Pelik mak mertua tiba-tiba offer nak masak. Aku perasan nasi aku basah, kekuningan macam nak basi. Bila nak tukar, dia tenung tajam muka aku..

Kisah ini dikirim oleh pembaca dan diedit oleh Editor kami. Nama dan lokasi dirahsiakan atas permintaan pengirim.

nasi jadi basi

Mak mertua ambik rantai dekat leher aku dan letak dekat leher dia. Dia suruh aku belikan dia rantai baru, nak yang harga 8k. Aku cakap insyaAllah. Esoknya aku baru balik kerja, mak mertua bising tanya, bila aku nak belikan mesin basuh sedangkan aku baru belikan dia peti ais baru..

#Foto sekadar hiasan / AI. Aku sendiri tak tahu sebenarnya aku nak minta pandangan korang atau aku cuma nak bercerita pasal rumah tangga aku. Dah lebih kurang 17 bulan aku dengan laki aku tak duduk sebumbung. Kami belum bercerai, cuma dia dah tak balik rumah. Sejak dia keluar, satu sen nafkah pun aku tak pernah dapat.

Masa duduk sekali dulu pun akulah yang tanggung dia. Waktu tu aku tak kisah sebab dia belum kerja. Aku fikir, hari ni aku ada rezeki, aku tolong dia. Nanti kalau aku susah, dia tolong aku pula. Sedih sebenarnya nak cerita, min.

Dengan keluarga aku sendiri pun tak pernah aku cerita sampai habis. Kami sempat hidup sebagai suami isteri enam bulan je. Nak pergi honeymoon pun tak sempat. Lepas kahwin, laki aku ajak duduk dekat rumah mak dia.

Katanya kena tengok – tengokkan adik – adik sebab mak dia dah kahwin lain dan tinggal dekat tempat lain. Laki aku tak kerja, jadi tiap – tiap hari dialah yang hantar dan ambil aku balik kerja. Cuma semua keperluan dia aku yang sediakan. Daripada seluar boxer, makan minum sampailah minyak kereta, semua aku bayar.

Makan minum mak dengan adik beradik dia pun aku jaga. Mana yang aku mampu, aku bagi. Tapi lama – lama aku rasa macam mak dia ambil kesempatan. Aku baru je mula berniaga sendiri, dia dah minta macam – macam. Pada aku, dapat tolong bagi makan dia dengan anak – anak dia pun dah cukup baik, sebab tu bukan tanggungjawab aku.

Dekat rumah mertua, kadang – kadang aku rasa macam hamba. Dulu aku jarang masak, basuh baju atau kemas rumah. Bila dah kahwin, aku fikir mungkin memang macam nilah, kerja rumah tu aku kena buat. Jadi aku buat je.

Pukul lima aku balik kerja. Penat macam mana pun, tiap – tiap hari aku yang masak walaupun adik – adik perempuan laki aku ada dekat rumah. Pinggan lepas diorang makan pun aku yang basuh. Baju mak mertua dengan adik – adik dia yang perempuan aku basuh, aku jemur. Baju aku sendiri aku hantar dobi.

Malam aku sambung kerja buat biskut untuk dijual. Kadang – kadang kena keluar pula hantar barang COD. Banyak juga yang aku pendam sepanjang duduk dengan keluarga laki aku. Tapi kalau setakat kerja rumah, aku masih boleh buat.

Yang paling aku terkilan sampai sekarang ialah apa yang jadi antara aku dengan mak mertua aku. Sebelum aku kahwin dengan anak dia, baik sangat dia layan aku. Pernah dia lebihkan aku daripada anak perempuan dia sendiri.

Aku pun dah sayang dia macam mak aku. Kalau aku beli barang untuk mak aku, aku belikan untuk dia sekali. Tiga bulan lepas kahwin, aku mula sakit. Aku masih ingat malam tu, 14 Ramadan tahun 2025. Tiba – tiba mak mertua cakap dia nak masak untuk sahur. Dia suruh aku rehat.

