
Masa saya kena bedah kanser payudara, suami langsung tak temankan saya. Lepas 10 hari dalam wad, saya balik rumah, suami tidak sabar-sabar tuntut layanan batin dari saya. Saya dijatuhkan talak dengan alasan ‘isteri enggan melayan suami’. Jatuh maruah saya, terbuka segala aib..
#Foto sekadar hiasan / AI. Nama saya Khadijah. Masa doktor sahkan saya menghidap barah payudara, umur saya 44 tahun. Empat orang anak saya masih bersekolah. Dari mula saya pergi buat pemeriksaan di hospital sampailah hari doktor beritahu keputusan, saya pergi seorang. Suami tak ikut.
Saya dengan suami sama – sama cikgu. Mujurlah saya ada gaji sendiri, jadi bab duit tu taklah saya risau sangat. Doktor nasihatkan saya supaya segera buat pembedahan untuk buang payudara sebelah kanan. Saya tahu saya kena beritahu suami, tapi saya sendiri pun belum dapat bayangkan macam mana hidup saya lepas dibedah nanti.
Sekejap saya rasa nak ikut nasihat doktor, sekejap saya terfikir nak cari pilihan lain. Ada juga terlintas nak rahsiakan saja daripada suami dan keluarga. Tapi bila teringat muka anak – anak, saya fikir, “Aku kena sihat. Anak – anak masih perlukan aku.” Seorang jururawat ada luangkan masa beri saya kaunseling. Lepas bercakap dengan dia, saya cuba terima yang ini ujian Allah untuk saya.
Masa saya beritahu suami, saya memang tengah sedih. Saya harap dapatlah dia pujuk saya sikit. Tapi ini yang dia cakap. “Kalau doktor kata bedah, bedahlah. Kalau sampai masa untuk mati, matilah. Nak buat macam mana?”
Saya dah tak tahu nak mengadu dekat siapa. Depan anak – anak saya cuba buat macam biasa. Saya takut kalau mereka nampak saya dah tak ada semangat, pelajaran mereka pun terganggu. Suami setuju saya jalani pembedahan tu.
Dia janji, macam mana pun keadaan saya nanti, dia boleh terima. Awal November tahun tu, saya dijadualkan untuk pembedahan mastektomi. Doktor dah pesan supaya suami ambil cuti pada hari saya dibedah, tapi dia tak nak.
Saya pun minta kalau boleh, datanglah awal sikit. Pukul 8.30 pagi saya dah nak masuk bilik bedah. Dia cuma jawab, “Tengoklah kalau sempat datang.” Sampai saya dah pakai baju bedah pun saya masih tunggu dia. Akhirnya saya dibawa masuk tanpa sempat jumpa suami.
Saya sebenarnya nak cium tangan dia dulu. Manalah tahu kalau umur saya tak panjang. Sepuluh hari saya duduk di wad. Bila saya balik rumah, suami dah tak sabar nak bersama. Saya baru lepas dibedah, tapi macam tak terfikir dek dia apa yang saya tengah tanggung. Meleleh air mata saya masa melayan kehendak dia. Lepas tu pun macam tulah juga.
Sebab saya kerja kerajaan, saya dapat cuti bergaji sepanjang jalani kemoterapi dan radioterapi. Satu hari, jururawat di hospital tunjukkan saya payudara gantian daripada silikon. Harganya dalam RM300. Kalau nak, saya boleh bayar dua atau tiga kali.
Saya beritahu suami saya nak beli. Selamba dia jawab, “Buat apa beli? Harganya mahal. Sumbat sajalah dengan kain buruk!” Saya beli juga guna duit gaji sendiri. Selesa saya pakai, sampai sekarang saya masih guna yang itu juga.
Dah dekat sepuluh tahun, ada bahagian yang dah rosak sikit. Sekarang saya tengah cari mana nak beli yang baru. Pernah saya ajak suami temankan saya pergi cari, tapi dia tak layan. Sepanjang berubat, ada harinya saya memang tak larat nak pandu sendiri ke hospital, terutama bila nak pergi kemoterapi atau radioterapi.
