Suami minta tolong kak ipar jagakan aku dan anak-anak. Kak ipar mengadu aku pemalas, buat dia macam orang gaji. Sekarang suami nak bercerai

Awal tahun ini, suami cakap nak cerai dengan aku. Dia nak berpisah secara baik, tak nak melibatkan mahkamah sebab tak nak aku tuntut nafkah. Tapi dia nak kereta aku sedangkan aku yang bayar

#Foto sekadar hiasan. Baru – baru ini aku baru sahaja berpisah dengan suami. Dalam ambang penceraian sekarang ini. Hanya tunggu untuk prosiding kes mahkamah sahaja sekarang ini. Penceraian ini berlaku pun sebab suami yang bersungguh-sungguh meminta cerai kerana tidak tahan mahu hidup dengan aku.

Memang aku akui aku ada kelemahan dan aku ini bukanlah sempurna. Suami sebelum ini pun baik dengan aku, cuma dia jenis yang berfikiran negatif. Mungkin sebab pembawaan keluarga dia. Entahlah… Hasil perkahwinan kami, kami dikurniakan seorang anak lelaki.

Nak dipendekkan cerita, suami memang sayangkan aku. Tetapi dia pernah memberi amaran kepada aku kalau aku buat sesuatu yang dia tidak suka, dia tidak ragu-ragu untuk membuat keputusan. Memang aku banyak abaikan tanggungjawab aku sebagai seorang isteri.

Sebelum ini, aku tinggal berjauhan dengan suami kerana atas sebab kerja. Aku bekerja di Sarawak dan dia pula di Semenanjung. Akhirnya, aku pun meminta pertukaran tahun lepas ke Semenanjung kerana mahu mengikut suami. Kerja di Kuala Lumpur ini pula memang banyak cabarannya.

Aku memang mendapat tekanan yang kuat sehingga aku perlu berjumpa pakar psikiatri dan didiagnos sebagai mengalami kemurungan utama serta perlu makan ubat penenang. Sejak dari itu, aku selalu murung, asyik mahu tidur sahaja dan fikiran jadi kosong apabila makan ubat tersebut.

Aku jadi makin pemalas dan banyak kerja rumah aku tidak pernah mahu buat. Aku tidak tahu kenapa ini terjadi kepada aku. Malah aku menjadi cepat pemarah dan melenting, terutama dengan suami. Memang silap aku. Mungkin disebabkan kesan kemurungan yang aku alami.

Aku cuba mahu hiburkan hati. Kadang-kadang aku layari juga Facebook sampai terlupa mahu makan dan suami pun aku tidak layan. Sebab itulah suami aku jadi kecewa dan marah dengan aku. Pada masa itu pula, aku berjauhan dengan anak aku.

Kemudian suami aku mencadangkan supaya kakak ipar dia yang masih bujang menjaga aku. Jadi aku pun melepaskan tanggungjawab aku sebagai isteri dan tidak menjaga anak aku. Memang nampak sangat kelemahan aku. Sampai kakak ipar yang menjaga anak aku itu pun mengadu kepada suami tentang perangai aku.

Kemudian kakak ipar itu menyebarkan perkara tersebut kepada ipar yang lain. Mereka semua bercakap buruk tentang aku dan sampai mereka berkata jangan anggap kakak mereka seperti orang gaji. Aku benar-benar sedih walaupun itu memang silap aku.

Aku sebenarnya terlalu leka dan pada masa itu aku masih makan ubat lagi. Fikiran aku kosong dan tidak dapat berfikir dengan baik sampai aku abaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Ditambah pula suami aku jenis suka mengungkit apabila sudah melakukan sesuatu untuk aku. Aku sedih tahu.

Walau macam mana pun, kalau ada rezeki lebih, aku sentiasa belikan barang makanan untuk anak sebaik sahaja balik dari kerja. Aku beli makanan untuk kakak ipar walaupun dia berkata begitu kepada aku. Aku bukanlah sejahat mana pun. Lagipun aku memang kuat boros sejak mendapat kemurungan ini. Cuma sedikit sahaja perubahan yang aku dapat lakukan tetapi suami aku tetap menganggap itu kelemahan aku.

Dia seolah-olah tidak dapat berdepan dengan aku lagi. Sedangkan baru sahaja lapan bulan hidup sebumbung dengannya. Dia selalu sahaja mengungkit dan sampai kami bergaduh. Dia kata aku makan sedap daripada dia. Memang aku selalu pesan burger untuk dia sebab aku teringin mahu makan. Lagipun dia sendiri memang tidak gemar makan burger. Tetapi dia tetap keluar minum dengan kawan-kawan dia. Minuman keras lagi mahal harganya kalau dibandingkan dengan makanan segera yang aku pesan itu.

