
Rumah ini dibeli bersama tapi saya yang bayar sepenuhnya. Segala perabot, hiasan, katil saya yang beli. Kereta dia pun saya yang bayarkan. Bila tahu suami nak kahwin lain, saya akhirnya pilih untuk berpisah. Tak sangka bekas suami minta saya keluar dari rumah. Katanya itu rumah dia.. Saya dihalau..
#Foto sekadar hiasan / AI. Assalamualaikum semua. Alhamdulillah kalau min sudi siarkan luahan saya ni. Saya nak kongsi satu kisah yang saya sendiri anggap sebagai kemenangan dalam hidup saya. Mudah – mudahan ada wanita yang sedang rasa takut nak buat keputusan jumpa sedikit keberanian lepas baca cerita saya.
Dulu saya pernah dengar seorang penceramah kata, malang seorang perempuan kalau tersalah pilih suami. Tak sangka saya sendiri diuji dalam hal ni. Umur saya sekarang awal 50 – an. Saya ada tiga orang anak, semuanya perempuan.
Yang sulung dah bekerja, yang bongsu pula tahun ni ambil SPM. Saya ada kerjaya sendiri dan alhamdulillah, gaji saya cukup untuk menyara kami sekeluarga. Cerita ni jadi enam tahun lepas. Hari tu, sebelum balik kerja, saya dapat WhatsApp daripada suami minta saya balik awal.
Katanya ada benda dia nak bincang. Saya ingatkan dia nak bincang pasal anak – anak, atau mungkin nak pinjam duit untuk beli kereta baru. Saya balas, “Okey,” lepas tu terus bergegas balik. Sempat saya senyum sebab jarang dia minta macam tu.
Sampai rumah, anak – anak pun baru balik sekolah. Suami tengah duduk dengan telefon di tangan. Saya ingat lagi badan memang penat hari tu, banyak kerja di pejabat. Saya masak dulu. Lepas makan malam, saya naik ke bilik untuk solat Isyak. Saya masih duduk atas sejadah masa suami masuk dan duduk dekat saya.
“Dah beberapa tahun ni you selalu balik lambat,” dia mula bercakap. Saya senyum je. Entah kenapa masa tu saya fikir mungkin dia nak ucap terima kasih dekat saya. Lepas tu dia sambung, “I spend a lot of time alone. Itu yang I nak bincang dengan you.”
Saya ubah cara duduk. Dah mula rasa tak sedap hati. Memang betul saya selalu balik lambat. Masa tengah bina kerjaya dulu, pukul lapan pagi saya dah keluar. Hampir pukul sembilan malam baru sampai rumah. Anak – anak, suami yang uruskan.
Kadang – kadang hari Sabtu pun saya kerja. Kalau banyak sangat kerja tak siap, saya bawa balik buat di rumah. Tengah saya fikir semua tu, saya dengar dia cakap, “I nak kahwin lain.” Saya pandang muka dia. Air mata saya menitik. Dia pegang tangan saya dan tanya, “Can you let me?”
Saya tunduk. Nak menangis teresak – esak pun rasanya saya dah terlalu penat. Saya lepaskan tangan dia, bangun lipat telekung dengan sejadah. Malam tu, pertama kali lepas solat Isyak saya terus tarik selimut nak tidur. “You fikir dulu. I tak paksa. Nanti dah fikir, bagitahu I,” katanya. Lepas tu dia tutup lampu dan keluar dari bilik.
Malam tu saya tidur lama dan lena. Paginya saya bangun awal, suami masih tidur. Saya kejut anak – anak, buat sarapan dan bersiap macam biasa. Sebelum keluar, saya kejut suami dan bagitahu saya nak pergi kerja. Dia pun dah kena bangun bersiap pergi kerja.
Sampai je di pejabat, baru saya menangis puas – puas. Sedih sangat. Hari tu saya ambil keputusan balik awal. Sampai rumah, saya duduk di ruang tamu. Saya tengok barang satu – satu. Hiasan rumah, barang dapur, sofa yang saya tengah duduk tu, semua saya beli.
Katil tempat kami tidur pun saya yang beli. Kereta saya, saya bayar sendiri. Rumah tu kami beli bersama, tapi dari segi bayaran, semuanya saya tanggung. Saya masuk bilik anak – anak pula. Mungkin selama ni mereka kurang dapat perhatian saya, tapi segala kelengkapan mereka saya sediakan.
