Berpuluh tahun, ummi hadap perangai ayah yang baran. Ayah kikis duit ummi. Lepas ummi pencen, aku perasan ummi rapat dengan sorang lelaki

Sejak akhir akhir ni, ummi selalu ungkit tentang perangai ayah. Berpuluh tahun, ummi hadap baran ayah. Aku nampak ummi dah tak berjemaah dengan ayah. Ummi padam mesej dalam whatsapp. Semua jadi lepas Reunion..

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum semua. Aku Erin, umur dah tak muda (hehehe), dah bekerja dan ibu kepada seorang anak. Aku mempunyai tiga orang adik beradik dan aku satu-satunya anak perempuan.

Aku tengah serabut sebenarnya. Aku buntu sangat dan tak tahu nak buat apa. Korang tolonglah bagi pendapat yang bernas kat aku ya.

Sebelum tu aku nak bagi peringatan siap-siap. Confession ni panjang. Jadi kalau korang rasa bosan, tolong teruskan scroll dan mula baca lepas nampak perkataan DI SINI.

Ok cerita dia macam ni. Sebagai anak tunggal perempuan dan anak bongsu pulak, memang aku agak rapat dengan ayah dan ummi berbanding abang-abang. Jadi apa yang berlaku dengan ayah dan ummi, pergolakan rumah tangga dorang, semuanya aku tahu.

Masa aku sekolah menengah, dan benda ni berlarutan sampai universiti, malah sampai sekarang jugak, ayah dan ummi selalu sangat bertengkar depan aku. Bayangkan aku lagi seminggu nak exam PMR, dorang boleh bergaduh depan aku. Sebagai anak aku sangat-sangatlah tertekan.

Masa aku kecil, ummi aku pernah curang dengan ayah. Sejak tu ayah macam hilang hormat pada ummi. Tapi ummi cerita memang dari zaman mula-mula kahwin lagi ayah dah macam tu. Dipendekkan cerita, ayah maafkan ummi dengan alasan masa tu aku masih kecil dan aku sangat manja dengan ummi. Selesai bab zaman kecil.

Bila dah besar ni, sekarang ayah dan ummi pun dah berusia, jadi dorang dah tak kerap bergaduh macam dulu. Tapi bagi aku ayah dan ummi ada kelebihan dan kelemahan masing-masing.

Ayah
• Pesara. Setiap bulan dapat duit pencen lebih kurang RM1000.
• Panas baran. Setiap hari marah-marah. Tu masa kami kecil. Bila kami dah besar, abang aku yang seorang tu pulak selalu marah ayah. Aku benci abang selalu marah ayah, tapi aku tak salahkan abang 100%. Sebab ayah yang selalu tunjuk contoh dulu.
• Penyayang dengan anak-anak, tapi bila tengah marah memang naik tangan dan suara pun tinggi selalu.
• Sentiasa menyalahkan orang lain. Semua salah orang. Bahkan untuk benda-benda kecil. Contoh, barang ayah hilang. Benda pertama yang dibuat adalah tanya semua orang “siapa ambil barang ayah?” Sedangkan kalau aku, aku akan tanya “ada siapa nampak tak barang adik?” Nampak kan beza.

Tu baru kes barang hilang. Kalau kes besar lagi kecoh. Ummi curang dulu pun dia salahkan ummi 100%. Betul, curang tu salah dan aku pun benci sikap siapa-siapa yang curang. Tapi ayah langsung tak pernah terfikir apa yang dia buat sampai ummi boleh terjebak dengan orang lain.

