
Abah yang aku kenal seorang yang panas baran, sangat kedekut dan tak suka beri apa-apa dekat orang. Kami anak-anak tak boleh jemput orang datang rumah makan sedangkan abah mampu. Tengking dan tinggi suara tu mainan abah saja. Aku pun tak faham kenapa mak boleh bertahan dengan perangainya. Lepas abah meninggal dunia, kami terjumpa satu buku catatan. Kami terkejut, tak sangka sebab selama ni abah tak pernah bagitahu..
#Foto sekadar hiasan / AI. Nama aku Ayesha. Umur dah hujung 20 – an, sekarang menetap di Putrajaya. Aku bekerja dan ada dua orang anak kecil. Alhamdulillah, suami aku baik dan banyak memahami aku. Kali ni aku nak cerita pasal abah aku. Abah dah meninggal. Aku rindu sangat kat dia.
Abah datang daripada keluarga yang berpecah. Ikut cerita yang aku dengar, memang susah hidup abah dulu. Mak ayah dia dah tak ada sejak dia kecil lagi. Abah tak dapat bersekolah dan banyak hidup sendiri. Mungkin sebab tu juga ada perangai abah yang kurang elok.
Tahun ni umur abah dah masuk 70 – an. Sebelum dia jatuh sakit, kesihatan abah memang baik. Dia rajin bekerja. Kalau buat kerja, memang tak reti nak curi tulang. Tapi abah yang aku kenal sejak kecil juga seorang yang panas baran. Bab duit, dia cukup cermat. Pada aku masa tu, kedekutlah juga.
Pantang barang dia terusik, ringan je tangan dia naik kat kami. Setakat yang aku nampak masa kecil dulu, abah pun tak suka bagi apa – apa kat orang luar. Nak ajak orang datang rumah makan – makan pun kami tak boleh, walaupun kami tahu abah mampu. Benda macam tu buat aku terasa.
Aku kecil hati juga bila abah bandingkan kami dengan anak orang lain yang dah berjaya. Dia suka betul kalau dengar anak orang tu ada kerjaya elok, lebih – lebih lagi kalau kerja kerajaan. Macam sesetengah pakcik makcik kat kampung dulu juga. Sekarang ni mungkin dah ramai yang fikir lain.
Bab agama, banyak benda yang abah tak tahu. Mak pula pandai mengaji, pandai solat. Lepas kahwin dengan mak, lama – lama abah ikut mak solat dan puasa. Walaupun abah buat solat yang wajib saja, alhamdulillah, dia jaga.
Cuma bab panas baran dia tu memang ramai orang tahu. Pantang tersinggung sikit, mulalah keluar maki hamun. Kalau abah dah tinggi suara, menggeletar lutut aku. Jiran kiri, kanan, belakang rumah semua dah biasa dengar.
Dulu aku selalu tertanya, macam mana mak boleh tahan dengan perangai abah macam tu? Mak aku baik orangnya. Cuma aku perasan, lama – lama mak pun jadi keras. Aku rasa layanan yang mak dapat sebagai isteri selama ni ada kesannya pada dia.
Tapi tanggungjawab mak pada abah dan kami adik – beradik, tetap mak jalankan. Kami adik – beradik pun kalau bercakap, suara masing – masing keras. Jarang nak berlembut. Mungkin sebab dari kecil kami dah biasa dengar orang bercakap macam tu.
Bila abah makin berumur, aku mula perasan dia dah jarang marah – marah. Kadang – kadang dia pilih untuk diam walaupun dia tahu dia tak salah. Masa tu kami adik – beradik pun dah beranak – pinak. Kudrat abah tak macam dulu, tapi rumah di kampung tu tetap selesa. Makan minum cukup untuk semua.
Satu benda yang aku ingat pasal abah, sejak dia mula solat lepas kahwin dengan mak, memang dia tak tinggal. Sampai dah sakit pun dia tetap solat, walaupun kena bertayamum. Abah tak pandai mengaji, tapi kalau mak atau kami nak pergi belajar agama, dia tak pernah halang. Ke mana pun tempatnya, abah sanggup hantar.
Abah mula sakit bila separuh jari kaki dia kena potong. Dengan umur abah masa tu, lukanya ambil masa nak sembuh. Tapi kali ni memang nampak abah bersungguh nak sihat. Apa doktor pesan, dia ikut. Makan pun dia betul – betul jaga. Hari demi hari abah nampak makin sihat, luka kat kaki pun dah mula kering.
Memang aku nak balik tengok abah, tapi ada saja hal yang buat aku terpaksa batalkan niat tu. Masa tu abah cuma pergi buat rawatan kat klinik swasta. Sampai hari raya, aku pula beraya di rumah mertua. Pagi raya tu aku sempat video call keluarga dan saudara – mara yang rapat.
Aku ada tergerak nak telefon abah. Dah tekan butang call pun, tapi aku terus matikan sebab anak aku yang tak sihat tiba – tiba menangis. Dah dua, tiga hari dia tak nak makan. Sibuklah aku cari klinik mana yang buka pagi 1 Syawal tu. Dalam sibuk uruskan anak, aku terus terlupa nak telefon abah semula.
Mak memang aku telefon hampir tiap – tiap hari. Tapi pasal abah, aku tanya mak je. Ya Allah, bila fikir balik, yang itulah aku paling menyesal. Aku dengan abah memang tak berapa rapat. Mungkin sebab perangai abah dulu buat kami takut dengan dia.
Ada masanya rasa hormat tu pun kurang. Tapi bagi aku, dia tetap abah aku. Aku masih hormat dia dan jarang sangat aku tinggikan suara kat dia. Macam mana mak dengan adik – beradik aku yang lain layan abah masa dia sakit, aku tak tahu sebab aku jauh.