Hari jadi anak – anak saya tak pernah lupa. Hari jadi suami, sampai hari jadi mak ayah mertua pun saya ingat. Saya sibuk kerja sebab nak bagi kami semua hidup selesa. Salah ke saya? Suami saya orangnya pendiam, penyayang dengan anak – anak.
Selama ni dia banyak sokong saya dalam kerjaya. Kalau betul saya dah terlalu abaikan dia, saya sendiri tak perasan. Kami bercinta dari zaman belajar lagi. Dia kerja sebagai pemandu di sebuah jabatan kerajaan. Gaji kami memang jauh beza, cuma rezeki saya dalam kerja lebih sikit.
Dari dulu saya terima dia seadanya. Tak pernah saya ungkit siapa keluar duit lebih untuk keluarga. Lepas dia cakap nak kahwin lain, baru semua benda tu datang dalam fikiran saya. Terasa sia – sia saya penat bekerja selama ni. Bukan senang saya nak dapat gaji tu setiap bulan.
Kereta yang dia pakai pun saya yang bayarkan. Tak nampak ke dia apa yang saya usahakan untuk kami? Kalau kena hidup susah pun saya rela, asalkan dia setia. Kalau dia nak saya berhenti kerja supaya boleh beri perhatian sepenuhnya pada dia, saya sanggup.
Malam tu suami macam ternanti – nanti jawapan saya. Kali ni saya tak menangis. Saya senyum dan cakap, “I bagi izin. Kahwinlah. Yang penting anak – anak setuju.” Dah beberapa tahun saya tak nampak dia senyum sebahagia tu.
Berkali – kali dia cium tangan saya. Dia kata dia akan beritahu anak – anak. Saya diam je lepas tu. Nak senyum pun tak, nak menangis pun tak. Saya sendiri tak pasti anak – anak akan menyebelahi saya atau tidak. Suami panggil ketiga – tiga anak kami.
Mereka datang duduk sambil senyum – senyum. Selalunya kalau kena panggil berkumpul macam tu, kami nak bincang pasal nak pergi bercuti kat mana. Kali ni saya tutup TV dan cakap, “Abah nak bagitahu sesuatu.”
“Do you guys remember Aunty Ina?” suami tanya. Oh, Ina rupanya nama dia. Dari malam tadi saya sibuk fikir nasib sendiri sampai saya langsung tak tanya siapa perempuan yang dia nak kahwin tu. Anak – anak pandang abah mereka dengan muka pelik, tapi mereka angguk.
“What do you think kalau Aunty Ina masuk dalam family kita?”
Along pandang saya. “What do you mean?”
“Abah nak kahwin dengan Aunty Ina. Abah nak tolong dia.”
Hampir tergelak saya dengar. Dalam hati saya, tak terfikir ke dia yang saya pun perlukan pertolongan? Dia ingat saya tak penat dengan kerja saya hari – hari? Tapi saya diam.
“Mama setuju?” Along tanya saya.
Belum sempat saya jawab, suami dah menyampuk, “Yes, mama dah setuju.”
Along terus bangun dan pergi. Memang nampak dia marah. Anak kedua yang dari tadi diam datang peluk saya. Yang bongsu pula menangis. Saya cuma pandang suami. Esok pagi, anak – anak minta saya yang hantar mereka ke sekolah.
Dalam perjalanan tulah hati saya mula tergerak nak buat keputusan yang paling besar dalam hidup saya. Anak saya merayu nak tinggal dengan saya. Berkali – kali saya terangkan yang mama dengan abah tak berpisah pun. Dia tetap ulang dia nak duduk dengan saya.
Along pula cakap, “Mama, be strong. Apa pun jadi, Along tetap dengan mama. Along tak setuju dengan abah. Mama pun patutnya tak setuju!”
Hari tu juga saya ambil cuti kecemasan. Saya jumpa suami dan beritahu dia saya nak bercerai. Dia terkejut. Dia rayu supaya saya fikir balik, tapi saya cakap saya dah buat keputusan. Saya fikirkan anak – anak perempuan saya.
Saya tak mahu mereka tengok saya tahan je walaupun hati saya dah tak boleh terima. Saya sendiri pun dah penat nak terus tanggung suami bila segala usaha saya selama ni macam tak dihargai. Bila dia cakap nak kahwin lain, saya rasa terhina.
Buat pertama kali, depan dia juga saya marah, menangis dan maki hamun. Semua yang terpendam sepanjang hampir 20 tahun kami kahwin terkeluar hari tu. Hilang rasa hormat saya. Tengok dia pun dah rasa macam tengok orang luar.
Seminggu lepas tu dia pujuk lagi. Dia janji akan putuskan hubungan dengan perempuan yang saya sendiri tak pernah kenal tu. Dia merayu saya batalkan perceraian. Saya beritahu dia yang saya dah tak ada hati. Anak – anak pun dah mula tak bertegur dengan abah mereka. Saya tetap dengan keputusan saya.
Bila semuanya selesai dan kami sah bercerai, saya sujud syukur. Saya doa minta Allah bantu saya teruskan hidup. Bekas suami minta saya keluar dari rumah kami. Katanya itu rumah dia. Saya keluar. Saya tahu saya mampu hidup sendiri. Alhamdulillah, abang saya bagi kami duduk di rumah yang sebelum tu dia sewakan.
Kami tinggal berempat. Saya nampak anak – anak lebih gembira. Saya pun mula lepaskan jawatan – jawatan besar yang saya pegang di tempat kerja supaya saya boleh beri lebih perhatian pada mereka. Sekarang dah enam tahun berlalu, saya masih bersyukur dengan keputusan saya masa tu.
Saya rasa lebih dekat dengan anak – anak. Rumah kami yang dulu dah dijual. Saya pun dah beli rumah lain untuk saya tinggal dengan anak – anak. Lepas bercerai, saya rasa lebih tenang. Saya dah redha. Yang penting bagi saya sekarang anak – anak.
Kalau bekas suami tak beri nafkah untuk mereka pun, saya tak kisah. Pernah si bongsu cakap, “Yaya tak suka abah.” Saya senyum je. Tak pernah saya hasut mereka supaya benci abah mereka. Mereka ada masa semua tu berlaku, dan itu reaksi mereka sendiri.
Dengan keluarga mertua, hubungan saya masih baik. Mak ayah mertua masih tanya khabar. Mereka masih berharap saya kembali pada anak mereka. Jawapan saya tetap sama, “Tak apalah, saya selesa macam ni.” Perempuan ni boleh sabar lama. Kita sanggup kerja penat – penat sebab nak tengok orang yang kita sayang hidup senang.
Kadang – kadang yang kita nak dengar tu “terima kasih” je, supaya kita tahu dia nampak apa yang kita dah usahakan. Kalau ada hak kita yang dia abaikan, kita nak juga dengar dia minta maaf. Hidup susah dengan orang yang kita sayang tu kita sanggup.
Yang sakit bila dah buat semua tu, kita rasa macam dia tak hargai. Masa saya rasa macam tulah anak – anak yang banyak kuatkan saya. Saya tahu ramai perempuan yang masih cuba pertahankan rumah tangga. Ada yang menangis sorang – sorang, lepas tu keluar jumpa anak masih boleh senyum macam biasa.
Ada yang bertahan sebab fikirkan anak. Saya faham perasaan tu. Rezeki saya, masa saya sendiri tak tahu nak buat apa, anak – anak pula yang bagi saya semangat sampai saya rasa saya boleh teruskan hidup tanpa berpaut pada suami.
Jangan ingat sebab saya ada kerjaya, senang untuk saya buat keputusan tu. Masa suami berpaling daripada saya, saya rasa macam dah hilang semuanya. Saya pun jatuh, saya pun rasa sakitnya. Sampai sekarang saya ingat apa Along cakap dalam kereta pagi tu.
Masa tu mama yang patut tenangkan anak, tapi anak yang bagi mama kekuatan. Kalau selama ni kita dah ikhlas buat yang termampu kerana Allah, tapi rumah tangga tu tetap bukan rezeki kita, jangan takut nak pilih haluan lain.
Apa pun keputusan kita, niatkan kerana Allah dan minta Dia bantu permudahkan urusan. Alhamdulillah untuk apa yang kita ada hari ni. Saya doakan wanita yang tengah lalui apa yang saya lalui enam tahun dulu diberi kekuatan, apa pun keputusan yang kalian ambil. Terima kasih. – Dr Lily (bukan nama sebenar)
Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini
PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.