu kuat. Baru-baru ini imbasan doktor suspek macam fibroid pula sebab mereka tak dapat detail lengkap apa yang ada di rahim saya. Jadi doktor akan rujuk saya ke pakar bulan Oktober ni.

Subuh tadi saya sakit di bahagian ulu hati, beberapa jam perut pun jadi sangat sakit. Saya meronta-ronta dalam bilik menahan sakit. Saya pergi tandas untuk buang air kecil, tiba-tiba ada keluar darah sedangkan baru saja period. Saya mesej suami bagi tahu saya sakit sangat dan minta dia kalau boleh balik awal.

Waktu tu dia masih bekerja lagi, berapa jam nak balik. Dia jawab dia tak boleh buat apa sebab belum masa dia balik, dia minta saya tahan dulu nanti dia balik. Dia beli minyak panas. Saya ingatkan dia nak bawa saya klinik. Saya ada juga tanya dia, tak nak bawa saya ke klinik atau hospital. Dia jawab, “mak aii nak bawa hospital bukan sikit, beratus orang.” Saya pun kata saya nak rehat dan tidur.

Jadi saya cakap kalau tak nak bawa hospital, bawa lah saya ke klinik sebab saya sakit sangat ni. Suami cakap mana ada klinik buka hari Sabtu. Saya diam. Sedih rasa seolah suami langsung tak hiraukan. Saya tahan sakit tu. Makin lama makin sakit di ulu hati. Saya terpaksa ganggu lagi suami. Saya cakap saya betul-betul tak tahan sakit. Kalau susah pergi hospital bawa lah saya ke klinik bayar. Suami saya jawab, “berapa pula harga nak kena bayar tu nanti, bukan takde duit tapi dia lagi sayang duit nak keluar.” Saya menahan lagi sampai dia balik.

Dia hanya sapu minyak angin di tempat saya sakit. Kami tak tidur satu bilik, dia pilih nak tidur sendiri. Selepas sapu minyak terus pergi masuk bilik. Saya pun terlelap sebab satu hari saya tak tidur. Pagi itu anak-anak bangun dan saya masih sakit di bahagian ulu hati. Saya bangun pergi cari suami di bilik sebelah. Tiba-tiba dia tak ada. Saya telefon dia.

Rupanya dia bantu orang betulkan kereta, alasan dia sebab saya masih tidur dia tak tahu nak buat apa. Ada orang minta tolong betulkan kereta. Sedangkan anak sudah bangun masa dia bangun tu. Tak tahu lah, mungkin saya ni tak penting bagi dia. Bila saya cakap lebih-lebih dia cakap saya ni tak matang, suka cari masalah punca gaduh. Sedangkan saya pun tak tahu di mana salah saya.

Kalau ada kereta sendiri saya dah bawa. Kadang-kadang saya beli ubat sakit perut di farmasi. Dalam lebih 20 ringgit pun dia bergaduh dengan saya sampai bermasam muka tak tegur satu hari. Minta pergi klinik hospital macam-macam alasan. Tapi kalau orang lain minta tolong laju je.

Saya letih. Saya sedih. Saya rasa keseorangan. Saya cuba kuat untuk anak-anak. Saya cuba senyum bila mereka tanya kenapa mak pucat. Saya cuba jawab biasa-biasa. Dalam hati rasa terhimpit. Saya tahu ada orang suruh jangan layan dia, biar dia lapar, tapi saya bukan orang yang nak benci sampai tahap itu. Saya cuma mahukan sedikit perhatian, sedikit empati. Kalau dia boleh susah hati bila orang lain sakit, saya pun manusia yang perlukan pertolongan.

Saya teringat satu waktu lain yang menambah sebak dalam hidup saya, masa saya sedang belajar dahulu. Waktu itu saya ambil diploma dan terpaksa kerja sambilan untuk bayar yuran. Saya duduk di asrama jauh dari kampung, suami masa itu masih baru dalam hidup saya dan belum lagi sebegini.

Malam menjelang hari peperiksaan besar, perut saya sakit sejak petang. Saya cuba ulangkaji tapi rasa loya dan berpinar. Saya telefon keluarga di kampung, menangis senyap kerana takut orang dengar, takut nanti dianggap lembik. Saya pergi ke klinik kampus, doktor suruh rehat, tapi saya fikir macam mana kalau saya tak ambil peperiksaan, tanggungjawab pada keluarga.

Saya minta izin balik ke bilik, bersendirian sambil pegang perut, menahan air mata. Seorang rakan sebilik nampak dan hulurkan air, itu sahaja. Saya cuba tidur sedikit, bangun waktu subuh mahu ke dewan peperiksaan. Dalam perjalanan ke dewan, saya hampir pitam dan pengsan sebentar. Pensyarah dan rakan tolong angkat saya ke bilik rawatan. Mereka panggil ambulans kampus.

Saya rasa malu dan kecewa, segala pengorbanan terasa sia-sia bila badan tak memberi kerjasama. Selepas itu, saya terpaksa tangguh satu kertas peperiksaan, dan keluarga saya terpaksa guna simpanan untuk rawatan. Saya lihat wajah mak yang sedih, ayah yang cuba tenang. Saya menangis sendirian malam itu. Janji pada diri sendiri waktu itu, jika saya lemah pun, jangan biarkan pengorbanan keluarga jadi sia-sia.

Kisah itu selalu datang bila saya alami sakit sekarang. Rasa terabai oleh orang yang terdekat lebih perit daripada sakit fizikal. Saya cuma mahu suami tahu satu perkara mudah, bila isteri sakit, perhatian dan usaha kecil pun sudah cukup. Telefon, tanya mahu dibawa ke klinik, pegang tangan, atau cakap “awak okay, saya nak balik secepat mungkin.” Itu sahaja sudah kurangkan rasa takut saya. Saya bukan minta layanan raja, saya mahu rasa dihargai.

Kepada sesiapa yang membaca, doakan saya kuat dan doakan suami saya diberi kesedaran. Saya mahu terus sihat untuk anak-anak dan untuk diri sendiri. Hidup ini tak mudah, tapi saya harap satu hari nanti suami akan sedar betapa pentingnya menjadi pendamping yang mengambil peduli, bukan hanya hadir bila semuanya senang.

Komen Netizen :
Roslina Abdul HamidDoakan suami jatuh sakit pulak lepas tu awak abaikan dia, bagi makan pun jangan, pandai-pandailah dia. Kalau masa dia sakit tu ada jiran yang buat majlis atau kenduri, awak pergilah tolong jiran tu dari pagi sampai malam, biar suami tu kebuluran kat rumah. Jangan jengah-jengah dia kat bilik dia tu kecuali kalau dah bau bangkai (maknanya dah kioklah tu). Biar dia rasa apa yang awak rasa.
Farhana IzzahDulu ex suami saya pun macam ni. Bila dia sakit saya kena layan dia macam raja. Makan kena hidang atas katil. Bila saya sakit dia marah, “kau ni asyik sakit je”, “kau ni derhaka dengan aku sebab tu kau sakit”. Sedangkan masa itu saya meraung tahan sakit gastrik. Boleh dia berdiri depan saya cakap macam tu. Saya pendam bertahun, akhirnya saya terpaksa bercerai. Lepas cerai saya terus ambil kad perubatan untuk saya dan anak. Saya kerja keras bahagiakan diri sendiri. Anak kena admit hospital pun dapat merasa hospital swasta. Saya tak mengeluh menangis lepas cerai. Saya baiki hidup saya yang serba kurang dulu. Saya kerja keras mewahkan diri sendiri, jaga kesihatan sendiri. Sis kena sayangkan diri sendiri dulu baru sayang orang lain.

Kongsi Artikel Ini :