
Kecil hati seorang surirumah yang penat menjaga anak OKU terlantar apabila berdepan sikap suami tak hargai isteri walaupun cuma diminta membuat sedikit kejutan sempena ulang tahun perkahwinan ke-10. Aku dah bagitahu hajat aku tu 5 bulan yang lepas, takkanlah RM10 hingga RM30 sebulan pun tak boleh menyimpan sedangkan ratusan ringgit mampu dihabiskan untuk beli vape setiap bulan..
#Foto sekadar hiasan / AI. Admin, terima kasih up kan story aku. Aku mohon admin hide kan profile aku. Aku mohon pandangan semua, baik lelaki dan juga perempuan. Soalan aku, adakah aku isteri yang tak bersyukur dan nak melebih – lebih? Atau suami aku yang jenis tak pandai menghargai aku? Sekiranya boleh, berilah nasihat kepada aku dan berilah nasihat kepada suami aku.
Untuk pengetahuan, aku mempunyai anak OKU terlantar. Aku surirumah tangga dan aku ada duit bulanan sendiri melalui duit hasil peninggalan rumah sewa warisan orang tua. Suami aku seorang yang baik dan bertanggungjawab. Dia juga seorang pekerja yang bertanggungjawab.
Suami bukan seorang yang melepak luar rumah. Kebanyakan masa di luar waktu kerja memang dihabiskan untuk tolong aku menguruskan rumah tangga, tambahan pula anak kami OKU. Awal perkahwinan kami, gaji dia hanya RM730 dan lepas tolak EPF SOCSO adalah RM690. Masa tu kami tinggal dengan mak aku dan keluarga banyak support kami.
Sekarang gaji suami RM4 hingga RM5k sebulan dan kami dah duduk rumah sendiri. Komitmen bulanan RM3k termasuk belanja dan ada lebihan sedikit untuk kami beli apa – apa kehendak selain daripada keperluan. Segala keperluan memang dia sediakan.
Duit belanja aku memang tak pernah minta sebab bagi aku, segala benda dah ada dan bahan masak semua dah ada kat rumah. Kalau aku nak beli kehendak aku yang bukan keperluan rumah tangga, aku akan guna duit aku sendiri tanpa susahkan suami.
Isunya, aku mohon suami buat sesuatu untuk anniversary kami yang ke 10. Bukan yang mewah – mewah pun, cukuplah sekadar tanda meraikan ulang tahun kami. Sekurang – kurangnya ada kenangan dia meraikan hari sejarah kami. Tapi setiap kali aku mengutarakan hajat aku, dia buat tak tahu. Kalau dia ambil tahu pun, pasti bergaduh bila bincang hal ni.
Ayat yang dia selalu guna, “Abang bukan orang yang sentimental value, abang bukan orang sastera, itu bukan cara abang.” Setiap kali tu juga lah aku akan kata, “9 tahun sayang ikut cara dan kehendak abang, apa salahnya kalau tahun ni abang ikut kehendak hajat sayang.” Dia juga akan kata dia bukan orang berduit.
Walhal aku dah utarakan hajat aku tu 5 bulan yang lepas. Takkan lah RM10 hingga RM30 sebulan pun tak boleh menyimpan? Aku tahu dia mampu lebih daripada tu sebab ratusan ringgit dihabiskan untuk vape sebulan. Aku selalu jadi isteri yang faham dia, kerja dia dan kehendak dia. Kami bahagia, cuma aku tak tahu kenapa kali ni aku betul betul terasa hati.
Mungkin perasaan aku ni ada kaitan dengan peristiwa aku gugur sebelum ni. Suatu hari tu, dia nak pergi kerja dan aku keluar darah. Dia tanya aku sakit ke? Kalau tak sakit, kita pergi hospital lepas abang balik kerja je lah. Dia kerja shift petang masa tu dan jam 1am barulah kami sampai ke hospital. Kerana lewat dapatkan rawatan, aku keguguran.
Aku reda dengan apa yang berlaku, cuma kadang kadang aku seolah menyalahkan dia kerana dia sangat sangat pentingkan kerja melebihi aku dan anak. Alasannya, dia bukan orang yang berpelajaran dan sekarang kerja susah. Dia dah selesa dengan gaji yang bagus dan dia kena jaga kerja tu untuk keselesaan kami sekeluarga.
Aku faham alasan tu dan selalu beralah dengan apa saja alasan yang berkait kerja. Tapi lama lama aku selalu tanya pada diri aku, dia kerja untuk keluarga, tapi dia abaikan perasaan aku untuk kerja dia. Perasaan tu aku pendam sendiri selama ni.
Selepas aku gugur, aku alami gangguan emosi dan halusinasi. Aku bagitahu dia aku perlu jumpa psikiatri, tapi aku rasa dia ingat aku main main je. Aku ulang banyak kali, tapi dia masih sama dan endah tak endah. Masa tu aku sebenarnya perlukan sokongan dia, tapi aku rasa macam aku kena hadap semua tu sendiri.
Bila hari ulang tahun kami tiba, aku ingat ada sesuatu yang dia nak buat untuk aku. Aku dah berharap sebab aku dah luahkan hajat tu 5 bulan lebih awal. Tapi akhirnya memang aku syok sendiri. Nothing. Semuanya masih sama macam 9 tahun dulu.
Aku kecewa dan menangis. Dia hanya kata dalam nada seperti perli, “Maaf lah, abang ni memang bukan suami yang baik. Abang ingat kita serasi, rupanya kita tak serasi.” Disebabkan dia cakap macam tu, aku rasa marah dan bertambah sakit hati. Aku bukan minta benda mewah, aku cuma nak dia tunjuk yang dia ingat dan hargai ulang tahun perkahwinan kami.
Sejak hari tu, aku malas nak masak dan takde mood. Aku hanya uruskan anak je. Walaupun dia cuba pujuk aku dan cuba berbual bual cara baik, aku tetap hilang mood nak berborak dengan dia. Sampai pandang muka dia pun aku malas sebab aku rasa terlalu kecewa.
Selama 9 tahun ni aku tak pernah meminta minta. Aku selalu cuba faham dia, dahulukan kehendak dia dan beralah dengan alasan kerja dia. Tapi kali ni, bila aku meminta sesuatu yang kecil untuk diri aku, aku rasa macam permintaan tu langsung tak penting bagi dia.
Aku tak tahu orang di luar sana faham atau tak perasaan aku, atau aku ni orang yang jenis tak bersyukur. Aku tahu suami aku banyak buat tanggungjawab dia dan aku tak nafikan semua tu. Cuma aku tertanya tanya, salah ke kalau sekali sekala aku nak rasa dihargai sebagai seorang isteri?
Komen netizen :
Cik Puan Delima :
Actually apa yang aku faham, sis ni bukan terkilan sangat sangat pun pasal nak sambut anniversary tu. Dia sebenarnya perlukan perhatian dan nak suami dia banyakkan masa dengan dia semasa emosi dia tak stabil dan fahami dia. Besar sangat ke permintaan dia nak sambut anniversary tu? Tak romantik tak semestinya tak boleh buat.
Ego je tinggi. Tak boleh nak bawa makan makan, belanja itu ini, simple je. Order je kek dan coklat letak atas meja dah cukup, dengan nota terima kasih bersama abang. Dah simple, kek sepotong je pun. Dia emosi sebab keguguran, kemurungan dia bukan main main.
Ini tanda – tanda dia memerlukan sokongan moral dan perhatian. Memang betul lah suami tu serba serbi jaga dan penat kerja, tapi sia sia kalau one day isteri yang banyak berjasa tu tak jadi isteri yang normal lagi selepas tu. Sia sia kau kerja kuat sebab isteri tu mungkin meroyan atau kemurungan, lagi berat daripada masalah kerja. Percayalah, kemurungan bukan main main. Siapa dah pernah lalui tahu lah.
Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini
PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.