
Bila suami suarakan hasrat nak bawa isteri kedua pergi haji sekali, saya terus mulakan perang dingin dan langsung tak masak untuk dia. Saya dengar malam-malam dia selongkar dapur, lapar agaknya. Suami saya tak tahu masak, hanya Maggi, nasi dan telur mata kerbau, telur dadar pun tak pernah. Selama ini, semua tersedia..
#Foto sekadar hiasan / AI. Saya Hannah. Umur dah nak masuk 50 tahun, kerja sebagai penjawat awam. Tahun ni masuk tahun ke – 27 saya berkahwin. Suami saya awal 50 – an. Dia ambil keputusan bersara awal daripada sektor awam. Duit pencen belum dapat lagi, jadi sekarang dia kerja sendiri.
Kami ada tiga orang anak. Seorang dah bekerja, seorang tengah buat latihan industri dan seorang lagi masih belajar di IPTA. Masa saya tulis ni, saya dah tenang dan boleh fikir elok – elok. Saya nak sangat dengar pandangan orang, terutama yang pernah lalui apa yang saya tengah hadap sekarang.
Tiga tahun lepas, suami saya kahwin dengan seorang perempuan Thailand di sana. Perkahwinan tu tak didaftarkan di Malaysia. Dah dua bulan mereka nikah, baru saya tahu. Memang saya mengamuk masa dapat tahu. Saya menangis, macam – macam saya ungkit.
Selama ni saya cuba jadi isteri yang taat, tak sangka benda ni juga yang jadi. Tapi saya tunggu sampai kami tinggal berdua baru saya luahkan semuanya. Sampai hari ni anak – anak dan keluarga sebelah saya masih tak tahu.
Masa tu dua orang anak tengah buat ijazah, yang bongsu pula baru tingkatan empat. Saya takut pelajaran mereka terganggu. Yang saya lagi takut, hati mereka terluka. Anak – anak memang rapat dengan abah mereka. Suami saya ni orang kata family man.
Kalau ada masa lapang, dia habiskan dengan keluarga. Dia akan pastikan kami makan malam sama – sama, walaupun dah pukul 12 malam. Bab kerja pula, memang dia bagi komitmen penuh. Cuma sepanjang anak – anak membesar, kebanyakan urusan mereka saya yang buat.
Dari hantar ke pengasuh, masuk tadika, pergi mengaji, sekolah agama, tuisyen sampailah ke aktiviti sekolah. Kalau ada program penting di sekolah, sayalah yang hadir. Setiap seorang duduk asrama lima tahun. Sepanjang lima tahun masing – masing tu, tiap – tiap minggu saya datang jenguk.
Saya belikan barang keperluan, bawa makanan dengan baju yang dah siap gosok. Dua anak lelaki saya beza umur lapan tahun. Sejak umur masing – masing sembilan tahun, sayalah yang hantar mereka solat Jumaat. Abah mereka tak sempat balik, jadi dia solat di masjid dekat pejabat.
Hampir tiap – tiap minggu saya pun dapat dengar khutbah Jumaat, hihihi. Kalau tanya penat ke tak buat semua tu sambil bekerja, memang penat sangat. Kami dulu jodoh pilihan keluarga. Saya kahwin umur 21 tahun, suami 25. Masa dia lafaz “aku terima nikahnya”, saya dah semat dalam hati, inilah jodoh yang Allah beri pada saya.
Sejak tu masa, tenaga dan duit saya memang banyak habis untuk kerja dengan keluarga. Alhamdulillah, bab kerjaya saya rasa ada juga yang saya dah capai. Saya mula kerja dengan kelulusan SPM, sekarang dah ada sarjana. Dua kali saya dapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.
Di tempat kerja saya pegang jawatan dan ada anak buah. Setakat ni, semua program yang kami rancang dapat kami jalankan. Di rumah pun saya rasa saya dah buat bahagian saya sebagai ibu dan isteri. Suami keluar awal, biasanya lepas Isyak baru sampai rumah.
Ada dia tolong buang sampah, mop lantai, cuci bilik air. Tapi kalau nak kira berapa kali sepanjang 24 tahun pertama kami kahwin, rasanya tak habis jari. Tiga tahun kebelakangan ni baru lain sikit. Makan pakai suami saya jaga.
Bab hubungan suami isteri pun sepanjang kami kahwin, tak pernah saya tolak bila dia nak bersama. Cuma ada sekali, yang itu nanti saya cerita. Sebagai menantu, saya jaga ibu mertua yang lumpuh dan kakak ipar saya yang tak berkahwin. Adik suami saya kapten kapal. Bila dia ada di tanah air, kami bergilir jaga mereka.
