
Perangai ayah makin teruk. Kami anak – anak yang kena hadap semua tu. Tengok ayah kencing kat luar rumah, jalan terhuyung – hayang. Dia khayal depan menantu dan depan cucu sendiri. Mak risaukan keselamatan semua orang, jadi mak halau ayah keluar rumah.
#Foto sekadar hiasan. Assalamualaikum, kisah ni aku nak kongsikan untuk bertanya pendapat dan untuk sesiapa yang pernah mengalaminya. Pernah tak korang jumpa mana – mana pakcik tua yang duduk sorang kat kaki lima, bawah jambatan, lepas tu terfikir mana keluarga dia?
Keluarga dia tak jaga dia ke atau macam mana. Sebenarnya, ayah aku sendiri dah jadi salah seorang daripada mereka. Untuk pengenalan, ayah aku dulu bekerja sebagai technician di sebuah badan kerajaan. Dia berkahwin dengan mak aku dan mereka ada tiga orang anak, abang, kakak dan aku.
Pada awalnya, mak aku tak bekerja. Walaupun kami duduk di tengah ibu kota, ayah aku seorang je yang mencari rezeki untuk keluarga. Setiap kali dapat gaji, ayah akan hulurkan sejumlah duit kepada mak untuk perbelanjaan rumah. Duit sebulan tu mak kena pandai pandai cukupkan untuk bayar segala bil, beli beras dan bayar rumah.
Ayah aku cuma pergi kerja, balik kerja dan tahu atas meja mesti ada makanan bila dia balik. Ayah aku pula ada kepala angin. Sampai beras habis pun mak takut nak minta duit. Nanti mak dituduh tak pandai bajet atau duduk rumah kerja nak makan je.
Padahal kami yang duduk kat rumah pun makan bercatu. Aku dengan abang kakak pergi sekolah pun tak bawak duit belanja. Telur dah jadi lauk utama dalam rumah kami. Masalah ayah aku, dia suka main tik4m nombor dan lebih utamakan kawan daripada keluarga sendiri.
Sampai sanggup buat pinjaman atas nama sendiri semata mata nak tolong kawan. Mak aku dah tak tahan, terus balik kampung bawak kami tiga beradik. Keluarga sebelah mak pun bukannya senang, tapi atuk aku tetap usahakan bagi kami cukup makan dan pakai.
Nak hulur duit memang tak mampu. Apa yang atuk aku mampu buat, dia tolong carikan kerja untuk mak kat kilang tempat dia bekerja. Masa tu ayah datang pujuk. Alasan yang dia guna, fikirkan anak anak dan dia janji nak berubah. Akhirnya mereka tak jadi berpisah.
Jadi mak aku terus duduk di kampung, manakala ayah masih bekerja di ibu kota. Ayah akan balik setiap hujung minggu untuk jumpa kami. Sampai satu masa, ayah dapat pindah kerja ke kampung. Dia beli rumah kat kampung. Disebabkan mak dah bekerja, mak pula yang tolong bayarkan bil bil dan perbelanjaan yang patut.
Ayah pula selesaikan pinjaman. Sampai minta bantuan AKPK untuk uruskan hutang hutang dia. Jadi duit rumah dan barang dapur semuanya guna duit mak. Aku dengan abang kakak pun rajin cari kerja sambilan untuk hulur duit dekat mak supaya cukup makan dan pakai.
Sebab gaji ayah habis untuk bayar pinjaman je. Kasut sekolah bertahun tak bertukar, baju sekolah pun sehelai sorang sebab memang tak mampu. Sampailah kami semua masuk belajar. Dapat duit makan daripada PTPTN atau MARA pun kami hulur balik dekat mak.
Atuk aku siap tolong carikan orang nak beli kereta lama ayah. Tapi ayah kena tipu sebab dia tetap berurusan dengan kawan dia sendiri. Lepas tu dia salahkan atuk pula kononnya lambat carikan pembeli. Setiap kali raya, benda tu mesti diungkit.
Semua orang tahu perangai ayah memang dah berubah, jadi masing masing lebih banyak diam. Lepas duduk kampung, ayah mula buat hal lain pula. Dah tak main nombor, tapi menghisap. Kami anak anak yang kena hadap semua tu. Tengok ayah k3ncing kat luar rumah, jalan terhuyung hayang.
Pernah sekali masa dia khayal, dia kacau adik mak aku. Mak pula bagi alasan ayah kena buatan orang. Atuk tahu perkara sebenar, tapi dia tak nak masuk campur sangat. Dia pernah suruh mak tinggalkan ayah dan dia memang sokong kalau mak nak berpisah. Tapi mak tetap tak nak.
