Aku rimas jiran sebelah asyik datang pinjam barang. Pinjam motor, duit, kepit kuku, lighter, plastik pun pernah. Siap tumpahkan kuah laksa depan rumah aku..

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

jiran bermasalah

Lighter api panjang jiran sebelah pinjam, tak pulang. Bila aku minta sebab nak guna dia bagitahu anak dia rosakkan. Dia suruh aku beli lain. Yang pinjam kepit kuku tu, aku tak minta, dia diam je la buat harta. Suami aku bila nak guna barang takde, aku kena tempias.. Laki bini gaduh..

#Foto sekadar hiasan / AI. Assalamualaikum. Aku nak tanya pendapat korang. Kalau korang kat tempat aku, macam mana korang nak tegur jiran sebelah rumah? Sejak aku pindah masuk rumah sewa ni, memang ada je hal dengan rumah sebelah.

Arwah laki akak tu dulu penagih dadah. Tak kira siang malam, suka menjerit maki bini, tuduh bini menyundal bagai. Anak kedua dia pun menagih. Ada anak dia yang dah tak bersekolah, merokok pun masa belum cukup umur.

Ramai dalam keluarga tu jenis tak segan nak menyusahkan aku dengan suami. Kalau setakat bising, selama ni aku diam je. Lagipun dulu masa aku kerja, aku pernah upah akak tu jagakan anak aku selama tiga minggu. Umur anak aku masa tu baru dua tahun lebih.

Akhirnya aku berhenti kerja sebab nak jaga anak sendiri. Aku tak sedap hati tengok cara anak aku menangis bila aku datang ambil dia. Macam trauma. Kadang – kadang ada luka macam kesan jatuh. Pernah ada bekas kena gigit, pernah juga bontot dia merah macam kena tampar.

Sekali tu muka, tangan dengan leher dia merah, macam seharian duduk tengah panas. Bila aku tanya, akak tu kata dia ada pergi bank. Mungkin panas dalam kereta, katanya. Tak lama lepas tu, anak sulung dia pula pesan kat mak dia supaya jangan jaga anak aku dah. Takut nanti kalau jadi apa – apa, boleh jadi kes polis.

Macam – macamlah aku fikir. Anak aku kepanasan dalam kereta sampai susah nak bernafas ke? Anak – anak dia ada buli anak aku ke? Aku tak tahu apa yang jadi. Yang aku tahu, anak – anak dia memang lasak. Akak tu sendiri pernah bagitahu yang anak dia, yang sebaya dengan anak aku tu, pernah tolak anak aku sampai jatuh.

Sejak tu aku dah tak percaya nak tinggalkan anak aku dengan diorang. Sekarang ni yang buat aku serabut, akak tu asyik nak minta tolong macam – macam. Dekat sepuluh borang dah dia suruh aku isikan. Pinjam motor, pinjam duit, pinjam ketip kuku, pinjam pemetik api. Sekejap minta plastik, sekejap nak guna telefon aku untuk call orang. Bukan sekali dua.

Ada lagi benda lain dia pernah minta, tapi yang tu aku tak kisah. Aku ikhlas tolong. Yang aku tak tahan, anak dia buang sampah dalam longkang depan mata pun dia tak tegur. Bila longkang tersumbat, hujan lebat sikit air longkang melimpah masuk rumah. Geli, min.

Anak dia kencing dekat dinding luar rumah. Pasir dengan tanah dituang tepi longkang, air longkang dicedok lepas tu disimbah merata depan rumah. Pernah masa diorang buat majlis, ada orang tertumpah laksa depan rumah aku.

Dua hari laksa tu kat situ. Lalu depan mata pun masing – masing buat macam tak nampak. Anak tumpahkan air manis sampai bersemut pun dibiarkan je. Sudahnya aku dengan suami yang kena bersihkan. Selama ni kami sabar mana yang boleh.

Bab sidai baju pun sama. Dia pakai ampaian aku. Walaupun masa tu aku tak guna, janganlah sidai sampai ke tempat aku nak parkir motor. Pernah sekali dalam rumah aku bau hanyir betul. Rupanya baju dia tersidai betul – betul dekat tingkap aku.

Dulu dia pernah bela kucing, diletaknya dekat sangat dengan rumah aku. Bau tahi kucing tu sampai aku rasa nak muntah. Dah kena tegur baru dia alihkan. Hari ni memang aku dah hilang sabar. Semalam dia pinjam motor aku nak hantar adik dia ke stesen bas untuk balik kampung.

Padahal anak dia ada motor. Lepas guna, minyak tak diisi. Yang tu aku biarkan lagi. Hari ni dia datang minta aku isi borang lagi. Kalau kat kedai, setakat tolong taip pun dah RM4 sehelai. Selama ni macam – macam borang aku dah isikan untuk dia.

Aku kena baca satu – satu, kena fikir nak isi apa, lepas tu aku pula yang kena tanya dia macam – macam. Berhelai – helai aku isi, tak pernah aku caj. Pen pun dia tak pernah bawa. Kali terakhir tu aku dah minta, baru dia beli. Aku memang ikhlas tolong selama ni.

Tapi kalau dah kerap sangat, siapa tak menyirap? Aku pun tengah serabut dengan masalah sendiri. Anak – anak dia dah besar. Kawan – kawan anak dia selalu datang lepak. Jiran lain pun ramai dia kenal sebab dah berbelas tahun dia duduk sini. Tak boleh ke sesekali minta tolong orang lain pula?

Aku ni baru setahun duduk sini. Tak kenal siapa sangat dan seboleh – bolehnya aku tak nak menyusahkan orang. Tapi kenapa bila dia nak apa – apa, aku juga yang dia cari? Yang buat aku geram, kalau ada jiran tegur benda yang diorang tak puas hati, selalu aku dengar dia jawab, “Aku malas nak gaduh – gaduh dengan orang. Aku buat hal sendiri je.”

Lagi satu ayat dia, “Biarlah orang nak mengata aku, janji aku tak minta duit diorang.” Dengan aku sendiri pun dia pernah cakap macam tu. Korang rasa hipokrit tak bila dia cakap macam tu? Aku ni jiran yang lebih muda, tapi kadang – kadang rasa macam orang suruhan dia.

Pemetik api panjang aku dia pinjam dari dah dua bulan, senyap je. Bila aku minta balik sebab nak guna, baru dia bagitahu anak dia dah rosakkan. Dia suruh aku beli dulu, nanti minta duit kat dia. Aku pun bukannya ada duit lebih. Makan pun bercatu.

Bila aku minta ganti tu, faham – fahamlah aku memang perlukan barang tu. Kenapa aku pula yang kena keluar duit dulu? Ketip kuku aku pun sama. Selagi aku tak sebut, diamlah dia. Bila suami aku nak guna barang tapi barang tak ada, dia pun marah. Dia membebel pasal jiran dalam rumah, akulah yang kena tadah telinga. Sudahnya kami laki bini pula yang bergaduh.

Selama ni kami banyak mengalah sebab tak nak gaduh dengan jiran. Umur akak tu 40 tahun, tua 15 tahun daripada kami. Kami hormat dia, tak nak nampak biadab. Tapi bila kami diam je, aku rasa makin senang orang ambil kesempatan. Kalau korang kat tempat aku, macam mana korang nak cakap dengan akak tu? Aku serba salah. Aku nak dia faham yang bukan semua benda dia boleh harapkan kami, tapi aku tak nak sampai bergaduh sesama jiran.

Komen netizen :

Nor Shahieda : Yang lepas jadikan pengajaran. Yang lepas tu, lepaskanlah. Yang akan datang tu hadap dengan muka tebal jugaklah. Berani untuk berkata tidak untuk benda yang kita tak suka. Tak payah buat baik sangat kalau hati sendiri merana. Ok.

Amy Mastura : Sekarang ni keputusan kat tangan awak. Kalau dia panggil tak payah la buka pintu, tak payah menyahut. Buat tak tahu je. Kalau dia nak pinjam barang bagi la alasan, tak payah bagi muka dah.

Rayyan Al-qayyum : Senang cerita, kenapa dah tahu diorang bermasalah masih lagi awak bagi jaga anak awak? Bahaya tu, ingatlah keselamatan anak tu. 1 lagi, dah tahu dia selalu minta itu ini cakap je takde, ni sampai pengetip kuku pun minta pinjam? Sebab awak layankan dia sebab tu dia naik lemak. Berjiran berpada – padalah. Baik tak salah tapi janganlah sampai orang ambil kesempatan macam tu. Apa pun tegas sikit, jangan kerana jiran kita suami isteri pulak yang bergaduh.

Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5170 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.