Dari kecik aku ambik hati mak. Bila aku belikan hadiah mak buang. Bila dah kerja, aku bagi duit dekat mak. 1 hari, mak baling duit dekat muka aku

Mak kata teringin nak baju sedondon. Aku belikan untuk satu family.. Tapi akhirnya kain yang aku beli tu dikatakan murah. Satu bulan tu aku tak cukup duit, aku mampu bagi sikit je duit dekat mak. Mak baIing duit tu dekat muka aku, ungkit semua..

#Foto sekadar hiasan. Assalamualaikum. Orang selalu kata keluarga tu rahmat. Ada mak ayah, ada doa mereka yang jadi berkat dalam hidup kita. Tapi aku pernah berada dalam fasa yang buat aku tertanya – tanya, kenapa tempat yang sepatutnya jadi tempat paling selamat, boleh jadi tempat yang paling melukakan.

Aku bukan tak sayang mak. Dulu, seluruh hidup aku memang aku nak bahagiakan mak. Aku nak jadi anak yang tak menyusahkan, anak yang boleh dibanggakan. Tapi lama – lama aku rasa penat sebab segala usaha aku macam tak pernah cukup di mata mak.

Dari kecil aku dah biasa jadi tempat mak meluah. Aku dengar semua cerita mak pasal orang sekeliling, pasal saudara mara, pasal adik beradik aku sendiri. Masa tu aku kecil, aku tak tahu pun benda tu berat untuk seorang anak tanggung. Aku cuma fikir aku kena dengar sebab aku anak mak.

Aku cuba faham perasaan mak dan aku cuba jadi orang yang tak tambah masalah. Sebab tu aku tanam dalam hati, aku tak nak susahkan mak dari segi duit atau kehidupan. Aku bukan yang sulung, tapi banyak benda aku urus. Bila abang – abang dan kakak balik rumah, aku yang kena tolong kemas, urus adik – adik dan pastikan semuanya berjalan lancar.

Aku tak kisah buat semua tu sebab masa tu aku sayang keluarga aku. Tapi perlahan – lahan aku mula nampak perbezaan layanan mak terhadap anak – anak. Bila abang atau kakak balik, semua benda kena disediakan. Lauk kegemaran mereka dimasak, bilik mereka dikemas. Tapi benda kecil tentang aku pun mak macam tak pernah ambil tahu.

Makanan kegemaran aku sampai sekarang pun mak tak tahu. Kalau tahu pun, kadang – kadang aku rasa mak macam buat tak tahu. Benda kecil macam tu mungkin nampak remeh bagi orang lain, tapi bagi seorang anak, benda kecil tu yang buat kita rasa dihargai.

Yang paling sakit bila aku rasa mak lebih percaya cakap orang lain daripada aku. Pernah satu masa aku jadi mangsa cerita saudara sendiri. Aku harap mak jadi orang pertama yang lindungi aku, tapi mak pilih untuk percaya orang lain. Aku masih ingat macam mana aku rasa waktu tu.

Aku tertanya – tanya, kenapa orang yang sepatutnya ada belakang aku, boleh buat aku rasa keseorangan. Bila mak ada masalah dengan saudara mara lain, aku juga yang jadi tempat dia meluah. Lama – lama aku terikut dengan pandangan mak.

Aku jadi jauh dengan orang tertentu bukan sebab mereka buat salah dengan aku, tapi sebab aku terlalu percaya dengan apa yang mak cerita. Bila aku dah besar dan boleh fikir sendiri, aku mula nampak banyak benda yang berbeza. Aku tengok saudara mara yang mak selalu marah tu sebenarnya tak seteruk yang aku bayangkan. Aku mula sedar, mungkin selama ni aku cuma dengar satu sisi cerita.

Aku juga mula sedar cara mak bercakap dengan orang memang keras. Mungkin mak rasa dia cuma berterus terang, tapi kata – kata yang keluar tu kadang – kadang tinggalkan kesan yang sangat lama. Aku paling terasa bila mak selalu bandingkan aku dengan nenek dan saudara mara yang mak tak suka.