• Sangat bangga diri, rasa diri dia hebat dan sentiasa betul. Sampai sekarang ayah rasa bangga sebab dia anggap dia suami yang baik, tak pernah pukul isteri, jentik pun tak pernah. Tapi dia tak sedar betapa dia mendera mental ummi.
• Disebabkan ummi kerja gaji tinggi, ayah selalu minta ummi beli atau bayarkan apa-apa. Jarang ayah nak keluarkan duit. Bagi ayah, duit dia adalah duit dia. Duit keluarga, minta kat ummi. Kereta, tanah, rumah, tv, perabot, kenduri kahwin anak-anak, semua guna duit ummi. Ayah? Komplen, komplen, komplen.
• Sangat sensitif dan cepat merajuk. Terutamanya dengan ummi. Sekarang ayah dah tak boleh memandu, jadi pergi mana-mana pun ummi yang drive. Tapi setiap kali ke mana-mana, mesti aku stres. Ayah kan sentiasa rasa diri dia pandai. Jadi dia yang akan tentukan nak ikut jalan mana. Ummi pulak, ada masa akan bantah sebab jalan yang ayah nak tu lebih jauh. Dah la minyak kereta semua ummi yang bayar. Kalau ummi bantah, sepanjang perjalanan ayah bermasam muka. Korang rasa seronok tak pergi jalan-jalan dengan keadaan tegang macam tu? Sumpah aku benci.

Dalam perjalanan pulak, ayah yang akan bising suruh ummi drive laju, potong kereta depan dan macam-macam lagi. Padahal tu kerja driver. Kadang ayah suruh potong kereta depan padahal ummi nampak ada kereta dari arah bertentangan, cuma ayah tak nampak. Cara parking kereta, nak undur kereta pun semua kena ikut cara dia. Sedangkan ummi sangat cekap memandu. Setiap hari selama berpuluh tahun ummi drive sendiri pergi kerja.

Pernah jugak ummi accident sebab dengar cakap ayah. Pernah jugak kena saman sebab ayah suruh laju. Tapi macam biasa, semua kos kerugian dan bayaran bawah tanggungjawab ummi. Ya, ummi bayar seorang.

• Ayah pernah janji dengan ummi nak buat rumah sendiri untuk ummi dalam masa beberapa bulan. Jadi ummi keluarkan duit. Namun janji tinggal janji. Bayangkan, 10 tahun ummi tunggu dan rumah tu tak siap-siap. Ayah selalu minta duit kat ummi untuk beli simen, batu, bata dan macam-macam untuk buat rumah.

Bila dah beli, projek tak jalan pun. Macam-macam alasan ayah bagi, hujan la, ada benda lain yang lebih penting. Akhirnya barang-barang tu semua rosak, reput. Nanti bila ayah rasa nak buat balik, dia minta duit lagi nak beli barang. Lepas tu tak buat jugak. Sampai la barang-barang tu rosak.

Benda ni berulang sampai 10 tahun. Jadi agak-agak dah berapa ratus ribu ummi keluarkan duit? Ayah ada jugak keluarkan duit, tapi aku rasa tak sampai 15% dari duit ummi. Tu pun ayah asyik ungkit duit yang dia keluarkan.

• Ayah salahkan anak-anak sebab tak tolong dia. Macam mana kami nak tolong, setiap kali tolong mesti kena marah. Kami bukannya lahir-lahir terus pandai buat rumah. Patutnya ayah ajar kami elok-elok. Tapi tak, yang kami dapat cuma kena marah. Lama-lama aku dan angah malas nak tolong ayah. Along je yang rajin sebab telinga dia dah kebal. Ummi dulu la yang selalu tolong buat kerja berat, tapi sekarang ummi dah tak ada tenaga. Ummi dah tua. Kesian ummi.

• Ayah selalu marah ummi sebab benda kecil. Masak memang semua ummi kena buat walaupun ayah tahu masak. Alasan dia, dapur semak, ummi tak kemas, ayah rimas. Kalau keluar dengan ummi, masa otw balik ummi dah serabut. Selalu ummi tanya “apa pulak yang ayah nak marah hari ni”. Masa kat luar ummi happy je. Kesian kan.

• Tapi ayah ni setia. Ramai je orang minat ayah dulu-dulu, tapi ayah bukan jenis melayan. Cuma itulah, ayah selalu marah-marah.

Ummi
• Ummi selalu cerita masalah dia kat aku. Mungkin sebab aku perempuan, jadi aku lebih mudah faham.
• Kadang-kadang ummi ada juga melawan ayah kalau dia dah tak tahan sangat. Dan apa jadi? Dorang tak bercakap seminggu lebih.
• Sangat friendly dengan siapa saja. Jadi ummi ni kategori ramai kawan. Ummi senang masuk dengan orang berpangkat tinggi mahupun makcik cleaner kat pejabat.
• Ummi sangat mudah simpati dan pemurah. Jarang ummi tak sedekah kalau nampak orang minta. Setiap kali melawat saudara mara, mesti ummi hulur duit. Yelah, gaji ummi kan tinggi.
• Tanggungan ummi berat dari segi kewangan. Semua bawah ummi. Duit ayah adalah duit ayah, duit keluarga kena minta kat ummi.

Lupa nak cerita, adik ayah pun tinggal dengan keluarga aku. Kita panggil dia makteh. Makteh ni macam tiga suku sikit. Kerja dia setiap hari makan saja. Tak boleh disuruh buat kerja, nanti mengamuk. Perangai lebih kurang ayah jugak. Sejak makteh banyak makan, jadi ummi la yang tanggung. Kan makan minum semua guna duit ummi. Atuk dan nenek belah ummi pun ummi kena hulur jugak. Yelah, takkan tak bagi duit kat mak ayah tiap bulan kan.

• Pagi sebelum pergi kerja, ummi masak untuk ayah. Sarapan dan lunch. Balik, ummi masak lagi. Kalau ummi panaskan lauk tengah hari, ayah akan komplen sebab lauk sama.
• Kemas rumah, masak, semua kerja rumah memang tanggungjawab ummi. Bukan kami anak-anak tak tolong, tapi kalau ada je kerja tak siap, memang ummi yang kena salah. Sedangkan ummi kerja, ayah duduk rumah sebab dah pencen. Rumah tak bersih pun salahkan ummi. Apa salahnya ayah tolong kan.
• Tu cerita masa ummi kerja. Sekarang ummi dah berhenti kerja. Ummi kerja swasta, jadi tak ada duit pencen tiap bulan macam ayah. Yang aku faham, ummi dapat duit pampasan banyak daripada syarikat tu.
• Sekarang duit yang kami makan, barang rumah, kenduri kahwin, duit rumah yang tak siap-siap tu, semua masih bergantung kat ummi. Tapi ummi dah tak ada gaji. Jadi asyik kikis duit simpanan tu la sikit-sikit. Sekali keluar RM1000, kejap je habis.

Along
• Along anak yang sangat baik. Along tak pernah tinggi suara dengan ayah dan ummi. Baru kahwin. Dia sanggup tunggu adik-adik kahwin dulu sebab dia tak ada duit. Tapi akhirnya kahwin jugak dengan duit ummi, atas desakan ummi jugak.
• Dah bekerja tapi gaji tak tinggi. Jadi setiap bulan ummi akan bagi duit belanja kat along. Along pun ada minta jugak. Tapi sebab along anak baik, ummi sejuk hati nak bagi. Aku pun kadang hulur jugak kat along.
• Cuma aku geram satu, along kuat merokok. Heran sungguh dengan lelaki ni. Katanya tak ada duit, tapi rokok ada duit pulak.

Angah
• Angah belajar tak tinggi. Kerja pun tak pernah tetap. Lebih selesa menganggur daripada bekerja. Aku pun hairan kenapa.
• Dah kahwin, ada dua anak. Isteri angah baik sangat dengan keluarga kami. Apa yang jadi kat ummi, jadi jugak kat isteri angah. Akak ipar tu la yang tanggung anak-anak sorang-sorang. Kesian dia. Memang ummi tolong jugak hulur duit cucu-cucu, tapi mesti la akak ipar sedih kan. Ada suami tapi macam tak ada suami.
• Angah sangat panas baran dan tak pernah mengaku salah. Semua salah orang lain. Perangai ayah memang turun kat dia. Selalu bergaduh dengan isteri. Padahal dia lupa, nafkah pun tak pernah bagi. Kalau bagi pun, guna duit ummi.
• Selalu sangat minta duit kat ummi. Tak kerja, tapi boleh pulak jalan-jalan sana sini. Duit minyak, duit poket, semua minta kat ummi.

Aku
• Aku ni nak kata baik sangat pun tak la jugak. Kadang aku pun marah kalau dah tak tahan, terutamanya dengan ayah.
• Setiap bulan aku hulur duit kat ayah dan ummi. Tak banyak, setakat yang aku mampu. Bila aku balik kampung, aku akan beli barang-barang keperluan rumah sebab kesian kat ummi.

Haaa, ni baru mukadimah. Cerita sebenar baru bermula DI SINI.

Baru-baru ni sekolah lama ummi ada buat reunion. Ummi ada group whatsapp dengan kawan-kawan lama dia. Masa tu aku nampak ummi sangat excited nak pergi. Dia pergi dengan ayah. Jangan risau, depan orang ayah la suami terbaik di dunia.

Aku pulak rajin tengok-tengok handphone ummi. Aku nampak ummi selalu private message dengan seorang pakcik ni, kawan lama dia. Kita panggil dia Pakcik B. Dia duda, baru kematian isteri. Kononnya nak minta tolong ummi carikan pengganti. Katanya anggap ayah macam abang.

Tapi makin lama makin kerap pulak dorang berwasap. Ummi luahkan rasa sedih sebab perangai ayah. Pakcik tu pulak luahkan rasa sedih sebab bini dia mati. Pernah aku tengok ummi wish birthday kat pakcik tu siap ada emoji love. Bila kantoi, pakcik tu call, ummi cakap tu kawan je. Kawan ke macam tu?

Makin hari makin kerap berhubung. Ummi selalu tidur rumah aku sekarang. Jadi lebih mudah pakcik tu call. Sekali bergayut sampai berjam. Kadang ummi elak bila aku ada, dia pergi bercakap jauh-jauh. Korang rasa macam mana?

Sekarang ummi makin kerap mengadu pasal ayah. Kisah lama pun dia ungkit. Aku faham. Betapa sabarnya ummi bertahan dengan perangai ayah berpuluh tahun. Tapi lama-lama, ummi macam dah tak nampak kebaikan ayah langsung. Kadang ummi cakap dia nak carikan sorang perempuan untuk jadi madu dia, supaya boleh jaga ayah.

Depan ayah, ummi nampak ok. Masak macam biasa. Bercakap macam biasa. Cuma aku perasan, ummi dah tak solat berjemaah dengan ayah.

Dulu aku boleh je buka whatsapp ummi. Sekarang makin susah. Aku perasan ummi delete chat dengan pakcik tu. Nampak macam pakcik tu je yang mesej, tapi ummi tak balas. Konon. Padahal aku rasa dia delete sebab sayang nak buang. Bila aku tengok handphone ummi, dia tunggu aku tengok apa. Dah tak bebas macam dulu.

Aku nak ingatkan korang, aku tak rasa ummi jadi macam ni sebab duit. Kalau pasal duit, dah lama dia angkat kaki. Kami perempuan boleh bertolak ansur bab duit. Tapi jangan la dera mental dan emosi.

Aku tak suka ayah marah-marah ummi. Tapi aku juga tak suka ummi “berkawan” dengan pakcik tu.

Aku tak tahu nak mengadu kat siapa. Kat Allah memang aku selalu mengadu. Kat angah memang tak boleh, dia pun panas baran. Kat along pun aku risau, sebab dia tengah fasa bahagia sekarang, takut ganggu dia. Sebagai anak bongsu, aku rasa lemah sangat. Macam tak berdaya nak buat apa-apa.

Jadi korang rasa apa patut aku buat?

P/s: Lelaki, kalau korang nak anak-anak hormat korang, tolong hormat mak dorang. Which is your wife.

– Erin

Kongsi Artikel Ini :