
Isteri aku terpaksa dimandulkan sebab rawatan radiasi sangat kuat. Umur aku dah 30 tahun, aku teringin nak ada anak. Aku suarakan hasrat nak kahwin dua dan minta dia pilih calon. Isteri aku diam je. Petang tu isteri mesej, suruh datang wad. Rupanya mak ayah mertua dah tunggu..
#Foto sekadar hiasan / AI. Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Min, aku pinjam Facebook kawan aku. Tolong hide profil dia ya. Kalau korang nak anggap aku jahat, anggaplah. Nama aku Khairul, kawan – kawan panggil aku Kay. Umur aku 30 tahun dan aku kerja di sebuah syarikat di selatan tanah air.
Isteri aku umur 28 tahun. Eh, silap. Bekas isteri. Aku dah ceraikan dia di mahkamah. Orang kata aku ni habis madu, sepah dibuang. Aku nak cerita macam mana sampai aku buat keputusan tu. Aku mula dari hari aku kenal dia kat kedai makan.
28 Februari 2019, pukul 1.08 petang. Aku singgah makan masa rehat kerja. Tengah aku ambil lauk, terhidu bau orang tumis bahan nasi goreng kampung. Aku terus bersin. Masalahnya, aku terbersin betul – betul kat muka seorang perempuan.
Dia dah nak marah. Aku pun gelabah, cepat – cepat minta maaf. Entah macam mana boleh terkeluar ayat, “Saya ni alergik dengan perempuan cantik, lagi – lagi yang macam awak.” Tak jadi dia nak marah. Dia pandang aku, lepas tu senyum.
Aku sambung ambil nasi, penuh sepinggan macam biasa. Lauk ayam kicap aku pilih bahagian dada yang ada tulang rawan tu. Memang kegemaran aku. Tambah bendi, ambil sirap ais, lepas tu aku pergi duduk. Masa orang kedai datang tulis harga makanan, sempat juga aku minta nombor telefon perempuan tadi. Siap tawar nak belanja dia makan.
Dia datang dengan kawan – kawan. Aku pulak makan sorang sebab aku memang suka makan sorang. Bab belanja tu dia tak nak, dia bayar sendiri. Tapi nombor telefon dia bagi juga. Dalam kod binari pula tu. Dua bulan kami kenal, aku pergi jumpa keluarga dia.
Tahun berikutnya kami nikah di kampung dia di sebelah tenggara. Sekali lafaz, sahlah dia jadi isteri aku. Awal kahwin tu biasalah, ada gaduh kecil – kecil. Masing – masing masih belajar perangai pasangan. Aku sewa rumah kat tengah – tengah antara tempat kerja aku dengan tempat kerja dia.
Dia naik kereta, aku naik motor. Lebih kurang sama lama perjalanan kami, cuma aku bolehlah cilok kalau jem. Dia kena hadap jalan sesak tu hari – hari. Masuk tahun 2023, kami masih belum ada anak. Tipulah kalau aku kata aku tak teringin nak rasa bangun tengah malam sebab anak menangis.
Isteri aku pernah cadang ambil anak angkat, tapi aku tak setuju. Masa tu aku memang nak anak sendiri. Kami pun pergi buat pemeriksaan. Sengaja pilih klinik yang jauh sikit sebab dua – dua segan nak jumpa doktor pasal hal ni. Hari tu hujan. Lebih sejam kami redah hujan naik kereta kecil dia nak sampai ke klinik.
Masa pemeriksaan, kami masuk bilik berasingan. Aku kena bagi sampel untuk periksa kiraan sperma. Keputusannya minggu depan baru tahu. Dah selesai bahagian aku, aku duduk kat luar main telefon sementara tunggu isteri. Dalam 15 minit macam tu, doktor panggil aku masuk.