Mak selalu kata muka aku, perangai aku sama macam mereka. Setiap kali dengar ayat tu, aku rasa macam mak sendiri menolak kewujudan aku sebagai anak. Masa umur aku sekitar 14 tahun, aku mula melawan. Bukan sebab aku benci mak, tapi sebab aku dah tak mampu simpan semuanya seorang diri.

Aku keliru sebab depan orang lain mak boleh bercakap lembut, tapi dengan aku, suara mak lain. Abang – abang dan kakak aku masa tu banyak di sekolah asrama, jadi mereka tak nampak apa yang berlaku dekat rumah. Mereka hanya tahu versi mak yang berbeza. Aku pula yang hari – hari berdepan dengan semua tu.

Bila aku dah bekerja, aku cuba buktikan yang aku bukan anak yang menyusahkan. Lepas habis sekolah, aku tak guna duit mak. Aku usaha sendiri sampai kahwin. Malah bila mak perlukan duit, aku cuba bantu sedaya yang aku boleh. Aku pernah bagi duit, belikan barang, cuba tunaikan apa yang mak teringin.

Tapi yang buat aku kecewa, banyak benda yang aku buat macam tak pernah dihargai. Hadiah yang aku beri kadang – kadang dia buang, kadang – kadang mak bagi dekat orang lain. Barang yang aku beli, mak komen tak cantik, tak sesuai atau tak bagus. Tapi bila anak lain beri benda yang sama, boleh pula dipuji.

Pernah satu masa mak kata teringin nak baju sedondon. Aku belikan untuk semua orang sebab aku nak gembirakan keluarga. Tapi akhirnya kain yang aku beli tu dikatakan murah dan macam orang miskin. Masa tu aku bukan sedih sebab barang tu dihina.

Aku sedih sebab usaha aku untuk buat mak bahagia macam tak pernah dipandang. Aku juga pernah bantu adik lelaki aku masa dia belajar di universiti. Aku asingkan duit untuk mak dan duit untuk adik aku sebab aku tahu keadaan keluarga masa tu. Aku buat sebab aku sayang adik aku.

Tapi lama kemudian baru aku tahu, mak tak pernah beritahu adik aku yang duit tu datang daripada aku. Adik aku ingat mak yang banyak membantu dia. Aku bukan nak dipuji, tapi aku rasa kecewa sebab orang yang aku bantu pun tak tahu usaha aku.

Masa aku kahwin pun sama. Aku keluarkan duit sendiri untuk majlis dan keperluan rumah tangga. Tapi masih juga ada cerita yang mak ada bantu walaupun bila ditanya berapa, jawapan tak pernah jelas. Sedangkan bila anak lain berkahwin, aku nampak sendiri macam mana mak bersungguh – sungguh membantu.

Yang paling sakit untuk aku ialah bila dari kecil lagi mak selalu cakap dia tak mahu tinggal dengan aku bila tua nanti. Bayangkan seorang anak kecil dengar benda macam tu. Lama – lama ayat tu melekat dalam kepala sampai dewasa. Aku juga tak pernah lupa satu kejadian masa aku dapat gaji pertama.

Sebenarnya aku dah niat nak bagi semua duit gaji aku dekat mak. Aku nak tunjuk yang aku hargai semua pengorbanan dia. Tapi masa aku bergurau bagi sedikit dulu, reaksi mak berubah. Mak mula ungkit macam – macam sampai keadaan jadi tegang. Aku cuba jelaskan yang aku memang nak bagi duit tu.

Tapi mak campak duit tu depan aku. Aku masih ingat aku menangis dan kutip duit tu satu – satu. Bagi orang lain mungkin benda tu kecil, tapi bagi aku, itu luka yang aku simpan bertahun – tahun. Bila aku ceritakan semula dekat adik aku selepas lebih 10 tahun, tiba – tiba cerita berubah.

Mak kata aku pula yang campak duit dekat dia. Aku cuma fikir, siapa yang kutip duit tu dulu kalau bukan aku? Lepas bertahun – tahun, aku mula sedar aku dah terlalu penat mengejar kasih sayang yang mungkin aku takkan dapat. Aku dah cuba jadi anak yang baik, tapi aku masih rasa macam aku tetap salah.

Aku pernah kumpul duit untuk bawa mak pergi umrah sebab mak pernah kata teringin pergi sebelum meninggal. Aku simpan duit, aku buat kerja tambahan sebab aku nak tunaikan impian dia. Tapi akhirnya mak pilih pergi dengan orang lain.

Aku bukan marah sebab mak pergi dengan siapa. Aku sedih sebab bertahun aku simpan duit dan berharap dapat jadi orang yang menemani mak. Aku rasa macam aku tak cukup baik sebagai anak. Bila aku sendiri dapat pergi umrah bersama suami, aku tak sangka reaksi mak pun masih buat aku terluka.

Bila aku cerita ada masalah visa dan perjalanan tertangguh, mak boleh gelakkan aku seolah – olah aku gagal. Aku cuma fikir, kenapa susah sangat nak tumpang gembira dengan kebahagiaan anak sendiri? Sampai sekarang aku nampak corak yang sama.

Bila anak lain buat sesuatu, mak bangga. Bila aku buat sesuatu, mesti ada benda yang kurang. Aku sampai belajar untuk simpan kegembiraan aku sendiri sebab takut ia akan dipatahkan. Masalah duit juga selalu jadi punca. Aku bukan tak membantu mak.

Aku cuma berhenti beri duit bulanan selepas satu tahap sebab aku nak tengok, adakah layanan mak akan berubah bila duit bukan lagi faktor utama. Dan ternyata, layanan tu tetap sama. Aku sedih bila adik aku kata aku tak pernah bagi duit dekat mak.

Sedangkan dia tak tahu berapa banyak yang aku dah keluarkan selama ni. Aku tak perlukan pujian, aku cuma tak sanggup bila pengorbanan aku seolah – olah dipadam begitu saja. Aku juga penat bila setiap masalah keluarga jadi bahan untuk adik beradik bermusuh.

Ada yang suka jadi orang tengah, ada yang suka bawa cerita dari satu pihak ke pihak lain. Akhirnya hubungan adik beradik yang sepatutnya rapat jadi penuh salah faham. Sebab tu sekarang aku banyak memilih diam. Bila balik rumah pun aku lebih banyak duduk dalam bilik sebab aku tak nak bergaduh.

Aku tahu kalau aku bersuara, keadaan akan jadi lebih besar. Aku cuma penat. Aku balik rumah bukan nak cari masalah. Aku balik sebab nak luangkan masa dengan keluarga, nak raya dengan anak – anak, nak rasa suasana bahagia. Tapi setiap kali balik, mesti ada benda yang buat hati aku terluka.

Akhirnya mak pesan dekat suami aku supaya bawa aku dan anak – anak pergi rumah keluarga mertua. Kalau nak datang rumah pun datang melawat saja, tak perlu bermalam. Sedih memang sedih. Tapi dalam hati aku dah lama bersedia. Aku belajar satu benda.

Kita boleh usaha jadi anak terbaik, tapi kita tak boleh paksa seseorang melihat kebaikan kita. Kadang – kadang manusia memang tak berubah walaupun kita dah beri segalanya. Aku masih hormat mak sebagai ibu. Aku masih doakan yang baik untuk dia.

Tapi aku juga perlu jaga diri sendiri. Aku perlu letak batas supaya hati dan mental aku tak terus hancur. Dulu aku hidup untuk cari redha manusia. Sekarang aku belajar, cukup Allah tahu apa yang aku dah cuba buat. Aku tulis semua ni bukan sebab aku benci mak. Aku cuma nak lepaskan segala yang aku simpan bertahun – tahun. Aku harap satu hari nanti suara dalam kepala aku yang ulang semua kata – kata lama tu akan berhenti. Aku cuma nak hidup dengan tenang.

Hantar kisah anda di sini -> https://hai.mehbaca.com/submit/

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :