
Bila aku masak, suami merungut, kata makanan aku tak sedap, tak sama macam masakan mak dia. Kalau mak atau kakak dia yang masak, walaupun rasa biasa sahaja, dia akan makan sambil memuji. Sekarang bila aku minta nak balik jumpa ibu, dia suruh aku kemas beg terus..
#Foto sekadar hiasan / AI. Salam. Mohon sembunyikan nama aku. Aku baru berkahwin lapan bulan dan sekarang sedang mengandung anak pertama kami. Aku betul – betul tak tahu apa yang perlu aku buat bila suami langsung tak nak berpindah dari rumah mak dia.
Sebelum kahwin, dia kata kami cuma akan duduk sementara di rumah tu sementara keadaan kewangan stabil. Tapi lepas kahwin, dia mula cakap kami akan tinggal di situ selama tiga atau empat tahun, malah mungkin sampai bila – bila. Selepas berkahwin, aku ikut dia berpindah ke utara tanah air.
Aku tinggalkan tempat aku dibesarkan, kerja, keluarga dan kawan – kawan yang selama ni sentiasa ada dengan aku. Sampai di sini, aku cuba cari kerja tetapi masih tak dapat sampai sekarang. Aku tinggal di rumah mak mertua yang keadaannya sangat berbeza dengan rumah keluarga aku.
Rumah tu panas, kotor, banyak sampah dan dipenuhi dengan kucing. Mak mertua aku seorang peniaga dan memang tak berapa peduli tentang keadaan rumah kerana katanya dia penat bekerja. Sampah dan botol plastik lama disimpan bertimbun di sekeliling serta belakang rumah.
Dalam rumah pula dipenuhi almari buruk, barang lama dan kotak yang dah bertahun – tahun tak digunakan. Aku pernah cuba mengemas dan membuang barang yang dah rosak, tetapi mak mertua marah kerana katanya semua barang tu masih boleh digunakan.
Aku pula dari kecil dibesarkan dalam rumah yang kemas, bersih dan teratur. Bila tinggal dalam keadaan macam ni, aku mula rasa tertekan dan susah nak berehat. Walaupun aku dah mengemas dari pagi sampai petang, rumah tetap akan bersepah semula dalam masa yang singkat.
Dalam rumah ni bukan hanya ada mak mertua, tetapi ada juga nenek suami yang dah nyanyuk. Nenek perlukan perhatian dan kerenahnya setiap hari betul – betul menguji kesabaran aku. Setiap kali aku masuk bilik air, dia akan ketuk pintu kuat – kuat dan memaki kalau aku lambat keluar.
Pernah satu hari aku sedang muntah dalam bilik air sebab alahan mengandung, tetapi nenek tetap mengetuk pintu sambil menjerit. Bila aku keluar, dia tuduh aku sengaja duduk lama dalam bilik air dan tak pedulikan dia. Aku hanya mampu diam sebab kalau aku menjawab, nanti satu rumah akan kata aku kurang ajar dengan orang tua.
Di sini juga ada kakak ipar aku bersama tiga orang anak lelakinya yang sangat lasak. Suaminya bekerja di ibu kota dan dulu mereka tinggal bersama di sana. Tapi empat tahun lepas, kakak ipar berhenti kerja dan balik tinggal dengan mak dia di sini tanpa memberitahu bila dia akan kembali kepada suaminya.
Sejak aku datang, akulah yang banyak membersihkan rumah, menyapu, mengemop, membasuh pinggan dan memasak. Baru sahaja aku selesai mengemas, anak kakak ipar akan keluarkan mainan, makanan dan pakaian sampai ruang tamu bersepah semula. Mak mereka pula buat tak tahu sahaja sambil bermain telefon dari pagi sampai malam.
Aku pernah tegur dengan baik dan minta mereka kemaskan mainan selepas bermain. Tapi kakak ipar kata budak budak memang macam tu dan aku tak sepatutnya terlalu berkira. Selepas kejadian tu, dia mula bermasam muka dan mengadu kepada mak mertua kononnya aku tak suka anak anak dia.
Bila suami balik kerja dan tengok rumah bersepah, dia terus kata aku tak buat kerja. Dia kata aku hanya duduk di rumah dan goyang kaki sepanjang hari. Dia langsung tak tanya apa yang aku dah buat atau apa yang berlaku sebelum dia balik.
Aku rasa macam aku kahwin hanya untuk menjadi orang gaji dalam rumah ni. Aku perlu masak untuk semua orang, mengemas sepah anak orang dan melayan neneknya yang nyanyuk. Tapi bila ada benda yang tak sempurna, aku seorang sahaja yang akan disalahkan.
Sekarang aku tengah mengandung dan badan aku cepat penat. Ada masa aku pening, muntah dan sakit pinggang sampai susah nak berdiri lama. Tapi kerja rumah masih biarkan untuk aku sebab diorang anggap aku tak bekerja dan hanya duduk di rumah.
Tiap malam aku menangis mengenangkan nasib aku. Aku tak tahu nak mengadu kat sape, jadi aku hanya menangis di atas tikar sejadah. Aku pujuk diri dengan cakap mungkin Allah sedang menguji aku kerana Allah sayangkan aku dan mungkin ada hikmah selepas ni.