Sepanjang minggu pertama raya tu, aku masih tanya khabar abah melalui mak. Ada juga aku kirim duit sikit untuk keperluan abah. Aku tahu duit abah cukup. Cuma aku belum berpeluang nak jaga mak dengan abah sendiri, jadi setakat yang aku mampu, itulah yang aku bagi.
Lebih kurang seminggu lepas raya, aku dapat berita abah pengsan waktu Subuh. Kali ni rasa tak sedap hati tu lain macam. Aku terus video call. Masa tu abah separuh sedar, tengah tunggu ambulans sampai. Dia masih kenal aku. Abah senyum je tengok aku. Aku pula dah menangis teresak – esak. Masa tu memang aku nak cepat sampai rumah.
Dalam perjalanan balik, aku dapat tahu abah dah masuk wad. Keadaan dia agak kritikal dan tak ada waris dibenarkan tunggu, jadi keluarga aku balik rumah dulu. Bila aku sampai rumah mak, aku ingat nak pergi hospital awal pagi esoknya.
Lebih kurang pukul 11 malam, doktor telefon. Jantung abah dah berhenti. Mereka tengah buat CPR, tapi doktor cakap dengan keadaan abah masa tu, dia tak galakkan CPR diteruskan terlalu lama. Dia minta semua waris datang ke hospital.
Kami terus bertolak. Belum sempat sampai, telefon berbunyi lagi. Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Abah dah tak ada. Ya Allah, lemah rasa badan aku dengar berita tu. Alhamdulillah, urusan abah selepas tu Allah permudahkan sampai selesai pengebumian.
Aku duduk rumah mak beberapa minggu. Tiap – tiap malam aku terjaga sebab teringat kat abah. Kalau dah terjaga tu, aku bangun solat. Paling kurang pun aku doakan dia. Setiap hari kami baca Yasin dan buat tahlil sama – sama untuk abah.
Sejak abah tak ada, baru aku perasan banyaknya kerja yang dia buat selama ni. Selain sibuk bekerja, dialah yang rajin kemas rumah, terutama bahagian luar. Dalam laci tempat dia simpan dokumen, paling atas sekali abah dah siap letak senarai nama arwah untuk tahlil.
Kami jumpa juga buku catatan hutang abah. Bila tengok catatan tu, rupanya banyak hutang orang pada dia yang abah dah halalkan. Ada juga duit yang abah wakafkan kat pusat tahfiz, dan jumlahnya agak besar. Baru aku tahu selama ni abah selalu pergi ziarah kawan – kawan dia yang sakit.
Masa hidup, jarang sangat dia cerita semua tu kat kami. Aku yang dulu ingat abah kedekut, memang tak tahu pun pasal benda – benda ni. Abah tinggalkan rumah yang selesa untuk mak dan kami anak – beranak. Bila aku kenang balik, banyak betul kebaikan abah yang aku ingat.
Aku tahu kekurangan dia. Aku juga sempat tengok sendiri macam mana abah berubah jadi lebih baik di hujung usia dia. Setiap kali berdoa, aku minta Allah ampunkan abah. Aku rindu senyum dia, rindu dengar dia ketawa. Sampai sekarang aku ralat tak sempat jumpa dia.
Dulu abah kerap tanya bila aku boleh balik. Entah macam manalah rindu dia kat aku masa tu. Abah memang jarang tunjuk sayang kat anak – anak, tapi aku tahu dia sayang kami. Sekarang kalau rindu, aku tengok gambar – gambar abah dengan beberapa video dia yang masih ada dalam simpanan aku. Itu je yang ada.
Kalau korang sudi, tolong doakan Allah terima segala kebaikan abah dan ampunkan dosa dia, termasuk apa yang dia buat sebab dia tak tahu. Doakan juga urusan aku dipermudahkan. Aku tengah uruskan pusaka abah, termasuk bayaran fidyah dan zakat dia. Bila dah dikira, agak tinggi juga jumlahnya.
Untuk yang masih ada mak ayah, selagi boleh, berbaktilah pada mereka. Kalau ada tenaga, tolong apa yang patut. Kalau ada keperluan mereka yang kita mampu sediakan, bantulah. Paling kurang pun, telefonlah tanya khabar.
Sejak abah tak ada, baru aku sedar yang aku akan rindukan dia seumur hidup. Aku cuma berharap satu hari nanti Allah izinkan kami jumpa semula di syurga. Abah, maafkan semua salah silap Kak Yang. Insya – Allah, selagi Kak Yang hidup, Kak Yang akan terus doakan abah. Al – Fatihah untuk abah. – Ayesha (bukan nama sebenar)
Komen netizen :
Amirah Razak : Takziah tt.. mengalir airmata bile baca, “aku hanya akan jumpa abah bila kami sama – sama ke syurga Allah”.. itulah harapan semua anak, untuk kembali bertemu dengan abah yang dah pergi dulu dari kita. Banyakkan berdoa, sebab hubungan anak – anak dan kedua – dua ibubapa takkan putvs biarpun ajal memisahkan.
Aisyah Nur : Dah tak ada baru nak merindui. Dah tak ada baru nak menghargai. Dah tak ada baru mengenang segala jasa dan baik budi. Saya tak bicara tentang kisah confessor. Saya bicara tentang realiti kehidupan kita kini. Semasa hidup, yang buruk tu kita kenang hingga hati terkunci nak menyeIami hati nurani.
Dan bila dah tak ada, baru kita sedar sakitnya menanggung rindu pada yang telah tiada. Salam takziah pada semua yang telah kehilangan ibu ayah. Saya menaip dengan penuh rasa hiba dan sebak sebab rindukan arwah ayah saya. 3 tahun dah berlalu masih tak bole nak move on dengan pemergian arwah ayah.
Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini
PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.