Bila aku pergi ke meja waktu sahur, semua anak dia dah duduk. Tinggal sepinggan nasi untuk aku. Nasi aku nampak basah, warna kekuningan, macam nasi dah basi. Aku bisik dekat laki aku, cakap nasi aku basah. Dia suruh aku ambil nasi lain.

Masa tu mak dia terus pandang tajam dekat aku. Katanya nasi dah habis sebab dia masak sikit je. Aku baca doa yang mak aku ajar dan cuba juga makan. Entah kenapa, masa tu aku rasa sedih sangat sampai menitis air mata. Dua suap je aku mampu telan. Aku cakap aku dah kenyang, lepas tu aku masuk bilik dan menangis.

Esoknya aku cerita dekat kakak aku. Petang tu, bila balik rumah nak berbuka, aku rasa macam darah period keluar. Aku pergi tandas tengok, dah banyak darah menitis. Aku pelik juga sebab darah tu lain daripada period aku biasanya.

Malam pertama tu darah keluar sikit – sikit. Aku masih larat buat biskut raya untuk jualan. Tengah aku buat biskut, mama, mak mertua aku, datang tegur, “Pagi kerja, malam kerja. Nak kaya sangat ke?” Tersentap aku dengar.

Rasa nak menangis pun ada. Lepas tu dia pegang rantai dekat leher aku, dia pakai pula dekat leher dia. Dia tanya boleh tak aku belikan dia rantai macam tu. Aku jawab, insya-Allah kalau ada rezeki aku belikan. Dia siap cakap dia nak yang harga tujuh lapan ribu.

Hari kedua aku masih pergi ofis. Balik kerja, baru je buka pintu rumah, dah dengar mama tanya bila aku nak belikan mesin basuh baru. Padahal baru sebulan aku belikan dia peti ais. Lepas tu dia tanya pasal baju raya adik pula. Aku pun bawalah anak bongsu dia keluar beli baju dengan selipar raya.

Balik rumah memang dah penat sangat. Bila sampai waktu sahur, aku tak larat nak masak. Aku kejut laki aku, minta dia yang masak. Lepas sahur aku terus tidur. Hari tu aku dah tak pergi ofis. Petangnya aku minta dia belikan lauk untuk berbuka. Untuk sahur seterusnya, dia masakkan nasi goreng.

Mak mertua bangun dan tanya siapa yang masak. Bila laki aku cakap dia yang masak sebab aku tak larat, mak dia jawab, “Sakit sikit pun tak boleh nak masak. Jangan nak bagi muka sangat!” Bilik aku dekat dengan dapur.

Memang jelas aku dengar apa dia cakap. Aku menangis sampai tersedu – sedu. Selama ni tiap – tiap hari aku masak. Anak perempuan dia yang muda dua tahun je daripada aku tu, sekali pun tak pernah sentuh periuk kuali nak masak.

Dua hari aku asyik terbaring atas katil. Bila aku berdiri, banyak sangat darah keluar. Kalau nak buat kerja atau masak, aku kena silangkan paha sebab darah mengalir laju. Barang berat pun aku dah tak boleh angkat. Hari kelima, aku ajak laki aku pergi klinik.

Kepala sakit sangat, badan penat, demam pula tu. Masa tu aku masih pujuk diri, mungkin darah period je. Lepas doktor bagi ubat, bolehlah tahan sikit. Masuk hari ketujuh, darah makin banyak. Masa tu juga aku mula dengar bunyi pelik dan nampak macam – macam dekat rumah mertua, terutama dalam bilik.

Aku takut sampai nak tidur pun tak bagi laki aku tutup lampu. Tengah baring pun aku nak badan aku bersentuh dengan dia. Aku dengan laki aku pun makin kerap bergaduh, benda kecil pun boleh jadi gaduh. Satu malam tu kami gaduh besar.