Kalau balik kampung, saya ikut saja aturan suami. Lima hari di rumah mertua, dua hari di rumah keluarga saya. Rumah ibu saya yang kami jumpa dulu dalam perjalanan. Sampai tu dapatlah bermalam. Esoknya lepas Zohor dah gerak ke kampung suami. Hari terakhir sebelum balik Selangor, barulah singgah tidur semalam lagi di rumah ibu. Adik – adik saya pernah merungut, baru nak duduk sembang elok – elok, saya dah nak pergi.
Raya pun macam tu. Singgah kampung saya untuk berbuka dan bersahur. Esoknya pergi kampung suami, duduk sana sampai hari terakhir puasa, baru balik kampung saya. Pagi raya sempatlah solat dan salam dengan ibu. Belum Zohor dah kena balik kampung suami semula. Memang tak sempat nak beraya lama dengan keluarga sendiri.
Panjang pula mukadimah saya. Saya cerita semua ni supaya korang faham macam mana hidup saya dengan suami sebelum saya dapat tahu dia kahwin lain pada tahun 2018. Sejak tu kami kerap bergaduh. Kalau anak balik, pandailah kami buat macam biasa.
Dua minggu sekali, bila suami nak pergi jumpa isteri dia di sana, saya mengamuk. Pernah saya pukul dada dan tangan dia, saya terbalikkan beg dia. Suami pun pernah tarik tudung saya dan banting saya ke sofa. Pernah dia tunding jari ke kepala saya sampai saya terduduk ke lantai.
Sekali tu dia cuba elak saya pukul dia, cincin dia terkena kepala saya sampai benjol. Kami pernah bergelut sebab saya ambil visa dia. Padahal sebelum dia kahwin lain, jentik saya pun dia tak pernah. Macam tulah kami sepanjang tahun. Akhirnya bulan Januari, suami ceraikan saya dengan talak dua.
Oh ya, sebelum kami bercerai tu, ada sekali saya berdepan sendiri dengan madu saya, dia pengsan. Suami bawa dia ke Malaysia untuk dapatkan rawatan dan dia duduk di hotel selama seminggu. Madu saya ni janda anak seorang.
Dia masuk Islam sebulan sebelum nikah dengan suami saya. Anak dia muda setahun daripada anak kedua saya dan tak ada dengan dia masa dia pengsan. Saya pergi diam – diam tunggu di lobi hotel tiga bintang tempat dia menginap.
Dari Asar saya tunggu. Bila nampak suami turunkan dia, saya ikut dari belakang sampai ke tangga. Dalam kepala masa tu, saya rasa nak tarik bahu dia dan tampar dia beberapa kali. Mungkin dia perasan saya ikut. Dia berpaling dan panggil saya, “Kak.”
Lembut sangat suara dia. Saya yang tadi geram nak menampar, terkedu. Saya betulkan tudung gaya mak datin yang dia pakai sebab jambul dia terkeluar sikit. Dia terus peluk saya erat. Saya bagi isyarat nak naik ke bilik. Sampai di bilik, saya pinjam telekung dia. Punyalah lama menunggu di lobi sampai saya baru nak solat Maghrib, sedangkan dah hampir Isyak.
Lepas bercerai, saya lalui tempoh idah yang memang perit. Saya keluar setakat pergi kerja. Banyak kenduri dan kematian yang saya tak dapat hadiri. Waktu tu saya cuba redha dengan apa yang dah jadi. Sebelum habis idah, dia ajak rujuk. Saya terima.
Kadang – kadang saya fikir, bodohnya saya sebab lembut hati semula. Tapi hari – hari kami masak dan makan sama – sama. Depan anak – anak kami masih berlagak macam tak ada apa yang berlaku. Dia pula tiba – tiba rajin tolong buat kerja rumah. Rasa macam magik pula tengok dia masa tu.
Lama juga rumah kami aman sebab dia tak boleh keluar negara. Sampailah dua, tiga hari lepas, suami minta pasport dia. Sebelum tu pun dia dah suarakan hasrat nak tunaikan haji bertiga. Dia, saya dan madu saya. Sejak tu kami mula berperang dingin.
Inilah kali pertama sepanjang perkahwinan saya menolak bila dia nak bersama. Masa tu saya memang dah nekad nak tinggalkan dia. Saya WhatsApp dia minta beri saya masa sikit untuk buat persediaan. Saya kata saya akan cerita semuanya pada anak – anak. Saya nak serahkan anak – anak pada dia dan bawa diri ke Labuan. Saya juga beritahu dia saya takkan tuntut nafkah di mahkamah.
Saya banyak berkurung dalam bilik. Pagi dia bangun, tak ada sarapan. Balik solat Zohor, tak ada makan tengah hari. Malam pun saya tak sediakan apa – apa. Saya dengar dia selongkar dapur malam – malam. Lapar agaknya. Suami saya tahu masak Maggi, nasi dengan telur mata kerbau je.
Telur dadar pun dia tak pernah buat. Selama ni semua dah terhidang. Yang ada kat rumah sekarang cuma anak yang tengah buat latihan industri. Abangnya dah bekerja, adiknya dah balik kampus. Dah beberapa malam saya tukar tempat tidur supaya saya membelakangkan suami.