Bila aku cuba berbincang baik – baik tentang menyewa rumah lain, suami terus naik angin. Dia kata dia tak akan keluar dari rumah ni kerana dia nak menjaga mak dan neneknya. Padahal dia ada adik beradik lain, mak dia masih sihat dan setiap hari masih boleh keluar berniaga.
Nenek pula masih ada ramai anak sendiri yang boleh sama – sama menjaga. Tetapi bila aku sebut perkara tu, suami tuduh aku tak suka keluarga dia dan cuba memisahkan dia daripada maknya. Apa sahaja yang berlaku, dia akan memenangkan keluarga dia dan akhirnya aku juga yang salah.
Suami bekerja dari pagi sampai lewat petang, jadi dia tak tahu apa yang aku lalui dalam rumah ni. Bila balik, orang pertama yang dia cari ialah mak, kakak atau anak – anak buahnya. Aku yang menunggu dia seharian pula terasa seperti orang asing yang menumpang di rumah tu.
Kalau kami nak keluar, keluarga dia mesti ikut sekali. Kalau mak dan kakak dia tak ikut, anak – anak buahnya pula akan dibawa bersama. Sejak berkahwin, kami hampir tak pernah mempunyai masa berdua seperti pasangan suami isteri yang lain.
Bila aku suarakan yang aku nak keluar berdua sahaja, aku pula yang kena marah. Dia tuduh aku benci keluarga dan anak – anak buah dia. Dia kata menjadi tanggungjawabnya untuk jaga kakak serta anak – anak kakaknya, sedangkan kakaknya masih ada suami.
Aku tak faham kenapa suami kakak ipar boleh biarkan isteri dan anak – anaknya tinggal di sini bertahun – tahun. Semua keperluan mereka banyak ditanggung oleh mak mertua dan suami aku. Kadang – kadang bila suami baru dapat gaji, dia terus beli barang untuk anak buah sedangkan barang keperluan aku terpaksa tunggu.
Aku pernah minta duit untuk membeli vitamin dan barang keperluan mengandung, tetapi dia kata tunggu bulan depan. Beberapa hari selepas tu, dia boleh pula belikan anak buah permainan yang mahal. Bila aku terasa hati, dia kata aku berkira dengan budak – budak dan hanya tahu fikir tentang diri sendiri.
Sekali dua bila kami dapat keluar berdua, suami hanya diam dan melayan telefon. Tengah makan pun matanya tak lepas daripada skrin sampai aku rasa macam makan seorang diri. Tapi kalau keluar bersama keluarganya, dia boleh berbual, bergurau dan ketawa sepanjang perjalanan.
Perubahan tu memang sangat ketara dan aku sendiri tak faham kenapa dia melayan aku macam ni. Dulu sebelum berkahwin, dia rajin bertanya khabar dan boleh berbual dengan aku berjam – jam. Selepas kahwin, aku rasa dia dah tak berminat nak dengar apa sahaja yang aku nak ceritakan.
Bila aku masak, dia selalu merungut dan kata makanan aku tak sedap. Aku sedar aku bukanlah pandai sangat memasak, tetapi aku sentiasa cuba dan belajar supaya dia suka masakan aku. Kadang – kadang aku tengok resipi dan masak benda yang dia suka walaupun aku sedang loya.
Tapi bila dia merasa, ada sahaja yang tak kena. Terlebih masin, kurang pedas, tak cukup masak atau rasanya tak sama macam masakan mak dia. Kalau mak atau kakaknya yang masak, walaupun rasanya biasa sahaja, dia tetap makan sambil memuji.
Pernah sekali aku masak lauk kegemarannya selepas berdiri lama di dapur dalam keadaan pening. Dia makan sedikit, kemudian menolak pinggan dan kata lebih baik mak dia yang masak. Aku masuk ke dalam bilik dan menangis sebab aku rasa semua usaha aku langsung tak dihargai.
Aku luahkan perkara ni bukan sebab nak bukak aib suami. Aku cuma terlalu penat simpan semuanya seorang diri. Aku tak sanggup bercerita kepada ibu kerana ibu baru sahaja kehilangan ayah dan masih bersedih dengan pemergian arwah. Aku tak nak menambahkan lagi kesedihan ibu.
Tambahan pula, ibu sangat sayangkan menantu dia dan selalu menyangka aku bahagia di sini. Setiap kali ibu menelefon dan bertanya khabar, aku akan buat suara ceria walaupun masa tu mata aku tengah bengkak sebab menangis. Bila adik lelaki suami yang masih bujang balik pada hujung minggu, aku perlu menutup aurat hampir sepanjang masa.
Nak keluar dari bilik pun aku kena pastikan tudung dah dipakai. Nak ke bilik air pada waktu malam juga susah sebab aku takut terserempak dengannya. Aku pernah minta izin suami untuk balik ke rumah ibu selama dua atau tiga hari. Aku rindukan ibu dan teringin sangat nak makan masakan ibu, lebih lebih lagi dalam keadaan aku sedang mengandung.