Kalau saya minta suami bawakan, kenalah tahan dengar dia merungut. Kadang – kadang dia masam muka. Kadang – kadang sepanjang jalan dia diam saja. Saya sampai hampir putus semangat nak teruskan rawatan. Doktor pakar yang rawat sayalah yang tak jemu pujuk saya supaya habiskan rawatan tu.
Tiap kali lepas kemo, saya muntah – muntah. Bila jadi macam tu, suami akan jauhkan diri. Saya boleh rasa dia jijik tengok saya. Pernah saya tanya dia, kalau macam ni, patut ke saya berhenti saja buat rawatan? “Suka hatilah. Kalau Tuhan nak pendekkan umur, rawatan macam mana pun tetap mati juga.”
Itulah kata – kata “sokongan” yang saya dapat daripada suami. Asalkan saya tak minta tolong, tak susahkan dia. Saya pun tukar kereta kepada kereta auto supaya lebih senang saya nak bawa sendiri. Bila cuti sakit habis, saya masuk kerja semula.
Demi anak – anak, saya cuba redha. Saya doa minta Allah kuatkan hati dan iman saya. Nasib baik saya ada kawan baik yang faham keadaan saya. Dengan sokongan dialah saya kumpul balik semangat sikit demi sikit. Saya banyak baca pasal cara nak jaga kesihatan.
Vitamin pun saya beli guna duit sendiri. Tapi kalau sekali – sekala saya cakap saya penat atau badan tak sedap, suami tak percaya. Dia tuduh saya bagi alasan sebab tak nak layan dia. Kadang – kadang saya rasa macam saya ni kena sihat sepanjang masa, baru suami dan keluarga boleh senang hati.
Saya baca al – Quran dan surah Yasin sebagai ikhtiar untuk sembuh. Dalam doa saya, saya minta Allah bagi saya sihat sampai anak – anak dah boleh berdikari. Saya luangkan masa pergi kelas mengaji dan berzanji. Suami masih juga dengan perangai dia.
Saya tahu tak elok untuk saya terus tertekan macam tu, tapi itulah yang saya hadap di rumah. Atas sejadah saya dapat tenangkan hati. Pergi sekolah buat kerja pun bagi saya ketenangan. Masa saya belum sembuh sepenuhnya, saya mohon nak tunaikan haji.
Alhamdulillah, awal tahun tu saya dapat pergi. Suami tak ikut. Saya tumpang pergi dengan bapa saudara saya yang masa tu dah berumur 75 tahun. Syukur, sepanjang di Makkah saya rasa sihat. Saya larat berjalan jauh ke masjid, buat tawaf, saie dan melontar jamrah.
Doktor ada bekalkan ubat untuk saya bawa. Sepanjang di sana saya minum air zamzam dan badan pun rasa sihat. Itu cerita hampir sepuluh tahun dulu. Dengan kesabaran yang Allah bagi, saya dapat juga lalui masa – masa sedih tu.
Dua orang anak saya sekarang dah bekerja dan ada keluarga sendiri. Seorang lagi baru habis belajar di IPT dan dah mula kerja. Tinggal seorang saja yang masih belajar di IPT. Selama ni saya cuba jaga diri sebaik mungkin. Bab duit saya guna duit sendiri.
Kalau boleh pergi sendiri, saya tak minta masa dia pun. Tapi saya rasa suami tak pernah hargai usaha saya tu. Di sekolah pula, saya makin bersemangat nak bekerja. Alhamdulillah, saya dapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan kemudian dianugerahkan gelaran Guru Cemerlang.
Orang yang tengok saya ceria buat kerja hari – hari pun ramai yang susah nak percaya saya ni pesakit barah payudara. Saya ingat lepas sepuluh tahun pujuk hati sendiri, saya dah cukup kuat. Tapi dua hari sebelum hari jadi saya yang ke – 55, suami keluar rumah dan failkan perceraian di Mahkamah Syariah.
