
Dahlah gaji sampai negatif, dapat pula laki curang yang siap ajak perempuan lain berduaan di tempat tertutup. Bukan seorang, bukan dua orang yer kawan-kawan, tapi tiga orang. Aku yang pernah gadai emas tolong dia masa dia takde duit, akhirnya aku juga yang kena hadap semua ni. Kadang-kadang aku terfikir, apa kurangnya aku sebagai isteri?
#Foto sekadar hiasan / AI. Assalamualaikum, min. Aku kecil hati bila baca WhatsApp laki aku dengan perempuan lain. Dengan anak sendiri, garang bukan main. “Kau” itulah panggilan dia bila bercakap dengan anak – anak. Kalau marah, siap maki hamun.
Tapi dengan perempuan tu, pandai pula dia panggil “sayang”. Apa yang istimewa sangat dekat perempuan tu sampai lembut betul bahasa dia? Pernah dia marah anak aku, dia kata perangai anak aku macam babi. Sampai macam tu sekali dia maki anak sendiri.
Anak – anak aku baru sekolah rendah, min. Bila ayah diorang marah, diorang diam je. Aku tak tahu apa yang diorang rasa masa tu. Aku yang dengar pun sedih, apatah lagi budak yang kena maki dengan ayah sendiri. Dia selalu ungkit dia kena curi masa keluar kerja nak ambil anak balik sekolah pagi, lepas tu hantar ke sekolah agama.
Masa dia dapat tawaran naik pangkat, dia kata dia terpaksa tolak sebab kalau dia terima, siapa nak uruskan anak – anak tengah hari nanti? Sebenarnya dia belum layak pun nak naik pangkat tu. Dia dapat tawaran sebab dia selalu berurusan dengan ketua dan pegawai atasan.
Tapi dah beberapa kali dia ungkit depan anak – anak yang dia tolak sebab diorang. Macamlah salah budak – budak tu sampai ayah diorang tak naik pangkat. Lepas aku jumpa chat tu, aku blok perempuan tu kat WhatsApp. Aku tak terfikir pula pasal mesej biasa.
Rupanya lepas dah blok kat WhatsApp pun masih boleh sambung bermesej. Tempat laki aku kerja tu dipanggil pondok. Dalam satu mesej, dia siap ajak perempuan tu datang masa tak ada orang. “Datanglah pondok yang, takde orang ni.”
“Yang” tu sayanglah. Berkali – kali aku baca ayat tu. Selama ni aku ingat dia sibuk kerja. Sempat pula dia nak ajak perempuan datang berdua – duaan. Masa taip tu, tak teringat langsung ke yang dia ada bini dengan anak kat rumah?
Tak takut ke kalau orang tahu? Entah dah berapa lama benda ni berjalan. Aku cuma tahu setakat apa yang aku jumpa. Kalau tak panjang jodoh kami, aku rasa aku tak terkilan pun kehilangan dia. Selama ni aku boleh bertahan walaupun dia tak ada apa – apa sebab bab hidup susah tu tak pernah jadi masalah untuk aku. Janji dia setia.
Dulu pernah aku gadai barang kemas semata – mata nak pastikan kami ada duit makan sampai gaji seterusnya. Tak pernah aku berkira sebab aku fikir, dah laki bini, susah senang tanggunglah sama – sama. Mei lepas genap sepuluh tahun kami kahwin.
Dalam sepuluh tahun tu kami pernah ikat perut, pernah cukup – cukup makan. Aku tak pernah minta dia bagi aku hidup mewah. Aku cuma nak dia hargai aku dan jaga hati aku macam aku jaga hati dia. Gaji dia memang tak seberapa, kadang sampai negatif.
Selama kahwin, sehelai seluar dalam atau bra pun dia tak pernah belikan untuk aku. Sepasang baju lagilah tak pernah. Aku tak minta benda mahal. Teringin juga sekali – sekala dia sendiri terfikir nak belikan sesuatu untuk bini. Kalau aku ada duit lebih pun, aku fikir barang rumah dengan keperluan anak – anak dulu.
Orang nampak laki sengkek, tapi orang tak nampak berapa banyak bini dah keluar nak cukupkan apa yang kurang. Bila dah ada makan pakai, rumah dan anak – anak pun ada orang uruskan, apa lagi yang dia cari kat luar? Apa yang aku dapat lepas sama – sama susah dengan dia?
Curang. Itu yang aku dapat. Bini sanggup susah sama – sama pun laki boleh curang. Kalau bini pentingkan diri, malas, lagi senanglah nak jadikan alasan cari orang lain. Kadang – kadang aku rasa susah betul jadi perempuan.
Waktu susah, kita yang dia cari. Dah senang sikit, perempuan lain pula dia panggil sayang. Laki kaya ada yang curang. Yang duit makan RM10 pun kena minta kat bini, ada hati nak curang juga. Aku sebut pasal duit sebab dari dulu aku tahu keadaan dia dan aku boleh terima. Banyak ke sikit duit dia, setia tu tetap pilihan dia.
