
Perangai suami narsistik aku ni sentiasa tak berpuas hati dengan aku dan seronok tengok aku sengsara. Dia bagi syarat, sekiranya aku ingin keluar bekerja, rumah tangga mesti tiptop, anak-anak aku uruskan termasuk hantar ke sekolah bukan dengan bas sekolah. Dia tak akan tolong dan nak tengok aku terseksa…
Foto sekadar hiasan / AI. Assalamualaikum kepada semua peminat ruangan ni. Di sini aku ingin berkongsi rasa tersiksa menjadi mangsa suami narsistik. Aku kenalkan diri aku Mya dan suami aku, Joe. Mempunyai anak dua orang perempuan berumur 20 tahun dan 16 tahun.
Perkahwinan pertama dengan Joe 2015 hingga 2018 bercerai talak satu, rujuk balik tahun 2019 Kalau diikutkan dari ciri – ciri yang diberi, 95% aku boleh katakan yang suami aku memang NARSISTIK. Aku dan anak – anak adalah ‘mangsa’. Cuma, aku tak ada peluang untuk membawa Joe ke kaunselor.
Pernah ajak tapi tak diendahkan langsung. Sekiranya dia tak mempunyai ego yang tinggi, dan diberi kepercayaan untuk berubat, aku akan menjaganya sehingga akhir hayat aku. Memang aku sangat – sangat menyayanginya.
Tetapi sejak 8 tahun kebelakangan ni, perangainya makin berubah. Sejak itu aku tercari – cari dan sering membaca dan mendalami ilmu psikologi dan aku terjumpa perkataan ‘NARSISTIK’ dan mula mengenal dengan lebih dalam.
Pertama, aku tahu dia mempunyai perempuan lain. Aku telah nampak whatsapp dari perempuan lain. Tetapi aku selalu positif, dengan mengatakan kawan biasa memandangkan anak – anak masih sekolah dan perlukan kasih sayang dari seorang ayah.
Kedua, Joe suka provoke atau memulakan pergaduhan. Setiap tahun bila sampai saja bulan Oktober sampai Disember, Joe seakan sengaja mencari masalah atau hal menyebabkan kami bergaduh. Perkara yang digaduhkan adalah benda – benda remeh contohnya hal anak – anak atau sampah atau kucing.
Sikap Joe akan diam tak bercakap dengan aku sehingga Januari. Ni yang aku rasa setiap tahun bermula dari tahun 2018. Joe akan bercakap dengan aku bermula Januari hingga September setiap tahun. Pada firasat aku, Joe sengaja buat macam tu sebab tak nak meraikan hari jadi aku pada bulan Oktober setiap tahun, dengan kata lain dia tak perlu memberi hadiah dan malas untuk membuat kejutan. Aku faham dengan perangainya yang ego.
Aku telah terima semua kelemahannya. Bukan aku meminta – minta malah tak pernah berharap, tetapi dia sendiri tahu itu kelemahan dia dan sekiranya sambut akan menjatuhkan egonya. Setiap tahun, sekiranya merancang cuti ke luar negara, Joe menyumbang sebahagian sahaja. Seolah – olah, dia membayar bahagian dia dan anak – anak sahaja, bahagian aku kena keluar sendiri.
Selalunya pergi dalam keadaan yang terpaksa atau marah – marah. Tetapi bila aku memberitahunya, aku pun menyumbang setiap kali bercuti, Joe seolah – olah menganggap sumbangan aku itu remeh sahaja. Demi untuk menggembirakan anak – anak, aku letak tepi perasaan ‘sakit hati’ itu untuk anak – anak dapat bercuti bersama.
Ketiga, Joe tak senang aku keluar bekerja kerana dia mengatakan bila aku bekerja aku jadi angkuh kerana mempunyai gaji sendiri. Walhal gaji aku cuma 1/3 dari gajinya untuk memberi ibu bapa aku. Ibu dan bapa aku tiada mata pencarian melainkan pencen pesara kerajaan.
Akan tetapi, punca sebenarnya Joe tak suka aku mempunyai kawan atau orang lain supaya orang lain tak tahu perangai sebenarnya dan aku tak mempunyai kawan untuk berkongsi perasaan. Pada kali ni, aku tak berganjak dengan keputusan aku dan masih meneruskan kerja seperti biasa.
Joe sentiasa tak berpuas hati dengan aku dan seronok tengok aku sengsara dan Joe memberi syarat, sekiranya aku ingin keluar bekerja, rumah tangga mesti tiptop, anak – anak aku uruskan termasuk hantar ke sekolah bukan dengan bas sekolah. (Joe nak bagi aku tersiksa menghantar anak setiap pagi dan tempat kerja aku yang jauh).
Dia tak akan membantu apa – apa, sekiranya aku dalam keadaan susah pun jarang untuk membantu, walaupun sekadar mengambil anak di taska yang jarak dari rumah 500 meter. Keadaan ni berlangsung dari 2018 hingga 2024.
Tetapi pada tahun 2025 aku tak dapat menahan mental diseksa, aku telah keluar rumah, puncanya tak mahu bercakap tak semena – mena. Bila tanya ulang kali, acuh tak acuh saja. Mujurlah aku telah membeli sebuah apartment kecil berdekatan sejak tahun 2023.
Bila aku telah keluar rumah, Joe datang mencari dan ajak balik, aku akur kerana masa tu, aku takut dipersalahkan. Aku kembali ke rumah dengan azam baru untuk menjaga keluarga terbaik. Akan tetapi 2024 aku berazam untuk membahagiakan keluarga dengan merancang percutian ke Jepun pada bulan Mac atau April 2024, aku diuji lagi dengan perasaan hancur lebur, bila aku dapati Joe dah pandai pergi ke luar negara secara backpacker dengan kumpulan lelaki dan perempuan.
Joe merancang secara senyap – senyap dengan kumpulan itu dan pergi ke negara Scandinavia pada bulan Januari atau Februari 2024. Bila aku dapat tahu Joe akan pergi bercuti dengan kumpulan, aku bertanya pada Joe. Joe memberi kata putus, sekiranya aku berhenti kerja sekarang, dia akan batalkan percutian bersama kumpulan ni.
Berbalik kepada percutian kumpulan backpacker, dia telah berbaik dengan salah seorang perempuan dalam kumpulan backpacker sehingga kini malah telah berani keluar melancong ke luar negara secara berdua – duaan sekarang ni.
Joe sengaja menyakitkan hati aku dengan pergi bercuti dengan perempuan tu. Joe tahu yang aku akan mati – matian pertahankan kerjaya aku. Untuk pengetahuan semua, Joe memang seorang yang berkira mengenai wang.
Walaupun gajinya besar, dia sekadar menyediakan rumah dan duit untuk makan untuk kami. Tiada hadiah lain yang istimewa selain dari dapat makan dan dapat tempat tinggal yang seadanya. Percutian ke Jepun yang telah dirancangkan tetap kami pergi dalam keadaan tak bercakap disebabkan aku bertanya soalan bertalu – talu.
Seperti biasa, setiap soalan yang dilontarkan tak akan mendapat jawapan, malah aku disalahkan atas semua kejadian (ciri-ciri narsistik kan?). Tak putus – putus berdoa dan mohon petunjuk, akhirnya ada insiden tak dijangka berlaku semasa bercuti di Jepun, Allah sebaik – baiknya perancang, aku dapat buka handphone Joe dan memang Joe masih berhubung dengan perempuan backpacker tu lebih dari kawan biasa.
Hari pertama sekembali aku dari bercuti ke Jepun, aku berdepan dengan Joe dan memberitahu aku tak boleh terima hidup dengan perangainya sebegini, aku keluar rumah. Aku telah mengambil tindakan keluar kerana aku rasa otak dan perasaan aku di tahap maksimum kerana setiap hari Joe memang menyiksa mental aku.
Memang keluarga Joe mengata kepada aku macam – macam perkataan kesat. Aku tak dibantu sedikit pun oleh keluarga mertua. Dengan kedudukan Joe yang sangat berada sekarang, keluarganya memandang dia sangat baik (sebab kabur dengan duit sumbangannya).
Dengan kedudukan kewangan dan aset yang kukuh, gaji yang besar sebanyak RM20,0000 sebulan. Ibu Joe di kampung sangat berbangga kerana Joe seorang yang bijak. Ibu bapanya juga memainkan peranan sampai dia menjadi NARSISTIK kerana sentiasa puji dan tak pernah memberitahu kesalahannya.
Joe beruntung kerana mendapat majikan yang amat sayang padanya, kerana Joe seorang yang kreatif. Akan tetapi ada juga rakan – rakan sekerja yang bagus, tetapi majikan hanya memandang kepada Joe sahaja. Aku akan tamatkan perkahwinan ni sebelum Disember 2026 ni walaupun aku sangat sayangkan Joe, kerana aku sayang diri sendiri daripada disakiti.
Kepada pembaca di luar sana, sekiranya terasa sesuatu yang tak menyenangkan hati sebelum perkahwinan, tangguhkan sekejap. Tolonglah jangan jadi pengalaman macam aku. Di kesempatan ni, aku ingin memberitahu kepada Joe, semoga Allah membalas setimpal dengan apa yang aku dan anak – anak lalui. Kepada perempuan backpacker, Allah itu Maha Adil.
Hari ni awak berjaya merampas suami yang aku sayang, awak adalah mangsa yang ke-7 dan mungkin ada yang ke-8 atau ke-9. Awak tunggu satu hari Allah rampas balik apa yang awak sayang. Sekiranya berkesempatan, aku akan menyambung dalam MANGSA NARSISTIK II dan anak – anak. Mya (Bukan nama sebenar)
Komen netizen :
Nina Soraya : Puan, saya masih bujang untuk bagi nasihat. Tapi saya pernah ada dalam hubungan narsistik, waktu nak tinggalkan memang seksa puan. Aku buat checklist, aku kira betul – betul buruk dan baik, aku buat timeline supaya simpati dan kasih sayang aku tak mencampuri pertimbangan waras aku.
Bila dah berpisah, kadang – kadang puan akan rindu bekas suami sebab ya lah nak salahkan narsistik memang susah, sampai tak jumpa punca, tetapi puan kena kuat dan ambil kira apa yang puan rasa, rasa sedih, rasa stres, rasa dipersalahkan sentiasa, rasa tak dihargai. Trust the process dan move on. Bila dah berpisah pun puan kena bersedia, narsistik ni akan sengaja cari jalan untuk sabotage hidup puan. Get a lawyer, record everything dan be very patient with your pursuit.
La Tahzan : Keputusan awak untuk mengundur diri dari perkahwinan adalah yang terbaik. Tak perlu menyakitkan diri sendiri. Menanggung derita dan sengsara, perlu cari kebahagiaan untuk diri sendiri. Tabah dan kuat demi untuk anak-anak. Semoga dipermudahkan segala urusan, aamiin.
Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini
PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.