Lepas SPM ayah paksa aku kahwin dengan lelaki tua, dapat pula suami kedekut. Dompet aku kosong, syiling pun takde. 3 tahun aku hadap, aku lari curi dompet dia..

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

dapat suami kedekut

Tiga tahun hadap suami kedekut, satu hari aku sakit dan bil rawatan aku RM200. Depan kaunter suami dah jeling. Dalam kereta sampai ke rumah suami membebel sebab duit habis. Malam tu aku nekad lari, aku curi dompet dia, aku naik bas lari beratus kilometer..

#Foto sekadar hiasan / AI. Assalamualaikum semua. Aku tulis ni sebab terbaca satu post dekat thread yang kata duit yang suami bagi dekat isteri yang jadi suri rumah sepenuh masa tu bukan nafkah. Terus aku teringat hal aku dulu. Aku kahwin muda. Ayah yang aturkan, aku pula kena ikut.

Dulu keputusan SPM aku cemerlang. Nama dengan gambar aku siap masuk surat khabar. Sampai sekarang aku simpan keratan tu. Masa tu macam – macam aku angankan. Dah sibuk fikir nak sambung belajar kat mana, nak ambil bidang apa.

Tapi ayah kata cukuplah aku belajar. Dia tak bagi aku sambung, dia suruh aku kahwin. Aku dah cuba cakap elok – elok, tapi dia tak nak dengar. Mak aku dah meninggal masa tu. Dulu kalau aku perlukan pertolongan, arwah maklah yang selalu ada.

Aku menangis. Sampai kena pukul, kena tampar pun keputusan ayah tetap sama. Akhirnya, umur baru 18 tahun, aku terpaksa kahwin dengan lelaki yang aku tak pernah jumpa, tak kenal langsung. Umur dia masa tu dah 30-an.

Bekas suami aku ni kedekut sangat orangnya. Kalau aku cakap nak beli barang dapur untuk masak, dia takkan hulur duit. Dia bawa aku pergi beli barang tu sekali dengan dia. Nak dapat RM5 atau RM10 pun tak ada. Kalau aku yang masuk kedai beli barang, dia nak aku pergi kedai yang bagi resit. Duit baki kena pulangkan. Seringgit ke, dua ringgit ke, 50 sen pun dia nak balik.

Pernah aku bergurau, “Alah bang, 50 sen je.” Dia terus jerit depan muka aku, minta duit tu. Menggigil tangan aku masa hulur 50 sen dekat dia. Dompet aku memang sentiasa kosong. Simpanan pun tak ada. Nak menyimpan macam mana, umur 18 tahun aku dah kena kahwin.

Satu malam tu dia bagi aku RM10, suruh turun beli barang. Jumlah barang tu RM7.30. Masa tu aku teringin nak makan aiskrim. Aku beli dua batang aiskrim potong perisa kacang merah, seringgit sebatang. Satu untuk aku, satu lagi untuk dia.

Bila aku balik, kena maki aku. Dia kata aku ni reti habiskan duit titik peluh dia je. Siap sindir, tanya macam mana aku nak bayar balik, mana duit aku. Padahal aiskrim yang aku beli tu seringgit sebatang. Bab hubungan kelamin pun menyeksakan bagi aku.

Pernah aku pergi jumpa ayah minta duit. Aku bagitahu yang suami aku tak pernah bagi aku pegang duit. Ayah tak bagi juga. Dia tanya aku duduk rumah je, nak guna duit buat apa? Dengan suami sendiri pun aku pernah sampai merayu, “Bagilah saya nafkah, bang.” Rasa macam mengemis masa tu. Korang tahu apa dia jawab?

“Kau duduk rumah siapa sekarang? Kau makan, mandi, minum, tidur, siapa yang sediakan semua tu? Aku. Dalam Islam tak ada nafkah kena bagi isteri duit. Tempat tinggal semua aku dah bagi. Itulah nafkah aku.” Aku cakap, bagilah sikit supaya aku boleh simpan.

Dompet aku tu jangankan duit kertas, duit syiling pun tak ada. Kalau aku sebut aku teringin nak makan sesuatu, dia jeling aku. “Mana duit kau? Kau boleh bayar balik duit aku?” Tiga tahun aku hidup macam tu. Sakit, penat, semua ada.

Bila aku minta izin nak kerja, dia tak bagi. Siap tuduh aku nak keluar menjalang dengan jantan lain. Masuk tahun keempat kami kahwin, ada satu hari tu aku sakit teruk. Kepala rasa berpusing, tekak loya nak muntah, badan menggigil. Aku bukan mengandung. Aku telefon suami, minta dia balik bawa aku pergi klinik sebab aku rasa macam dah nak mati.

Dia suruh aku minum, makan apa yang ada dekat rumah. Aku telefon dia lagi, cakap aku betul-betul dah tak tahan. Dari pukul 11 pagi sampai pukul 7 malam aku baring menggigil bawah selimut, tunggu dia balik. Bila dia sampai rumah, aku ajak lagi pergi klinik. Puas aku merayu baru dia nak bawa.

