Aku kahwin sebab dia kata jatuh cinta pandang pertama, tapi lepas kahwin suami dingin macam aku bukan ‘isteri’ dia..

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

cinta pandang pertama

Aku mula-mula tak ada perasaan dekat suami, dia kononnya jatuh cinta pandang pertama. Oleh sebab keluarga aku suka dekat dia, aku terima dengan hati terbuka. 10 tahun kami dikurniakan 5 orang anak, tapi sikap suami dingin buat aku tersiksa. Aku baru tersedar tujuan dia kahwin dengan aku bukan untuk dijadikan isteri..

#Foto sekadar hiasan / AI. Assalamualaikum semua. Terima kasih, min, kalau sudi siarkan luahan aku ni. Dah beberapa hari aku asyik fikir benda yang sama. Aku nak cerita kat sini sebab dah lama sangat aku pendam. Mana tahu ada antara korang yang boleh bagi pandangan.

Kalau dengar masalah aku satu – satu, mungkin ada yang rasa aku ni banyak sangat nak, tak reti bersyukur. Suami aku tak pernah curang, tak pernah pukul aku, dadah pun dia tak sentuh. Tapi benda yang nampak remeh tu, kalau hampir hari – hari kena hadap, makan hati juga. Sejujurnya, aku tak bahagia.

Aku dengan suami dah kahwin sepuluh tahun. Dia yang jatuh cinta pandang pertama kat aku. Mula – mula dulu aku tak ada perasaan pun kat dia, tapi keluarga aku suka dia. Aku pun buka hati nak terima. Memang dia ada ciri – ciri menantu yang orang tua suka.

Baik orangnya, lemah lembut, sejuk mata memandang. Keluarga aku pula kurang ilmu agama. Masa terima dia, aku berharap dapat belajar daripada dia dan jadi muslimah yang lebih baik. Lepas kahwin, memang betul dia macam yang aku sangka.

Solat dia jaga, dia puasa, rajin solat sunat, tahajud dan mengaji. Dengan aku pun dia tak pernah maki atau hina. Masakan aku tak pernah sekali dia kutuk. Kalau dengar setakat ni, memang nampak elok semuanya, kan? Sekarang anak kami dah lima.

Makin lama aku rasa macam suami aku kahwin sebab dia nak ada keluarga sendiri, nak ada zuriat. Dia perlukan seorang isteri untuk jadi ibu kepada anak – anak dia. Tapi aku sendiri tak rasa macam aku ni teman hidup yang dia nak sayang, nak bermanja.

Kadang – kadang aku terfikir, apa bezanya aku dengan pengasuh yang duduk kat rumah dia dan jaga anak – anak dia? Suami aku ada tolong buat kerja rumah dan urus anak – anak. Makan pakai kami pun cukup. Hidup kami tak mewah, tapi apa yang ada tu dah lebih daripada cukup bagi aku.

Aku bersyukur, lebih – lebih lagi dengan rezeki lima orang anak ni. Cuma hubungan kami berdua tu yang buat aku rasa sunyi. Macam housemate yang sama – sama besarkan anak. Aku mula sayang dia sebaik saja kami jadi suami isteri. Dia pun dah beberapa kali cakap dia cintakan aku. Yang susahnya, bila duduk dengan dia hari – hari, aku tak dapat rasa apa yang dia cakap tu.

1. Bab tidur

Sepuluh tahun kahwin, tak pernah sekali pun dia sendiri nak tidur dekat dengan aku. Tempat kegemaran dia ruang tamu. Aku kat bilik tunggu punya tunggu, tahu – tahu dah pagi, dia masih tidur kat luar. Kalau tengah bergaduh, lagilah senang untuk dia sebab aku takkan panggil dia masuk.

Berminggu – minggu kami boleh tidur asing macam tu. Setahu aku, tidur berasingan tu antara cara suami menegur isteri kalau ada salah. Memang terasa bila suami pulaukan kita. Tapi dalam rumah aku, tak bergaduh pun macam tu.

Kadang – kadang bila aku panggil, dia masuk bilik juga, cuma dia tidur kat lantai. Aku kena bagi macam – macam alasan nak suruh dia naik katil. Dah naik pun, kalau aku kat hujung kanan, dia pergi hujung kiri. Anak dia biarkan tidur kat tengah.

Akulah yang ajar anak – anak tidur berasingan. Aku jugalah yang terhegeh – hegeh nak tidur sebelah suami sendiri. Pernah dia tidur melintang kat hujung kaki aku. Asalkan tak sebelah aku. Bila aku tanya, dia kata panas. Padahal cuaca sejuk, aircond pun dah pasang.

