Selama ni suami kata dia kena fitnah ada skandal. Rupanya dah 3 kali suami terlanjur dengan janda anak 4. Suami aku baru umur 25 tahun!

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

Aku tak puas hati, jadi aku suruh dia bersumpah sambil pegang perut aku atas nama anak. Akhirnya mengaku bahawa hubungan mereka sudah jauh dan suami terlanjur dengan janda tu. Bila ditanya berapa kali, dia jawab sudah 3 kali! Aku peluk suami sambil berbisik suruh dia bertaubat..

#Foto sekadar hiasan / AI. Assalamualaikum. Tolong hide nama aku. Aku hanya ingin meluah dan berkongsi. Aku ingin isteri isteri di luar sana beringat dan ambil pengajaran. DIA LUPA, ALLAH ITU ADA. Aku dan suami kenal dari zaman persekolahan lagi. Kami bercinta hampir 8 tahun, kemudian kami bernikah. Siapa yang tak bahagia jika jodoh kekal hingga ke jinjang pelamin?

Dikurniakan rezeki awal, aku bunting pelamin. Makin bertambahlah seri bahagia kami. Pada usia kandungan 5 bulan, Allah turunkan dugaan apabila aku menghidapi appendicitis dan perlu jalani pembedahan. Suami menemani aku selepas pembedahan.

Semasa cuti sakit, aku sedar perubahan sedikit demi sedikit pada suami. Dia cepat marah, kurang sabar dan ambil tak endah tentang aku. Suami aku seorang yang baik sebenarnya, solat tak tinggal, imamkan aku dan beri tazkirah selepas solat. Alhamdulillah, tapi dia lupa, Allah itu ada.

Tak disangka sangka, Allah tunjuk petanda. Di Facebook suami, ada wanita yang tak aku kenali. Aku stalk Facebook wanita tersebut dan terkejut apabila statusnya semua mengenai rindu dendam pada suami aku. Hati isteri mana yang tak hancur luluh?

Suami menafikan semua dan kata ada orang ingin hancurkan kebahagiaan rumah tangga kami. Dia kata mungkin salah seorang bekas kekasihnya. Sebagai isteri, aku percaya kata – katanya, tapi dia lupa, Allah itu ada. Ketika itu kandungan aku 7 bulan. Lebih mengharukan, suami aku sampai bersumpah itu dan ini. Secara tiba – tiba dia kembali romantik. Tapi dia lupa, Allah itu ada.

Satu malam, aku terbuka hati untuk check telefon suami. Inbox kosong, sent item kosong, tetapi di bahagian draft ada satu mesej untuk seseorang yang membuktikan mereka ada hubungan. Sekali lagi, hancur luluh hati aku. Saat itu juga aku tanya suami, tetapi dia diam dan ingin mula solat.

Aku paksa dia mengaku. Pada mulanya dia katakan wanita itu bekas kekasihnya dan mereka pernah keluar bersama. Ya Allah, terduduk aku semasa mendengar pengakuan itu. Aku menangis macam orang gila. Ya, macam orang gila, tapi dia lupa, Allah itu ada.

Dia ingat aku keluar untuk pergi kerja pada malam itu, tapi tak. Aku terus ke rumah kawan tanpa beritahu suami. Aku luahkan segalanya kat kawan dan rancang untuk menumpang di rumahnya sehari dua. Kemudian, kami kembali ke rumah aku untuk ambil pakaian.

Sampai di sana, kereta suami tiada. Tahulah aku dia keluar berjumpa perempuan tersebut. Malam itu juga aku pergi ke rumah mertua dan ceritakan semuanya. Suami belum pulang ketika itu, tapi dia tahu aku berada di rumah mertua. Suami telefon aku dan cakap dia jumpa perempuan itu sebab nak selesaikan hal mereka. Aku dah tak ambil peduli. Mertua pula pujuk aku supaya tak cerita kepada ibu bapa aku. Aku akur.

Suami pulang pada hampir jam 11 malam. Aku dan kawan tunggu dalam kereta. Suami sampai dan terus masuk kereta aku, kemudian terangkan bahawa perempuan itu yang gilakan dia. Dia mengaku berkawan dengan perempuan itu, keluar karaoke dan akhirnya mengaku bahawa perempuan itu sebenarnya bekas kekasihnya. Tapi janda anak 4!

Ya Allah, kami baru saja 25 tahun! Katanya, hubungan mereka hanya sekadar kawan. Dia cuba tinggalkan perempuan itu, tapi tak boleh sebab perempuan itu akan ugut dia untuk beritahu aku rahsia mereka. Bila aku tanya kenapa tak terus terang, dia bagi alasan sebab takut aku marah.

Ya Allah, macam aku tak marah ketika ini. Aku tak puas hati, jadi aku suruh dia bersumpah sambil pegang perut aku atas nama anak. Suami pada mulanya tak setuju, tapi tetap buat dalam keadaan terpaksa. Kemudian, kami pulang dan aku mendiamkan diri. Aku masih terasa ada sesuatu yang suami sembunyikan. Betul, suami aku lupa, Allah itu ada.