Dia nak keluar rumah, aku tak bagi sebab aku takut sangat nak tinggal sorang. Dia cekik leher aku. Lepas tu dia keluar juga. Malam tu aku WhatsApp dia. Aku cakap kalau dia tak nak hantar aku balik rumah mak, aku jalan kaki sendiri.

Aku dah turun tangga masa dia balik. Dia pujuk aku, dia janji esok dia bawa aku balik duduk dengan mak. Esoknya aku kemas baju. Mak mertua tanya aku nak ke mana. Aku cakap aku nak balik rumah mak sebab aku dah tak larat, sakit sangat.

Dia pegang tangan aku dan cakap tak payah balik, dia boleh jaga aku. Aku rasa pelik juga. Selalunya lepas dua tiga hari dia dah balik rumah laki dia, tapi kali ni dah seminggu dia masih ada dekat situ. Aku cakap aku nak balik dua tiga hari je. Nanti dah sihat aku datang semula. Tapi sampai sekarang aku tak pernah balik lagi ke rumah tu.

Sampai je rumah mak, aku menangis teruk. Sakit aku dah lain macam. Masa dekat rumah mertua, aku tak tahu nak mengadu dekat siapa. Aku dah susah sangat nak tidur, sampai ada masanya aku tertidur atas riba mak atau ayah.

Sebelah badan aku rasa kebas dari kaki sampai ke bahu. Nak angkat pun tak boleh. Tengok keadaan aku macam tu, mak ayah terus suruh bawa aku ke hospital. Dua malam aku duduk dalam wad. Doktor masih belum dapat kesan apa yang buat aku sakit, dan darah pun masih keluar.

Lepas keluar hospital aku duduk rumah mak. Ada ustaz dari pusat rawatan Islam Darul Syifa datang. Masa ikhtiar berubat tu, sakit aku dikaitkan dengan apa yang aku makan waktu sahur hari tu. Laki aku masa ni masih ada dengan aku. Dia pun duduk sekali dekat rumah mak.

Bila dia dengar cerita tu, dia kata dia dah tak nak balik jumpa mak dia. Aku juga yang suruh dia balik. Dia anak sulung, adik – adik dia pun kena tengok juga. Aku bagi dia duit beli barang dapur untuk mak dia. Aku pesan, balik nanti buat macam biasa je.

Aku sendiri memang dah tak nak ke sana, jadi aku minta dia ambilkan semua pakaian aku. Bila barang – barang dari rumah mak dia sampai, aku mula rasa sakit balik. Badan sakit, muka naik jerawat sampai penuh. Keadaan aku makin teruk.

Mak panggil ustaz tu datang lagi, dan pakaian yang dibawa balik dari rumah mertua tu dikumpulkan. Sedih aku bila fikir balik. Setakat yang aku mampu, aku rasa aku dah buat yang terbaik untuk mak mertua dengan anak – anak dia.

Aku tinggalkan mak ayah sendiri untuk duduk sana, walaupun aku tahu aku lagi selesa dekat rumah sendiri. Pasal laki aku pula, sekarang dia dah tak tinggal dengan aku. Aku pelik kenapa dia tak datang rumah atau WhatsApp aku hari – hari.

Kalau dari awal dia rajin tanya khabar, mungkin lembut juga hati aku. Tapi sebulan sekali baru dia mesej. Kalau aku tak balas, dia sumpah-sumpah aku. Kadang – kadang aku tertanya juga, entah masa dia tengah khayal ke baru teringat nak mesej aku. Aku sendiri tak tahu.

Sebelum kahwin dia tak macam ni. Aku mula nampak dia berubah lepas aku berniaga. Pukul empat petang dia keluar nak pos barang customer aku. Baliknya pukul empat pagi, kadang – kadang lagi lewat. Satu hari tergerak hati aku nak tengok telefon dia.