Masa tu saya rasa macam segala yang saya usahakan selama ni tak ada nilainya pada dia. Tiga puluh tahun kami hidup bersama. Akhirnya saya diceraikan dengan alasan “isteri enggan melayan suami”. Janji dia dulu yang dia boleh terima keadaan saya, entah ke mana.
Malu saya bila dengar alasan tu di mahkamah. Saya tak bantah sebab saya masih nak jaga maruah dia. Saya terima perceraian tu dan cuba redha dengan ketentuan Allah. Cuma dalam hati saya tertanya, layanan macam mana lagi yang dia nak? Hina sangat ke saya sebab tinggal sebelah payudara?
Masa tu baru awal sesi persekolahan. Cikgu memang sibuk sikit dengan kerja awal tahun. Ada hari saya balik pukul tiga, ada hari pukul empat petang. Rumah dengan sekolah memang dekat, sepuluh minit dah sampai. Tapi sampai rumah, penat bekerja tu tetap ada.
Suami masa tu dah bersara wajib pada umur 56 tahun. Saya pula tengah sibuk buat persiapan majlis kahwin anak. Sejak mula kahwin, saya tak pernah ada pembantu rumah. Hal anak – anak dengan kerja rumah, saya yang uruskan. Suami tolong ikut mood dia.
Jadi satu malam tu, saya terlalu letih dan saya tolak ajakan dia nak bersama. Itulah kali pertama saya menolak. Esoknya dia mula dingin dengan saya, dan berlarutanlah macam tu. Saya cuba berbaik, tapi sikap dia buat saya makin tertekan.
Dia keluar rumah masa saya tengah kerja. Dia balik kampung dia. Saya tak tahu apa yang dia cerita dekat saudara – mara di sana. Mungkin dia cerita pasal kekurangan saya, pasal saya tak layan dia malam tu. Kemudian dia hantar mesej, “Jumpa di pejabat kadi.”
Saya balas, “Untuk bincang apa?”
“Aku bukan nak bincang, tapi nak ceraikan kau!”
Baru – baru ni, dengan bangganya bekas suami beritahu anak – anak yang dia nak kahwin lagi. Dia siap hantar mesej dekat saya, “Dia tak macam engkau.” Sampai sekarang saya tertanya apa maksud dia. Pada dia, perempuan tu lebih baik daripada saya ke sebab payudara saya dah tinggal sebelah?
Di hujung usia macam ni, saya tertanya juga, masih kena pujuk diri sendiri lagi ke untuk terus kuat? Sampai bila saya nak tanggung sedih ni? Sepanjang saya sakit, susah sangat rupanya nak dapat sedikit sokongan daripada orang yang saya panggil suami.
Sekarang saya serahkan pada Allah. Saya dah tak berapa peduli apa yang akan jadi pada diri saya lepas ni. Kalau barah tu datang balik dan sampai di situ saja umur saya, saya redha. Macam itulah perasaan saya sekarang.
Komen netizen :
Kepada Khadijah, langit tidak selalu mendung. Pada usia sem4kin senja, usah biarkan pengh1naan bekas suami menjadi kud1s di hati. Anggaplah tindakan dan kata – katanya bagai orang tua yang sudah ny4nyuk. Pek4kkan telinga, kerana hakik4tnya Khadijah jauh lebih baik daripada bekas suami.
Sesungguhnya, tindakan Khadijah yang tetap sabar dengan segala tindakan atau kata – kata meIampau suami, amat terpuji. KehiIangan payu dara bukan noktah kepada kehidupan. Ini ujian daripada Ilahi dan ingatlah, Khadijah ‘dipilih’ kerana kesabaran tinggi yang dimiliki.
Hanya insan sabar seperti Khadijah yang mampu mengh4rungi 10 tahun paling menyakitkan itu. Mungkin perceraian jalan terbaik supaya Khadijah tidak lagi dis4kiti. Malah inilah masanya untuk Khadijah melakukan apa saja untuk diri sendiri, sesuatu yang tidak dapat dilakukan ketika hidup bersama bekas suami.
Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini
PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.