Bab nak peluk atau cium sebelum tidur, kalau aku tak mulakan, memang tak adalah. Awal kahwin dulu aku fikir mungkin dia tak romantik sebab tak pernah bercinta. Jadi aku yang ajak dia bermanja. Masa baru kahwin okeylah, tapi beberapa bulan je. Lepas ada anak, makin kurang. Kalau korang hairan macam mana kami boleh ada lima orang anak, dia datang dekat aku bila dia nak bersama. Aku pula memang mudah mengandung. Itu rezeki yang Allah bagi.

2. Bab makan

Suami aku ni berdikari. Nak makan, dia cedok sendiri nasi dengan lauk. Kadang – kadang dia masak sendiri. Katanya tak nak susahkan aku. Tapi bila gaduh, dia boleh ungkit yang aku tak layan makan minum dia. Aku nak layan macam mana kalau dia sendiri tak bagi peluang?

Kadang – kadang aku dah siap masak, dia belum habis buat kerja. Sementara tunggu dia, aku buatlah benda lain dulu. Anak lima orang, semua kecil lagi, memang ada je kerja. Bila aku jenguk dapur balik, dia dah habis makan.

Aku ni dari tadi tahan lapar sebab nak tunggu makan dengan dia. Tak kisahlah aku yang masak, dia yang masak atau lauk beli, dia memang tak ajak aku makan sekali. Paling – paling dia cakap, “Abang ada beli sup.” Lepas tu dia makanlah sorang.

Kalau aku nak, aku pergilah ambil sendiri. Sepuluh tahun ni tak pernah aku dengar dia cakap, “Jom makan sama – sama.” Yang paling buat aku terasa, aku panggil dia makan, dia tak datang. Bila aku dah habis makan dan masuk bilik, masa tulah dia cepat – cepat pergi dapur. Kadang – kadang aku rasa dia rimas kalau aku ada dekat dia. Aku kat sini, dia ke sana. Bila aku beredar, baru dia datang.

3. Masa untuk aku

Aku suri rumah sepenuh masa. Hari – hari aku dengan anak – anak dan urusan rumah. Ada juga aku ikut usrah dengan kelas agama. Masa dalam kelas tu dapatlah aku fikir benda lain sekejap. Habis kelas, aku fikir balik apa lagi yang aku boleh buat supaya hubungan kami elok. Penat juga bila hari – hari benda tu yang bermain dalam kepala.

Siang dia sibuk kerja, aku sibuk jaga anak. Banyak benda aku simpan nak cerita bila dia dah lapang nanti. Tapi bila dia lapang, telefon pula tak lepas dari tangan. Makan tengok telefon, nak tidur pun tengok telefon. Aku tengah bercakap dengan dia pun mata dia masih kat skrin, tangan masih dok scroll.

Kadang – kadang dah berjam dia layan WhatsApp dengan Facebook. Bila aku datang duduk dekat dia, baru nak buka cerita, masa tulah dia letak telefon, pejam mata, terus tidur. Katanya mengantuk sangat. Tadi masa tengok telefon tak mengantuk pula. Dengar suara aku je terus mengantuk.

Ada masa aku tahu dia dengar, tapi sepatah pun dia tak menyahut. Contohnya bila dia balik dari luar, aku tegur suruh mandi dan tukar baju dulu. Dia buat tak tahu sampai anak – anak dah datang peluk dia pun dia tak jawab aku. Geram tu ada, tapi lebih pada kecil hati. Rasa macam bercakap dengan dinding kat rumah sendiri.

4. Bab komunikasi

Suami aku susah sangat nak bagitahu dia nak keluar atau pukul berapa nak balik. Pernah aku cari dia keliling rumah, rupanya dah keluar. Kadang aku belum siap masak, dia dah sampai. Hari lain aku dah siapkan lauk tunggu dia, rupanya dia balik lambat dan dah makan kat luar.

Telefon tu selalu ada kat tangan. Tapi dengan aku, kalau ada benda dia perlukan baru dia mesej. Nak solat sama – sama pun susah. Dia bersiap sendiri tanpa bagitahu aku awal sikit supaya aku sempat ambil wuduk dan pakai telekung.

Kadang – kadang aku masih kat tandas, dia dah mula solat. Kelam – kabut aku keluar capai telekung. Paling aku sedih bab Subuh. Dia boleh bangun solat sunat, lepas tu solat Subuh sorang. Aku kat situ dia tak kejut. Kalau aku terjaga, terjagalah.

Kalau tak, memang dia biar aku tidur sampai pagi. Kadang dalam hati aku terdetik, dia nak masuk syurga sorang – sorang ke? Bila aku tanya kenapa tak kejut, dia kata aku susah sangat nak bangun. Kejut pun belum tentu aku bangun, katanya.

Memang aku susah nak bangun. Anak – anak aku lasak, nak tidurkan semua bukan sekejap. Selalu pukul satu, dua pagi baru aku dapat tidur. Tengah malam kena bangun lagi susukan baby. Suami aku letak kepala je dah lena, tinggallah aku sorang pujuk anak – anak tidur. Subuh dia bangun segar. Aku pula kadang masih mamai sebab tak cukup tidur, kadang memang terus terlajak.

