Lembut suami minta izin kahwin lain. Aku jumpa perempuan tu, bagi satu syarat bermadu. Terus menangis dia lari..

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

bermadu

Awal kahwin hidup susah, suami langsung takde harta. Aku kutip kangkung tepi parit buat makan. Bila dah senang dan duduk rumah mewah, ada janda datang nak jadi bini nombor 2. Aku tenang dan rela bermadu sebab suami aku memang mampu. Aku jumpa perempuan tu, tetapkan satu syarat. Menangis dia merayu aku, akhirnya..

#Foto sekadar hiasan / AI. Salam admin. Aku guna profil anak saudara kesayangan aku, minta tolong hide profil dia ya. Aku nak cerita sikit pasal rumah tangga aku. Kalau lepas baca nanti korang nak kecam aku, aku dah sedia.

Umur aku 22 tahun, ada seorang anak perempuan. Aku kahwin masa umur 17 tahun, jadi sekarang dah lima tahun kami laki bini. Masa aku kahwin dengan suami, dia memang tak ada apa – apa. Kereta tak ada, rumah sendiri tak ada, motor pun tak ada. Dia kerja makan gaji kat restoran, RM900 sebulan.

Awal kahwin dulu memang pernah kami ikat perut sampai tak makan. Hutang keliling pinggang. Ada sekali tu, telur pun kami tak mampu nak beli. Aku fikir nak masak apa malam tu. Sudahnya aku pergi ambil kangkung yang tumbuh tepi parit rumah. Itulah lauk makan malam kami. Mujur masa tu belum ada anak lagi.

Lepas aku bersalin, alhamdulillah, rezeki suami makin bertambah. Dia dapat kerja dengan gaji RM3,000 sebulan. Mungkin itulah yang orang kata rezeki anak. Suami aku memang baik bab tanggungjawab. Nafkah aku dengan anak tak pernah dia abaikan.

Masa tu aku suri rumah sepenuh masa. Dah ada duit lebih, dapatlah dia belikan aku emas. Lama – lama dia mampu beli kereta mewah, motor dan rumah teres setingkat. Awal 2019, suami mula berniaga. Daripada kedai kecil je, makin lama makin maju.

Orang kampung pun ada yang hairan tengok hidup kami cepat berubah. Sekarang suami ada empat buah restoran, satu kedai baju dan satu kedai runcit. Dulu kami duduk rumah teres, sekarang dah pindah ke banglo dua tingkat. Kat rumah ada dua orang pembantu.

Aku cerita semua ni sebab aku nak korang tahu macam mana hidup kami masa baru kahwin dulu. Aku masih ingat lagi masa nak beli telur pun kena fikir. Bila dah senang macam sekarang, baru aku faham kenapa orang kata isteri diuji masa suami susah, suami pula diuji bila dia dah senang.

Awal tahun ni, ada satu malam tu kami nak tidur awal. Biasanya sebelum tidur kami borak dulu pasal apa yang jadi hari tu. Tapi malam tu suami aku banyak diam. Bila dia mula bercakap, rupanya dia nak minta izin kahwin lagi.

Terkejut sangat aku. Selama ni aku percaya kat dia. Sikit pun aku tak nampak tanda dia ada perempuan lain. Aku diam kejap, cuba bertenang sebab aku tak nak kami bergaduh. Lepas tu aku senyum dan tanya, “Siapa bidadari tu, bang, yang dah curi hati abang daripada saya?”

Dia cakap perempuan tu janda anak seorang. Lagi aku terkejut. Dalam hati aku cuma mampu doa, “Ya Allah, kuatkanlah hati aku.”

Sebab aku belum bagi jawapan, dia tanya lagi, “Boleh tak abang nak nikah satu lagi?”

Aku tetap diam. Malam tu aku menangis sampai tertidur. Sebab tu aku kata suami aku baik. Bab nak kahwin lagi pun dia datang minta izin elok – elok. Cuma aku tertanya juga, apa yang buat perempuan tu suka dekat suami aku? Betul ke dia sayang, atau sebab suami aku dah ada harta?