Awal tahun ini, akhirnya suami aku cakap nak cerai dengan aku. Dia mahu berpisah secara baik, maksudnya tidak mahu melibatkan mahkamah. Tetapi keluarga aku mahu cara mahkamah kerana mahu menuntut nafkah. Yang peliknya, semasa perbincangan keluarga sebelum aku meninggalkan dia hari itu, dia mahu kereta aku sedangkan kereta itu atas nama aku. Dan dia kata aku berkira dengan dia.

Dia mahu menceraikan aku tetapi kereta aku dia mahu. Memang pelik juga aku rasa. Anak dia tidak kisah diberikan kepada aku tetapi kereta dia mahu. Seolah-olah dia lebih mementingkan harta daripada anak dia sendiri. Sudah itu, siap mengungkit semua apa yang dia telah korbankan untuk aku selama lima tahun kami bersama termasuk sebelum kahwin.

Aku betul-betul sedih. Kenapa sampai begitu sekali dia mengungkit? Setahu aku itu memang tanggungjawab dia walau sesusah mana sekali pun. Aku tidak pernah pun berkira dengan dia. Namun, dia kata dia mahu kereta itu untuk dia turun kerja dan membayar segala pengorbanan dia selama ini. Kiranya macam gadai kereta itu untuk menggantikan segala pengorbanan dia selama ini dengan aku. Aku betul-betul kecewa dengan apa yang berlaku.

Sekarang ini sudah hampir sebulan berlalu. Anak aku terpaksa duduk di kampung dengan mak aku. Dan aku sendiri perlu tinggal di asrama di kawasan hospital kerana suami tidak mahu aku lagi. Aku seperti orang mati akal tetapi aku tabahkan juga diri atas sokongan kawan-kawan yang banyak membantu aku selama ini.

Dia langsung tidak bertanya khabar tentang anak dia. Nafkah pun tidak diberikan. Kalau dia tidak mahu beri pun tidak mengapa. Kalau dia memang sudah tidak sayangkan anak dia lagi. Atau mungkin dia ada masalah kewangan sekarang ini. Aku tidak kisah kalau dia mahu berjumpa anak dia pun.

Dan sekarang aku bergantung hidup tanpa bertali. Keluarga suami kesal dengan tindakan suami dan akhirnya mereka sedar bahawa aku tidaklah seteruk yang mereka sangkakan. Mereka marah kepada suami kerana membuat keputusan terburu-buru. Aku tidak bermusuh pun dengan keluarga dia dan tetap mengekalkan silaturahim walaupun aku dengan suami tidak bersama lagi.

Berdosakah aku dengan apa yang telah berlaku? Aku menyesal dan telah meminta maaf kepada suami, tetapi dia tidak mahu memaafkan aku lagi dan dia kata tidak akan menyesal menceraikan aku pun. Baginya, aku adalah perempuan yang paling teruk pernah dia jumpa. Aku rasa benar-benar tertekan dan sangat sedih. Harap ada yang sudi memberi nasihat kepada aku untuk lebih tabah menghadapi hidup ini. Agar aku dapat belajar dari kesilapan. Terima kasih banyak…

Komen Netizen :

Sarah Mirza : Dari asyik meratap hiba nasib malang hidup ni, baik berfoya-foya… Hokkay! Move on, cari kelebihan diri sendiri dan start new life. Start meeting people, indoor/outdoor activities yg mem’busy’kan diri…

carly_lah : : Baguslah u sedar akan kesilapan u. x ramai org sedar akan kesilapan memasing, kebanyakan nya akan tuding jari kat org lain jika ditimpa masalah nie… apa pun, kuatkan hati, kuatkan semangat, pedulikan your hubby, dia pun dh x pedulikan u, anak u perlukan seorang ibu, ingat tu. Dari cerita u tadi, menunjukkan u dah semakin bagus tanpa dia disisi. so, continue life as usual, bahagiakan diri dgn cara u sendiri… yang lepas jadikan pelajaran untuk menghadapi hari mendatang… be strong k…

Dah baca, jangan lupa komen dan share ya. Terima kasih! Hantar kisah anda di sini -> https://hai.mehbaca.com/submit/

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :