
Aku pelik ramai kawan – kawan ejek, cakap bibik tu mak tiri aku. Masa tu memang satu family tak tahu tentang abah dah kahwin dengan orang gaji. Lebih 6 tahun, abah dan bibik rahsiakan perkahwinan mereka. Akhirnya, kami sekeluarga dapat tahu, aku ni ada 3 orang mak tiri..
#Foto sekadar hiasan. Yang aku nak cerita bukanlah tentang hal peribadi rumahtangga aku, tapi tentang mak dan ayah aku. Dulu, masa aku kecil kira – kira darjah lima, mak pernah tanya, “kalau mak dengan abah pisah, adik nak ikut siapa?”.
Masa tu aku menangis sekuat hati aku. Aku sedih kenapa keluarga aku tak sebahagia keluarga kawan – kawan aku. Semua bab pisah cerai ni start bila abah buat hal. Masa tu kantoi abah kahwin dengan orang lain. Dan yang paling mengejutkan, mak tiri aku tu bibik aku sendiri!
Aku anggap dia macam kakak kandung aku, ada masa dialah yang backup aku bila aku dibuli akak dan abang aku. Dia yang jaga aku masa aku sakit dan demam. Dan ya, aku rasa aku sayang dia lebih dari abang dan akak aku sebab akak dan abang kandung aku masa tu tak peduli tentang aku.
Mak abah bergaduh, sampai satu ketika lepas balik sekolah aku cari mak takde. Aku tanya bibik, mana mak. Dia diam tak kata apa. Aku cari akak kat bilik pun, takde. Sudahnya aku call dan aku tanya mak kat mana. Mak kata mak kat kampung ada hal emergency.
Aku pelik sebab mak tak pernah balik kampung tanpa abah dan mak tak pernah balik kampung tanpa keluarga. Dari kecik, macam – macam hal berlaku dalam keluarga. Pernah satu ketika aku tak pernah tahu aku ada abang kandung, sebab rupanya abang masuk penjara.
Bila aku dah besar aku jadi kekok untuk bergurau senda macam orang lain bergurau dengan abang – abang dorang. Pasal orang gaji tu, jangan cakaplah. Masa aku darjah berapa entah, ramai kawan – kawan aku kata kat aku, “eh mak aku kata kan sebenarnya orang gaji kau tu mak tiri kau”.
Aku nafi senafi nafinya. Aku cuma kata, “mana ada, aku ada sorang je mak!” Terus masuk rumah hempas pintu. Masa tu memang satu family tak tahu tentang abah dah kahwin dengan orang gaji. Lebih 6 tahun, abah dan bibik rahsiakan perkahwinan mereka.
Bila dah kantoi, mak mintak pisah sebab rasa kecewa bila dikhianati tapi sebab abah fikir anak dah ramai, kesiankan kami anak beranak. Last – last abah ceraikan bibik dan kekal dengan mak. Ingatkan lepas dah kantoi tu, abah tak buat dah. Tapi tak. Abah ulang benda yang sama.
Akhirnya, kami sekeluarga dapat tahu, aku ni ada 3 orang mak tiri yang kehidupan dorang lebih mewah dari kehidupan kami. Syarikat yang ada pun abah jarang jarang ambil tahu. Mak yang selalu turun padang. Yang abah tahu, balik je dia ambil duit.
Ingatkan untuk apa. Rupanya dia labur duit dia untuk keluarga yang lain dan biarkan anak beranak kami kontang kanting. Aku cukup cemburu bila dapat tahu, setiap pagi abah akan belikan makanan untuk anak – anak dia yang lain, keluarga tiri, dan tak pernah belikan sarapan untuk aku.
Ya, aku tahu. Abah memang jenis tak pandai ambil hati anak anak termasuklah hati mak. Sampai satu tahap, kejadian yang sama berlaku lagi. Dan kali ni, abah keluar bukan dengan anak dara tapi isteri orang! Siap kata nak buat tebus talak, dan kemudian abah nak kahwin dengan perempuan tu. Ya Allah, masa tu hati aku hancur sehancur hancurnya.
Mak call dan pesan, “Belajar rajin – rajin ye untuk masa depan adik sendiri”. Sikit pun mak tak cakap pasal kes cerai yang dorang dah failkan kat mahkamah. Aku tahu pun, dari akak. Aku tahu hati mak hancur. Sebab mak dikhianati bukan sekali tapi berkali – kali.
Masa tu aku redha. Kalau berpisah jalan terbaik untuk mak, aku tak kesah yang penting mak bahagia. Aku balik ke kampung, cuba untuk ubati hati mak. Aku bagitahu mak, kalau aku jadi mak aku tak boleh tahan dengan perangai abah. Tapi mak kata, mak masih sayangkan abah.
Start dari kejadian tu, mak tak pernah tinggal solat hajat setiap malam. Mak tak pernah skip puasa sunat dengan niat, mak nak abah berubah. Mak kata mak doa, moga Allah bagi jalan hidayah untuk abah. Alhamdulillah berkat doa mak yang tak pernah putus, abah kembali ke pangkal jalan.
Abah tak pernah skip pergi masjid solat berjemaah. Abah tak pernah skip pergi kuliah kat masjid. Abah dah lain. Kalau dulu abah selalu takde kat rumah dengan alasan ada kerja. Sekarang abah lebihkan masa kat rumah dengan mak. Dan setelah berapa lama kemudian, Allah timpakan ujian. Abah sakit.
Sakit yang buatkan abah tak boleh berjalan. Lama abah kene tahan kat hospital. Lebih kurang sebulan, tapi selama abah kene tahan, mak tak pernah balik rumah. Ya! Tak pernah. Tak pernah walaupun takat nak ambil baju, mandi, makan. Semua kat hospital. Aku ulang. Mak tak pernah balik rumah walaupun hanya 10 minit. Setianya mak pada abah.
Selama mak jaga abah, mak tak cukup tidur. Bila kadang – kadang mak tidur, abah bangun ngadu sakit. Bila kadang – kadang abah tidur, mak masak dan mak buat kerja kerja rumah. Mak pernah cerita, abah menangis mintak maaf dengan mak masa mak jaga abah tu.
Mungkin Allah bagi kesedaran kat abah, sebanyak mana pun perempuan yang dia pikat, tak akan sama dengan mak. Setianya mak pada abah, takde siapa boleh ganti tempat mak. Aku cerita bukanlah untuk buka pekung di dada. Aku cuma nak jadikan pengajaran.
Aku tak pernah nafi tentang sunnah nabi dalam berpoligami. Tak salah. Tapi yang salahnya bila dari jalan yang salah. Kahwinlah kalau mampu untuk adil. Kahwinlah kalau mampu untuk tanggung semua. Kahwinlah kalau mampu untuk jaga anak – anak yang ada.
Jangan lepas kahwin, keluarga yang pertama yang terabai. Jangan lepas kahwin, letakkan tanggungjawab cari nafkah pada isteri pertama. Aku cerita bukan untuk minta komen yang negatif. Tak perlulah kata apa – apa tentang abah aku. Macam mana pun dia, dia tetap abah aku. Aku tahu, manusia tiada yang sempurna.
Alhamdulillah, Allah beri hidayah pada abah. Aku mohon, doakan yang terbaik buat keluarga aku. Moga Allah berikan hidayah pada semua ahli keluarga aku dan untuk aku juga. Mohon doakan hidayah yang ada kekal dalam hati. Mohon doakan aku tetap kuat untuk tempuh ujian yang akan datang.
Mohon doakan juga, abah cepat sembuh. Sebab aku rindu abah. Rindu nak keluar sama – sama dengan abah walaupun aku cuma dapat rasa keluar sama – sama bila hari raya. Abah, cepat sembuh ya. Adik rindu abah. Adik rindu keluarga kita.
Adik nak bahagia macam mana bahagianya keluarga orang lain. Adik kekok nak bersama makan satu meja walaupun kita cuma ada masa makan sama – sama masa raya. Itupun kadang – kadang tak cukup ahli. Itu pun kadang – kadang, abang tak ada kat rumah. Abah, adik rindu. Rindu semua.
Komen netizen :
Cats Megas : Ok la abah dah terima sakit mungkin atas silapnya yang lalu. Abah kau dah berubah sebelum nafas terhenti itu sudah cukup bertuah buat dia, buat mak kau. Ia sangat tabah mudahnya ia masuk ke syurga. Walaupun abah kau dah insaf, mati kelak kesilapan lama tetap dihitung jika kesemua wanita wanita dulu tidak redha dipersiakan jiwanya dulu. Dengan Allah kita boleh bersungguh memohon ampun. Dosa dengan manusia jika tidak diredhai maka akan nampak di atas dunia atau di sana kelak. Semoga Allah menerima taubatnya.
Hantar kisah anda di sini -> https://hai.mehbaca.com/submit/
PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.