Aku cuma nak berehat sekejap dan tenangkan fikiran sebelum kembali ke rumah ni. Tapi bila aku minta izin, suami terus naik angin. Dia kata kalau aku nak balik, aku perlu bungkus semua kain baju dan duduk di sana terus. Dia juga cakap anak dalam kandungan ni nanti perlu aku serahkan kepada dia.
Aku terk3jut sebab aku cuma minta balik sekejap, bukannya nak tinggalkan dia. Masa aku cuba terangkan, dia tolak aku sampai tangan aku terluka kena tangannya. Lengan aku juga sedikit lebam lepas dia tarik aku kuat – kuat. Dia kemudian mengambil biskut yang ibu bekalkan dan baling ke lantai.
Dia kata kalau aku nak makan, mak dia pun boleh masakkan dan dia tanya sama ada masakan mak dia tak sedap. Dia langsung tak faham yang aku cuma mengidam dan teringin nak makan masakan ibu sendiri. Ibu dan arwah ayah tak pernah layan aku macam ni walaupun mereka marah.
Aku dibesarkan dengan kasih sayang dan tak pernah ditolak atau ditarik sampai lebam. Malam tu aku masuk ke bilik, kunci pintu dan menangis sambil memegang perut kerana takut sesuatu berlaku kepada anak aku. Dia nak aku hormat keluarganya dan menjaga hati mereka setiap masa.
Tetapi dia langsung tak jaga hati aku atau keluarga aku. Aku dah tinggalkan seluruh kehidupan aku untuk ikut dia, tetapi permintaan kecil aku untuk berjumpa ibu pun dianggap sebagai satu kesalahan besar. Ibu selalu telefon dan bertanya bila aku nak balik kerana dia rindukan aku.
Aku hanya tahan sebak dan berikan macam – macam alasan. Aku kata suami sibuk bekerja, aku tak sihat untuk berjalan jauh atau kami belum ada masa yang sesuai. Ibu tak tahu hal sebenar yang berlaku di sini. Ibu masih selalu memuji menantunya dan bersyukur kerana menyangka aku dijaga dengan baik.
Setiap kali dengar ibu cakap macam tu, hati aku semakin s4kit kerana aku terp4ksa terus menipu untuk melindungi perasaan dia. Aku tengok kawan – kawan yang berkahwin selang beberapa bulan dengan aku. Mereka nampak bahagia, keluar bersama suami dan sediakan barang untuk menyambut kelahiran anak.
Aku pula setiap hari memikirkan sama ada aku patut terus bertahan atau menyelamatkan diri sebelum keadaan menjadi lebih teruk. Aku kesiankan anak dalam kandungan ni. Bila aku tertekan, aku takut keadaan emosi aku akan memberikan kesan kepadanya.
Ada masa perut aku mengeras selepas terlalu lama menangis, tetapi aku masih tak berani meminta suami membawa aku ke klinik kerana takut dia kata aku mengada – ngada. Aku tak nafikan ada masa suami aku baik. Tapi bila melibatkan keluarganya, soal berpindah rumah atau permintaan aku nak balik berjumpa ibu, dia akan berubah dan cepat naik angin.
Disebabkan tu, aku mula rasa nak bercerai walaupun usia perkahwinan kami belum sampai setahun. Dalam masa yang sama, aku fikirkan masa depan anak yang bakal lahir. Aku takut anak aku membesar tanpa ayah, tetapi aku juga tak nak dia membesar dalam rumah yang kotor, sesak dan penuh tekanan.
Aku tak sanggup kalau suatu hari nanti anak aku pula dimarahi atau menjadi m4ngsa keadaan dalam rumah ni. Tak lama lagi aku akan melahirkan anak dan sampai sekarang kami masih belum menyediakan ruang yang sesuai untuk bayi. Bilik kami sempit dan dipenuhi barang lama milik keluarga suami.
Bila aku minta barang tu dialihkan, mak mertua kata tak ada tempat lain untuk menyimpannya. Aku semakin tertekan memikirkan keadaan selepas bersalin nanti. Aku takut aku masih perlu memasak, mengemas dan melayan semua orang walaupun badan belum pulih.
Aku juga takut suami tak benarkan ibu datang menjaga aku atau tak izinkan aku berpantang di rumah ibu. Sampai bila aku perlu bertahan di sini? Adakah aku salah kerana nak tinggal berasingan dan mempunyai kehidupan sendiri bersama suami serta anak?
Aku tak pernah meminta rumah besar atau kehidupan mewah, aku cuma nak tempat yang bersih, tenang dan ada sedikit ruang peribadi. Sekarang aku betul – betul buntu dan tak tahu keputusan apa yang patut aku buat. Aku masih sayangkan rumah tangga ni, tetapi aku semakin penat dan takut dengan sikap suami yang mudah naik tangan bila aku menyebut tentang ibu. Aku cuma harap ada jalan keluar sebelum anak aku lahir dan keadaan menjadi lebih buruk.
Apa kata anda? Hantar kisah anda di sini
PERHATIAN : Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen – komen yang diberikan oleh pembaca. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis pembaca. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.