
Suami dah berbulan culas bagi nafkah, sampai aku sendiri tengah bergelut cari duit nak tampung hidup kami. Bayaran rumah dah RM1,450 sebulan. Belum lagi bil elektrik, makan minum dan belanja harian. Suami masih boleh tawarkan diri nak keluar duit untuk keperluan orang lain, sedangkan mak ayah mertua orang senang…
#Foto sekadar hiasan / AI. Assalamualaikum semua. Dah lama aku pendam benda ni. Aku tak tahu nak cerita kat siapa, jadi biarlah aku luah kat sini. Korang pun tak kenal aku. Aku nak tanya. Kenapa ada suami yang macam tak nampak mana satu yang dia kena dahulukan bila bab nafkah dan tanggungjawab rumah tangga?
Suami aku ada bisnes sendiri. Kebelakangan ni dia memang ada masalah duit. Aku sendiri tak tahu sama ada dia kurang pandai urus duit atau ada sebab lain. Hal duit bisnes dia memang dia tak pernah kongsi dengan aku.
Berapa yang dia belanja untuk bisnes pun dia tak nak aku ambil tahu. Keluarga dengan adik beradik dia tengok dia macam tauke yang berjaya. Mungkin diorang ingat suami aku banyak duit, hidup kami senang. Kalau diorang tahu keadaan kami yang sebenarnya, lain sangat daripada apa yang diorang nampak.
Aku minta nafkah RM1,000 sebulan. Itu je, min. Tak pernah aku minta lebih. Duit tu pun aku nak guna untuk belanja rumah. Bayaran rumah aku sendiri dah RM1,450 sebulan. Rumah tu memang rumah aku. Kereta aku dah lama habis bayar, tapi ada lagi bil elektrik, makan minum dengan belanja hari – hari. Yang RM1,000 tu pun bukan tiap – tiap bulan aku dapat.
Bulan Jun lepas dia bagi RM800 je. Julai, Ogos dengan September, langsung tak dapat. Masuk Oktober pun aku masih belum dapat apa – apa. Aku cuba sabar. Aku tahu dia tengah usaha nak besarkan bisnes dia. Bukan senang nak mula dari bawah, jadi aku tak nak tambah serabut dia.
Dalam diam aku cari duit sana sini, cuba cukupkan apa yang patut dekat rumah. Yang buat aku terkilan tu, min, bila tengok apa yang dia dahulukan. Baru – baru ni keluarga dia perlukan CCTV. Suami aku sendiri yang tawarkan nak belikan.
Aku tak salahkan keluarga dia. Mungkin diorang tak tahu pun yang dah berbulan aku tak dapat nafkah. Lagipun suami aku yang tawarkan. Cuma aku sedih bila tengok dia boleh terus cakap nak keluarkan duit, sedangkan aku tengah terkial – kial nak cukupkan belanja kami. Keluarga dia pun orang senang, ada duit sendiri.
Aku faham kalau dia nak balas jasa mak ayah. Aku tahu banyak pengorbanan diorang, dan tak pernah aku halang dia nak buat baik dekat keluarga sendiri. Cuma aku harap dalam dia fikir apa yang mak ayah dia perlukan, dia ingat juga apa yang belum selesai dekat rumah.
Hal CCTV tu satu contoh je. Ada lagi benda lain yang selama ni aku simpan. Kalau bab keluarga dia, suami aku memang boleh harap. Nak hantar mak atau adik beradik dia pergi check-up, pagi – pagi dia dah boleh bangun dan siap.
Dia usahakan supaya senang urusan diorang. Bila aku pula yang perlukan dia, kadang – kadang macam dia tak ambil kisah. Aku masih ingat masa nak pergi scan kandungan kali pertama dulu. Suami tak ikut. Mungkin bagi orang lain, tak ikut sekali pergi check-up tu benda kecil.
