Ibu kahwin dengan ayah tiri kaya yang hadiahkan iPod masa aku dapat 8A. Tapi aku sebak bila ayah kandung cuma mampu bagi hadiah tabung buruk..

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

hadiah tabung lusuh

Masa dapat 8A PMR, ayah tiri yang kaya terus belikan iPod, tapi saya sebak bila ayah kandung cuma mampu bagi hadiah sebuah tabung tin buruk. Cerita ni jadi masa saya umur 15 tahun. Saya ada dua orang bapa — bapa kandung saya panggil Abah, ayah tiri pula saya panggil Ayah. Saya tinggal dengan ibu dan Ayah di Johor, bila cuti sekolah barulah saya pergi duduk dengan Abah..

#Foto sekadar hiasan / AI. Cerita ni jadi masa saya umur 15 tahun, tahun saya nak ambil PMR. Saya ada dua orang bapa. Bapa kandung saya, saya panggil Abah. Bapa tiri pula saya panggil Ayah. Saya tinggal dengan ibu dan Ayah di Johor. Bila cuti sekolah, barulah saya pergi duduk dengan Abah.

Abah ni peramah orangnya. Suka bergurau, muka pun selalu senyum. Ayah pula lebih serius dan tegas. Abah kerja biasa-biasa je, Ayah ada bisnes besar. Tapi ada satu benda yang dua-dua sama. Dua-dua rajin ke surau, dan bab solat satu keluarga memang diorang ambil berat.

Abah tak suka berbelanja. Bagi dia, kalau barang tu tak berfaedah, tak payah beli. Jadi kalau saya teringin coklat atau patung Barbie ciplak yang jual dekat kedai tu, dapat tengok jelah. Abah juga pantang nampak orang buang perabot lama.

Kalau ternampak, memang dia angkut balik. Hidup Abah taklah susah, tapi taklah senang sangat. Dengan cara Abah tu, saya belajar hargai duit. Ayah pula mungkin tak berapa pandai nak tunjuk sayang, jadi dia suka belikan hadiah.

Cakaplah nak apa, dia akan cuba bagi. Bab makan memang dia tak pernah berkira. Garang tu garang juga, tapi senakal mana pun saya, sekali pun dia tak pernah pukul. Masa nak ambil PMR dulu, saya memang belajar sungguh-sungguh. Saya nak diorang bangga dengan saya.

Alhamdulillah, saya dapat 8A. Satu keluarga seronok, termasuklah Abah dengan Ayah. Ayah terus tanya, “Nak hadiah apa? Bagitahu je. Ayah belikan.” Saya senyum sambil fikir nak minta apa. Mainan ke, buku ke, baju ke? Coklat? Duit?

Lepas tu Abah telefon nak ucap tahniah. Dia kata, “Abah ada hadiah istimewa untuk adik.”

“Apa dia? Bagitahulah.”

Abah ketawa dekat hujung talian. “Adalah. Datanglah rumah dulu.”

Kenalah saya tunggu sampai dapat balik rumah Abah. Memang teruja nak tahu, tapi sejujurnya saya tak kisah pun hadiah apa. Tak bagi hadiah pun tak apa. Diorang nampak usaha saya belajar selama ni pun dah cukup. Hujung minggu tu Ayah bawa balik katalog Apple.

Macam – macam ada, tapi yang saya berkenan satu je. iPod warna biru. Saya memang suka dengar lagu, jadi itulah yang saya minta. Kawan saya siap kata rugilah tak minta iPhone. Masa tu saya mana minat telefon. Saya nak dengar lagu je.

Minggu depannya Ayah bawa balik iPod tu. Bukan main seronok saya. Saya ucap terima kasih dekat Ayah dan janji lepas ni saya belajar lagi rajin. Dalam pada tu, hampir tiap-tiap minggu Abah sebut pasal hadiah istimewa dia.

Beberapa minggu kemudian, dapat juga saya balik rumah Abah. Abah panggil kakak dengan abang berkumpul dekat ruang tamu. Saya pun duduk tunggu, nak tahu sangat apa bendanya yang Abah asyik sebut tu. “Okey, semua tunggu sini. Abah pergi ambil. Berat ni. Berat sangat,” kata Abah sambil bergurau.

Lepas tu dia masuk bilik. Saya dengan kakak dan abang berpandangan. Saya ketawa kecil. Bila Abah keluar, memang dia tengah dukung sesuatu. Tabung rupanya. Korang pernah nampak tak tabung tin besar yang biasa jual dekat kedai runcit dulu?

Macam tulah tabung Abah. Saya terus terkedu sebab saya kenal sangat tabung tu. Selalu saya nampak tabung tu atas laci dalam bilik Abah. Tiap kali balik rumah, benda pertama Abah buat, dia seluk poket, keluarkan duit syiling dan masukkan dalam tabung.

Dah dua tahun dia buat macam tu. Sekarang tabung tu dah penuh, dia nak bagi semuanya dekat saya. Mata saya dah berair. Betul ke Abah nak bagi adik? Kenapa adik? Tak payahlah, Bah. Dua tahun Abah simpan duit ni. Semua tu saya cakap dalam hati je.

Abah pula bukan main seronok. Siap minta abang ambil gambar dia dengan tabung tu. Dah macam majlis penyampaian hadiah dekat ruang tamu. Tengok Abah gembira macam tu, saya tahan air mata. Saya senyum, cium pipi Abah dan peluk dia erat-erat. Terima kasih, Bah.

Lepas tu ibu tolong saya bawa duit syiling tu ke bank. Bila dah kira, jumlahnya lebih kurang RM220. Saya masukkan dalam akaun sendiri, simpan untuk masa depan. Sampai bila – bila saya akan ingat Abah dukung tabung tu keluar dari bilik.

Begitulah Abah dengan Ayah saya. Kehidupan diorang berbeza, kemampuan pun tak sama. Tapi bila anak perempuan diorang dapat 8A, masing-masing nak bagi sesuatu. Dua-dua hadiah tu bermakna untuk saya. Buat Ayah, terima kasih sebab kerja keras cari rezeki.

Terima kasih sebab layan adik macam anak kandung Ayah sendiri. Ayah memang tak pernah cakap “I love you”, tapi tiap kali Ayah bawa balik aiskrim Baskin-Robbins untuk adik, adik tahu. Masa adik kecil dulu pun sama. Dah sampai rumah, adik pura – pura tidur dalam kereta sebab nak Ayah dukung masuk.

Ayah tahu adik buat – buat tidur, tapi Ayah dukung juga. Sebab tu adik takkan jemu cakap “I love you too” dekat Ayah. Walaupun Ayah tak sebut, adik nampak dalam cara Ayah jaga adik. Buat Abah, bila adik ingat balik hari adik dapat 8A tu, adik selalu bayangkan Abah duduk dalam bilik, fikir nak bagi adik apa.

Mungkin masa tulah Abah terpandang tabung atas laci tu. Duit Abah bukan banyak. Dua tahun Abah kumpul sikit-sikit, sampai penuh satu tin. Adik tak minta apa-apa pun, tapi Abah tetap nak bagi. Itu yang buat adik terharu sangat. Terima kasih, Bah.

Adik nak kerja lebih rajin lagi supaya nanti adik boleh tambah duit bulanan untuk Abah. Terima kasih, Abah. Terima kasih, Ayah. Semoga Allah sentiasa cukupkan rezeki Abah dengan Ayah dan golongkan kedua-duanya dalam kalangan orang yang beriman. Korang pula, apa hadiah daripada bapa korang yang sampai sekarang korang tak boleh lupa? – Lonely Ranger (Bukan nama sebenar)

Komen netizen :

Norizan Mamat : Salam, sedihnya makcik baca. Nak share… nak ulang cakap lagi, makcik ni zaman kecil sangat susah. Susah la… sejenis makan ikan seekor kongsi ramai – ramai adik beradik cubit sikit – sikit. Kami yang perempuan ni ok lagi, tapi adik beradik makcik yang lelaki sangat kesian.

Bila makcik ada anak lelaki baru makcik tahu, anak lelaki ni kalau makannya, nasi sepinggan penuh, tidak seperti kita perempuan. Mereka selalu lapar. Kesian adik – adik makcik. Back to cerita ayah makcik (arw4h)… Masa makcik kecil, baju sekolah tu bukan baju kurung.

Mungkin korang pernah tengok, jenis baju sampai lutut tu. Kasut makcik kasut putih plastik, senang basuh. Makcik jaga elok – elok dah. Basuh bersih – bersih dan iron pinjam jiran makcik punya supaya baju tak kedut. Pakai pula bertahun selagi padan / muat.

Kadang – kadang dah tak muat pun masih pakai. Kadang – kadang dah koyak pun, jahit dan pakai jer. Kasut sekolah makcik pakai pun sampai dah terbuka depannya macam mulut buaya atau dah berlubang tapak kakinya, dek haus berjalan kaki ke sekolah. Hehehehe…

Apa yang makcik tak boleh lupa, one day, arw4h ayah makcik cari makcik kat sekolah. Makcik ingatkan apa la… rupanya dia nak bagi kasut baru kat makcik. Dia pakai kasut tu di kaki makcik. Masa tu makcik darjah 2. Kasut lama dia campak buang dalam hutan tepi sekolah. Gembiranya makcik tak tau nak cakap. Tentulah susah ayah makcik nak dapatkan kasut tu. Itulah hadiah paling bermakna dalam hidup makcik.

Oja Rozalin : Tak pernah ada hadiah atau ucapan pada hari istimewa atau kerana cemerlang belajar atau kejayaan dalam sukan, tapi saya ok saja kerana saya sudah cukup puas hati dengan apa yang saya dapat. Tapi saat ayah saya datang ke sekolah menhantar nasi lemak berlauk ke kelas saya sedangkan pada masa itu kakinya s4kit, jalanpun tengkak.

Saya sangat sedih kerasa saya rasa menyusahkan ayah walaupun saya tak minta ayah hantar kerana kami bukannya ada kend3raan walaupun motor. Saya tak pernah lupa perkara ni – 1987. Al-fatihah arw4h papa.

Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5170 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.