Pada subuh hari, aku kejut suami. Aku tanya elok – elok dan suruh dia terus terang serta ceritakan segala – galanya supaya perempuan itu tak tambah cerita, tak buat fitnah dan tak ugut dia lagi. Suami diam sebelum akhirnya mengaku bahawa hubungan mereka sudah jauh.

Mereka sudah terlanjur. Bila ditanya berapa kali, dia jawab sudah 3 kali. Allah, berat sungguh dugaan-Mu. Bayangkanlah, aku sedang mengandungkan anaknya yang berusia 7 bulan! Ketika itu, aku diam. Setitik air mata pun tiada. Aku pandang kosong suami aku dan rasa cinta aku selama 8 tahun itu telah terkubur. Aku diam sejenak, manakala suami pula menanti jawapan sambil menangis. Dia mungkin baru menyesal?

Aku peluk suami dan bisik di telinganya, “Abang bertaubatlah, solat taubat banyak – banyak. Aku maafkan abang dan aku tiada dendam dalam hati.” Suami pandang aku sambil menangis teresak – esak dan bertanya adakah aku masih terima dia lagi. Aku hanya mengangguk.

Dia menangis sambil memeluk dan mencium aku. Aku terus bangun dan berwuduk. Ketika solatlah baru air mata aku jatuh. Pada Allah aku mengadu betapa hancur berkecainya hati aku ketika mendengar pengakuan itu. Hati aku tak tenang. Aku baca surah Ar Rahman sambil tersedu – sedu. Sebak yang tak tahu nak dicakapkan. Suami yang melihat turut menangis kerana dia tak sanggup tengok keadaan aku.

Dia telefon ibunya dan berterus terang tentang dosanya. Ibunya turut menangis dan meminta untuk bercakap dengan aku. Aku tak mampu untuk berkata – kata ketika itu. Aku hanya menangis dan menangis. Suami cerita, dia tak tahu kenapa dia boleh berubah sebegitu sekali.

Aku tanya apa yang kurang pada diri aku, tetapi dia kata tiada apa yang kurang. Aku ada rupa, 1,000 kali cantik daripada janda tersebut. Aku solat, taat pada suami, bekerja dan dah bagi dia anak. Aku tutup aurat. Apa lagi? Suami kata dia macam lupa diri dan tak tahu kenapa dia boleh jadi bodoh macam tu.

Dia menyesal dan ingin lari daripada perempuan itu, tapi perempuan itu ugut untuk beritahu dosa mereka kepada aku. Sebab itu dia terpaksa terus berhubung untuk tutup mulut perempuan tersebut. Memang sakitnya, ya Allah. Dia saja yang tahu. Aku hanya bertahan untuk sekejap.

Kemudian, aku tak boleh lupa dan mula rasa ingin marah. Aku minta cerai daripada suami dan suruh dia kahwini perempuan tersebut, tapi suami tak nak. Dia kata mati hidup balik pun dia tetap tak akan ceraikan aku. Pada saat itu aku kerap menangis.

Tambahan pula perempuan itu mengamuk – ngamuk kat suami dan aku. Habis dia cerita semua yang aku tak tahu, dan itulah yang amat menyakitkan. Perempuan itu hantar mesej kepada aku dan menyuruh suami aku hubungi dia. Suami dah patahkan SIM card. Aku balas mesej dan nyatakan tiada apa yang belum selesai. Aku dan suami baik – baik saja.

Lepas tu, dia balas dan kata tahniah kepada aku kerana bersuamikan dia. Perempuan itu kata lagi, pastikan suami aku tak cari dia seperti mana suami aku mencari dia ketika aku melakukan operation dulu. Ya Tuhan, ketika aku bertarung nyawa melawan penyakit, suami aku curang. Sedih dan pilu hati ni tak tahu nak khabarkan macam mana.

Tapi Allah tahu. Siapa yang tak marah? Memang aku marah, tapi aku belajar untuk memaafkan dan melupakan. Aku minta suami untuk menghargai pengorbanan aku dan jangan lupa bahawa Allah itu ada. Macam – macam suami tipu, tapi Allah bantu aku dengan memberi petunjuk.

Alhamdulillah, kami kekal sampai sekarang. Anak aku pun telah selamat lahir dan kami cuba untuk lupakan segalanya. Kami buka buku baru dan suami pun dah berubah. Dia tahu tak ada lagi peluang jika sejarah berulang. Jika berulang lagi, sememangnya tiada maaf bagimu.

Aku ada gaji sendiri, aku ada rupa, aku ada anak dan aku ada Allah. Apa ada hal? Mungkin ramai yang kata aku bodoh sebab bagi peluang. Tapi bagi aku, lagi bodoh jika aku meruntuhkan masjid sendiri. Aku yakin Allah itu ada. Pasti ada hikmah kenapa aku diduga sebegitu rupa.

Mungkin isteri isteri di luar sana akan ambil jalan cerai, mungkin juga balas dendam. Sabar sahabat – sahabatku, Allah itu ada. Kita kena percaya qada dan qadar. Kuatlah, bangkitlah. Tunjuk pada dunia tangan lembut kita mampu menggoncang dunia. Yakinlah, ALLAH ITU ADA! Allah, Allah, Allah.

Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5154 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.