Tapi aku mengandung melalui IVF, min. Susah aku nak dapat anak tu. Sepanjang lalui semua tu, Allah je tahu berapa banyak aku berdoa, berharap, takut pun ada. Aku nak suami ada sebelah aku masa scan tu. Aku nak kami lalui sama – sama. Tapi hari tu aku pergi sorang.
Aku kehilangan anak aku masa kandungan dah masuk 26 minggu. Anak yang aku tunggu – tunggu selama ni. Sampai sekarang aku masih sedih bila teringat. Bukan senang nak lupakan anak sendiri, apatah lagi bila nak dapatkan dia pun macam – macam aku dah lalui.
Aku cerita dekat sini sebab aku tak nak buka aib suami dekat orang yang kenal kami. Keluarga dia pun aku tak nak bagi tahu. Aku takut kalau aku bersuara, sudahnya aku juga yang kena salahkan. Jadi selama ni aku diam je. Orang tengok aku boleh gelak macam biasa. Diorang tak tahu apa yang aku pendam.
Wallahi, aku sayang suami aku. Sebab sayanglah aku cuba faham keadaan dia. Walaupun ada benda yang buat aku kecil hati, aku masih fikir pasal susah dia. Kalau aku tak sayang, mungkin aku takkan fikir semua ni sampai macam ni sekali.
Cuma kadang – kadang aku tertanya juga, kat mana silap aku sebagai isteri? Berkira sangat ke aku bila minta duit yang memang aku perlukan untuk belanja rumah? Aku ke yang tak faham dia tengah susah? Kadang – kadang sampai bab nak dia temankan aku pun aku fikir balik.
Banyak sangat ke perhatian yang aku harapkan daripada dia? Atau aku ni memang tak bersyukur? Selalu aku pujuk diri, mungkin aku kena sabar lagi. Cuba tengok dari sudut dia pula. Tapi lama – lama terlintas juga, siapa yang nak cuba faham aku?
Aku tak minta hidup mewah. Barang berjenama pun aku tak minta. Aku cuma nak dia bagi nafkah, ada dengan aku bila aku perlukan dia, dan sama – sama fikir macam mana nak cukupkan belanja kami. Kalau duit tengah tak ada, aku boleh faham. Selama ni pun aku cuba sabar.
Tak pernah aku minta dia berhenti tolong mak ayah dia. Aku pun tak nak bermusuh dengan keluarga dia. Bagi aku, dia boleh jaga mak ayah dia dan dalam masa yang sama ambil berat pasal isteri. Aku cuma nak rasa yang aku ni pun penting dalam hidup dia.
Lagi – lagi lepas kehilangan anak, ada masa aku perlukan suami sendiri untuk aku bersandar. Penat juga bila asyik simpan sorang – sorang. Akhirnya dekat Allah je aku mengadu. Allah tahu berapa kali aku menangis diam – diam dan berapa lama aku dah simpan benda ni.
Biarlah kali ni aku cerita dekat orang yang tak kenal aku. Sekurang – kurangnya dapat juga aku luah tanpa perlu jelaskan diri aku dekat sesiapa. Untuk isteri yang tengah lalui benda lebih kurang macam aku, semoga Allah kuatkan hati kita.
Untuk para suami pula, bila sibuk tolong orang lain, tengok – tengoklah juga keadaan isteri dekat rumah. Kadang – kadang dia diam pun sebab dia tengah cuba faham susah suami. Aku nak tanya, terutama yang dah lama berumah tangga.
Salah ke aku rasa sedih bila nafkah aku masih tertunggak, tapi suami boleh tawarkan diri nak keluarkan duit untuk orang lain? Dari apa yang aku cerita ni, korang rasa aku yang kurang faham keadaan dia ke? Aku ni tak bersyukur ke?
Aku tak nak cari siapa salah. Aku cuma perlukan pandangan yang jujur sebab dah lama sangat aku asyik tanya diri sendiri benda yang sama. Terima kasih sebab sudi baca sampai habis. Semoga Allah balas kebaikan korang.
Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini
PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.