Kawan sebilik aku cantik-cantik, senang je dapat kerja. Lepas tu lelaki kaya, ada pangkat terus nak ambik jadi bini. Rumah besar, kereta mewah, untung betul jadi perempuan cantik..

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

perempuan cantik

Untungnya jadi perempuan cantik, habis belajar je terus ahli perniagaan kaya raya dan pegawai pangkat tinggi masuk meminang. Sepupu aku yang gagal STPM dua kali pun senang dapat kerja dan kahwin dengan engineer, nak apa semua suami belikan. Aku pula kalau nak nampak lawa kena mekap tebal tutup parut jerawat. Suami kerja biasa, naik kereta lama, balik kerja pula menghadap game dekat phone sampai malam..

#Foto sekadar hiasan / AI. Assalamualaikum semua. Confession aku kali ni tentang rupa paras. Semoga admin siarkan confession aku ni. Aku berusia 29 tahun dan sepanjang hidup, aku selalu berjumpa dengan perempuan cantik. Apa yang aku perhatikan, biasanya apabila seseorang perempuan tu cantik, macam – macam rezeki datang dalam hidup dia. Semua makhluk Allah memang cantik, cuma bagi aku kecantikan tu ada beberapa jenis.

Pertama, perempuan yang memang naturally cantik dari hujung rambut sampai hujung kaki. Rambut lurus, kulit licin, jari runcing, badan kurus dan tinggi. Kedua, perempuan yang perlukan makeover dan mekap untuk nampak menarik. Ketiga pula perempuan yang biasa – biasa sahaja macam kebanyakan orang yang kita jumpa.

Confession aku ni lebih tertumpu kepada perempuan cantik jenis pertama. Kisah pertama tentang roomate aku masa matrikulasi dulu. Dia berasal dari Kelantan dan memang tersangatlah cantik. Kulit dia licin macam telur yang baru dikupas, rambut elok, badan kurus tinggi dan suara pun sedap didengar. Memang aku tengok dia macam sempurna sangat ciptaan Allah ni.

Selepas habis belajar, dia bekerja sebagai ejen insurans. Tak lama kemudian dia berkahwin dengan seorang ahli perniagaan yang kaya raya. Selepas berkahwin, dia dapat kerja kerajaan di JPN, kemudian dikurniakan anak yang comel dan muka sebijik macam dia.

Sekarang dia dah ada rumah sendiri, kereta besar dan kehidupan yang selesa. Masa rakan sebaya masih tercari – cari kerja tetap, dia dah menikmati kehidupan yang ramai orang impikan. Kadang – kadang aku terfikir, kalau dia tak secantik tu, adakah ahli perniagaan tersebut akan tertarik kepadanya?

Kisah kedua pula tentang roomate aku masa universiti. Nenek dia orang Siam dan memang dia mewarisi kecantikan yang sangat menarik perhatian. Kulit dia halus sampai tak nampak pori – pori, mata bundar tanpa perlu pakai lens atau eyeliner dan badan pula kurus tinggi.

Paling aku tak boleh lupa, dia bangun tidur pun tetap cantik. Kalau kami bersukan, kawan – kawan lain dah berpeluh dan muka merah, dia masih nampak segar. Dia memang tak perlu bermekap langsung. Masa universiti, memang ramai lelaki tergila – gilakan dia.

Ketika praktikal pula, ada seorang pegawai muda yang mempunyai jawatan tinggi berkenan dengannya. Selepas habis praktikal, dia menganggur sekejap sebelum pegawai tu datang masuk meminang dan mereka terus berkahwin. Sekarang mereka dah ada rumah besar, kereta besar dan seorang anak yang comel.

Aku pernah pergi rumah dia dan tengok sendiri bagaimana suami dia melayan dia. Suami dia sangat penyayang, penyabar dan rajin menjaga anak. Masa kami berborak pun suami dia yang sibuk menguruskan anak. Dalam hati aku terdetik, bertuahnya jadi perempuan cantik. Dah la suami kerja bagus, kehidupan selesa dan dapat pula suami yang melayan dengan baik.

Kisah ketiga tentang sepupu aku sendiri. Dia pun cantik, jenis kecantikan orang Melayu yang sedap mata memandang. Masa STPM, dia gagal dua kali. Selepas habis sekolah, abang dia tolong carikan kerja di Telekom. Di tempat kerja tu dia berkenalan dengan seorang maintenance engineer.

Mereka bercinta dan akhirnya berkahwin. Sekarang dah ada anak dan sedang membina rumah sendiri. Suami dia pula memang sangat mengikut kehendak dia. Nak apa, suami belikan. Aku bukan nak pukul rata semua perempuan cantik akan mendapat kehidupan sempurna.

Cuma daripada tiga kisah ni, aku nampak persamaan. Semuanya cantik, berkahwin dengan lelaki yang mempunyai pekerjaan bagus dan kehidupan mereka nampak sangat dipermudahkan. Sekarang aku nak cerita tentang diri aku pula. Aku rasa aku tergolong dalam kategori cantik jenis kedua.

Kalau nak nampak cantik, aku kena bermekap sepenuhnya. Mata hitam aku kecil, jadi kena pakai lens besar, muka pula ada bekas parut jerawat sampai banyak duit habis untuk rawatan muka. Badan aku pun mudah naik kalau terlebih makan.

