Aku PJJ dengan suami, dia duduk dengan kakak dia. Setiap malam suami bawa balik perempuan, bila kakak dia tegur, suami kata jangan masuk capur

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

 

Mak mertua aku banyak kali pesan, lelaki kalau dah sekali curang mesti susah nak berubah. Itu yang jadi pada suami aku. Lepas satu, satu perempuan dia bertukar. Dia akan tipu cakap bujang dan duda. Sehinggalah, mak mertua pun tak tahan dengan perangai suami aku, dia suruh keluar..

Salam semua. Aku nak luahkan dekat sini apa yang aku rasa sekarang dan aku harap dapat semangat daripada korang semua. Aku dan suami dah berkahwin selama 8 tahun dan sekarang kami ada 2 orang cahaya mata, seorang perempuan dan seorang lelaki. Anak perempuan sulung aku berumur 7 tahun, manakala anak lelaki aku berumur 1 tahun 9 bulan.

Dipendekkan cerita, suami aku sebelum ni seorang yang baik, bertanggungjawab, sayangkan keluarga dan rapat dengan anak anak. Aku tak pernah terfikir rumah tangga kami akan jadi macam ni sebab selama ni aku percaya dia seorang suami yang baik. Tapi semuanya mula berubah selepas aku melahirkan anak kedua pada tahun 2024, masa aku masih dalam pantang.

Masa tu aku dapat tahu suami aku ada perempuan lain. Bayangkan keadaan aku yang baru lepas bersalin, badan masih sakit dan emosi pun belum stabil, tiba tiba dapat tahu suami sendiri curang. Aku cuba sabarkan diri dan minta penjelasan daripada dia, tapi dia langsung tak nak bercakap dengan aku sebab masa tu dia bekerja di luar daerah.

Selepas seminggu, tiba tiba dia WhatsApp aku dan beritahu yang dia nak bercerai. Aku betul betul tak tahu nak buat apa masa tu sebab aku masih dalam pantang dan kena fikirkan anak anak yang masih kecil. Bila dia tahu aku dah dapat nombor telefon perempuan tu, dia terus marah marah aku dan panggil aku dengan perkataan babi dan sial.

Aku tertanya tanya apa salah aku sampai dia sanggup layan aku macam tu. Aku dah bergadai nyawa melahirkan anak anak dia, tapi akhirnya aku juga yang diperlakukan macam orang tak ada harga diri. Masa dia susah dan tak ada kerja, aku tak pernah merungut walaupun dia cuma dapat gaji RM800 sebulan.

Aku tak pernah terlintas nak tinggalkan dia walaupun hidup kami masa tu susah. Aku sanggup gadaikan emas emas pemberian mak dan ayah aku semata mata untuk pastikan kami sekeluarga ada duit makan. Siang malam aku menangis seorang diri sambil fikir kenapa suami aku boleh berubah secara tiba tiba sedangkan aku tak pernah berhenti berusaha untuk pertahankan rumah tangga kami.

Sebulan selepas kejadian tu, tiba tiba dia WhatsApp aku semula. Kali ni dia minta maaf dan cakap nak berbaik dengan aku. Kemudian aku dapat tahu dia dah dibuang kerja sebab terlalu berfoya foya, jadi aku mula terfikir mungkin sebab tu dia nak kembali kepada keluarga.

Walaupun hati aku masih sakit, aku tetap bagi dia peluang kedua. Aku fikir mungkin dia dah sedar kesilapan dan nak berubah demi anak anak. Mak mertua aku pernah pesan, kalau lelaki dah mula berfoya foya dengan perempuan lain, jangan mudah percaya yang dia akan berubah hanya dengan sekali minta maaf.

Rupa rupanya apa yang mak mertua aku cakap tu betul. Tak lama kemudian, aku dapat tahu dia ada perempuan lain lagi apabila aku terbaca mesej dalam telefon dia yang memanggil perempuan tu dengan panggilan sayang. Aku tanya dia depan depan dan cakap kalau dia memang dah tak nak teruskan hubungan kami, lebih baik kami bercerai daripada aku terus hidup dalam keadaan macam ni.

Tapi dia jawab dia tak nak bercerai. Aku pun diamkan diri sebab dah terlalu penat nak bergaduh dan merayu supaya dia berubah. Dalam hati aku masih berharap dia akan sedar, tambahan pula anak anak masih kecil dan aku tak nak mereka membesar tanpa perhatian seorang ayah.

Untuk pengetahuan semua, suami aku bekerja di daerah lain, manakala aku dan anak anak tinggal di daerah yang berbeza. Masa tu dia tinggal bersama kakak dia, tapi perangai dia semakin menjadi jadi sampai dia sanggup membawa perempuan tu balik dan tinggal bersama dia.

Bila kakak dia tegur, dia boleh pula jawab supaya jangan masuk campur urusan hidup dia. Setiap hari, setiap malam dia sibuk berfoya foya dan langsung tak fikirkan tanggungjawab terhadap isteri dan anak anak sendiri. Selama 5 atau 6 bulan, dia langsung tak bagi kami nafkah.

Yang menyedihkan, bila dia tak ada duit, dia akan cari aku semula dan minta duit. Walaupun dia selalu merendahkan aku dan pernah cakap aku ni bodoh, aku tetap bagi juga sebab aku masih sayangkan dia. Kadang kadang aku sendiri tertanya kenapa aku terlalu mudah mengalah sedangkan orang yang aku pertahankan tu langsung tak fikir perasaan aku.

Aku bukan tak tahu dia buat salah, tapi masa tu aku masih berharap dia akan berubah. Aku fikir mungkin kalau aku terus bersabar, suatu hari nanti dia akan ingat semula tanggungjawab dia sebagai suami dan ayah. Aku juga takut kalau aku buat keputusan untuk bercerai, anak anak aku akan kehilangan keluarga yang lengkap seperti yang aku impikan sejak dulu.

Kemudian dia dapat tawaran kerja di daerah lain pula. Aku ingat bila dia berpindah, mungkin dia akan mulakan hidup baru dan berhenti buat perkara yang sama. Tapi rupanya dia tinggalkan perempuan yang sebelum tu dan mula mencari perempuan lain di tempat kerja baru.

Apa yang lebih menyakitkan, dia selalu menipu perempuan perempuan tu dengan mengatakan yang dia masih bujang atau dah duda. Dalam masa yang sama, aku masih sah sebagai isteri dia dan anak anak kami masih memerlukan seorang ayah. Aku mula sedar yang selama ni dia bukan sekadar curang, tapi sanggup menipu orang lain demi kepentingan diri sendiri.

Masa tu aku dah mula minta nasihat guaman untuk tahu apa yang patut aku lakukan. Aku suruh dia balik supaya kami boleh selesaikan masalah rumah tangga ni dengan cepat, tapi dia bagi macam macam alasan. Sekejap dia cakap tak ada duit, sekejap lagi dia cakap tak ada cuti, sampai aku sendiri dah tak tahu apa lagi yang nak dipercayai.

Sekali lagi dia dibuang kerja. Aku dapat tahu daripada mak mertua aku sebab masa tu dia balik ke rumah keluarga dia. Mak dan ayah dia cuba menasihati dia, tapi dia langsung tak nak dengar dan tetap dengan kehidupan dia sendiri.

Sampai satu hari, mak dia sendiri dah tak tahan dengan perangai dia lalu menghalau dia keluar dari rumah. Masa tu barulah dia kembali kepada aku dan anak anak. Dia mula berbuat baik, cakap menyesal dan berjanji nak berubah, sedangkan aku sendiri dah beberapa kali melalui perkara yang sama.

Sebelum mak dia menghalau dia, sebenarnya dia memang dah berniat nak balik berjumpa kami sebab anak kami sakit kuat. Jadi aku tak tahu sama ada dia betul betul rindukan keluarga atau sekadar kembali sebab dah tak ada tempat lain nak bergantung.

Walau bagaimanapun, aku tetap terima dia semula. Aku fikir mungkin kali ni dia betul betul dah sedar dan tak nak ulang kesilapan yang sama. Aku cuba lupakan apa yang berlaku sebelum ni walaupun kadang kadang bila teringat mesej perempuan lain dalam telefon dia, hati aku masih terasa sakit.

Malangnya, kebaikan dia cuma bertahan beberapa bulan sahaja. Selepas 9 bulan, dia dapat tawaran kerja di daerah lain lagi dan bermulalah semula kisah lama yang aku dah terlalu biasa lalui. Aku dapat tahu dia membawa perempuan lain tinggal bersama dia di tempat kerja baru, seolah olah semua peluang yang aku berikan sebelum ni langsung tak membawa apa apa makna.

Kali ni aku betul betul rasa dah tak mampu nak bersabar lagi. Dia langsung tak tanya pasal anak anak kalau aku tak beritahu terlebih dahulu. Kalau anak sakit, aku yang uruskan semuanya, kalau anak perlukan sesuatu, aku juga yang fikir macam mana nak sediakan.

Kadang kadang aku tengok anak anak bermain dan aku tertanya dalam hati, sampai bila aku nak terus hidup macam ni. Aku ada suami, tapi aku rasa macam ibu tunggal yang kena tanggung semuanya seorang diri. Aku cuma isteri atas kertas, sedangkan tanggungjawab dan perasaan aku sebagai seorang isteri langsung tak dipedulikan.

Sekarang aku dah tak ambil tahu sangat apa yang dia buat di luar sana. Bukan sebab aku dah reda dengan kecurangan dia, tapi sebab aku dah terlalu penat nak menyiasat, menangis dan kecewa dengan perkara yang sama berulang kali. Aku dah tak ada tenaga nak berebut perhatian suami sendiri dengan perempuan lain.

Dalam diam, aku dah sekali lagi mendapatkan nasihat guaman untuk mengetahui langkah yang boleh aku ambil. Kali ni aku serius nak failkan perceraian dan nak buat aduan berkaitan orang ketiga dalam rumah tangga aku. Aku cuma nak tahu hak aku sebagai isteri dan apa yang boleh aku lakukan selepas bertahun tahun melalui semua ni.

Sampai sekarang keluarga aku sendiri tak tahu sepenuhnya apa yang aku lalui. Aku masih cuba menutup aib suami dan tak cerita semua perkara yang berlaku sebab aku tak nak keluarga aku risau atau memandang rendah terhadap dia. Tapi aku sedar, selama ni mungkin sebab aku terlalu banyak berdiam diri dan memberi peluang, dia fikir aku akan sentiasa menerima apa sahaja yang dia buat.

Aku mengaku sebelum ni aku takut nak bercerai. Aku tak nak anak anak aku rasa kehilangan seorang ayah macam aku yang kehilangan ayah pada usia muda. Aku selalu cemburu tengok keluarga orang lain yang lengkap dengan mak dan ayah, dan aku tak nak anak anak aku melalui perasaan yang sama.

Tapi sekarang aku mula sedar yang aku juga perlu fikir tentang kebahagiaan dan masa depan anak anak. Aku tak nak mereka membesar dengan melihat ibu mereka sentiasa menangis, terluka dan diperlakukan sesuka hati. Aku nak mereka tahu yang seorang ibu juga berhak dihormati dan disayangi.

Aku bersyukur sebab masih ada keluarga mertua yang banyak memberi nasihat dan sokongan kepada aku. Kawan kawan rapat aku pun selalu beri semangat supaya aku kuat dan fikirkan masa depan diri sendiri serta anak anak. Kalau bukan sebab mereka, mungkin aku masih terperangkap dalam keadaan yang sama kerana terlalu takut nak membuat keputusan.

Terus terang, sekarang hati aku dah kosong. Aku dah tak rasa marah macam dulu, dah tak rasa nak menangis setiap kali dapat tahu dia ada perempuan lain dan dah tak berharap dia akan berubah seperti yang aku selalu harapkan sebelum ni. Aku cuma nak hidup dengan tenang dan besarkan anak anak sebaik mungkin.

Aku tak tahu apa yang akan berlaku selepas ni, tapi aku harap aku cukup kuat untuk teruskan keputusan yang aku dah fikir masak masak. Aku dah terlalu lama bertahan dan memberi peluang, sedangkan dia berkali kali memilih untuk mengulangi kesilapan yang sama.

Aku minta semangat daripada pembaca semua. Aku nak tahu, ada tak dalam kalangan korang yang pernah melalui keadaan macam aku ni? Macam mana korang kuatkan diri untuk mulakan hidup baru selepas bertahun tahun bertahan dalam rumah tangga yang menyakitkan?

Aku minta maaf kalau cerita aku panjang, sebenarnya banyak lagi perkara yang aku tak ceritakan sebab aku dah ringkaskan dan tinggalkan beberapa kejadian. Aku cuma harap perkongsian aku ni dapat memberi sedikit kekuatan kepada diri aku sendiri dan mungkin juga kepada perempuan lain yang sedang melalui perkara yang sama.

Terima kasih kepada semua yang sudi membaca luahan aku sampai habis. Terima kasih juga kepada keluarga mertua dan kawan kawan rapat yang tak pernah berhenti memberi sokongan kepada aku. Doakan aku kuat untuk buat keputusan yang terbaik demi diri aku dan anak anak.

Komen Warganet:

Yanie Yasmeen

Seriously, sikap awak ni yang buat suami berani curang. Sebab pada dia, awak bodoh dan senang diperkotak katikkan. Dia fikir awak akan tetap terima dia walau apa pun yang dia buat, jadi dia tak perlu ambil berat tentang perasaan awak.

Lelaki macam ni suka perempuan yang sentiasa ada bila mereka susah, masa nak duit atau masa tak ada tempat tinggal. Tapi bila mereka dah senang, isteri yang banyak berkorban pula dilupakan.

D Molex Decor

Jangan kembali lagi dengan lelaki macam tu, kak. Tolong sayangi diri sendiri juga sebab isteri berhak bahagia. Ingat anak anak dan ingat yang lelaki bukan seorang sahaja dalam dunia ni.

Lelaki yang dah biasa curang memang susah nak berubah kalau dia sendiri tak ada kemahuan untuk berubah. Jangan biarkan diri terus disakiti hanya sebab masih berharap dia akan jadi macam dulu, sedangkan kakak sendiri dah terlalu banyak kali memberi peluang.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5151 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.