Tiga, empat hari juga aku fikir. Kalau bab duit, aku tak nafikan suami memang mampu nak kahwin lagi. Empat orang isteri pun dia mampu tanggung. Petang tu masa dia balik, aku tengah solat Asar. Lepas solat aku sambut dia macam biasa. Malam tu, bila dah selesai solat dan kami masuk bilik nak tidur, baru aku panggil dia.

“Abang, saya izinkan abang nikah lagi satu.”

Dia macam tak sangka aku bagi izin. Dia senyum dan ucap terima kasih. Aku belum habis cakap lagi.

“Tapi saya ada satu syarat.”

“Syarat apa?”

“Kalau abang nak kahwin lagi, abang kena nikah dengan dua orang sekali gus. Yang bakal jadi isteri nombor tiga tu biar saya carikan.”

“Dua orang?”

“Ya, dua orang. Abang dapat isteri nombor dua dengan nombor tiga. Kalau nanti abang nak cukupkan empat pun saya tak kisah. Saya tahu abang mampu. Buat masa ni abang nikah dua orang dulu. Campur saya, tigalah semuanya.”

Lama dia diam. Lepas tu dia kata dia setuju.

Esoknya suami bagitahu perempuan tu yang aku dah bagi izin. Sekali dengan syarat aku tu dia sampaikan. Perempuan tu marah. Dia kata dia tak boleh terima kalau suami aku ambil isteri ketiga. Dia tak nak kongsi suami dengan perempuan lain. Kalau dengan aku seorang, dia boleh terima.

Lepas tu aku sendiri pergi jumpa dia. Aku cakap, “Tak apalah kalau awak tak nak nikah sekali dengan dia. Awak nikah dulu dengan suami saya. Seminggu lepas nikah, awak bersanding. Cukup sebulan awak kahwin, suami saya kena nikah dengan seorang lagi. Calon pun saya dah carikan. Dia pun janda juga, anak empat.”

Menangis perempuan tu depan aku. Dia merayu minta aku jangan bagi suami kahwin dengan calon nombor tiga tu. Kejam kan aku? Aku tahu ada yang akan kecam. Tapi dalam kepala aku masa tu, kalau betul suami nak kahwin dengan janda sebab nak “membantu”, apa salahnya aku carikan seorang lagi yang perlukan bantuan?

Isteri berganda, pahala pun bergandalah, kan? Aku tetap dengan syarat aku. Akhirnya perempuan tu bawa diri balik kampung. Dia tak dapat terima syarat tu. Sejak tu suami aku dah tak sebut nak kahwin lagi. Perhatian dia pun lebih pada kami sekeluarga.

Mungkin baru dia terfikir macam mana nanti nak urus isteri ramai. Nak tanggung isteri, anak – anak sendiri, silap – silap anak tiri pun dia yang kena tanggung. Mungkin tak adil aku buat suami macam tu sedangkan aku sendiri mengaku dia mampu.

Tapi memang susah untuk aku percaya perempuan yang datang bila dia dah senang tu betul – betul ikhlas sayangkan dia. Kalau kenal dia masa gaji RM900 dulu, sanggup ke makan kangkung tepi parit dengan dia? Korang nak kecam, kecamlah.

Sebenarnya aku tipu suami aku. Aku suruh dia kahwin dua orang sekali gus sebab aku nak tengok sejauh mana perempuan tu boleh terima syarat aku. Janda anak empat yang aku kata dah jumpa tu pun aku tak kenal. Aku main cakap je.

Depan dia bolehlah aku cakap macam dah ada calon. Dalam hati, Tuhan je tahu betapa takutnya aku. Kalau betul perempuan tu cinta mati kat suami aku, lepas tu dia jawab, “Tak apa, saya setuju,” tak ke naya aku? Kalau jadi macam tu, memang nasib akulah kena hidup bermadu – madu. Itu je cerita aku. Wassalam.

Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5177 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.