Mak angkat manjakan aku, makan disuap, rambut didandankan, tidur kena dodoi. Bila aku duduk dengan keluarga kandung, aku makan sepak terajang

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

Hidup aku berubah bila aku dihantar balik kepada keluarga asal. Pantang buat silap sikit, memang aku akan makan terajang atau penampar. Paling kurang pun aku akan kena maki hamun macam binatang. Mak kandung jadi batu api..

#Assalamualaikum admin. Mohon hidekan Facebook aku ya min. Selama ni aku hanya banyak membaca je kisah di sini, aku terpanggil untuk kongsi cerita hidup aku. Bukan niat nak mengaibkan keluarga, tapi ni adalah luahan hati daripada seorang anak mangsa penceraian.

Aku perempuan berusia 30 tahun dan daripada empat orang adik beradik, yang lain semuanya lelaki. Ayah kami menikah banyak kali sebelum menikah dengan mak. Tak lama selepas pernikahan mak dan ayah, masa kami masing – masing masih kanak – kanak lagi, mereka dah berpisah.

Mak dalam keadaan sangat tertekan dengan kehidupan dan anak – anak yang masih kecil. Allah takdirkan aku ada keluarga angkat. Lepas habis pantang, mak serahkan aku kepada keluarga angkat untuk diasuh sebab mak tak mampu jaga. Dia perlu bekerja.

Mungkin sebab kami berpisah dari awal, hubungan aku dan mak jadi renggang dan hubungan kami sangat panas. Mak terlalu beri perhatian kepada anak – anak lelaki. Dari kecil aku terpisah dengan abang dan adik – adik. Aku tak kenal adik beradik kandung aku sendiri sampai aku berumur sembilan tahun.

Mak angkat dah tak mampu jaga aku sebab faktor kesihatan. Dia terpaksa hantar aku kembali kepada keluarga asal. Mak cuma datang melawat bila dia cuti kerja je. Kadang – kadang bila cuti sekolah, dia ambil aku dan bawa balik ke rumah selama dua atau tiga hari. Lepas tu, dia hantar aku balik ke rumah mak angkat.

Dulu aku fikir keluarga yang jaga aku tu ialah keluarga kandung aku. Aku langsung tak kenal keluarga asal. Keluarga angkat ni baik sangat dengan aku. Makan aku disuap, aku dimandikan, pakaian aku disarungkan, rambut aku didandankan dan aku didodoikan sampai tidur.

Aku bertuah sangat sebab ada keluarga angkat yang baik. Sejak aku berumur tujuh tahun, keluarga angkat dah terangkan kepada aku berkenaan keluarga aku. Mereka perkenalkan aku satu persatu kepada keluarga kandung aku. Rupa – rupanya masa tu aku macam tak boleh terima keadaan tu. Aku tak faham kenapa aku perlu ada banyak keluarga.

Masa tu hidup aku dah mula tertekan. Kitaran hidup bahagia aku berubah 360 darjah bila aku dihantar balik kepada keluarga asal. Aku kena belajar buat semua kerja rumah. Aku juga kena terima hakikat yang adik beradik aku semuanya lelaki dan keluarga aku jenis kasar serta panas baran. Pantang buat silap sikit, memang aku akan makan terajang atau penampar. Paling kurang pun aku akan kena maki hamun macam binatang.

Sejak tu, hilang semua keriangan dalam hidup aku. Aku hidup dalam keadaan tertekan. Mak, abang dan adik – adik semuanya panas baran. Hari – hari aku kena pukul. Lama kelamaan, aku jadi keras hati dan mula jadi biadab serta suka melawan. Aku jadi kasar. Aku jadi degil dan pendendam.

Satu lagi masalah, mak terlalu sayangkan anak – anak lelaki. Mak juga jadi batu api antara adik beradik. Kalau aku buat salah, tersalah atau terleka semasa buat kerja rumah, mak akan mengadu kepada adik beradik lelaki aku. Mak akan jadi batu api dan mengada – adakan cerita yang takde. Akibatnya, aku dipukul sepuas hati. Aku juga dihina dan dimaki hamun.

Aku takde tempat nak bercerita. Aku takut nak cerita kepada kawan – kawan sebab adik beradik aku sentiasa pasang telinga. Hanya Allah tempat aku mengadu. Allah je tempat aku meminta kekuatan. Ayah dan kakak serta abang mak yang lain semuanya tahu keadaan aku dalam rumah tu. Mereka tahu seksaan yang aku tanggung. Tapi mereka hanya mampu tegur dan nasihatkan mak serta adik beradik aku je.

Aku letih, ya Allah. Aku letih menerima seksaan ni. Setiap hari aku menangis dan mengadu kepada Allah. Sehinggalah aku berumur 13 tahun, aku dah mula faham tekanan yang mak hadapi. Dia jadi begitu sebab dia kesunyian dan kesedihan. Dia takde tempat nak mengadu. Mak terlalu letih bekerja mencari rezeki untuk kami.

Aku redha atas segala yang Allah dah takdirkan. Setiap hari aku bersedia menghadapi segala kemungkinan dan masalah dalam keluarga. Aku sayang mak dan aku tahu mak juga sayang aku. Tapi punca penceraian tu buat dia jadi sangat tertekan.

Mak orang yang baik. Dia selalu terapkan kepada anak – anak tentang soal agama dan menjaga solat. Tapi ya Allah, aku manusia biasa. Sesekali kesabaran aku jadi sangat nipis. Dalam kehidupan aku, sepak, terajang, penumbuk dan penampar dah jadi perkara biasa.

Kerusi, kepala tali pinggang, getah paip kuning, penyangkut baju dan pemetik api panas pun pernah kena pada badan aku. Tin susu, payung dan semua benda yang boleh dicapai pasti akan kena badan aku. Aku redha dengan segala yang Allah kurniakan.

Aku yakin pasti akan ada bahagianya nanti. Aku hadap semua tu kerana mak. Aku sayang mak. Kalau aku keluar dari rumah tu, pasti mak akan tersiksa. Takde orang nak sediakan dia makanan, bantu buat kerja rumah dan jaga mak ketika sakit. Alhamdulillah, Allah beri aku kekuatan. Aku dapat bertahan sehingga mak meninggal dunia tujuh tahun lepas.

Tapi sebelum mak meninggal, mak minta aku berjanji jangan tinggalkan rumah tu sehingga semua adik adik aku bernikah. Ya, kerana mak aku bertahan. Alhamdulillah, sekarang semuanya dah bernikah dan ada sedikit sinar dalam kehidupan keluarga kami.

Allah makbulkan permintaan aku selepas 20 tahun berdoa, memohon supaya hati kami adik beradik diikat dengan kasih sayang. Tapi masih ada derita dalam kehidupan aku. Akhirnya aku mohon istikharah kepada Allah dan Allah beri petunjuk untuk aku keluar dari rumah tu. Ya, aku keluar dan berhijrah ke satu tempat baru untuk mencari kehidupan baru. Anak – anak tu amanah Allah. Jagalah mereka sebaik mungkin.

Hantar kisah anda di sini -> https://hai.mehbaca.com/submit/

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5124 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.