Masa majlis kahwin mama papa ambik semua duit salam kaut. Mereka kata upah jaga aku, anak angkat dari kecik..

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

duit salam kaut

Masa aku bawa bakal suami, ayah menangis depan aku. Dia bagitahu aku sebenarnya anak angkat. Waktu ni barulah aku faham, kenapa kalau abang baju raya atau baju baru dia semua yang brand mahal di butik, aku ni beli dekat kedai kaki lima saja..

#Foto sekadar hiasan / AI. Salam semua. Kawan – kawan baik aku pun tak tahu cerita ni. Aku sendiri dah umur 25 tahun baru tahu, itu pun sebab lelaki yang aku nak kahwin tu dah cakap nak hantar orang merisik. Dari kecil aku membesar dengan seorang abang.

Dia tua dua tahun daripada aku. Pantang jumpa, ada je benda nak gaduh. Dia suka buli aku, lepas tu malu nak mengaku aku ni adik dia. Aku dulu tinggi, badan besar, main pun lasak. Bab melawa memang aku tak reti. Masa tu mana aku tahu yang kami ni sebenarnya lain mak, lain ayah.

Kami dua – dua anak angkat mama dengan papa. Bezanya, mak ayah kandung abang masih ada. Diorang kawan papa, satu tempat kerja. Tiap – tiap raya kami pergi rumah diorang. Bertahun – tahun aku ikut beraya tanpa tahu pun yang tu rumah mak ayah kandung abang.

Habis sekolah rendah, masuk sekolah menengah, sampai dah masuk universiti dan mula kerja pun aku masih ingat aku ni anak kandung mama papa. Dalam surat beranak pun aku berbintikan papa. Jadi memang tak pernah terlintas nak tanya apa – apa.

Lepas SPM dulu aku nak sambung belajar. Bila aku cakap dekat mama dengan papa, diorang kata tak ada duit nak tanggung aku. Papa banyak hutang, mama pula tak kerja. Diorang suruh aku cari kerja je. Kata papa, dengan SPM pun orang dah boleh kerja. Lagipun aku dah merasa duduk sekolah asrama. Cukuplah tu.

Sedih jugak aku dengar. Aku ingat papa akan seronok bila aku cakap nak masuk universiti. Tapi kalau nak sambung juga, fahamlah aku yang duit tu aku kena cari sendiri. Aku kerja jadi cashier dekat pasar raya. Lama juga nak kumpul duit, tapi alhamdulillah, dapat juga aku masuk universiti dan bayar yuran sendiri.

Masa belajar aku kerja part-time dekat kantin untuk duit poket. Duit PTPTN aku bagi dekat mama papa buat belanja rumah sebab tiap kali bercakap pasal duit, diorang kata tak cukup. Aku ambil kejuruteraan. Yang kelakarnya, aku yang cari duit nak belajar, sepupu dengan pak cik mak cik aku pula yang sibuk pasal kursus aku.

Ada yang kata nanti kerja pegang spanar je. Ada yang tanya, perempuan mana ada ambil bidang macam tu? Aku teruskan juga. Habis belajar, pusat servis Perodua tempat aku buat praktikal terus ambil aku kerja. Memang tak sempat nak menganggur.

Anak mak cik yang sibuk pasal spanar aku tu pula masih ‘tanam anggur’ dekat rumah sebab belum dapat tawaran kerja. Lama juga aku kerja dekat situ sebelum dapat tawaran jadi jurutera dalam sektor awam. Memang bidang yang aku minat, jadi aku terima.

Lepas habis belajar, ada beberapa orang kawan sekuliah mula cakap diorang nak serius dengan aku. Aku ajak berkawan dulu. Kawan lelaki aku memang ramai, jadi sempatlah aku buat analisis sikit. Hihi. Satu benda yang aku ambil berat masa nak pilih suami, aku tak nak lelaki panas baran.

Dari kecil aku tengok mama kena hadap perangai papa. Sampai dah tua pun macam tu juga. Tapi ada benda yang aku tabik dekat papa. Walaupun mama tak dapat bagi dia zuriat, dia tetap dengan mama. Aku tahu dia sayang mama. Cuma kalau dia dah marah, dia memang tak pandai kawal.

Lama – lama aku berkenan dengan seorang lelaki ni. Aku panggil dia Mr R. Kami kerja satu jabatan, cuma lain bahagian. Nampak dia bersungguh, jadi aku pun cakap, kalau betul nak serius, pergilah jumpa mama papa aku. Sekali dia betul – betul pergi. Aku pula yang berdebar. Nasib baik mama papa kata diorang okey.

Bila Mr R dah cakap nak hantar rombongan merisik dan bertunang, aku pun bagitahu mama papa. Diorang suruh aku balik rumah petang tu dan bawa Mr R sekali. Ada benda penting nak cakap, katanya. Aku ikut jelah. Aku ingat diorang nak bincang pasal rombongan tu.

Petang tu, depan Mr R, mama dengan papa menangis. Diorang bagitahu yang aku ni anak angkat. Dah 25 tahun aku panggil diorang mama dan papa, petang tu baru aku tahu aku ni anak orang lain. Kata diorang, sebab aku dah nak kahwin, diorang terpaksa bagitahu.

Kalau ikut hati diorang, diorang tak nak aku kahwin. Biar rahsia tu tersimpan sampai bila – bila. Aku menangis semahu – mahunya. Aku marah sebab selama ni aku sorang tak tahu. Lepas tu aku mula fikir pasal mak kandung aku pula. Siapa dia? Kenapa dia bagi aku dekat orang? Dalam 25 tahun tu, tak pernah ke dia atau ayah aku cuba cari aku balik? Sampai terfikir, diorang memang tak nak aku ke?

Mr R pula ada depan mata. Aku sendiri baru tahu pasal diri aku, macam mana aku nak jawab kalau keluarga dia tanya aku ni anak siapa? Masa tu jugalah mama papa bagitahu pasal abang. Rupanya dia anak kawan papa. Bila dah tahu, aku teringat balik benda – benda yang selama ni aku pendam.

Kalau beli baju raya, abang dapat yang berjenama dekat butik. Baju aku, beli dekat kaki lima je. Abang selalu buat hal. Kerja malas, belajar pun tak nak. Dia suka melepak, pernah terlibat dengan d4dah pun mama papa tetap lebihkan dia.

Aku pula, dari nak bayar yuran sampai nak cari duit makan masa belajar, semua aku usahakan sendiri. Pernah aku dapat pointer 4.0, siap dapat anugerah dekan. Mama papa buat biasa je. Padahal aku seronok nak bagitahu diorang.

Mr R tanya aku, selama ni memang aku langsung tak tahu ke? Aku cakap memang tak tahu. Aku bagitahu dia, kalau dia rasa tak boleh terima, tak apa. Kita kawan macam dulu pun tak apa. Dia kata dia nak balik bincang dengan keluarga dia dulu.

Dalam hati aku dah bersedia kalau lepas ni tak jadi. Yalah, kalau mak dia tanya siapa keluarga kandung aku pun aku tak boleh jawab. Rupanya mak dia dengan keluarga dia setuju nak teruskan merisik dan bertunang. Cuma diorang minta nanti buat satu kenduri je, belah aku. Lega aku dengar.

Aku masih sedih dengan apa yang baru aku tahu, tapi syukur sangat keluarga dia tetap nak terima aku. Lepas tu bermulalah urusan kami dekat pejabat agama. Aku mohon wali hakim dan usaha cari wali kandung aku. Sampai sudah tak jumpa. Ayah kandung aku tu, sampai hari ni aku tak tahu dia masih hidup atau dah meninggal.

Mama dengan papa sampai bersumpah depan hakim yang diorang memang tak kenal keluarga kandung aku. Barulah aku tahu macam mana aku boleh sampai ke tangan diorang. Kata papa, ada seorang ustaz dekat tempat kerja dia bagitahu pasal seorang ibu yang baru lepas bersalin. Anak tu anak sulung dia. Masa tu keadaan si ibu dah nazak.

Menurut cerita yang sampai dekat mama papa, mak kandung aku sendiri yang minta carikan keluarga untuk jaga aku. Dia dah tak mampu nak jaga. Dia pesan dia takkan tuntut aku balik sebab dia sendiri rasa mungkin umur dia dah tak panjang. Macam tulah ceritanya mama papa ambil aku dekat hospital dulu.

Alhamdulillah, aku dengan Mr R selamat kahwin. Kenduri kami meriah. Duit kami kumpul sama – sama, dan lepas kenduri tu semua bayaran kami berdua yang langsaikan. Mama papa tak keluar satu sen pun. Esoknya, masa kira duit salam kaut, malu aku dekat Mr R. Mama papa ambil semua.

Sikit pun diorang tak tinggalkan untuk kami. Alasan diorang, duit tu ganjaran sebab dah besarkan aku. Aku kecewa betul. Kami yang kumpul duit buat kenduri, tapi bila orang hulur duit salam, terus dikira upah besarkan aku pula. Aku sampai terfikir, selama ni mama papa kira semua ke? Diorang anggap aku ni apa?

Mr R tenang je. Dia pujuk aku, katanya dah bukan rezeki kita. Tak payah pergi bulan madu pun tak apa, kita duduk rumah je. Aku yang malu dengan dia dari tadi, dia pula yang sibuk pujuk aku. Lepas tiga hari lebih duduk rumah mama papa, kami balik ke rumah sewa kami.

Mujur masa bujang dulu dah ada beli barang rumah sikit – sikit. Cukuplah untuk kami berdua mula hidup. Aku bersyukur dapat suami macam Mr R. Dia pun ada kurangnya, aku pun sama. Tapi bab duit, dia tak pernah berkira dengan aku.

Sebab tu aku pun senang hati nak kongsi gaji dengan dia. Mana yang perlu untuk rumah, kami sama – sama keluarkan. Kalau ada masalah atau ada cerita yang aku nak kongsi, dialah orang pertama yang aku cari. Dengan dia aku boleh cerita semua.

Kalau aku silap, dia tegur. Dah hampir 20 tahun kami kahwin, dah ada tiga orang anak, dia masih kawan yang paling rapat dengan aku. Kalau ada yang baca ni dan pernah rasa macam aku, terutama yang masih tertanya – tanya siapa mak ayah sendiri, aku harap korang tak putus asa.

Dulu aku sendiri dah siap cakap dekat lelaki yang aku sayang, kalau dia nak jadi kawan je pun aku terima. Tak sangka lelaki tulah yang sampai sekarang duduk sebelah aku besarkan anak – anak kami. Aku masih tak ada jawapan untuk banyak benda pasal keluarga kandung aku.

Hidup kami sekarang pun ada lagi yang kena baiki. Tapi aku bahagia dengan suami dan anak – anak. Banyakkan doa. Kadang – kadang masa tengah sedih tu memang kita tak nampak lagi macam mana Allah nak bagi jalan. Setakat ni dululah aku cerita. Nanti kalau ada masa, aku sambung lagi. – Chantiq (bukan nama sebenar)

Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5168 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.