Isteri aku tunduk pandang lantai. Tengok muka dia pun aku dah rasa tak sedap hati. Doktor beritahu ada ketulan kat payudara dia. Doktor syak mungkin barah, jadi dia kena buat pemeriksaan lanjut, termasuk ultrasound dan mamogram. Masa tu aku cuba kuatkan hati dulu.
Sebulan kami lalui macam – macam pemeriksaan, termasuk satu pembedahan kecil. Bila keputusan keluar, memang sah isteri aku ada barah payudara. Doktor cadangkan buang sebelah payudara dia, tapi keluarga dia tak setuju. Mereka takut nanti aku berpaling kat perempuan lain. Aku serba salah, tapi akhirnya aku ikut keputusan mereka.
Lepas pembedahan tu, isteri aku dijadualkan jalani enam sesi kemoterapi. Baru dua sesi pun aku dah nampak betapa seksanya dia. Rambut gugur sampai botak. Hari – hari dia muntah, badan letih, tak bermaya. Aku ada jumpa doktor dan tanya sama ada kami masih ada peluang nak dapat anak.
Doktor kata masih ada kemungkinan, cuma buat masa tu isteri aku kena habiskan rawatan dulu. Aku pujuk dia supaya teruskan. Esoknya dia ikut aku ke hospital. Mak ayah dia datang juga hari tu. Kami bertengkar sampai pengawal keselamatan suruh kami keluar.
Bapa mertua aku kata rawatan hospital tak berkesan. Dia ingatkan aku yang selama ni dia yang bayar semua kos rawatan anak dia. Terdiam aku. Aku tak mampu nak jawab. Akhirnya aku balik rumah dan benarkan isteri aku tinggal dengan keluarga dia.
Dua bulan dia ikut rawatan alternatif. Aku cuma dapat tengok dari jauh. Masa tu, pada mata aku, dia nampak makin sihat. Rambut dia tumbuh balik, dia pun dah boleh pergi kerja semula. Aku berharap sangat dia betul – betul dah sembuh.
Hujung tahun 2025, isteri aku tiba – tiba pitam kat tempat kerja. Kawan – kawan dia yang hantar ke hospital, lepas tu dia kena tahan wad. Kali ni doktor beritahu barah dia dah merebak ke otak. Aku diberitahu isteri aku terpaksa dimandulkan dan perlu jalani rawatan radiasi yang kuat. Masa dengar semua tu, aku dah tak tahu nak cakap apa.
Umur aku dah 30 tahun dan aku masih teringin nak ada anak. Aku beritahu isteri aku yang aku nak kahwin dua. Aku minta dia sendiri pilihkan calon. Dia diam. Akhirnya dia akur dengan permintaan aku. Aku balik rumah dan buat solat hajat, minta petunjuk.
Tak lama lepas tu isteri aku mesej suruh datang hospital. Aku terus pergi. Dalam perjalanan tu sempat lagi aku singgah beli kuih kegemaran dia. Bila aku sampai, keluarga dia semua ada keliling katil. Bapa dia tanya aku masih sayang anak dia atau tak.
Mak dia pula suruh aku pilih, nak isteri aku atau nak perempuan lain. Aku diam. Aku pandang isteri aku, dia tengah menangis. Lepas tu aku keluar dari wad tanpa jawab apa – apa. Memang serabut kepala aku masa tu. Lepas tu, tiap kali aku datang nak jumpa dia, mesti ada keluarga dia sekali.
Aku rasa macam tak ada ruang nak jaga isteri sendiri. Aku nak uruskan dia, nak buat apa yang aku boleh untuk dia, tapi aku rasa aku tak diberi peluang. Akhirnya aku dah tak tahan, aku failkan cerai. Keluarga dia memang marah. Mereka kata aku sanggup buang isteri bila dia dah sakit. Habis madu, sepah dibuang. Masa tu aku rasa aku dah tak ada pilihan. Tapi apa pilihan yang aku ada? Salah aku ke?
Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini
PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.