5. Bab shopping

Ada juga dia belikan aku baju atau telekung. Cuma selalunya bila kawan dia jual, baru dia beli sebab nak sokong bisnes kawan. Kalau kami keluar berdua, tak pernah pula dia tanya, “Sayang nak apa? Ambillah, abang belanja.”

Dia tahu aku tak ada duit, tapi dia tak hulur. Kadang aku baru nak singgah tengok kedai, dia dah jalan laju ke depan. Itu yang buat aku tertanya, masa dia beli barang untuk aku tu, ada tak dia terfikir yang aku akan seronok dapat hadiah daripada dia?

Suami tahu aku ni hantu kek. Tapi hari jadi aku, tak pernah dia belikan kek. Hari jadi anak, dia sanggup beli kek harga seratus lebih. Bila sampai giliran aku, teringinlah juga aku nak rasa dia ingat benda yang aku suka.

Kalau aku terasa hati dan merajuk, memang tak ada istilah pujuk. Aku senyap, dia lagi senyap. Pernah sampai sebulan dia tak bercakap dengan aku. Akhirnya aku juga yang mengalah dan minta maaf dulu, walaupun asalnya aku merajuk sebab dia yang buat salah.

Tak pernah dia datang tanya, “Sayang kenapa senyap? Marah ke? Abang ada buat salah ke?” Dia boleh teruskan hari dia macam biasa. Banyak lagi sebenarnya, tapi panjang pula kalau aku cerita semua. Orang selalu kata cinta saja tak cukup.

Aku rasa macam mana pula nak hidup dengan suami sendiri kalau kasih sayang dia pun aku tak rasa? Kami dah banyak kali bincang. Aku dah luah dekat dia semua ni. Lepas bincang, kejap tu okeylah dia dengan aku. Lama – lama balik macam dulu juga.

Dah tiga kali aku minta dia lepaskan aku kalau dia rasa dia tak perlukan aku dalam hidup dia. Tiap kali tu juga dia cakap dia sayang aku. Aku fikirkan anak – anak, tapi dalam masa yang sama aku sendiri terseksa. Sekarang ni aku dah betul – betul putus asa.

Aku dah tak tahu apa lagi nak buat untuk pikat suami sendiri. Selama ni aku yang cari dia, aku yang ajak berbual, aku yang nak duduk dekat. Penat, min, bila kita sorang je yang asyik terkejar – kejar. Sekarang aku ikut cara dia. Aku bercakap bila perlu.

Cerita yang dulu aku simpan nak kongsi dengan dia, aku dah tak cerita. Kalau dia ke dapur, aku hidangkan makan. Dah habis, aku sambung kerja aku. Kalau dia masuk bilik, aku biar. Aku duduk kat luar kemas rumah. Dia main telefon, aku pun main telefon.

Bila aku bangun Subuh, aku solat sendiri. Aku dah tak kejut dia macam dulu. Dengan anak – anak aku cuba layan macam biasa, cuma aku perasan aku dah kurang sabar. Aku jadi cepat marah bila hati sendiri tak tenang. Aku rasa macam suami tak perlukan aku.

Aku ada kat situ, tapi dia macam lebih selesa kalau aku tak dekat dengan dia. Aku nak bercinta dengan suami aku sampai tua. Aku nak dia pegang tangan aku, pandang muka aku bila aku bercerita. Aku nak dia pimpin aku sama – sama ke syurga.

Bagi aku, itulah teman hidup yang aku harapkan masa aku terima dia dulu. Aku tahu dia jaga hubungan dia dengan Allah. Dia juga ayah yang bertanggungjawab pada anak – anak kami. Cuma sebagai isteri dia, aku tetap rasa terabai. Doakan aku jumpa jalan untuk bahagia dengan suami aku. – Unwanted (bukan nama sebenar)

Komen netizen :

Nabilah Atirah : Ya Allah.. di waktu mustajab doa ini.. aku berdoa semoga suami puan ini hatinya dipenuhi kasih sayang dan beIas kasihan terhadap isterinya, dia mengikut teladan dan sunnah nabi juga dia mampu memahami bagaimana sikap nabi dalam melayani isteri – isterinya. Amin ya rabb..

Padin Razal : Cari duit dulu. Belajar meniaga kecil – kecilan. Dah 10 tahun takde income sendiri kan. Pelan – pelan cari income sendiri. Bangkit kalau rasa dipijak. Kalau sabar semudah menaip S.A.B.A.R kat komen FB, semua orang boleh sabar. Tapi realitinya tak. Manusia ada had dan tahapnya. Kesihatan mentaI kita pun kena jaga. Apapun, cari duit sendiri dulu dan serahkan semua kepada Allah. Insya-Allah lepas tu tahu la nak buat ape.

Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5174 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.