Selama ni saya tidur sebelah kiri dia. Bila saya mengiring ke kanan, saya nampak muka dia. Saya tahu saya pun ada kekurangan. Saya gemuk, muka berjeragat, suara kuat. Dengan anak – anak saya garang, dengan suami pun kadang garang juga.
Anak – anak saya alhamdulillah cemerlang dalam UPSR, PMR dan SPM. Saya ni bukan jenis romantik. Kalau pergi pasar raya, biasanya saya jalan depan, suami ikut belakang. Nak beli apa, pergi kedai mana, makan kat mana, semua saya tentukan.
Bab nak pergi berkhemah, bercuti, pilih warna baju raya, nak sambut hari jadi kat mana pun suami serah pada saya. Duit belanja pun saya urus. Keperluan keluarga kami kongsi bayar. Pada satu hari tu, pukul tiga pagi suami kejut saya.
Dia nak bercakap. Katanya dia baru lepas mengadu pada Allah. Dia dah doa minta yang baik untuk keluarga kami dan minta Allah tunjukkan jalan nak selesaikan masalah rumah tangga kami. Dia tanya betul ke saya nak tinggalkan dia.
Dah tawar hati sangat ke sampai tak nak bersama dengan dia lagi? Dia nak tahu apa yang saya mahu supaya kami boleh kekal sebagai suami isteri. Sampai dia tanya sama ada saya nak dia ceraikan madu saya. Dia tanya juga, kalau kami berpisah, yakinkah saya yang saya akan bahagia? Dan pasti ke dia sendiri akan bahagia dengan isteri dia di sana?
Malam tu dia mengaku dia dah buat silap bila berkahwin kali kedua. Katanya dah lama dia sedar, sebab tu dulu dia minta rujuk dengan saya. Dia kata dia kahwin sebab kasihan. Dia sendiri kata dia tak fikir panjang. Menurut suami, sepanjang empat bulan mereka berkawan, madu saya banyak bercerita pasal hidup dia.
Dia pernah dirogol seorang lelaki Islam dari Thailand dan ditinggalkan masa mengandung. Mak ayah buang dia, jadi dia lahirkan anak seorang diri. Lelaki tu pernah nak kembali pada dia, tapi apa yang berlaku buat dia trauma sampai dia takut dengan Islam. Anak dia pula dibawa lari dan dijaga oleh kakak lelaki tu.
Tiga tahun dia cari anak dia. Bila jumpa, dia tengok anak dia hidup serba kekurangan. Dia nekad nak kerja lebih kuat supaya dia sendiri boleh sara anak tu. Lepas berbincang dan serahkan sejumlah wang pada lelaki yang merogol dia, barulah dia dibenarkan jaga anak sendiri.
Syaratnya, agama anak tu tak boleh ditukar. Dia pun hantar anak dia belajar di sekolah pondok di Yala. Suami kata dia kasihan tengok hidup perempuan tu terumbang – ambing. Dia nak bimbing perempuan tu kenal Islam. Bila dia ajak kahwin dengan syarat perempuan tu masuk Islam, dia terus setuju.
Masa mereka bernikah itulah saya tengah jaga ibu mertua yang lumpuh dan menghidap Parkinson, dengan kakak ipar saya yang OKU. Lima hari lepas mereka nikah, ibu mertua saya meninggal. Suami masa tu tengah berbulan madu.
Saya menangis masa kami bercakap pagi tu. Walau apa pun yang dah jadi, saya masih sayangkan dia. Akhirnya saya setuju untuk terus bersama, cuba lupakan yang lepas dan mula semula. Kata suami, ini dah “last lap” dalam hidup dia.
Saya sendiri yang minta dia jangan ceraikan madu saya. Dia mualaf. Saya takut nanti saya ditanya pasal dia di akhirat. Suami pula yakin dia akan tetap dengan Islam. Dah berbulan dia hantar isteri dia belajar agama dan mengaji al – Quran di sebuah surau di sana. Sekarang dia dah boleh berpuasa dan dia jaga solat. Anak dia pun belajar di pondok di Yala. Dari segi kerja, dia dah tak kerja dengan orang. Dia dah buka spa sendiri dan dah pandai jahit baju.
Tolong doakan saya diberi kesabaran dan ketabahan untuk redha dengan ujian ni. Doakan juga supaya hati saya dan hati dia sama – sama tenang dalam hidup berkongsi suami. Setiap kali lepas solat fardu, saya selitkan doa untuk dia.
Tapi jujurnya, bisikan yang bukan – bukan tu masih datang. Saya masih bergelut dengan perasaan sendiri. Saya perlukan pandangan dan kata – kata semangat daripada korang. Betul ke pilihan yang saya buat ni? – Hannah (bukan nama sebenar)
Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini
PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.