
Walaupun saya hanya suri rumah tapi saya ada degree, sama kelulusan dengan menantu saya sekarang. Sebab tu saya bukan mertua yang tak tahu apa-apa. Setiap kali menantu hantar suruh jaga cucu, mesti dia merungut anak demam, baju tak sama warna, anak jatuh lah. Satu hari menantu saya tanya sesuatu yang buat saya sedar dia sebenarnya ‘benci’ kami mertua..
#Foto sekadar hiasan / AI. Masa saya muda – muda dulu, kira – kira 40 tahun lepas, kebanyakan menantu yang saya kenal hormatkan mertua. Ada juga yang tak, tapi rata – ratanya pandai ambil hati orang tua. Bila tengok cara menantu saya sendiri, kadang – kadang saya terfikir, saya ni yang dah kuno sangat ke? Ada benda yang pada saya patutnya tanya dulu, dia main langgar saja.
Saya pun pernah muda dan pernah jadi menantu. Dulu saya bekerja, saya ada ijazah. Boleh kata taraf pendidikan saya dengan menantu lebih kurang sama. Tapi bila dia bercakap dan bergaul dengan saya, saya selalu terasa dia tak berapa hormatkan saya.
Kadang – kadang saya fikir, nasib baik saya tak duduk kampung. Kalau tidak, agaknya lagi dia tak suka. Takut saya menumpang rezeki dia agaknya. Saya tahu bukan semua menantu macam ni. Cuma memang ada yang belajar tinggi, tapi bodoh sombong.
Saya ambil contoh masa menantu saya minta tolong jagakan anak dia beberapa hari. Bila datang ambil, mulalah dia komplen. Anak selesemalah, demamlah, jatuh sampai ada parutlah. Macam – macam yang tak kena. Itu belum bab baju seluar anak dia yang katanya hilang.
Takkanlah saya buang baju cucu sendiri? Boleh jadi dia terlupa nak bawa dari rumah. Boleh jadi juga baju tu masih dalam bakul, belum sempat saya basuh. Pada saya, dia risau kalau cucu saya yang lain pakai baju anak dia.
Pernah saya cakap, lain kali tak payah susah – susah bawa baju. Kat rumah saya ada baju cucu yang lain, boleh pakai. Yang itu dia tak mahu pula. Katanya standard pasar malam. Tapi bila dia betul – betul perlukan orang nak jagakan anak, dia suruh suami dia, anak lelaki saya, yang cakap dengan saya. Dia sendiri tak berani nak minta.
Yang saya geram, kalau dia nak pergi mana – mana, susah sangat nak beritahu awal. Tinggal seminggu dua lagi nak pergi, baru dia beritahu nak hantar anak. Saya dengan suami pun ada rancangan nak makan angin dengan anak – anak yang lain. Pernah saya terpaksa batalkan rancangan kami sebab dia nak saya jaga anak dia.
Tentulah anak saya yang lain marah. Mereka dah ambil cuti, bilik hotel pun dah tempah. Memanglah kami nak bercuti dalam negeri saja, tapi tetap kena merancang. Bila mereka kecewa, saya pun kecewa. Pembantu rumah dia dapat cuti, saya pula kena batalkan cuti.
Saya ni dah berumur. Anak – anak dia pula tak makan masakan saya, jadi saya kena keluar pergi kedai belikan makanan. Kalau sekali, tak apalah. Ini dah tiga, empat kali. Ada yang sebab dia kena pergi mesyuarat di luar negara, sekali tu sebab dia nak pergi bercuti.
Bab kenduri pun lebih kurang. Kalau kenduri saudara – mara saya, jarang dia sampai. Selalunya emak dia ada hal, keluarga dia pun ada kenduri ataupun ada adik – beradik dia bertunang. Saya tak marah kalau dia nak pergi. Yang saya terasa, suami dia mesti ikut sekali.
Saya faham, itu suami dia. Tapi itu anak saya juga. Pada saya, anak saya patut dahulukan emaknya juga. Apa salahnya sekali – sekala bergilir? Dengan adik – adik ipar pun dia tak berapa ambil peduli. Kalau balik raya ke rumah saya, kadang tengah malam raya baru sampai.
Kadang – kadang petang hari raya baru nampak muka. Waktu tu semua dah tersedia, tinggal duduk makan saja. Tidur semalam, esok pagi – pagi dah nak balik rumah emak dia. Katanya cuti tak panjang. Saya rasa ada dua sebab dia tak mahu balik awal.
Satu, dia tak pandai masak. Satu lagi, dia takut kena keluar duit beli bahan nak buat juadah raya. Kalau balik lambat, semua dah siap. Dia ingat saya tunggu duit dia dengan duit anak lelaki saya ke baru boleh beli lauk? Saya masih mampu.
Saya nak mereka balik supaya dapat berkumpul, makan dan beraya dengan ipar – duai. Itu pun bukannya tiap – tiap tahun. Mungkin sebab saya dah tak bekerja dan tak ada pencen bulanan macam ayah dia, dia ingat saya harapkan duit anak – anak.
Saya ni ada simpanan sendiri. Saya mula terasa yang dia risau saya dengan suami akan susahkan dia masa dia tanya saya ada insurans perubatan atau tak. Dia kata kos rawatan sekarang mahal, lainlah kalau masuk hospital kerajaan. Lepas tu dia cerita pasal ayah dia.
Ayah dia bekas kakitangan kerajaan, tiap bulan ada pencen. Kata dia, kalau ayah dia masuk hospital kerajaan, boleh duduk wad kelas pertama, percuma. Dia hairan kenapa seorang pun anak saya tak kerja kerajaan. Kalau ada, katanya senang sikit kami nak dapat rawatan.
Suami saya sakit jantung dan pernah masuk hospital. Menantu saya tahu berapa banyak duit kami dah keluar untuk rawatan dia. Jadi bila dia tanya pasal insurans, saya rasa yang dia risaukan ialah kalau suami saya masuk hospital lagi, habis simpanan kami. Nanti anak lelaki saya pula kena tolong bayar bil.
Memang dia tanya dengan nada biasa. Mungkin orang dah tua macam saya ni cepat terasa, tapi begitulah yang saya tangkap daripada cara dia bercakap. Masa kami nak pergi umrah kali ketiga pun dia tanya, “Kenapa nak pergi banyak kali?” Kata dia, sekali pergi Mekah buat haji, sekali buat umrah, dah memadai.
Terdiam saya dengar. Saya dengan suami pergi guna duit simpanan sendiri. Kami dah ambil kira belanja hari tua dengan belanja rawatan, dan pada kami apa yang ada tu cukup. Kalau anak – anak nak hulur, kami terima. Tapi kami tak pernah minta mereka bayarkan.
Saya ada empat orang anak, dua perempuan dan dua lelaki. Bila tengok cara mereka ambil berat pasal kami, memang saya nampak bezanya. Anak perempuan lebih ambil tahu pasal kesihatan dan keperluan kami suami isteri. Yang lelaki pula, pada mata saya, banyak ikut cakap isteri.
Kalau kami buat kenduri, jamuan raya, atau masa kami nak pergi haji dan umrah, anak perempuanlah yang lebih banyak menghulur. Sedangkan keempat – empatnya dapat pendidikan yang sama. Saya selalu tertanya, kenapa anak perempuan yang lebih ambil berat pasal emak ayah? Setahu saya, dalam agama pun besar tanggungjawab anak lelaki pada orang tua. Tapi dengan anak lelaki saya sendiri, saya tak rasa macam tu.
Sebab itu saya pernah terfikir, kalau saya nak beri lebih sikit harta dan simpanan saya pada anak – anak perempuan, saya rasa patut juga. Mereka yang banyak ambil tahu. Anak lelaki saya, nak balik rumah emak sendiri pun susah. Macam mana saya nak mengharap pada mereka bila saya perlukan bantuan nanti?
Saya pernah dengar seorang ustaz berceramah pasal kifarah. Katanya, macam mana kita layan emak ayah dan mertua, boleh jadi macam itulah anak – anak layan kita bila kita tua nanti. Itu yang saya selalu fikir. Dulu saya menantu kesayangan mertua saya.
Bila mereka susah, sayalah antara orang yang paling banyak membantu. Tapi bila sampai giliran saya jadi mertua, kenapa saya rasa macam dipinggirkan? Kalau raya, sayalah orang kuat di dapur sediakan jamuan. Tahun yang saya tak dapat balik, saya kirim duit untuk beli daging, ayam dan apa yang perlu.
Mak ayah saya sendiri pun saya buat macam tu. Dua tahun sekali saya tukarkan langsir rumah mertua. Kuih raya dan baju raya untuk orang tua pun saya sediakan. Mertua saya tak perlu risau pasal persiapan raya, mak ayah saya pun dapat layanan yang sama.
Bila adik – adik ipar nak kahwin, saya pastikan suami ada hulur duit belanja kenduri. Kalau mertua sakit, kami suami isteri yang hantar ke hospital dan tanggung belanjanya. Di kampung memang tak ada hospital swasta, tapi tetap ada belanja yang kena bayar.
Tak pernah pula saya tanya mertua ada insurans ke tak, cukup ke duit nak pergi Mekah, berapa banyak harta dengan simpanan mereka. Bab makan minum mereka, saya pastikan suami hantar duit pada emaknya tiap bulan.
Saya tak pernah persoalkan kenapa mesti bagi duit pada emak ayah tiap – tiap bulan. Bila menantu sendiri berkira pasal benda yang saya tak pernah berkira dengan mertua dulu, memang saya terasa. Saya tak harap dia buat semua yang saya pernah buat.
Cukuplah dia tak cemburu kalau anak saya nak tolong emak ayah dia. Yang pedihnya, saya rasa macam dia dah takut saya akan minta duit suami dia kalau satu hari nanti saya sakit atau tak berduit. Akhirnya saya beritahu dia, lepas ni jangan hantar anak – anak dia untuk saya jaga lagi.
Saya dah tua, dah tak larat nak uruskan mereka. Kalau pembantu rumah dia lari dan dia tak ada orang nak jaga anak, dia kena cari jalan sendiri. Dulu saya pun bekerja sambil besarkan empat orang anak. Saya tak pernah ada pembantu rumah.
Masa anak – anak masih kecil, ada jiran yang tolong. Bila mereka dah besar sikit, saya ajar mereka berdikari. Pukul lima pagi saya dah bangun siapkan sarapan dengan makan tengah hari. Itu yang saya tertanya – tanya, kalau dulu saya boleh bangun pukul lima pagi untuk uruskan anak sebelum pergi kerja, kenapa menantu saya tak boleh buat?
Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini
PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.