Bina Rumah Baru Untuk Mertua Selepas Kebakaran, Akhirnya Dihalau Keluar Bersama Anak

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

Aku dan suami berhabisan duit untuk buat rumah. Habis RM16,000. Sekarang simpanan sendiri memang takde. Tinggal beberapa ratus je. Ibu mertua aku pandai berlakon. Bila depan suami aku, dia jadi malaikat. Bila suami aku takde, aku dan anak – anak dihalau keluar..

#Foto sekadar hiasan / AI. Aku dan suami telah bersama hampir 18 tahun. Anak empat orang. Dipendekkan cerita, rumah mertua hangus dan habis semua barang musnah. Dalam adat bangsa kami, akan dipilih salah seorang anak dan menantu yang akan menjaga ibu bapa, di mana 100% tugas akan digalas oleh orang yang terpilih kerana kami bukan beragama Islam.

Dalam hal ni, aku dan suami dipilih untuk menjaga mertua, iaitu ibu bapa suami. Suami aku ada tiga orang adik beradik lain. Dua orang kakaknya telah berpindah mengikut suami masing – masing. Tinggal suami dan si adiknya. Si adik suami, iaitu adik ipar aku, tua setahun daripada aku.

Sudah banyak kali berkahwin tapi bercerai sebab dia kaki mabuk. Pernah beberapa kali dia tinggal dengan aku dan suami dan kami juga yang menanggung segala perbelanjaan. Kalau aku bersuara meminta adik ipar untuk membantu membayar bil atau membeli makanan, ibu mertua aku akan memarahi aku dan katanya aku ni menantu yang jahat serta kakak ipar yang paling jahat di dunia.

Semua duit simpanan mertua dan barang kemas mertua diberi kepada adik ipar aku. Adik ipar aku tu lelaki. Sekarang semua duit dan barang kemas mertua aku dah habis. Mertua minta aku belikan balik barang kemas, tapi aku mana mampu?

Duit pinjaman yang mertua pinjam pun aku yang bayar setiap bulan dekat TEKUN. Tentu kamu semua tertanya – tanya bagaimana aku tahu duit simpanan mertua dah habis. Semuanya terbongkar bila rumah hangus. Mertua minta aku dan suami buat rumah yang baru.

Memang aku dan suami buatkan rumah, tapi duit aku dan suami tak berapa cukup. Jadi aku minta mertua keluarkan duit simpanan. Masa tulah mertua beritahu semua duit dia telah bagi dekat adik ipar aku. Adik ipar aku kata akan bayar balik semua duit tu apabila duit simpanan KWSP dia keluar nanti, dalam 17 tahun lagi.

Agak – agaknya dia akan bayar ke semua tu? Rasanya tak! Sebab sekarang pun dia ada duit, tapi dia tak nak bayar sikit – sikit. Terpaksa aku dan suami berhabisan duit membuat rumah tu. Habis RM16,000. Sekarang simpanan sendiri memang takde. Tinggal beberapa ratus sahaja. Ibu mertua aku seorang yang pandai berlakon.

Bila di depan suami aku, dia berubah jadi malaikat. Tapi bila suami aku takde, aku dan anak – anak dihalau dari rumah. Aku diperlakukan seperti orang gaji dan sentiasa dihina. Lebih 17 tahun aku memendam perasaan, cuma air mata sahaja yang mampu menitis.

Kenapa aku bertahan? Kerana suami aku adalah seorang yang baik. Dialah yang bantu aku. Tapi suami aku sangat takut kepada ibu dia. Pernah sekali mertua halau aku di depan suami, gara – gara aku ajak suami balik kampung jenguk nenek aku yang sakit.

Suami aku cuma terdiam sahaja mendengar ibunya menghalau aku dan anak – anak. Kata mertua, aku dan anak – anak tak berguna. Sekarang anak aku dah remaja. Mereka tak suka nenek mereka. Bukan aku yang ajar, tapi mereka sendiri mendengar kata hinaan daripada mulut nenek mereka dari kecil sampai mereka besar.

Suami pula tak dapat berbuat apa – apa. Dia cuma boleh suruh aku bersabar sahaja. Ya, aku bersabar. Aku gembira suami tak bergaduh dengan ibunya, tapi dalam masa yang sama aku terluka. Sekarang rumah yang dibina telah siap 90%. Aku dan suami tinggal di bandar, jarak antara kampung dan bandar dua jam.

Paling aku sedih, rumah yang hampir siap sepenuhnya tu telah didiami oleh mertua. Mertua pula kata rumah tersebut kami wajib kongsi dengan adik ipar. Sedangkan adik ipar tak keluarkan sesen pun duit untuk bina rumah tu. Alasan mertua kenapa perlu kongsi adalah kerana adik ipar pulang setiap minggu ke rumah tersebut.

Memanglah dia rajin pulang, sebab dia ambil duit dekat ibu bapa dia setiap minggu. Setiap kali balik, mereka buat pesta minum arak. Bila mertua takde duit, mulalah telefon aku dan suami minta belikan tu dan ni. Mereka minta kami bagi duit belanja juga kepada adik ipar, sedangkan adik ipar sendiri bekerja.

Kenapa pula harus suami aku yang bagi duit belanja? Suami dan aku pula dikatakan jahat kerana pulang sebulan sekali atau dua minggu sekali. Kami memang tak boleh balik kerap kerana suami cuma kuli biasa. Kalau kerap cuti, nanti kena buang kerja.

Aku pula buat bisnes sikit – sikit untuk tambah pendapatan suami. Persoalannya di sini, wajarkah mertua aku buat macam tu? Suruh aku dan suami kongsi rumah tu dengan adik ipar yang tak menyumbang duit sesen pun untuk bina rumah? Sedangkan suami aku bermatian kerja cari rezeki untuk kami semua dan bina rumah tersebut.

Aku sedar aku bukan menantu pilihan. Aku bersabar lebih 17 tahun kerana aku nak mempertahankan rumah tangga yang dibina. Aku sanggup dihina dan diperlakukan seperti orang gaji. Tapi bila harta yang suami aku dapat daripada hasil titik peluhnya sendiri diminta untuk dikongsi dengan adiknya, aku rasa sangat tercabar. Aku takut ada satu masa nanti aku hilang sabar.

Komen netizen :

Nor Hayati Mohd Ali :

Jalan cerita sangat bagus dan mudah difahami. A+ dik. Kalaulah suami awak pendek umur, apa akan jadi dengan rumah tu? Perlu ada surat perjanjian dengan peguam, dik. Di dalam perjanjian, masukkan sekali adik ipar atau sesiapa pun tak berhak melainkan awak, suami dan anak – anak sahaja.

Hantar kisah anda di sini -> https://hai.mehbaca.com/submit/

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5141 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.