Pendek kata, aku memang kena berusaha dan keluarkan duit kalau nak nampak menarik. Orang selalu puji aku cantik, tetapi aku sendiri tahu rupa aku macam mana kalau tak bermekap. Kehidupan rumah tangga aku pula biasa – biasa sahaja.

Suami aku kerja biasa, kami naik kereta lama yang kecil dan duit pun cukup – cukup makan. Nak beli sesuatu pun kena fikir banyak kali. Suami aku pula kalau balik kerja, terus main game telefon sampai malam. Kadang – kadang aku sengaja bersiap cantik – cantik dengan harapan dia puji atau tegur penampilan aku.

Tetapi selalunya dia macam tak perasan pun. Aku jadi tertanya – tanya, kenapa orang lain nampak begitu mudah mendapat perhatian dan kasih sayang daripada suami masing – masing? Pernah satu malam aku tengok gambar kawan – kawan lama di media sosial.

Ada yang bercuti dengan suami, ada yang dapat hadiah barang kemas dan ada yang baru pindah masuk rumah besar. Aku tengok gambar mereka sambil membandingkan kehidupan sendiri. Entah kenapa rasa sedih sangat sebab kehidupan aku jauh berbeza.

Aku tahu tak elok membandingkan diri dengan orang lain. Tetapi kadang – kadang perasaan tu datang juga. Aku pun teringin nak hidup selesa, dimanjakan suami dan tak perlu terlalu berkira setiap kali nak membeli sesuatu. Sebab itulah aku rasa perempuan yang cantik semula jadi ni mempunyai kelebihan tersendiri.

Mereka lebih mudah menarik perhatian orang dan mungkin lebih banyak peluang terbuka untuk mereka. Nak berkawan, mencari pasangan atau mendapatkan peluang tertentu, rupa paras kadang – kadang memainkan peranan. Aku tahu ada perempuan cantik yang hidupnya susah dan ada perempuan biasa – biasa yang berjaya berkahwin dengan lelaki kaya.

Aku bukan menafikan semua tu. Cuma pada pandangan aku, perempuan yang cantik memang ada kelebihan dari segi tarikan awal berbanding perempuan yang perlu berusaha lebih untuk nampak menarik. Aku nak tanya, betul ke kecantikan memang banyak membantu kehidupan seseorang perempuan?

Adakah lelaki yang berjaya dan berharta lebih cenderung memilih perempuan yang cantik? Kalau perempuan biasa – biasa berkahwin dengan lelaki kaya, adakah dia akan mendapat layanan yang sama seperti perempuan cantik? Aku bukan tak bersyukur dengan kehidupan sendiri. Cuma kadang – kadang terfikir, alangkah mudahnya kalau dilahirkan dengan kecantikan semula jadi. Tak perlu berhabis duit untuk rawatan muka dan tak perlu bersusah payah nak nampak menarik. Sekian.

Komen netizen :

Aini Aris :  Ada kebenaran juga tu sebab kalau tengok model dan artis, kebanyakannya memang cantik. Nak cari pendapatan dengan buat kerja modeling sahaja pun boleh dapat banyak duit. Ahli perniagaan kaya raya atau kerabat pun ramai yang memilih artis atau model untuk dijadikan isteri.

Masa sekolah pun cikgu kadang-kadang lebih suka pelajar yang cantik dan hensem. Ada yang mudah dapat peluang jadi ketua kelas atau pengawas. Yang nampak selekeh pula kadang-kadang cikgu pandang sepi sahaja. Ni pengalaman sendiri.

Mudarrisah AmatulLah : Sebenarnya kawan – kawan awak yang cantik tu mungkin tak pernah menunjukkan atau menceritakan penderitaan mereka. Setiap manusia ada derita, ujian dan dugaan masing – masing. Kita tak tahu apa yang berlaku di sebalik kehidupan mereka yang nampak sempurna. Bahagia bukan terletak pada kekayaan, harta, perkahwinan atau anak. Bahagia sebenarnya ada dalam jiwa.

Norliza Mustafa : Erm, ramai orang nasihat supaya bersyukur dan terima diri seadanya. Saya faham maksud confessor. Kita tak perlu hidup dalam penafian semata – mata nak sedapkan hati sendiri dan orang lain. Benda betul tak perlu kita nafikan.

Hakikatnya, orang yang cantik memang lebih mudah mendapat perhatian dan tarikan. Memang ada sahaja orang yang tak berapa cantik tetapi bertuah dari segi rezeki. Tetapi apabila seseorang tu dah cantik, dia mungkin dah tiga atau lima langkah ke depan. Mungkin dia cuma perlukan sedikit usaha untuk memperbaiki kehidupannya.

Walaupun berjuta kali kita bersyukur dengan kehidupan sendiri, hakikatnya kecantikan memang menjadi perhatian manusia. Lihat sahaja bidang peragaan, kosmetik, hiburan dan lakonan. Manusia memang diciptakan untuk menyukai kecantikan. Cuma cara kita melihat kecantikan tu yang membezakan setiap orang.

Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5153 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.