Aku ingat lagi masa mula kenal dulu. Selalu aku belikan dia makanan sebab dia tak ada duit nak makan. Sewa rumah bujang dia pun tertunggak. Korang rasa siapa yang tolong bayar? Aku. Padahal masa tu kami belum declare bercinta pun.
Gaji aku sendiri kecil. Nak langsaikan tunggakan sewa dia tu memang tak cukup duit aku. Sampai aku pergi gadai gelang emas yang mak aku bagi. Masa tu aku kesian tengok dia, aku ikhlas nak tolong. Tak pernah terlintas yang orang yang aku tolong bayarkan sewa rumah dulu, satu hari nanti sanggup buat aku macam ni.
Sekarang bila teringat balik pasal gelang mak tu, menyesal juga aku. Aku yang dari dulu risau dia tak cukup makan, sekarang aku juga yang makan hati. Dia siap ajak perempuan datang ke tempat tertutup masa tak ada orang.
Yang terlibat ni pula tiga orang perempuan, kawan – kawan. Mesej yang satu lagi tu aku tak jumpa. Setakat yang sempat aku baca pun dah cukup menyakitkan hati. Yang lain tu aku memang tak tahu. Sedih aku bila fikir orang yang pernah ikat perut dengan dia ni macam tak ada nilai langsung pada dia.
Kadang – kadang aku tertanya juga, apa kurangnya aku sebagai isteri? Apa yang dia cari sampai sanggup buat aku macam ni? Untuk laki aku, kau fikirlah betul – betul. Bercerai tu mahal. Sekarang kalau kau tak ada duit makan atau nak isi minyak, aku masih boleh tolong.
Kalau esok kita dah cerai, nafkah anak – anak tetap kau kena bagi. Kalau kau culas, aku boleh buat tuntutan supaya nafkah tu dibayar melalui potongan gaji. Masa tu silap – silap nak isi minyak motor pun kau tak lepas. Itu belum masuk bayaran kereta plat Pahang tu.
Yang tu aku nak kau bayar. Aku tak pandai pun bawa kereta tu. Kau berkenan, terus kau beli. Tak test drive, tak bincang dengan aku dulu. Bila nak buat keputusan, kau buat ikut kepala sendiri. Bila timbul masalah, aku juga yang kena fikir jalan keluar.
Esok kalau kau kahwin lain, ada bini baru nak tanggung. Kalau dapat anak lagi, bertambah belanja. Kalau ada anak tiri, sikit sebanyak kau kena fikir keperluan diorang juga. Dalam pada tu, anak – anak kita tetap anak kau. Habis hubungan kita sebagai laki bini, tanggungjawab kau pada diorang tak habis.
Sebab tu bila aku tanya kenapa kau buat macam ni, aku dah penat dengar kau jawab, “Saja.” Kalau ada masalah dengan aku, cakap terus. Kalau dah tak sayang pun, beritahu. Jangan kat luar bukan main mesra dengan perempuan lain, lepas tu balik rumah buat macam tak ada apa yang jadi.
Jangan dijolok sarang tebuan, kang kau juga yang menyesal. Banyak benda aku pendam sebab aku tahu kau mudah sentap. Ada yang aku tak cakap sebab aku masih hormat kau, masih nak jaga rumah tangga kita. Jangan ingat bila aku diam, aku tak tahu.
Aku ni kalau dah sampai bercerai esok, muka kau pun aku rasa aku tak nak bagi anak – anak jumpa. Bila diorang dah besar nanti, diorang boleh nilai sendiri macam mana ayah diorang layan diorang selama ni. Aku harap kau sedar anak – anak tu pun ada perasaan.
Diorang diam bila kau marah, tapi diorang dengar apa yang kau panggil diorang. Jangan setiap kali kau ada masalah, anak pula jadi tempat kau lepaskan geram. Aku tak tahu apa kesudahan rumah tangga kami. Sekarang ni aku nak fikir pasal diri aku dengan anak – anak dulu.
Dah lama aku bertahan, banyak benda aku telan sendiri. Aku tak harap dapat suami sempurna. Cukuplah dia tahu tanggungjawab dia, hormat aku sebagai isteri dan sayang anak – anak sendiri. Kalau yang tu pun susah sangat, aku dah tak tahu apa lagi yang aku nak pertahankan.
Komen netizen :
Farah Hazwani Said : Satu je nak komen, dah 10 tahun. Jika dah macam ni elok dilepaskan ke sungai je laki tu. Noktah. Tak perlu berbasa-basi, tak perlu fikirkan untuk diri dia sedangkan dia tak fikir pasal diri awak sis. Kita ni jangan terlalu lembut untuk dipijak, tak guna pun. Dia takkan pandang sebab dah ada benda haram yang lain. Sayangi diri kita dan anak-anak.
Darvina Sahari : Sebelum kahwin dah tanggung dia macam mana ni. Takpelah, rumah tangga ada pasang surut. Semoga Allah Taala yang permudahkan urusan puan. Rumah tangga saya pun ada naik turun, nak tak nak kena sabar walaupun ada hari macam singa lapar.
Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini
PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.