
Hancur luluh hati seorang ibu apabila berdepan sikap anak derhaka aibkan ibu kandung sendiri di media sosial gara-gara isu perniagaan. Sejak arwah suami meninggal dunia, aku mula berniaga kecil-kecilan demi menyara anak yang sakit. Baru-baru ini, anak sulung ada berkongsi resepi ayam lidi untuk diniagakan, namun tak sangka ia menjadi punca pergaduhan besar antara kami..
#Foto sekadar hiasan / AI. Assalamualaikum, terima kasih sebab ada ruang ni untuk aku kongsikan sedikit luahan. Aku mohon hide siapa aku sebab aku tak pasti anak aku akan baca luahan ni atau tak. Aku cuma nak minta pendapat daripada orang ramai tentang masalah yang sedang aku hadapi sekarang, sebab sampai hari ni aku masih sedih dan tak tahu sama ada aku yang bersalah atau anak aku yang keterlaluan.
Untuk pengetahuan semua, aku seorang ibu tunggal dan mempunyai tiga orang anak. Umur aku sekarang 41 tahun dan aku pernah berkahwin pada usia yang muda, sekitar 18 tahun. Tapi perkahwinan pertama aku gagal dan daripada perkahwinan tu, aku dikurniakan dua orang anak yang sampai sekarang tetap ada dalam hati aku walaupun kami tak tinggal bersama.
Perkahwinan pertama aku musnah disebabkan bekas suami curang selama lima tahun daripada sepuluh tahun usia perkahwinan kami. Macam mana dia curang, rasanya tak perlu aku ungkit lagi sebab semua tu dah lama berlalu dan aku pun dah cuba reda dengan apa yang terjadi. Bekas suami aku berkahwin lain selepas tujuh bulan kami bercerai, manakala aku pula terpaksa meneruskan hidup sebagai ibu tunggal.
Masa kami bercerai dulu, aku tak ambil anak anak aku atas beberapa sebab. Pertama, aku rasa tanggungjawab mereka masih boleh dipikul oleh bekas suami mereka sendiri, dan kedua, masa tu aku memang tak ada tempat tinggal yang tetap kerana hanya menumpang di sana sini. Aku tak sanggup nak bawa anak anak merempat bersama aku, sedangkan aku sendiri tak tahu macam mana nak meneruskan hidup selepas perceraian.
Aku yakin ibu mentua aku ketika tu boleh menjaga mereka dengan baik, terutama dari segi agama dan pelajaran. Walaupun aku tak dapat tinggal bersama anak anak sendiri, aku tak pernah melupakan mereka. Kalau ada rezeki dan keadaan mengizinkan, aku akan pergi ziarah mereka dan kalau aku ada duit lebih, aku akan cuba berikan apa yang termampu.
Selepas lapan tahun hidup sebagai ibu tunggal, akhirnya aku berkahwin semula dengan pilihan hati aku sendiri. Suami kedua aku seorang lelaki bujang yang tiga tahun lebih muda daripada aku. Alhamdulillah, sepanjang kami bersama, aku dapat merasai semula kebahagiaan berumah tangga dan kami dikurniakan seorang anak yang sangat comel.
Anak aku ni mempunyai masalah duplex kidney, iaitu keadaan buah pinggang yang berstruktur berbeza daripada kebiasaan. Kalau nak diterangkan secara mudah, buah pinggangnya mempunyai sistem pengumpulan air kencing berganda, dengan empat di sebelah kanan dan empat di sebelah kiri seperti yang dimaklumkan kepada aku.
Walaupun keadaan fizikal kaki dan tangannya tak sesempurna insan lain, Alhamdulillah dia masih boleh berjalan secara normal. Bagi aku, anak ni tetap anugerah paling berharga dalam hidup aku. Aku bersyukur sangat sebab walaupun dia mempunyai keadaan kesihatan yang berbeza, aku masih diberi peluang untuk membesarkan dan melihat dia membesar depan mata aku sendiri.
Aku tak pernah menganggap kekurangan yang ada pada dirinya sebagai sesuatu yang memalukan, malah aku sayang dia sepenuh hati. Tapi kebahagiaan aku sekali lagi diuji apabila suami aku meninggal dunia lima bulan lalu. Usia perkahwinan kami ketika tu lebih kurang enam tahun, dan pemergian dia memang meninggalkan kekosongan yang sangat besar dalam hidup aku.
Aku bukan saja kehilangan seorang suami, malah kehilangan orang yang selama ni menjadi tempat aku berkongsi susah senang dan membesarkan anak kami bersama – sama. Sejak arwah suami tak ada, aku terpaksa kuatkan diri untuk meneruskan kehidupan.
Aku tak boleh terlalu lama bersedih sebab masih ada anak yang perlu aku jaga dan kehidupan yang perlu diteruskan. Aku memang berniaga kecil kecilan di tepi rumah sejak arwah suami masih ada lagi, dan sampai sekarang aku masih meneruskan perniagaan tu untuk mencari rezeki.
Aku tahu pendapatan berniaga kecil – kecilan ni bukannya besar mana, tapi sekurang kurangnya aku ada usaha sendiri untuk menyara kehidupan. Aku tak mahu terlalu bergantung pada orang lain, termasuk anak anak aku sendiri. Selagi badan aku masih kuat dan aku masih mampu berniaga, aku akan teruskan juga walaupun kadang – kadang penat dan hati terasa sedih bila teringat arwah suami.
Nak dijadikan cerita, anak sulung aku sekarang dah berkahwin dan dia pun ada perniagaan sendiri. Baru baru ni, dia ada berkongsi resepi ayam lidi yang dia jual dengan aku. Katanya, resepi tu asalnya daripada ayah dia yang dapat daripada seseorang yang menjual ayam lidi.
Aku pula memang dah lama berniaga kecil – kecilan, jadi bila dia berkongsi resepi tu, aku tak sangka langsung perkara ni akhirnya akan menjadi punca pergaduhan antara kami. Untuk pengetahuan semua, jarak rumah aku dengan rumah anak sulung aku mengambil masa lebih kurang dua jam perjalanan.
Kami bukan tinggal berdekatan dan masing masing ada kehidupan serta perniagaan sendiri. Aku berniaga di kawasan rumah aku, manakala anak aku juga ada perniagaan dia sendiri. Aku tak pernah terfikir yang menjual makanan yang sama boleh menyebabkan hubungan aku dengan anak sendiri menjadi seteruk ni.
Tapi semalam, aku betul betul terkejut apabila anak sulung aku mengaibkan aku di Facebook. Cara dia menulis memang kasar dan menyakitkan hati, lebih lebih lagi apabila dia sendiri merupakan anak yang aku lahirkan. Dia menuduh aku menciplak hasil jualannya hanya kerana aku menjual ayam lidi menggunakan resepi yang pernah dikongsikan kepada aku.
Apa yang paling menyedihkan, dia sampai berkata yang dia tak menghalalkan apa yang aku jual. Dia juga mengeluarkan kata kata bahawa aku akan merangkak memohon ampun daripadanya di Padang Mahsyar nanti. Allahuakbar, aku sendiri tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan aku ketika membaca semua tu.
Aku menangis sebab tak sangka anak yang aku sayang sanggup menulis sesuatu yang begitu menyakitkan hati ibunya sendiri di hadapan orang ramai. Aku bukan nak kata aku ni ibu yang sempurna. Aku tahu sepanjang membesarkan anak anak, mungkin ada kekurangan dan kesilapan aku yang mereka simpan dalam hati.
Aku juga sedar keputusan aku tak mengambil mereka selepas bercerai dulu mungkin menjadi sesuatu yang sukar untuk mereka fahami ketika kecil. Tapi keputusan tu aku buat bukan sebab aku tak sayangkan mereka, sebaliknya aku rasa ketika tu aku tak mampu memberikan kehidupan yang stabil kepada mereka.
Sampai sekarang, aku tak pernah meminta sesen pun daripada anak anak aku untuk menanggung kehidupan aku. Aku tak pernah memaksa mereka memberikan duit kepada aku, apatah lagi meminta mereka menanggung perbelanjaan rumah atau perniagaan aku.
Aku cuma cuba berdikari dengan kudrat yang aku ada, lebih lebih lagi selepas suami kedua aku meninggal dunia. Disebabkan terlalu terluka dengan kata kata anak sulung aku, aku sampai terkeluar kata kata dalam hati bahawa aku tak menghalalkan setitik air susu dan darah aku yang mengalir dalam badan dia.
Aku tahu aku sedang terlalu sedih dan marah ketika tu, tapi sebagai seorang ibu, bayangkanlah macam mana perasaan aku apabila diperlakukan begitu oleh anak sendiri. Aku tak pernah menyangka satu perkara berkaitan perniagaan boleh menyebabkan hubungan kami menjadi sampai macam ni.
Sekarang aku tertanya tanya, adakah aku memang bersalah kerana menjual makanan yang sama dengan anak aku? Adakah apabila seseorang dah menjual sesuatu jenis makanan, orang lain termasuk ibu sendiri langsung tak boleh menjual benda yang sama walaupun tinggal jauh dan berniaga di tempat berbeza? Aku bukan berniat nak menjatuhkan perniagaan anak aku, apatah lagi nak berebut pelanggan dengan dia.
Aku cuma nak mencari rezeki dengan cara yang aku mampu. Kalau betul anak aku terasa hati atau tak suka aku menjual ayam lidi, kenapa dia tak berbincang dengan aku secara baik terlebih dahulu? Kenapa perlu sampai mengaibkan aku di Facebook dan mengeluarkan kata – kata tentang Padang Mahsyar sedangkan aku ni ibu yang melahirkannya?
Aku tak tahu sama ada aku patut meminta maaf kepadanya atau membiarkan keadaan reda terlebih dahulu. Sebahagian hati aku masih terasa sakit dengan apa yang dia tulis, tetapi sebahagian lagi tetap memikirkan dia sebagai anak aku sendiri. Walau seteruk mana pun pergaduhan kami, dia tetap anak yang pernah aku kandung dan lahirkan ke dunia.
Aku mohon pendapat semua. Adakah aku terlalu teruk sebagai seorang ibu sampai anak sendiri sanggup berkata begitu kepada aku? Aku betul betul perlukan pandangan yang jujur, bukan semata mata untuk menyebelahi aku. Aku cuma nak tahu sama ada aku salah kerana berniaga benda yang sama, atau sebenarnya masih ada cara untuk kami menyelesaikan masalah ni tanpa terus menyakiti hati satu sama lain.
Komen netizen :
Cahaya Rania : Kak sila remove anak akak dari facebook tu. Kemudian buat tak tau je apa dia cakap, dia tu anak, akak tu mak. Dan sebagai seorang mak janganlah akak pon ikut per4ngai dia. Doakanlah yang baik – baik. Akak ada kehidupan akak sendiri biarkan dia nak a1bkan ke apa. Besar lagi d0sa anak buat ke mak gitu. Jadi jangan fikirkan sangat kak. Orang pon boleh nilai yang mana betul dan salah. Istighfar dan tenangkan diri.
Khansa Maisarah : Puan tak mampu nak mendidik dan menjaga anak dulu dan menyebabkan hubungan renggang. Walaupun ibu dan anak tapi realitinya sangat jauh. Sebaiknya sebagai ibu banyaklah berdoa untuk anak. Doa tu bukti puan menjaga amanah Allah. Bukan bila suka beranak tak suka har4mkan. Semoga dengan doa puan, anak puan mendapat kesed4ran dan dapat berbakti pada puan pada masa depan.
Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini
PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.