Suami jatuh susah, aku yang bayar semua. Kakak ipar pula datang buat cerita sedih, takde duit nak beli susu, pampers anak. Dia curi duit aku

Keluarga mertua ambik kesempatan dekat aku, sedangkan suami aku tak kerja. Kak ipar datang menangis bagitahu takde duit nak beli susu dan pampers anak. Aku susah payah cari duit, dia surirumah duduk rumah lepas tu minta duit dekat aku, siap curi lagi..

#Foto sekadar hiasan. Aku buat akaun palsu kerana tak sanggup dedahkan identiti sebenar. Aku bercerai dengan suami setahun yang lalu. Ketika penceraian, aku sedang mengandung tapi aku tak tahu. Selama 7 tahun hidup bersama, aku jadi tunjang ekonomi keluarga.

Awalnya suami memang panas baran, mudah melenting dan pernah naik tangan. Tetapi ketika tu dia cuba menghalang aku daripada keluar rumah dan perkara tu berlaku tanpa sengaja. Namun tahun demi tahun, dia berubah dan menjadi suami yang baik serta memahami.

Namun kami diuji dengan masalah kewangan. Suami jatuh susah sehingga aku buat pinjaman peribadi untuk membantu tapi gagal dan akhirnya terkandas. Kami terp4ksa menyewa sebuah bilik bersama anak kecil kami yang ketika tu berusia 2 tahun.

Bilik tu dipenuhi tikus dan sukar mendapatkan sumber air sehingga terp4ksa beli air mineral. Aku cuba kuat, namun yang menjadi r4cun apabila keluarga suami mengharapkan aku kerana kejatuhan ekonomi mereka. Tiada duit di tangan, tiada duit makan, aku mudah simpati apabila melihat rumah mereka tiada makanan. Walaupun kami sendiri susah, aku tetap cuba membantu sebaik mungkin.

Sebenarnya gaji aku hampir RM4,000 sebulan. Namun kerana perlu membayar pinjaman kereta, sewa rumah, keperluan anak, pampers, susu, tolong keluarga suami dan sebagainya menyebabkan aku dan suami hidup sangat susah. Aku jadi sangat benci suami.

Pernah ketika mengandung, aku hanya makan roti kering pagi, tengah hari dan malam. Aku mengorek tabung sendiri tetapi tiada siapa yang tahu. Keluarga aku hidup senang tetapi aku tak mahu menyusahkan mereka dan menjatuhkan suami di mata mereka kerana aku sendiri yang memilih suami. Lagipun mereka memandang aku mempunyai kerja yang baik.

Aku tak mahu menjatuhkan maruah suami kerana dia seorang yang bertanggungjawab. Cuma dalam soal kewangan, dia kurang bernasib baik. Ketika aku memohon cerai, aku dah tak tahan dengan kakak ipar (kakak suami) yang kerap mempergunakan aku.

Dia curi duit aku, berhutang sana sini dan akhirnya aku juga yang perlu bantu selesaikannya. Pampers anak takde, anak takde makanan dan macam – macam lagi perkara yang buatkan aku sentiasa rasa simpati. Aku kesian tengok dia menangis sedangkan aku bekerja siang malam, tetapi dia hanya duduk di rumah.

Selepas habis edah, baru aku terfikir sama ada aku terlalu membenci suami sehingga meminta cerai kerana dipengaruhi hormon mengandung. Selepas tamat edah, perasaan benci tu terus hilang begitu sahaja. Dipendekkan cerita, suami melepaskan aku dalam keadaan tak rela kerana dia tak mahu melihat aku terus dipergunakan dan ditindas.

Namun suami tak pernah jemu memohon untuk rujuk dan meminta peluang kedua. Aku pula menangguhkan keputusan kerana apa yang aku lalui terlalu perit. Lagipun ketika tu aku rasa aku boleh hidup tanpa suami. Suami cari kerja di luar dan kami hanya berjumpa sekali sekala.

Bermulalah hidup aku sebagai ibu tunggal yang mengandung bersendirian tanpa suami di sisi. Bukan salah suami. Aku sendiri yang membuat keputusan untuk tak memberitahunya setiap kali pemeriksaan kehamilan. Pemeriksaan kehamilan, tumpah d4rah, hampir keguguran, masuk hospital dan keluar masuk hospital semuanya aku uruskan sendiri. Aku tak beritahu suami mahupun keluarga.

Keluarga aku sendiri berpecah. Disebabkan perpisahan tu, aku banyak menjauhkan diri, berdikari dan memendam perasaan sendiri. Ibu dan ayah aku bercerai menyebabkan aku rasa seperti hidup sebatang kara. Mungkin salah satu sebab aku memohon cerai adalah kerana kesan daripada perpisahan keluarga aku sendiri.

Aku akui aku b0doh. Mungkin ketika mengandung aku tak mampu berfikir dengan w4ras kerana terlalu tertekan. Aku tiada kawan dan tiada keluarga untuk meluahkan perasaan. Semuanya aku simpan sendiri. Aku alami kekejangan dan tak boleh bangun.

Ketika hendak bersalin pun semuanya aku uruskan sendiri sehingga terp4ksa naik ambulans. Hanya ketika saat melahirkan anak, barulah aku memberitahu suami. Suami masih merayu supaya aku menerimanya semula. Tetapi ketika tu aku rasa aku cukup kuat untuk hidup tanpa suami.

Dalam masa yang sama, keluarga suami masih meminta duit daripada aku walaupun kami sudah bercerai. Aku selesaikan urusan bersalin terlebih dahulu. Selepas anak lahir, hati aku mula terbuka untuk kembali bersama suami. Namun kadang – kadang aku masih keliru dengan keputusan untuk kembali kepadanya.

Aku dinaikkan pangkat dan keluarga suami mula berkata selepas ni aku boleh suruh suami duduk di rumah menjaga anak, manakala aku yang menanggung keluarga. Mereka mula lagi nak pinjam duit dan minta bantuan dengan alasan anak tiada pampers, tiada makanan dan perlu membayar hutang.

Hidup aku mula stabil, tetapi salah seorang ahli keluarga suami masih meminta macam – macam walaupun kami sudah bercerai. Dia tahu aku mudah simpati dan mudah percaya dengan kisah sedih yang diceritakannya. Aku tersepit sama ada mahu meneruskan perkahwinan semula atau tidak.

Anak sangat rapat dengan ayahnya. Tetapi sikap keluarga yang tak henti – henti mempergunakan aku membuatkan aku ragu – ragu untuk kembali. Sehebat mana pun aku, aku masih seorang isteri. Aku masih ingin dilindungi suami. Aku masih ingin menerima nafkah daripada suami.

Apabila aku dapat meminta walaupun RM10, aku sudah cukup gembira. Mungkin selama ni segala beban berada di atas bahu aku seorang. Tarikh nikah semakin hampir. Tetapi aku masih buntu dan berbelah bahagi. Apa yang patut aku buat?

Ulasan Pembaca :

Mohd Hafiz Bin Hishamsudi : Maaf puan. Aku rasa puan yang salah. Puan sendiri menganiaya diri sendiri kerana sikap terlalu simpati. Puan ada pilihan, jangan biarkan diri puan dipergunakan orang. Puan sendiri yang mencorakkan kehidupan puan. Jangan mudah bersimpati.

Tolong setakat yang mampu, jangan menolong sampai membakar diri sendiri. Puan perlu buat perubahan kerana kalau tak, selamanya puan akan dipergunakan orang. Aku percaya walaupun ada orang baharu dalam hidup puan nanti, puan tetap akan dipergunakan jika sikap tu tak berubah. Berubahlah puan. Jangan selalu mengatakan diri mudah bersimpati sedangkan pilihan tetap berada di tangan puan sendiri.

Asma Mohd Noor : Keraskan hati. Pada pendapat aku, tak payah terima balik. Lagipun tuan tubuh mampu berdikari sendiri. Jangan fikir tentang diri yang masih sayangkan suami sahaja, tetapi fikirkan juga masa depan anak. Walaupun suami mahu duduk di rumah dan menjaga anak, tetapi jika masih di kelilingi orang seperti ni, hidup tuan tubuh takkan berubah. Tetap akan jadi perkara yang sama, lebih – lebih lagi kalau jenis mudah kasihan pada orang.

Dah baca, jangan lupa komen dan share ya. Terima kasih! Hantar kisah anda di sini -> https://hai.mehbaca.com/submit/

PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Kongsi Artikel Ini :