Doktor bagi suntikan dengan ubat. Bil semuanya RM200. Masa nak bayar, tajam dia jeling aku. Aku buat tak tahu je. Dalam kereta dia maki aku. Sampai rumah pun dia masih membebel. Aku biarkan. Seharian tu aku dah rasa macam nak mati.

Malam tu aku kuatkan diri. Aku curi dompet dia dan aku lari. Aku naik bas beratus – ratus kilometer. Duit dalam dompet tulah aku guna untuk tambang dan sewa rumah dekat tempat lain. Aku dah tak sanggup hidup macam tu. Terus terang, masa aku ambil dompet tu, sikit pun aku tak rasa bersalah.

Setahun lepas aku lari, aku dah bekerja. Aku cari NGO yang bantu wanita sebab aku nak minta cerai. Diorang tolong aku dari awal sampai habis. Dah setahun setengah aku keluar rumah, barulah aku berdepan semula dengan bekas suami dan ayah aku.

Selama ni tak pernah aku rasa benci dekat ayah. Tapi masa nampak dia hari tu, buat kali pertama aku rasa benci, geram, marah, menyampah. Sebab yang paksa aku kahwin dulu ayah kandung aku sendiri. Sepanjang urusan cerai dekat mahkamah, bekas suami aku tak habis – habis ungkit pasal aku curi dompet dia. Alhamdulillah, lepas turun naik mahkamah dengan bantuan NGO tu, akhirnya kami sah bercerai.

Ayah pula, sihat ke tak anak dia ni pun dia tak tanya. Dia sibuk membebel kata aku anak derhaka, isteri derhaka. Siap tuduh entah jantan mana yang simpan aku selama aku tak balik tu. Lepas tu barulah hidup aku tenang sikit.

Dah tiga tahun bekerja, aku sambung belajar. Memang itu yang aku nak dari dulu. Umur dah lewat sikit masa mula belajar tu, tapi aku teruskan juga. Habis diploma, aku kerja sambil buat degree part-time. Sepanjang masa tu aku tak pergi melawat ayah.

Entahlah, dalam fikiran aku, aku dah anggap macam ayah tu tak ada. Tahun 2020, masa COVID dulu, tiba-tiba aku dapat panggilan daripada dia. Sampai sekarang aku tak tahu macam mana dia dapat nombor aku. Dia kata dia tengah terdesak, nak pinjam duit.

Belum sempat dia habis cerita, aku dah minta nombor akaun. Aku masukkan duit, lepas tu aku block nombor dia. Nombor telefon aku sendiri pun aku tukar. Mungkin dulu aku naif. Bila fikir balik, yang besarkan aku, bagi aku duit makan, tanggung aku sekolah, semuanya arwah mak.

Pagi – pagi mak bangun buat kuih untuk jual. Duit jual kuih tulah yang dia guna untuk besarkan aku. Mak meninggal masa aku tingkatan empat. Lepas mak tak ada, hidup aku ala kadar je. Yang paling aku terkilan, aku tak sempat tunjuk keputusan SPM aku dekat mak.

Tiap kali aku tengok balik keratan surat khabar dengan sijil tu, aku teringat dekat dia. Mak yang penat-penat jual kuih nak sekolahkan aku, tapi dia tak sempat tengok keputusan aku. Kalau aku tahu macam tu nasib aku lepas kahwin, mungkin sebelum kahwin lagi aku dah lari. Sampai sekarang aku belum pulih daripada apa yang aku lalui.

Sepanjang aku hidup terseksa dulu, setiap kali aku minta tolong, ayah tak pernah bantu. Masa ayah telefon minta duit tu, ada juga terlintas dalam hati aku nak bagi lebih sikit. Tapi akhirnya aku masukkan genap RM50. Itu je.

Sejak hari tu aku dah tak dengar apa – apa khabar pasal ayah. Aku pun tak tahu dia masih hidup atau tak. Sekarang aku teruskan hidup aku seorang diri. Doakan aku terus kuat, ya. – Sara (bukan nama sebenar)

Komen netizen :

Sarah Shaimaa : Anda memang terbukti bijak, straight As dan bijak bertindak. Semoga sem4kin cemerlang dalam hidup. “Being alone doesn’t mean you are weak, it means you’re strong enough to handle things on your own”

Norain Noordin : Tahniah TT berjaya keluar dari kehidupan yang tersiksa. Sebab cerdik akhirnya dapat bercerai. Ayah tu memang taguna. Memang patut pun TT tak campur hal dia lagi. Itu pun nasib baik dapat RM50. Semoga berjaya dunia akhir4t. Kalau ada masa lagi tolonglah sambung part 2.

Shellena Rosli : Useless, useless father, useless husband. Alhamdulillah ada NGO dapat bantu TT keluar dari keadaan tu. Alhamdulillah TT cukup bijak keluar dari perkahwinan p4ksa tu. Alhamdulillah tak sempat dapat zuriat, lagi complicated keadaan kalau ada. Semoga Allah mudahkan rezeki adik dan dijodohkan dengan seorang yang boleh pimpin, lindung dan sayang adik, ameen.

Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5171 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.