Aku hanya berbalas mesej dengan lelaki di TikTok, suami terus mengamuk dan tuduh curang. Setiap hari kena ungkit sampai balik kampung pun dia lapor polis..

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

tuduh curang

Tak lama lagi kenduri kahwin adik aku. Ibu minta aku tolong kemas-kemaskan rumah dekat kampung tapi suami tak izinkan sebab asyik tuduh curang. Aku ikut juga ibu balik kampung, sekali suami buat laporan dekat pejabat agama dan lapor polis aku dibawa lari oleh ibu..

#Foto sekadar hiasan / AI. Assalamualaikum admin. Aku ingin minta pendapat, pandangan dan nasihat daripada semua. Aku akui aku juga pernah melakukan kesilapan dalam rumah tangga. Aku cuma berharap ada yang sudi membaca luahan aku dan bantu berikan pandangan.

Aku akui, pada bulan September lalu, aku pernah berbalas mesej di TikTok dengan seorang lelaki. Namun, perbualan tu hanya sekadar bertanya nama dan tinggal di mana. Tak lebih daripada tu. Masa tu, suami masuk ke dalam rumah dan rampas telefon aku.

Berlaku pertengkaran antara kami. Suami tarik tangan aku dengan kuat sampai aku gigit dia sebab sakit. Selepas tu, suami bertindak di luar batas dengan menampar dan mencekik aku sambil menuduh aku berlaku curang. Anak – anak menyaksikan kejadian tersebut sehingga menangis. Telefon aku juga dipecahkan masa tu.

Tak lama selepas kejadian, aku minta maaf dan berjanji takkan ulang kesilapan macam tu. Aku benar – benar mahu memperbaiki rumah tangga kami. Suami juga maafkan aku, tapi keadaan hanya kembali baik untuk sementara sahaja.

Selepas tu, setiap kali kami bergaduh, tak kira perkara kecil atau besar, suami pasti akan mengungkit semula isu lama tu. Dia akan tuduh aku curang dan rampas telefon aku setiap kali berlaku pergaduhan. Perkara sekecil bagi like dekat Facebook atau menonton siaran langsung di TikTok juga boleh menjadi punca pergaduhan. Telefon aku akan diperiksa secara terperinci dari awal hingga akhir.

Berkal i- kali aku jelaskan bahawa aku tak curang, tetapi semua penjelasan aku seolah – olah tak pernah diterima, tetap berpegang pada tuduhan dia. Sejujurnya, aku sangat penat dengan keadaan seperti ini. Ada masanya aku rasa terlalu tertekan sehingga tak tahu bagaimana hendak hadapi semuanya.

Pada bulan November, ibu aku call dan minta aku datang ke rumah sebab ada majlis adik aku. Tapi aku tak berani bagi jawapan tanpa mendapatkan kebenaran suami terlebih dahulu. Aku tunggu suami pulang sebelum meminta ibu menghubunginya untuk mendapatkan izin.

Aku sudah maklumkan kepada suami tentang perkara tu, tapi suami terus kata tak boleh. Apabila ibu telefon aku semula, aku jelaskan aku tak dapat datang. Ibu kata dia bukan minta aku tinggal lama, cuma nak aku datang bantu mengemas sedikit persiapan majlis.

Ibu juga nak cakap sendiri dengan suami, tapi suami tak nak cakap dengan ibu aku. Apabila telefon aku dimatikan, suami marah dan kata aku terlalu bersungguh – sungguh nak pergi ke rumah ibu. Aku cuba jelaskan ibu yang minta bantuan, bukannya aku sengaja mencari alasan untuk keluar. Namun, suami tetap tak percaya aku dan sekali lagi merampas telefon aku.

Keesokan harinya, ibu datang sendiri ke rumah tanpa aku jangka. Aku terkejut dan bertanya kenapa ibu datang. Ibu kata dia nak minta izin secara berdepan dengan suami. Aku maklumkan kepada suami bahawa ibu datang, tetapi suami marah dan menuduh aku yang suruh ibu datang. Ibu cuba cakap dengan suami, tetapi suami masih tak berpuas hati.

Dalam rumah, suami ungkit lagi pasal lelaki yang aku pernah mesej dulu. Dia kata pergilah rumah ibu, bolehlah aku jumpa lelaki tu dekat sana. Aku diam je sebab takut kalau aku jawab, lagi teruk kami bergaduh. Masa aku salam suami sebelum pergi, dia sempat cakap, kalau dia nak berkasar dengan aku lagi, ibu aku boleh lindungi aku ke?

Aku cuba terangkan yang aku bukan nak pergi sebab lelaki tu. Aku tak pernah curang dengan dia. Tapi masa tu aku dah takut sangat, sampai satu badan menggigil. Sepanjang jalan nak ke rumah ibu, suami tak berhenti call dan mesej. Tuduh benda yang sama berulang kali. Dah sampai rumah ibu pun dia masih tak berhenti.

Keluarga aku cuba ajak berbincang, tapi susah nak cakap apa – apa sebab telefon asyik berbunyi. Bila aku tak jawab, suami ugut nak datang ambil aku dengan anak – anak. Aku takut, jadi aku keluarkan kad SIM. Ingatkan bolehlah tenang sekejap.

Tapi lepas tu dia call adik – adik aku pula bertalu – talu sebab nak bercakap dengan aku. Lepas tu dia kata ibu aku yang halang aku bercakap dengan dia. Dia siap kata nak buat laporan polis pasal anak – anak. Dia call ibu aku juga, cerita yang aku curang.

Mak mertua pula masuk campur, tanya kenapa aku tak nak balik. Dia persoalkan kenapa baru sekarang aku buat macam ni, kenapa bukan dari dulu lagi. Ipar aku pun hubungi adik aku. Katanya aku sengaja tinggalkan suami, lepas tu tak boleh dihubungi.

Aku cuma nak tenangkan fikiran sekejap. Tapi bila keluarga sebelah suami pun tak berhenti hubungi keluarga aku, aku jadi makin tertekan. Masa tu aku dah mula fikir, macam mana nak teruskan rumah tangga kalau keadaan asyik macam ni.

Ibu duduk berbincang dengan aku. Dia kata kalau aku masih sayangkan suami dan nak pertahankan rumah tangga, baliklah dan cuba berbaik. Cuma ibu pesan, jangan sampai suami pukul atau berkasar dengan aku lagi. Aku sendiri masih nak cuba selamatkan rumah tangga kami.

Walaupun macam – macam keluarga suami cakap pasal ibu, ibu masih bagi ruang untuk kami berbaik. Tapi tak lama lepas tu, mak mertua call ibu. Dia kata suami dah pergi MUIS dan jumpa imam, mengadu yang ibu bawa aku lari.

Ibu terkejut. Ibu cakap dengan mak mertua, kalau betul nak kami berbaik, datanglah rumah. Duduk bincang elok – elok, selesaikan apa yang patut. Selang beberapa jam, suami hantar voice note dekat ibu. Dia kata dia dah berulang-alik ke MUIS untuk uruskan hal ni. Dia juga kata nak pergi balai buat laporan polis.

Dalam voice note tu, dia kata keluarga aku macam menekan dia pasal isu dia berkasar dengan aku. Tapi dalam masa yang sama, dia nafikan pernah buat apa yang diceritakan tu. Lepas tu dia kata aku takut nak balik bukan sebab takut kena pukul. Katanya aku takut orang pinjaman wang berlesen cari aku sebab ada hutang yang belum bayar.

Aku terkilan sangat bila dia cerita pasal hutang tu dekat keluarga aku. Selama ni aku simpan sebab aku anggap itu hal rumah tangga kami. Aku tak pernah cerita dekat keluarga, termasuklah aib dia. Pasal dia pernah berkasar dengan aku pun, keluarga tahu sebab anak aku sendiri yang cerita dekat adik – adik aku.

Sekarang hubungan ibu dengan mak mertua pun dah makin renggang. Aku sedih tengok jadi macam tu sebab masalah kami. Lagi satu yang buat aku susah nak terima, cara suami bercakap dengan ibu aku. Aku terkilan dia sanggup cakap kasar dengan ibu.

Setiap kali aku cuba pujuk hati untuk berbaik dan bagi dia peluang, ada lagi benda jadi yang buat aku berat hati nak balik. Aku masih sayangkan suami. Aku masih nak pertahankan rumah tangga ni. Tapi aku penat bila asyik kena tuduh, telefon diperiksa dan semua benda nak dikawal. Setiap kali gaduh, kesalahan yang sama juga dia ungkit.

Aku tahu aku pernah salah. Aku dah minta maaf dan cuba betulkan keadaan. Tapi sebab kesalahan tu, sampai bila aku kena terima layanan macam ni? Aku nak minta pandangan korang. Apa patut aku buat sekarang? Patut ke aku balik dan bagi peluang lagi? Atau aku kena fikir keselamatan aku dengan anak-anak dulu?

Aku memang buntu. Aku cuma nak hidup tenang dengan keluarga, tanpa takut bila kami bergaduh, benda yang sama akan jadi lagi. Terima kasih sebab sudi baca. Kalau ada nasihat atau pernah lalui keadaan macam ni, aku harap korang boleh kongsi.

Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5168 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.