Mak risau apa orang kampung akan cakap. Lagi satu, dia sayangkan rumah yang selama ni dia sama sama bayar. Masa ni mak dah bekerja sebagai guru KAFA. Ayah pula buat hal setiap kali dapat gaji. Bila duit dah habis, baru dia jadi normal dan tak menghisap.
Pendekkan cerita, ayah pencen. Ada pinjaman yang dah selesai, ada yang masih berbaki. Sebelum pencen pula, sempat lagi dia buat pinjaman baru untuk beli kereta. Masa tu kami semua dah besar dan masuk universiti. Duit pencen yang ada, mak gunakan untuk ubah suai rumah dan tambah bilik. Abang dan kakak masa tu pun dah mula bekerja.
Abang pula tak campur sangat hal keluarga. Dia lebih fokus pada hidup dia sendiri. Beli kereta dan pakai barang berjenama. Bila ayah dah pencen, pendapatan tinggal separuh. Pinjaman masih ada, ditambah pula dengan pinjaman kereta baru.
Silapnya kat sini, duit pencen tu tak digunakan untuk habiskan semua pinjaman sebab baki pinjaman tinggal lagi dalam dua atau tiga tahun. Jadi kakak yang tolong bayarkan ansuran kereta sebanyak RM600 sebulan. Masa tu kakak baru je mula kerja. Nak masuk kerja pun terpaksa pinjam duit aku untuk bayar deposit rumah sewa dan duit makan.
Kakak langsung tak guna kereta yang ayah beli sebab takut nanti diungkit. Dia ulang alik kerja guna kereta mak walaupun masa tu lesen kereta pun belum ada lagi. Banyak lagi benda yang kakak kena dahulukan. Kakak selalu mengadu dekat aku yang mak tak adil.
Kakak paling banyak tolong tanggung keluarga. Tapi kat rumah dia duduk dalam bilik stor. Aku pula dapat bilik baru yang dibuat masa ubah suai rumah. Lesen kereta aku mak yang tanggung. Kakak pula masih takde lesen. Nak belajar pun dia pinjam laptop abang. Duit laptop yang MARA bagi dekat kakak pun dia serahkan pada mak.
Bila aku masuk universiti, mak belikan aku laptop baru. Kalau kakak s4kit, dia pergi farmasi je. Tapi bila aku s4kit, terus masuk wad hospitaI swasta walaupun takde insurans. Tapi bila keluarga perlukan bantuan, kakak juga yang selalu dicari. Bukan abang.
Masalah ayah berlarutan sampailah hari kakak kahwin. Ayah jadi wali kepada kakak. Tapi pada hari kakak bernikah, ayah dalam keadaan khayal. Memang h4ncur hati kakak masa tu. Duit majlis kahwin pun ayah tak hulur walau seringgit. Atuk cuma mampu bantu sikit. Masa ni semua pinjaman dah habis, tinggal pinjaman kereta je.
Disebabkan duit ayah dah lebih sikit, mak minta ayah belikan beras dan bayar bil Astro. Tapi ayah tak nak. Dia salahkan mak sebab guna duit pencen untuk ubah suai rumah. Ayah kata sampai nak pergi umrah pun duit dah takde. Akhirnya mak buat pinjaman semata mata nak bagi ayah duit pergi umrah.
Tapi duit entah ke mana, umrah pun tak jadi. Perangai ayah makin teruk. Dia khayal depan menantu dan depan cucu sendiri. Mak risaukan keselamatan semua orang, jadi mak halau ayah keluar rumah. Nak bercerai pula banyak prosedur. Mak cakap dekat ayah, kalau nak balik rumah boleh, tapi tanggungjawab sebagai suami dan ayah kena jalankan.
Nafkah keluarga kena bagi. Berhenti menghisap semua benda tu. Tapi ayah pilih untuk tak bagi nafkah dan tak balik rumah. Dia lebih rela duduk tepi longkang, bawah jambatan. Kakak selalu pening fikir apa orang kampung akan cakap nanti. Dia pernah cadangkan nak hantar ayah ke pusat pemulihan, tapi risau ayah akan lari.
Mak pula tak benarkan kami jaga ayah dekat rumah sebab dia takut keselamatan keluarga. Sampai hari ni ayah hidup sebagai gelandangan. Apa yang kami mampu cuma berdoa semoga suatu hari nanti ayah berubah dan kembali ke pangkal jalan.
Dah baca, jangan lupa komen dan share ya. Terima kasih! Hantar kisah anda di sini -> https://hai.mehbaca.com/submit/
PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.