Sebelum tu aku tak pernah periksa. Hari tu aku nampak gambar dia dekat Golok, siap ada live camera dengan lokasi sekali. Sedih betul aku tengok. Pernah aku bagi dia RM13,000 untuk dia bank in ke akaun aku. Masa tu aku masih sakit.

Dah tiga bulan aku tak masuk ofis, tapi aku tetap berniaga cari duit. Dua hari lepas aku bagi duit tu, aku periksa akaun. Duit tak masuk pun. Bila aku tanya, dia kata tak sempat. Lepas tu dia mula tak nak balik rumah. Sampai sekarang aku tak tahu ke mana perginya duit tu.

Kereta yang aku baru beli untuk dia pun sama. Tak sampai sebulan dia pakai, aku dapat tahu dia dah jual. Memang terduduk aku bila tahu. Bulan Ogos tahun lepas aku nekad nak berpisah. Aku tengok dia memang dah tak nak balik.

Bila dia sunyi baru dia mesej, itu pun selalunya antara pukul dua sampai enam pagi. Sekarang aku dah failkan perceraian. Tiga kali berturut – turut dia tak datang mahkamah. Peguam aku sendiri dah pergi tampal notis dekat tempat dia tinggal, tapi dia tetap tak datang. Hujung bulan nanti hakim akan buat keputusan pasal taklik aku.

Sedih memang sedih, tapi macam mana lagi aku nak pertahankan rumah tangga ni? Duit dengan harta, selagi hidup dan ada kudrat, aku boleh cari balik. Rasa sayang aku dekat dia tu yang dah macam tak ada langsung. Duit dengan kereta yang aku bagi, aku dah ikhlaskan.

Tak pernah aku nak tuntut balik. Cuma satu yang aku rasa susah nak maafkan. Air mata mak dengan ayah aku masa tengok aku sakit. Yang tu aku tak boleh lupa. Dah 17 bulan kami tak tinggal sekali, sesekali dia masih WhatsApp ajak berbaik.

Katanya nak mula hidup baru, minta aku bagi satu lagi peluang. Aku dah tak balas. Biarlah dia cari orang yang lebih baik daripada aku, yang mungkin mampu bagi mak dia apa saja yang mak dia nak. Aku rasa aku tak mampu nak penuhi semua tu. Apa pun, aku tetap doakan yang baik-baik untuk keluarga dia.

Aku rasa aku dah tak boleh hidup dengan dia lagi. Aku anggap mungkin Allah patahkan hati aku sekarang sebab nak selamatkan aku daripada terus bersama orang yang salah. Alhamdulillah, sekarang aku makin sihat. Rezeki aku pun masih ada.

Macam tulah ceritanya, min. Enam bulan aku sempat rasa hidup berumah tangga, lepas tu 17 bulan aku tergantung tak bertali. Rumah tangga aku ni rasanya tinggal tangga je. Rumahnya dah tak ada. Aku nak tanya pandangan korang. Betul ke tindakan aku nak berpisah?

Atau aku berdosa sebagai isteri sebab dah tak nak bagi dia peluang? Aku sendiri tak tahu kenapa dia buat aku macam ni. Kadang-kadang aku tertanya, dia rasa tersepit ke antara aku dengan mak dia? Yalah, mak dia tu syurga dia juga. Tak apalah, sayang. Kalau awak terbaca dan rasa ni kisah kita, saya dah lama maafkan awak. Cuma mungkin Allah tak izinkan kita bersama lagi sebagai suami isteri.

Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :
About Hana 5169 Articles
Hana ialah penulis dan editor di Media Cite Heboh yang mengendalikan kandungan komuniti, kisah pembaca dan topik kehidupan seharian. Hana turut menyunting kiriman pembaca dari segi ejaan, tatabahasa dan susunan supaya lebih mudah dibaca sambil mengekalkan maksud asal cerita.