
Aku nampak kakak nombor 2, kakak nombor 3, abang aku, ayah aku dan makcik – makcik aku semuanya sedang menangis. Aku tak faham apa yang berlaku sehinggalah aku ambil laporan polis yang ada di atas meja..
#Foto sekadar hiasan / AI. Assalamualaikum admin. Terima kasih sudi publish cerita aku ni dan tolong hide profile FB aku. Aku nak cerita tentang apa yang berlaku dalam keluarga aku, terutama tentang ibu aku yang pernah berkahwin dengan seorang lelaki yang aku gelar Mamat.
Aku dah lama simpan semua ni dan malam tadi, lepas terbaca conversation ibu aku dengan Mamat, aku rasa aku dah tak mampu nak pendam lagi. Aku anak ke-5 daripada 6 orang adik beradik dan bongsu perempuan. Ibu bapa aku bercerai masa aku berusia 8 tahun.
Selepas tu, ibu aku berkahwin buat kali kedua dengan Mamat, seorang lelaki berstatus suami orang yang dah mempunyai 7 orang anak ketika mereka berkenalan. Hubungan mereka disokong oleh atuk aku, walaupun aku dan adik beradik lain memang menentang habis – habisan.
Mereka kahwin selepas 3 bulan berkenalan. Ibu aku bekerja sebagai kakitangan kerajaan dan mempunyai gaji yang agak tinggi, tapi bila dapat tawaran bekerja di Putrajaya, Mamat tak benarkan pada mulanya. Akhirnya dia benarkan dengan syarat ibu aku perlu balik ke Johor setiap minggu.
Sepanjang 2 tahun ibu aku bekerja di Putrajaya, Mamat cuma datang melawat 3 kali je, malah setiap kali ibu aku balik, dia cuma beri RM200 untuk belanja. Aku memang sayangkan ibu aku. Sejak ibu bapa aku bercerai, dialah yang besarkan aku, beri duit belanja, didik aku dan ajar aku berdikari.
Bagi aku, ibu aku segala – galanya dan aku memang pantang kalau orang buat dia. Sebab tu, bila ibu aku dah tak tahan berjauhan dengan anak – anak, aku ambil keputusan tinggal bersama dia ketika aku Form 3. Masa mula – mula tinggal bersama Mamat, aku nampak macam – macam perangai dia.
Ibu aku selalu bergaduh dengan dia sampai ada barang pecah. Mamat tak boleh tengok ibu aku berkomunikasi dengan lelaki lain walaupun atas urusan kerja. Dia akan mengamuk, baling telefon dan pecahkan barang. Aku pernah cakap, setiap kali abi datang sini, ummi mesti nangis.
Abang aku pun pernah minta supaya Mamat lepaskan ibu aku sebab dah tak tahan tengok mereka bergaduh. Tapi aku tak tahu cerita sebenar tentang masalah mereka. Aku mula terima Mamat sebagai ayah sendiri, panggil dia abi dan cuba tolong mereka berbaik setiap kali bergaduh.
Bila kami berpindah ke rumah sewa yang lebih besar, kehidupan kami nampak lebih tenang. Aku ingat semuanya dah okay, rupanya aku langsung tak tahu apa yang sedang berlaku di belakang aku. Satu hari, aku terima panggilan daripada nombor yang tak dikenali.
Lelaki tu memperkenalkan diri sebagai inspektor polis dan bertanyakan beberapa soalan tentang aku, ayah aku serta Mamat. Dia juga meminta aku menjauhkan diri daripada ibu aku ketika bercakap dengannya dan menyuruh aku memberitahu dia kalau Mamat dah balik rumah. Aku ikut je arahan dia sebab masa tu aku betul – betul tak sedap hati.
Petang tu Mamat balik rumah dan kami makan bersama – sama. Aku sebenarnya nak beritahu ibu aku tentang panggilan polis tadi, tapi aku kena marah disebabkan Mamat. Aku pun pendamkan dulu. Selepas Mamat balik ke rumah isteri tuanya, barulah aku beranikan diri memberitahu ibu aku tentang panggilan tersebut.
Ibu aku terus marah dan cakap Mamat orang kuat politik, ramai orang dengki dengan dia dan dia mempunyai banyak tanggungan. Tapi dalam hati aku tertanya – tanya, kenapa polis cari dia kalau tak ada apa – apa yang berlaku? Bila ibu aku hubungi Mamat melalui WhatsApp, dia mula minta maaf dan merayu supaya ibu aku mempertahankan rumah tangga mereka. Dia juga mengaku menyesal dan mengatakan yang dia dah terima hukuman Allah.
Selepas tu, ibu aku membawa aku berjumpa dengan ahli keluarga lain di sebuah kedai makan. Aku nampak kakak nombor 2, kakak nombor 3, abang aku, ayah aku dan makcik – makcik aku semuanya sedang menangis. Aku tak faham apa yang berlaku sehinggalah aku ambil laporan polis yang ada di atas meja dan mula membacanya.
Rupanya Mamat telah buat benda tak senonoh dekat kakak aku nombor 3. Paling menyakitkan hati, kejadian tu bukan kali pertama, tapi kali kedua. Kali pertama, ibu dan kakak aku merahsiakan perkara tu, memaafkan Mamat dan Mamat bersumpah atas nama Allah yang dia takkan mengulanginya lagi.
Tapi akhirnya dia buat juga sampai ditangkap polis. Aku tak mampu nak gambarkan perasaan aku masa tu. Lelaki yang aku mula sayang sebagai seorang ayah sanggup buat perkara macam tu kepada kakak aku. Aku menangis dan rasa jijik dengan dia. Dia dah tak layak dipanggil abi bagi aku.
Mamat dijatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan dan 3 sebatan, tetapi hukumannya dipendekkan dan dia dah dibebaskan pada bulan Februari tahun ni. Sejak kejadian tu, aku mula pandang serong terhadap orang yang nampak alim tetapi perangai tak mencerminkan identiti Islam.
Aku pernah tengok sendiri orang menggunakan imej agama, sedangkan perbuatan mereka langsung tak menggambarkan apa yang mereka tunjukkan kepada orang lain. Walaupun apa yang berlaku sangat menyakitkan, Allah akhirnya hadirkan orang lain dalam hidup ibu aku.
Akhir tahun lepas, kakak aku nombor 1 berkahwin dan ibu aku pula berkahwin buat kali ketiga dengan bekas tunangnya 29 tahun dulu sebelum ibu aku kenal ayah aku. Alhamdulillah, aku dapat ayah tiri baru yang baik dan aku restui hubungan mereka. Aku harap Allah merestui perkahwinan mereka dan mengurniakan kebahagiaan kepada ibu aku.
Tapi masalah keluarga kami tak berakhir setakat tu. Rupanya Mamat dah lama gunakan duit ibu aku untuk membayar hutangnya. Jumlah keseluruhan duit ibu aku yang digunakan Mamat melebihi RM300,000. Ibu aku pernah menggadaikan emas untuk membantu dia sebab tak sanggup melihat suami sendiri dalam kesusahan. Mamat pula menggunakan cara simpati dan perlahan – lahan untuk mendapatkan duit ibu aku.
Sekarang ibu aku terpaksa turun naik mahkamah untuk selesaikan masalah hutang yang ditinggalkan Mamat. Apa yang buat aku geram, Mamat masih boleh marah ibu aku apabila ditanya tentang hutang tersebut. Aku pernah membaca WhatsApp mereka dan rasa terkilan sangat.
Dia yang berhutang, tapi dia pula yang tengking ibu aku. Bila aku siasat tentang Mamat dan dengar cerita daripada orang lain, rupanya dia memang dikenali ramai di pekan tu kerana politik dan hutangnya. Aku juga pernah bergaduh dengan isteri tua Mamat sebab dia mengungkit kisah lama ketika ibu aku menjadi madu dia.
Ibu aku cuma menghubungi dia untuk mengingatkan tentang hutang, tapi dia boleh melalut sampai menuduh ibu aku sebagai perosak rumah tangga. Sedangkan dia dengan Mamat pun tak bercerai. Aku memang tak tahan tengok ibu aku terus diperlakukan macam tu, sedangkan ibu aku dah cukup banyak berkorban untuk lelaki tersebut.
Sekarang aku sedih tengok ibu aku berjuang untuk mendapatkan semula hartanya. Walaupun hidup susah, ibu aku masih membantu kakak – kakak aku yang sedang belajar, termasuk kakak nombor 3 yang belajar di universiti swasta. Ibu aku tak nak mereka menanggung hutang PTPTN sepanjang hidup.
Kalau aku dah bekerja, aku nak bantu ibu aku menyelesaikan semua hutang tu, tapi aku baru berusia 17 tahun dan masih bersekolah. Aku cuba berjimat dengan duit belanja yang ibu dan ayah beri. Aku juga pernah bekerja sambilan di kedai makan dan menjual teddy bear serta produk kosmetik.
Sekarang aku hanya menjual secara online untuk menambah duit poket sendiri dan mengurangkan beban ibu aku. Aku bukan nak membuka aib sesiapa, tapi aku cuma nak orang tahu apa yang berlaku kepada keluarga aku. Aku minta semua orang doakan aku supaya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tahun ni, supaya aku boleh mencari kerja yang baik dan membantu ibu serta ayah aku membayar hutang mereka.
Aku tak minta banyak. Sebelum aku meninggalkan dunia ni, aku cuma nak pastikan aku dah berbakti kepada ibu bapa aku sebab aku sangat sayangkan mereka. Sampai bila bila pun aku takkan lupa apa yang Mamat dan keluarganya dah buat kepada ibu aku.
Aku tak pasti sama ada aku mampu memaafkan mereka sebab mereka tak pernah datang minta maaf kepada keluarga aku, malah ibu aku pula yang dimarahi apabila bertanya tentang hutang. Tapi kalau suatu hari nanti mereka datang minta maaf, satu je aku minta. Bayarlah hutang kau dan jangan pernah muncul dalam hidup kami lagi.
Terima kasih admin sebab sudi siarkan cerita aku ni. Semoga kisah ni menjadi teladan kepada pembaca lain. Pesanan aku sebagai anak muda yang baru berusia 17 tahun, jangan cepat percaya kepada orang. Ada orang yang menggunakan agama untuk menutup kesalahan sendiri, jadi mohonlah perlindungan daripada Allah dan semoga kita semua dilindungi daripada perkara yang tak baik. Amin.
Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini
PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.